Tuesday, December 30, 2003

Religion, rather than ‘adat’, leading community now- Diskusi menarik di Blog Jeff Ooi

Sila klik di sini untuk membaca artikel yang sangat menarik terutamanya kepada masyarakat Melayu Islam yang ditulis oleh Shamsul Akmar. Persoalan agama dan adat ini adalah suatu masalah yang telah lama diperbincangakan walaupun tidak begitu mendalam sifatnya.

Jika kita pergi ke majlis kenduri kahwin rakan-rakan atau sesiapa sahaja, tidak sukar untuk mencari majlis yang tidak diserikan dengan acara besanding. Antara alasan yang diberikan adalah ianya tidak selari dengan agama Islam dan ianya mengandungi budaya agama Hindu.

Bagi aku, persoalan agama dan adat ini adalah sesuatu yang subjektif sifatnya. Ia perlu dilihat dari pelbagai sudut dan segala penghukuman awal seharusnya perlu dielak demi untuk menjamin keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

Aku juga melihat persoalan adat dan budaya ini adalah suatu proses evolusi sesuatu bangsa itu di mana tiada satu bentuk ciri-ciri budaya atau adat yang menjadi hak mutlak. Sebagai contoh, segala macam budaya dan adat yang terdapat di dalam bangsa Melayu hari ini adalah pencantuman pelbagai budaya dan pengaruh seperti Hindu, animisme, arab dan sebagainya.

Jadi aku melihat sifat budaya orang Melayu ini tidak mutlak dan jika orang Melayu beramai-ramai bersetuju menjadikan pemakaian tali leher sebagai suatu yang bersifat budaya. Tidak mustahil generasi yang akan datang akan turut melihatnya sebagai sebahagian daripada ciri-ciri budaya orang Melayu.

Oleh sebab itulah di waktu ini, aku melihat agama telah menjadi faktor dominan di dalam menentukan ciri-ciri budaya orang Melayu. Ia dapat dilihat dengan begitu jelas dalam kebanyakan aspek kerana orang Melayu Islam di waktu ini telah mula meningkat tahap kesedaran agamanya dan kebanyakannya percaya bahawa budaya Islam yang universal sifatnya itu yang tersangat penting.

Persoalannya sekarang, adakah baik untuk terus menghapuskan segala budaya dan adat baik yang bercanggah dan tidak bercanggah dengan Islam? Perkataan 'biar mati anak, jangan mati adat' sudah tidak popular lagi dan sebaliknya telah digantikan dengan 'biar mati anak, jangan mati Islam'.

Dilema ini sukar untuk dijawab dan elok baiknya jika budayawan dan agamawan yang lebih mahir dapat duduk bersama untuk membincangkan isu yang tidak kurang pentingnya. Sekurang-kurangnya dapatlah umat Melayu Islam ini lebih kenal dan faham identiti mereka.

Klik untuk diskusi di Blog Jeff Ooi
Penubuhan Suruhanjaya Diraja dialu-alukan

Langkah kerajaan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil bagi menjadikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai satu pasukan penguat kuasa undang-undang yang berwibawa dan dihormati adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.

Kesedaran Pak Lah akan imej PDRM yang sangat buruk di kalangan rakyat amat berbeza jika dibandingkan dengan Tun Dr. Mahathir. Tidak dapat dinafikan bahawa persepsi buruk yang terlihat sekarang ini tidak lain dan tidak bukan adalah bekas peninggalan Bapa Pemodenan Malaysia.

Kerjaya polis di masa kini tidak lagi dipandang mulia dan hebat oleh kebanyakan rakyat terutama di kalangan generasi muda. Namun tidak siapa dapat menafikan bahawa tugas dan peranan yang dimainkan oleh anggota polis adalah sesuatu yang berat dan tidak semua orang mampu dan sanggup melakukannya. Oleh sebab itulah, tuduhan yang melulu dan beremosi terhadap anggota polis terkadang sukar untuk diterima.

Apa yang menjadi masalah sekarang adalah manipulasi politik oleh sang pemerintah terhadap badan ini yang sangat ketara dan menyebabkan kebencian yang amat mendalam di kalangan ahli dan simpatisan oposisi. Sikap berat sebelah polis di dalam pengeluaran permit untuk berceramah di samping penggunaan kekerasan di dalam demonstrasi aman adalah beberapa contoh akan ketidak mesraan PDRM.

Di samping itu juga, PDRM cukup terkenal dengan ketidak pekaannya di dalam mengendalikan isu yang bekaitan dengan hak-hak asasi manusia, isu wanita dan sebagainya di samping penggunaan kekerasan yang agak terlampau. Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd. Bakri Omar juga telah menyedari akan hal ini;

``Kerap kali kita mendengar suara-suara lantang mengingatkan kita (polis) mengenai hak-hak asasi manusia, penyalahgunaan kuasa, kekerasan melampaui batasan undang-undang, perbuatan rasuah dan salah laku pegawai serta anggota.

Kini rakyat dari pelbagai lapisan menanti dengan penuh harapan agar reformasi yang ingin dilakukan di dalam PDRM akan berjaya dan adalah menjadi hasrat rakyat agar kerja-kerja mulia yang dilakukan oleh anggota-anggota polis mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Namun segalanya akan berakhir sekiranya polis sanggup menjadi kuda tunggangan pemerintah.

Sunday, December 28, 2003

Gelombang baru filem tempatan

Aku menyokong penuh pandangan wartawan hiburan Utusan, Noor Azam Shairi di dalam Mingguan Malaysia hari ini di dalam memperkatakan tentang gelombang yang sedang wujud di dalam arena perfileman tempatan. Tiada apa yang lagi menggembirakan bila mana segala hasil penat lelah pengarah-pengarah muda ini telah diiktiraf.

Apa yang belum menggembirakan lagi adalah bekenaan audiennya yang masih kecil walaupun sebenarnya telah meningkat sedikit demi sedikit. Terima kasih kepada media-media yang sudi membuat ulasan dan liputan seperti Kakiseni, Klue, The Star, NST, Utusan, The Edge dan sebagainya.

Aku mendengar khabar bahawa pihak GSC akan menyediakan satu dewan di cawangan Mid Valley yang dilengkapi projektor khas bagi tayangan filem-filem independen dan juga digital pada tahun hadapan dan jika tidak silap, pada sekitar bulan Jun nanti.

Apapun, tahniah kepada Amir dan kesemua mereka yang terlibat kerana aku merasakan segala usaha mereka ini pasti akan memacu indstri filem kita ke arah yang lebih berilmu dan maju. Tidak lupa juga kepada member-member aku seperti Jibam, Aran, Siput dan Apai yang telah menambahkan bilangan audien, tahniah semua! Tidak sabar rasanya menanti apa yang akan terjadi pada tahun 2004.

Saturday, December 27, 2003

Husam Musa- Pencetus berita untuk tahun ini oleh Malaysiakini

Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Kubang Kerian, Husam Musa telah dipilih oleh akhbar internet Malaysiakini sebagai malaysiakini’s ‘Newsmaker of the Year’. Pemilihan Husam Musa adalah amat tepat sekali kerana peranan beliau sebagai whistleblower di dalam pelbagai isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara sepanjang tahun ini tersangatlah cemerlang.

MP PAS ini yang pernah disebut oleh tabloid Akhbar Mahasiswa sebagai bakal pengganti Menteri Besar Kelantan sekarang, Dato' Nik Aziz Nik Mat telah membongkar beberapa isu penting seperti pemilikan saham anak Tun Dr. Mahathir, Mokhzani, isu projek Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan di Subang Airport, kasino di Bukit Tinggi, penswastaan subsidiari katering MAS yang melibatkan adik Pak Lah, isu pembalakan di Pahang dan juga isu penganugerahan kontrak projek keretapi berkembar kepada MMC-Gamuda.

Apa yang sangat menarik tentang beliau adalah pendekatannya yang membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum mendedahkan fakta dan berhujah tentang sesuatu isu. Ciri-ciri seperti inilah yang sepatutnya ada pada setiap ahli parlimen baik yang berada di sebelah kerajaan mahupun pembangkang, bukannya hanya bijak berhujah secara melulu dan emosional tidak berarah.

Lebih menarik lagi tentang beliau adalah tentang Perpustakaan Islam Nur Az Zahra yang dipunyai oleh beliau sendiri. Perpustakaan tiga tingkat yang lengkap dengan pelbagai buku, majalah dan audio visual serta dewan seminar dan pusat bacaan itu dikira tulang belakang Husam seperti mana apa yang dilaporkan oleh Harakahdaily.

Diharap, budaya berpolitik di kalangan ahli parlimen, ahli dewan undangan dan segala politikus di negara ini akan turut berubah seperti ini. Rakyat sudah bosan dengan hujah-hujah retorik dan melulu baik daripada parti kerajaan ataupun pembangkang.

Rasanya di dalam PAS, manusia seperti Husam ini bukanlah hanya beliau seorang. Ramai lagi yang sealiran dengan beliau seperi Dr. Zulkifli Ahmad, Dato' Kamaruddin Jaafar, Dr. Rosli Wahab, Dr. Hasan Ali dan beberapa orang lagi. Namun apa yang sedikit mengecewakan adalah sikap seperti ini sukar dimiliki oleh ahli dan penyokong PAS terutamanya yang berada di luar bandar.

Pengalaman selama inilah yang menyebabkan persepsi ini terjadi dan diharap golongan ini dapat membuka lebih fikiran, banyakkan membaca dan membaca dan membaca serta berbincang secara rasional dan yang teramat penting, janganlah menjadi seorang yan taklid buta.

Hail Husam!- Jeff Ooi

Thursday, December 25, 2003

Bagai bernafas dalam lumpur- Fathi Aris Omar

"Tak perlu sedu sedan itu, aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang, biar peluru menembus kulitku, aku tetap meradang menerjang, luka dan bisa kubawa berlari, hingga hilang pedih peri" – Chairil Anwar dalam sajaknya ‘Semangat’ (1943)

Lupakan syor-syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Walau usianya sudah setahun, sejak 12 November 2002, syor-syor yang progresif ini belum mempunyai sebarang tanda akan dilaksanakan.

Dalam laporan tahunannya edisi 2002 (Bab 3, perkara iv), antara lain, Suhakam mencadangkan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOIA), pindaan beberapa fasal kontroversi berkaitan permit tahunan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, memberi takrif baru ‘rahsia’ dan mengkaji semula hukuman berat Akta Rahsia Rasmi (OSA), membentuk sebuah majlis media yang bebas, dan menyediakan kad pengenalan wartawan tanpa diskriminasi.

Kita tidak tahu bagaimana menteri berkenaan, yang juga Perdana Menteri, melihat syor-syor suruhanjaya ini. Abdullah Ahmad Badawi pernah dilaporkan "ingin mendengar kebenaran" daripada masyarakat. Namun, jika KDN tidak bertindak segera terhadap syor-syor Suhakam, kata-kata Perdana Menteri itu tidak lebih daripada janji-janji politik yang kosong semata-mata.

Tetapi kita lupakan hal ini buat sementara waktu. Kita mencari satu lagi dimensi penting ‘kebebasan akhbar’. Elok kita berbicara tentang bayaran sagu hati yang rendah kepada penyumbang rencana dan karya-karya kreatif di media tempatan, termasuk syarikat-syarikat gergasi yang menguasai akhbar harian.

Entah mengapa dalam wacana kebebasan akhbar, kita boleh terlupa (atau malu?) membicarakan soal bayaran. Seolah-olah kebebasan akhbar hanya isu ruang dan sekatan kerajaan, bukan persoalan mutu laporan atau tulisan.

Penyakit

Padahal kita sedar kebebasan dalam demokrasi tidak mempunyai sebarang makna tanpa peningkatan mutu kehidupan. Kebebasan bersuara menjadi sejenis ‘penyakit’ tersendiri jika mutu perdebatan jatuh atau gagal dipertingkatkan.

Kebebasan akhbar tidak bermakna tanpa kualiti laporan, persaingan sihat sesama syarikat media, kerancakan sumbangan idea penulis serta maklum balas pembaca.

Freedom Forum, sebuah yayasan memperjuangkan kebebasan bersuara di Amerika Syarikat, dalam satu tinjauannya berhujah bahawa media bersikap ‘tidak adil’ jika ia menggaji wartawan yang mentah (jahil) atau tidak cekap.

Ertinya media yang gagal menghasilkan laporan bermutu atau menggaji wartawan yang tidak cekap hakikatnya boleh menggugat unsur kebebasan akhbar dan perkembangan minda masyarakat.

Dengan bahasa lain: tanpa berita, analisa, rencana atau karya bermutu, apakah itu tidak bermakna kita turut menyumbat ‘sampah’ ke dalam minda pembaca? Pembaca yang terlalu lama didedahkan dengan corak laporan berita dan rencana yang tidak bermutu akhirnya percaya – sama ada sedar atau tidak – tahap yang rendah atau corak pembingkaian bahan-bahan media seperti yang dialami di negara ini.

Akhirnya pembaca, khususnya generasi muda yang tidak terdedah kepada media-media negara luar, menjadi selesa dengan mutu yang rendah. Jika mereka berminat menulis berita, rencana atau karya kreatif, mereka akan mengulangi kerendahan mutu seperti yang mereka saksikan setiap hari.

Lingkaran syaitan

Apabila mereka ingin mengusahakan penerbitan sendiri, sama ada bernilai komersial atau untuk aktivisme, kerendahan mutu inilah yang dapat kita saksikan – gaya tulisan dan kedalaman berhujah, belum mengambil kira mutu reka letak atau fotografi yang ‘hancur lebur’!

Saya percaya gejala inilah yang telah merosakkan fikiran pembaca di negara kita. Ia telah menjadi ‘lingkaran syaitan’ atau vicious circle yang merosakkan. ‘Piawaian’ mutu diukur daripada akhbar harian, tabloid pembangkang, majalah independen atau risalah NGO (badan bukan kerajaan) yang sangat jauh daripada memuaskan.

Malah kita dapati editor-editor kini, akhbar harian atau majalah popular, nampaknya mudah selesa dengan kerendahan mutu kolum, rencana, berita dan karya kreatif (juga reka letak dan fotografi).

Mutu tulisan dan kerancakan menulis datang daripada dua sebab – asas motivasi individu – ancaman dan ganjaran. Ancaman dikaitkan dengan ruang. Tanpa risiko politik seperti hari ini, apabila ruang kebebasan akhbar sudah terbuka, orang ramai tentunya lebih mudah menulis (walau kenyataan ini boleh dibahaskan).

Ganjaran pula merancakkan kegiatan menulis. Kita berharap mutu dapat dipertingkatkan apabila wujud persaingan sihat di kalangan penyumbang karya atau penulis bebas. Tetapi ganjaran untuk berkarya (kreatif dan fakta) nampaknya masih rendah.

Menteri kabinet, polis, wakil rakyat, guru dan anggota mesyuarat kerajaan (exco) semuanya telah menuntut kenaikan gaji atau bonus tahunan (masing-masing sudah mengecapinya). Tetapi sejak saya menulis lebih 10 tahun lalu hingga hari ini, Berita Harian dan Utusan Malaysia masih lagi mengekalkan bayaran RM150 bagi sebuah rencana!

Risiko

Malah ada penerbitan yang lebih rendah, misalnya Harakah atau Tamadun, atau tidak membuat sebarang pembayaran, contohnya Siasah (sebelum ditutup). Bagaimana penulis bebas atau penyumbang rencana boleh hidup dengan bermaruah?

Bagi penyumbang karya kreatif pula, Mingguan Malaysia membayar RM30 bagi sajak dan RM70 (cerpen). Mingguan Wanita dan Nur, dua majalah popular di bawah Kumpulan Karangkraf, membayar kadar yang sama bagi puisi.

Menjadi wartawan atau penyumbang penuh risiko, antaranya dikenakan tindakan saman, dan tiada sebarang perlindungan undang-undang pula untuk kita. Semua akta yang ada – terkena kepada ahli politik pembangkang, aktivis atau pengganas – layak sahaja untuk wartawan.

Ganjaran yang rendah juga diberikan kepada penulis skrip, pekerja filem (crew), artis reka letak (DTP) atau jurugambar (khususnya yang bebas). Tidak ada pihak yang memberikan perhatian kepada kumpulan pekerja berpengetahuan ini.

Semuanya ibarat "mahu apa lagi hendak kukorbankan, hingga aku bernafas bagai dalam lumpur, kasihan …", sepotong lirik lagu popular kumpulan Wings.

Jika kegiatan menulis pula tidak lebih baik daripada mengemis, dan hal ini diketahui umum melalui imej luaran betapa daifnya penulis, tidak mungkin kegiatan menulis rencana dan karya kreatif dipandang mulia.

Kes pencabulan

Akhirnya media, wartawan, penulis dan karya masing-masing menjadi satu sektor yang mundur dan ‘menakutkan’ di negara ini. Hairannya lagi, sama ada Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) atau Inisiatif Wartawan (IW), tidak pernah mempedulikan hal-hal kebajikan penulis rencana dan penyumbang karya kreatif.

Persatuan Penulis Nasional (Pena) atau Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) telah lama mengabaikan hal-hal ini – atau lebih tepat, mereka hanya mengutamakan kelompok kroni sendiri atau ahli-ahli berdaftar sahaja.

IW dan Kami, berbanding Pena atau NUJ, sering membincangkan sesuatu yang agung, mujarad dan jangka panjang – apa yang disebut ‘kebebasan akhbar’ dan kes-kes pencabulannya – tetapi melupakan nasib sendiri. Pada hemat saya, cara begini sejenis perjuangan yang tidak masuk akal!

Kecuaian pihak-pihak ini mendorong satu kumpulan penulis kreatif, penggiat seni budaya dan wartawan Melayu (semuanya lingkungan 20-an), menggelarkan diri mereka ‘Komunite Seni Jalan Telawi’ (KSJT), membahaskan isu bayaran dengan lebih serius. Dengar khabarnya KSJT sedang mengumpul data untuk kempen ‘Tingkatkan Bayaran Sagu Hati’ dan jaminan pekerjaan yang baik bagi wartawan atau penyumbang di syarikat-syarikat penerbitan kecil.

Kegiatan menulis rencana dan nasib penyumbang kreatif akhirnya seperti gambaran dalam sajak terkenal Chairil Anwar, ‘Semangat’. Namun penyajak tersohor Indonesia ini tidak peduli apa-apa kerana dia "mahu hidup seribu tahun lagi."

Tetapi tidak semua penulis kreatif dan rencana ingin hidup 1,000 lagi. Persoalannya bagaimana mereka hendak membeli buku (rujukan), menonton teater atau membayar

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (22 Disember 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

Tuesday, December 23, 2003

Kebangkitan Semula Reformasi

Malam ini bertempat di Dewan Perhimpunan Cina, Gerakan Reformasi yang kelihatan seperti sudah mati ini akan dilancarkan semula dengan satu slogan baru iaitu Gerakan Anwar Bebas. Ia akan diterajui oleh Saudara Tian Chua, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat dan juga aktivis Reformasi yang ulung.

Bagi aku, pelancaran malam ini adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan, iaitu sama ada semangat Reformasi masih wujud atau tidak. Bila memperkatakan tentang Reformasi, suatu perbahasan dan perbincangan yang agak mendalam pasti diperlukan. Momentum Reformasi ini sebenarnya amat sukar untuk diukur, sama ada ianya sudah berkubur atau pun belum, tiada jawapan yang pasti dapat diberikan.

Pertamanya adalah ada kemungkinan semangat yang meluap-luap sudah berkurangan walaupun masih ada saki bakinya dan ada juga yang masih membara semangatnya namun disimpan sahaja kerana terlalu banyak halangan dan sekatan yang menanti.

Keduanya pula, ada yang ingin mereformasikan semula Reformasi iaitu dengan cuba membuka luas idea Reformasi ke dalam segala bidang yang memerlukan perubahan yang diantaranya adalah seperti refomasi di dalam bidang hiburan, kesenian, budaya berfikir, pendidikan, persoalan gender, diskriminasi agama dan sebagainya.

Namun begitu, faktor penentu yang amat jelas dirasakan untuk menilai kekuatan Reformasi ini adalah dengan melihat bagaimanakah sambutan rakyat jika sekiranya Dato' Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari Sungai Buloh sama ada di dalam waktu terdekat atau pada tahun 2009 nanti?

Joceline Tan di dalam artikel terbarunya di akhbar The Star yang mengulas tentang fokus pilihanraya di Selangor tidak menolak akan kepentingan faktor Anwar di dalam pilihanraya akan datang.

"Finally, an obstacle that may be beyond Dr Khir’s control is that concerning the way some Malays still feel about the fate of Datuk Seri Anwar Ibrahim. Umno politicians insist the former Umno leader is no longer relevant but for a segment of Malays outside of Umno, he remains an issue to be resolved

It would not be surprising if Keadilan politicians continue to campaign on the sympathy factor for their de-facto leader".


Jika faktor Anwar dan Reformasi akan turut memainkan peranan di dalam pilihanraya nanti, kata-kata Tun Dr. Mahathir sebelum ini yang mendakwa Anwar tidak relevan dan orang Melayu akan mudah lupa jelas terbukti salah. Setelah 5 tahun berlalu, isu yang sangat besar dan memainkan peranan penting di dalam arena politik negara telah dikecilkan oeh pemerintah dan media massa.

Bagi aku, isu Anwar adalah isu Malaysia kerana di sebalik isu inilah, rakyat dari pelbagai golongan mula sedar tentang banyak perkara yang selama ini dirasakan tidak penting di dalam kehidupan seharian dan yang penting sekali, ia telah merubah sedikit sebanyak latar politik di negara ini.

Saturday, December 20, 2003

Wartawan Malaysia makan rasuah?

Di dalam Indeks Rasuah Global atau "A Composite Index by Country Of Variables Related To Likelihood of the Existence Of 'Cash for News Coverage" yang dikeluarkan pertama kalinya secara global. Malaysia disenaraikan di tangga ke 53 daripada 66 buah negara yang terdapat di dalam laporan kajian tersebut. Walaubagaimanapun, secara rasminya Malaysia berada di tangga ke 24 kerana kebanyakan negara yang berada di atas Malaysia memiliki jumlah skor yang sama.

Laporan kajian ini telah dibuat oleh dua orang ahli akedemik dari Universiti Northern Iowa iaitu Dr Dean Kruckeberg dan dari Universiti Purdue iaitu Katerina Tsetsura. Ia telah diselenggarkan oleh International Public Relations Association (IPRA) dari Britain dan Institute for Public Relations (IPR) of the United States, dan ditaja oleh Hurriyet, akhbar utama di Turki.

Terdapat lapan pembolehubah yang digunapakai bagi menentukan skor yang diperoleh setiap negara;

-Professional education of journalists
-Well-established and enforceable journalism codes of ethics
-Free press and free speech
-Existence of media competition
-Anti-corruption laws with effective enforcement
-Adult literacy
-Accountability of government
-Tradition of self-determination by citizens


Sekarang kita menanti-nantikan apakah reaksi balas kerajaan dan juga komuniti wartawan terhadap hasil laporan kajian ini. Adakah kerajaan akan menggunakan hujah lapuk mereka sekali lagi iaitu ia berniat buruk dan iri hati terhadap kejayaan yang dikecapi Malaysia seperti yang kerap kali dilemparkan kepada Amnesty International, CPJ dan NGO-NGO serta pihak-pihak asing yang lain.

Namun, kita tidaklah boleh menerima bulat-bulat laporan kajian ini tanpa membuat kajian dan soal selidik tambahan kerana amat sukar untuk membuktikan kewujudan rasuah di kalangan wartawan. Untuk ini, hanya wartawan dan sesiapa yang seangkatan dengannya yang tahu hal sebenar.

Memetik kata-kata naib presiden Hurriyet Ms. Vuslat Doðan Sabanci, "Bribery of the news media in too many countries robs citizens of credible information they need to make personal and collective decisions".

Researchers Release First-Ever Global Index Revealing Where Media Bribery Most Likely

Thursday, December 18, 2003

Stop The Violence Against Women

Pada 7 Disember yang lau dan bertempat di pusat membeli belah Lot 10, telah diadakan pelancaran Kempen Riben Putih yang mewakili inisiatif kaum lelaki sebagai tunjang utama untuk menangani keganasan terhadap wanita.

Aku amat menyokong kempen sebegini kerana tidak dapat dinafikan kaum lelaki di negara ini boleh dianggap masih terkebelakang di dalam persoalan keganasan dan gender seperti ini terutamanya di kalangan mereka yang berpendidikan rendah.

Acap kali kita kedengaran kata-kata yang memperlekehkan kemampuan wanita baik dari segi intelektual, spiritual dan juga fizikal keluar dari mulut seorang lelaki. Apa yang lebih menyedihkan lagi adalah kedapatan ramai lagi kaum lelaki yang sering dan gemar mengeksploitasi kaum wanita untuk kepentingan diri sendiri.

Objektif utama kempen ini dilaksanakan adalah bermatlamatkan untuk mendapatkan atau menggerakkan kaum lelaki supaya menamatkan keganasan terhadap wanita, untuk memecahkan kebisuan di kalangan kaum lelaki untuk bersuara lantang tentang hal ini dan yang terakhir adalah untuk mencabar dan menggalakkan rakan-rakan sejantina sama ada tua atau muda untuk turut sama-sama melakukan usaha mulia ini.

Melalui kempen ini juga telah disenaraikan lapan langkah proaktif yang perlu diambil untuk menjayakan kempen ini iaitu;

1. Pelajari dan fahami masalah yang menyebabkan terjadinya keganasan terhadap wanita.
2. Persoalkan mengapa segelintir lelaki menjadi ganas.
3. Mendengar dan bersimpati terhadap wanita.
4. Kenal pasti dan tentang segala keganasan dan gangguan seksual yang berlaku di tempat
kerja, sekolah dan rumah.
5. Membantah segala bahasa luah dan lawak yang merendah-rendahkan keum wanita.
6. Cuba menilai bagaimana gelagat kita sendiri berkmungkinan akan menyumbang kepada
masalah yang wujud.
7. Menyokong kempen ini.
8. Memakai reben berwarna putih.

Diharap kempen yang dianjurkan oleh Men's Action Network against Violence (MAN-V) dengan kerjasama The All Women's Action Society (AWAM) ini akan membuka mata kaum lelaki untuk turut sama-sama terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam usaha untuk mendidik dan menyampaikan mesej yang terkandung.

Tuesday, December 16, 2003

Mahathir's policies questioned

Brendan Pereira di dalam artikel terbarunya di Straits Times bertarikh 16 Disember telah menyentuh tentang tiga penunujuk utama perubahan lanskap politik negara yang mana ia membawa maksud secara tidak langsung kritikan dan persoalan terhadap segala polisi yang telah dilaksanakan oleh Tun Dr. Mahathir.

Tiga perkara tersebut adalah berkenaan Projek Keretapi Berkembar, Kritikan Ku Li dan keberanian bersuara di kalangan akademia tentang hal-hal yang bersifat politik.

Perkembangan ini adalah sesuatu yang sangat sihat dan alangkah indahnya jika keadaan sebegini wujud semasa Tun Dr. Mahathir memerintah. Walau apapun, ianya telah berlalu dan diharap keadaan diam dan takut bersuara seperti yang wujud sebelum ini tidak akan menjadi kelaziman di bawah pimpinan PM Malaysia ke 5, Pak Lah.

Perlu diingatkan, kritikan terhadap polisi beliau bukanlah bermaksud kita membencinya kerana kritikan memperlihatkan sifat prihatin dan sayang kita kepada negara yang diamanahkan kepada beliau untuk diperintah.

Telah menjadi kelaziman di mana-mana negara yang maju budaya demokrasinya, para pemimpin atasan mereka sering kali dinilai tentang baik dan buruknya polisi dan stail pemerintahan secara jujur dan terbuka. Budaya yang masih belum menjadi budaya di sini jika kita sering melihat dan membaca artikel atau berita di media arus perdana.

Diharap selepas ini budaya seperti ini bakal menjadi sebahagian daripada norma hidup rakyat Malaysia dan masih belum terlambat untuk sesiapa sahaja untuk cuba menilai dan membincangkan segala polisi yang telah dilaksanakan oleh Tun Dr. Mahathir secara ilmiah dan sejujurnya.
Pilihanraya umum ke 11

Detik kedatangan pilihan raya umum yang ke 11 hampir menjelang. Dalam masa setahun, ia pasti akan tiba. Bagi pengundi baru yang akan pertama kali menunaikan hak sebagai rakyat Malaysia seperti aku, ia adalah sesuatu yang tersangat penting dan boleh dianggap sebagai detik penting dalam hidup.

Terasa cepat masa berlalu sejak berlangsungnya pilihanraya umum 1999 yang lalu. Ketika itu, aku merasa amat kecewa kerana tidak dapat mengundi kerana usiaku di waktu itu tidak mengizinkan aku terlibat sama.

Di waktu itu, aku merasa sedikit marah kepada SPR kerana tidak membenarkan 680,000 pengundi baru mengundi. Aku cukup yakin jika mereka dibenarkan mengundi pada waktu tersebut, lanskap politik Malaysia pasti tidak seperti apa yang ada di waktu ini.

Aku juga mencari hujah untuk mewajarkan agar umur minimum untuk mendaftar sebagai pemilih diturunkan kepada 18 tahun di kala itu. Ini kerana aku berpendapat terdapat segolongan anak muda pada tahap tersebut telah matang dan layak untuk membuat keputusan yang tepat walaupun ia kadangkala adalah sesuatu yang subjektif.

Aku mengikuti arus politik Malaysia tatkala berada di tingkatan 2. Pembacaan pada waktu itu lebih banyak dipengaruhi oleh akhbar Berita Harian, New Straits Times sejak di tingkatan tiga dan akhbar organ parti PAS sejak di tingkatan empat dan tidak lupa juga akhbar tabloid seperti Era Baru yang pastinya akan diberi secara percuma tatkala parti UMNO mengadakan aktivitinya di premis sekolahku.

Walau apapun, segalanya adalah nostalgia dan apa yang penting aku tidak bertanggungjawab di atas pemilihan perikatan parti yang mengetuai kerajaan Malaysia di waktu ini.

Apa yang pasti, pilihanraya umum yang ke 11 ini akan memberikan aku peluang untuk turut sama membuat keputusan penting yntuk negara tercinta ini. Soal parti apa yang dipangkah, itu adalah rahsia. Apa yang penting adalah silalah mendaftar sebagai pemilih dan setelah mendaftar, janganlah lupa untuk mengundi pula.

Jikalau merasakan kesemua parti yang bertanding tidak memenuhi apa yang dihasratkan dan masih ingin menunaikan tanggungjawab, silalah buat undi rosak. Kepada muda mudi yang belum mendaftar, sila daftar segera kerana proses pengesahan pengundi baru akan mengambil masa selama 3 bulan. Jikalau mendaftar sebelum 31 Disember ini, seseorang itu hanya akan layak mengundi sekiranya pilihanraya diadakan pada bulan april dan seterusnya.

Oleh itu, daftarlah segera kerana Pengerusi SPR telah beberapa kali menyuarakan rasa kecewanya akan kekurangan sambutan dari golongan muda dalam proses pendaftaran pemilih yang diadakan sepanjang tahun ketika ini. Dan jika tidak dapat mengundi kelak, jangan hanya tahu mengata itu dan ini.

Saturday, December 13, 2003

Media sempitkan wawasan seni- Fathi Aris Omar

Media massa kita harus menyebarkan wacana rancak dalam semua bidang, mengangkat seniman dan produk seni – tanpa diskriminasi – yang bermutu serta berdaya saing untuk membolehkan kita ke pentas antarabangsa.

Setakat ini, media hanya memberi promosi atau menyebar gosip – itu pun di kalangan pelakon dan penyanyi – tetapi tidak menyuburkan debat sihat dan pendidikan seni secara menyeluruh.

Jarang kita temui penulisan, baik tentang seni atau kritik seni di akhbar atau televisyen, apatah lagi majalah hiburan. Bidang ini seolah-olah tidak diterokai oleh seniman, wartawan dan sarjana.

Akibatnya pembaca dan orang ramai diajak berhibur semata-mata tetapi tidak mendidik mereka selok-belok seni, produk seni dan idea. Inilah juga puncanya kedudukan seni dan peranannya dalam masyarakat masih kabur. Seni dikaitkan dengan hiburan pop semata-mata.

Media massa sebagai agen utama perkongsian maklumat telah gagal dalam hal ini. Editor dan wartawan kanan seolah-olah tidak nampak kegagalan mereka itu melemahkan kesedaran seni di negara kita, bukan sahaja di kalangan masyarakat umum tetapi juga di kalangan ahli politik, golongan profesional dan cerdik pandai yang membentuk elit dan kelas menengah di Malaysia.

Media arus perdana juga segan untuk merancak debat sihat dalam banyak isu lain kerana dikawal oleh pihak-pihak tertentu. Akibatnya, pemikiran pembaca menjadi sehala atau tertutup; tidak timbul kepelbagaian atau pertandingan idea yang sihat. Kongkongan melampau ke atas media menyebabkan banyak isu, termasuk isu seni dan seniman, terabai.

Jika hubungan seni dengan masyarakat hendak dipertingkatkan, media arus perdana harus membuka ruang kepada pelbagai idea dan harus meraikan wacana rancak daripada berbagai-bagai kumpulan seniman dan genre seni.

Kelemahan wawasan

Sastera, teater dan seni halus (fine art) misalnya terpaksa berkongsi ruang di dada akhbar dan tidak pernah ada slot seumpamanya di televisyen (kecuali ‘Anjung Budi’ di RTM). Seni gunaan (applied art) pula tidak mempunyai ruang langsung!

Sedangkan ruang atau slot untuk hiburan pop (penyanyi dan pelakon) mendapat ruang yang sangat besar. Begitu juga penyanyi, kaset, pelakon dan filem antarabangsa diberikan ruang promosi tetapi tema-tema lain pelbagai bidang seni dari luar negara tidak pula dilaporkan. Bagaimana media kita sebegini mundur berbanding kerancakan ekonomi dan pembangunan negara?

Apa yang dipaparkan oleh media arus perdana kita jelas membayangkan kelemahan wawasan seni negara ini. Seni tidak pernah diberikan kedudukannya yang wajar dan peranannya dalam masyarakat diperkecil-kecilkan.

Tidak hairanlah orang kaya, golongan kelas menengah dan korporat negara ini tidak berasa perlu membeli produk-produk seni – misalnya lukisan, mengunjung teater atau membiayai kegiatan sastera-seni.

Kelemahan ini boleh diatasi jika media memainkan peranan serius untuk menyedarkan semua pihak. Ia juga boleh diatasi jika kumpulan seniman bersungguh-sungguh membentuk wawasan seni yang jelas dan mengkomunikasikan idea mereka ini kepada media massa atau birokrat seni.

Tetapi seniman masih lagi kabur wawasan, kedudukan serta peranan seni dan peranan mereka sendiri! Kekaburan ini dapat diukur daripada ketiadaan kelompok seni yang berwibawa, berpengaruh luas dan meraikan kepelbagaian.

Kelompok yang dapat memayungi kegiatan seni dan membela kebajikan seniman sehingga dipandang tinggi oleh masyarakat. Kelompok berwibawa yang berupaya pula membina rangkaian kerja dengan negara-negara luar untuk tujuan komersial atau keilmuan.

Isu sensitif

Akibatnya, seperti banyak isu lain, debat tentang isu-isu kontroversi sekitar "lesen kreatif" dan impaknya ke atas masyarakat sering tertangguh. Isu penapisan filem atau lagu dan gam artis menjadi begitu kabur dan boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Isu-isu tentang seksualiti, ketuhanan dan politik – sekadar contoh isu-isu yang dianggap "sensitif" – dalam ekspresi seni tidak pernah berlangsung secara terbuka.

Debatnya tidak pernah menimbulkan kesedaran rasional, sebaliknya sering dibayangi kekuatan birokrasi atau konservatisme tradisi-agama. Ada waktu-waktunya ia menimbulkan rasa "kaget akhlak" yang sasau di kalangan masyarakat, atau begitulah ia digambarkan. Belum sempat isu-isu ini dibahaskan semasak-masaknya, debat tentangnya terus dipadamkan dan birokrasi segera menjalankan tugasnya.

Sementara seniman pula enggan menguji batasan kongkongan sosial dan birokrasi (termasuk perundangan, peraturan atau amalan tidak bertulis yang bersifat diskriminasif) yang dikenakan secara kabur dan adakalanya tidak rasional.

Belum ada kajian atau memorandum ditujukan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tentang hal ini. Kebebasan ekspresi seni tidak pernah dilihat sebagai cabang hak asasi, nampaknya!

Apakah ini membayangkan seniman tidak mempunyai sebarang hak atau seniman enggan mempertahan serta menuntut hak? Dalam hal ini, seniman tidak boleh berharap pihak lain – misalnya badan bukan kerajaan (NGO) atau parti pembangkang – untuk membawa isu ini ke depan. Seniman sendiri yang harus membawanya.

Sejumlah halangan ini datang daripada konservatisme sama ada yang disebut "tradisi", "agama" atau "nilai Timur". Ada waktunya, ia hanyalah hujah cetek, kebimbangan melulu, propaganda selapis dan alasan longgar. Tetapi hakikatnya, seni dan tradisi tidak dapat lari daripada lingkungan ini.

Tradisi atau agama menjadi ekologi seni yang dekat dengan psyche sesuatu masyarakat. Kesannya ke atas produk seni dan seniman sangat kuat. Sesuatu inovasi, idea baru atau luahan kreatif tetapi bukan berasal dari lingkungan tradisi atau agama, segera dicurigai dan diburukkan. Sering, seni dan seniman terperangkap dalam prasangka tradisi atau agama walau mereka diminati ramai.

Tekanan politik

Tradisi atau agama juga membawa seni dan senimannya sendiri. Seperti politik, tradisi atau agama mempunyai pengawal-pengawalnya. Banyak waktunya, tradisi atau agama bergabung tenaga dengan kuasa politik untuk mengawal seni dan seniman, khususnya jika seni atau seniman itu dilihat cuba lari daripada atau mencabar kewajaran-kewarasan mempertahankan tradisi atau agama.

Apatah lagi, jika seni dan seniman itu dilihat cuba mencabar secara terang-terangan agama, tradisi atau kuasa politik. Penapisan filem, lagu atau bentuk lain eskpresi seni – lukisan, teater, puisi atau ukiran – datang daripada satu atau lebih unsur ini. Selalunya "tradisi", "agama" atau "nilai Timur" dijadikan alat untuk menghalalkan tindakan, walau sebenarnya tersirat kepentingan kuasa, kumpulan ekonomi atau akibat tekanan politik dari luar pemerintah.

Kita perlu memandang serius hubungan seni dengan masyarakat. Selain soal hak asasi seniman dan kebebasan ekspresi seni, isu kelonggaran atau ketiadaan wawasan seni yang jelas cukup memprihatinkan. Begitu juga kongkongan akibat apa yang disebut-sebut "tradisi" atau "agama".

Tetapi lebih besar daripada ini semua, ketiadaan minat untuk bertukar-tukar pandangan secara terbuka, berdasarkan fakta atau falsafah keilmuan, dan berbahas dengan rasional. Saya percaya, isu-isu seumpama ini – hubungan seni dengan masyarakat – harus didemokrasikan, tidak wajar dikawal oleh sesuatu pihak sahaja.

Jika tiada wacana demokratik, seniman dan masyarakat tidak berlaku adil antara satu sama lain. Keadaan ini tentunya boleh menggugat wawasan seni, melemahkan seniman dan juga mencacatkan pembangunan bangsa.
--------------------------------------------------------------------------------
Dipetik daripada kertas diskusi ‘Seniman dalam Ekologi Seni’ (enam daripada lapan isu besar) yang disediakan oleh penulis ini kepada aktivis-aktivis Komunite Seni Jalan Telawi (KSJT), penganjur ‘Acara Baca Puisi Keliling’ sejak Januari lalu.

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (8 Disember 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

Wednesday, December 10, 2003

Pratonton: Projek Suitcase 2003
Bicara tentang pengalaman dan evolusi Melayu dalam ruang kemanusiaan yang bebas dari kekangan politik, sejarah dan masyarakat

by Nizam Zakaria

Saya merasa agak beruntung kerana telah dijemput untuk menyaksikan pratonton “Projek Suitcase”, anjuran Pustaka Cipta yang mempersembahkan sebuah pesta monolog oleh Teater Ekamatra. Pratonton penuh bertenaga dan yang telah menampilkan dua buah karya baru monolog dari Malaysia ini telah diadakan di Stor Teater DBP baru-baru ini (dua buah karya lagi dari Singapura tidak ditampilkan bersama).

Apabila ditanya mengapa persembahan ini dinamakan “Projek Suitcase” , Lorna Tee, Penerbit projek ini menjelaskan bahawa “suitcase” telah digunakan sebagai satu metafora kepada satu projek teater yang mengembara dan dipersembahkan dari satu tempat ke tempat yang lain. Segala props yang digunakan dalam persembahan teater ini juga dikatakan kesemuanya boleh dimasukkan ke dalam sebuah “suitcase”. Teater yang berkelana ini juga membawa satu landasan metafora yang lebih mendalam, iaitu faktor bahasa dan budaya itu sendiri, yang pantas berubah mengikut suasana geopolitik yang dinamik. Maka, tidak hairanlah jika Projek Suitcase 2003 ini disebutkan sebagai sebuah projek yang ‘meraikan dan menuntut semula kepelbagaian kemelayuan’.

Projek Suitcase ini akan dipersembahkan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka. Inilah kali pertama Stor Teater (yang mengikut konsep teater “black box” digunakan untuk persembahan teater (sepatutnya Saksi di persembahkan di sini terlebih dahulu). Seperkara yang menarik tentang Stor Teater ini adalah ia terbuka kepada mana-mana aktivis teater yang berminat untuk mengadakan persembahan mereka di sini. Keutamaan akan diberikan kepada persembahan teater bahasa Melayu (terutamanya teater Melayu indie) yang sering kali berhadapan dengan masalah kekurangan ruang untuk mempersembahkan karya-karya mereka. Stor Teater ini, walau bagaimanapun, hanya dapat menampung sebuah persembahan skala sederhana, tetapi memadai untuk persembahan teater indie yang selalunya berbentuk eksperimental.

Projek Suitcase telah dimulakan sejak bulan Februari tahun ini. Penulis-penulis drama yang dianggap tersohor di kalangan generasi muda dari Malaysia dan Singapura seperti Faisal Tehrani, Nam Ron, Alfian Sa’at dan Aidin ‘Alin’ Mosbit telah dikomisi untuk menulis serta menerbitkan monolog oleh Teater Ekamatra dari Singapura (dengan kerjasama rapat Pustaka Cipta). Sebelum ini, Teater Ekamatra pernah mementaskan “double-bill” Bulan Madu (2001) dan Causeway (2002) di Kuala Lumpur. Kedua-dua pementasan mereka ini telah mendapat sambutan hebat dari penonton, begitu juga dari pengkritik seni tanah air.

Keempat-empat penulis yang telah dikomisi ini telah diberikan segala kebebasan untuk berkarya bagi “meneroka dan memberi suatu suara peribadi dan langsung kepada adegan dan kisah bahasa/loghat Melayu yang kian hilang/tersembunyi/tidak nyata.” Monolog dipersembahkan setiap satu panjangnya 30 sehingga 45 minit. Monolog-monolog ini diharapkan agar dapat “memberi suara kepada pengalaman semasa dan keadaan yang menyelubungi kehilangan bahasa-bahasa suku kaum Melayu”.

Monsopiad & Lain-lain Cerita merupakan satu pengalaman pratonton yang menarik bagi saya. Karya Faisal Tehrani ini diarahkan oleh Rosdeen Suboh dan dilakonkan oleh Mohd Kamaludin Mohd Daud. Apa yang menarik tentang monolog ini adalah ia dipersembahkan di dalam dialek Dusun Lotud dan Bajau. Saya cukup terpesona melihat lakonan Mohd Kamaludin yang cukup bertenaga di tambah lagi dengan gerak-gerak tari yang bersifat tarian “interpretive”. Mohd Kamaludin telah mencipta sendiri koreografi untuk persembahannya ini, yang menurutnya koreografi Monsopiad & Lain-lain Cerita “menggunakan pergerakan moden dan abstrak yang mengikut kehendak skrip.” Perhatikan bentuk tarian yang telah disusun Mohd Kamaludin dengan sebegitu rupa agar dia dapat bergerak serentak dengan monolognya (juga eksplorasi tiga cara duduk orang-orang Sabah yang digubahnya agar nampak seperti tarian moden). Beliau dan Faisal Tehrani telah pergi sendiri ke Sabah untuk melakukan segala kajian bagi merealisasikan monolog ini. Monsopiad & Lain-lain Cerita adalah sebuah cerita tentang Layun Dongongu, seorang pesakit di Hospital Sakit Jiwa Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Dalam perjalanan cerita, kita akan dapat melihat beliau berkongsi pelbagai cerita mengenai orang-orang Dusun dan Bajau kepada Doktor Sardar yang sedang mengubatinya.

Saya cukup terhibur tatkala menyaksikan pratonton matderihkolaperlih, sebuah karya yang telah ditulis, diarahkan dan dilakonkan sendiri oleh Nam Ron. Monolog ini menceritakan tentang Idris Bin Kassim dari Kuala Perlis yang menceritakan kembali tentang dirinya ketika di awal remaja dahulu yang pernah terjebak dalam dunia gengsterisme. Kemudian, beliau keluar dari lingkungan kejahatan ini lantas belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang ahli politik. Menurut Nam Ron, idea untuk monolog ini datangnya dari pengalaman peribadinya di Kuala Perlis serta pemerhatiannya kepada dunia gengster yang menular sehingga ke peringkat atasan di mana ahli politik sendiri terjebak. Monolog yang bersifat “multifaceted” ini bagi saya agak menarik, lebih-lebih lagi kerana Nam Ron menggunakan kaedah ‘Brechtian’, lantas beliau akan beberapa kali memecahkan realiti alam pentas dengan cuba berinteraksi dengan penonton dan berhenti beberapa ketika tatkala berlakon untuk memaparkan kata-kata bersifat propaganda dengan menggunakan alat projeksi.

Aidlin ‘Alin’ Mosbit, mempersembahkan La Libre Latifa. Sebuah karya yang mengimbau nostalgia – satu perkara yang begitu dekat dengan dirinya (karyanya yang bertajuk ...Dan Tiga Dara Terbang ke Bulan adalah sebuah naskhah berunsur realisme magis yang cukup berkesan dalam hal membentangkan pengalaman wanita-wanita Melayu di Singapura). Monolog Adlin kali ini pula menampilkan watak Latifah yang akan “membawa kita dalam sebuah perjalanan masa lampau romantik beliau, keadaan kacau beliau hari ini, dan masa depan yang samar untuk membebaskan pemikirannya”. La Libre Latifa akan diarahkan sendiri oleh Alin dan akan dilakonkan oleh Molizah Mohd Mohter.

Alfian Sa’at, bukan lagi satu nama baru dalam dunia teater tempatan dengan beberapa buah karyanya pernah dipentaskan di Kuala Lumpur (Anak Bulan di Kampung Wa’ Hassan adalah sebuah karya monolog Melayu yang paling saya minati). Untuk Projek Suicase 2003, Alfian Sa’at mempersembahkan Minah & Monyet. Dalam karya monolognya ini, kita akan dapat melihat bagaimana nama-nama penulis Inggeris yang pernah menulis tentang Malaya diungkap semula melalui “sebuah kajian terhadap penjajahan dunia Melayu di balik latar sebuah meja makan, seorang wanita Melayu dan patung-patung monyet”. Karya terbaru ini telah diarahnya bersama Farah Ong, yang juga akan bertindak sebagai pelakon.

Projek Suitcase 2003 merupakan dua buah persembahan “double-bill”. Minah & Monet dan Monsopiad & Lain-lain Cerita akan ditayangkan bersama, begitu juga matderihkolahpilah dan La Libre Latifah. Pastikan anda tonton keempat-empat monolog yang ada agar anda dapat melihat dengan lebih dekat lagi pendekatan yang telah digunakan oleh keempat-empat penulis yang telah dikomisi – melalui penyelidikan dan metodologi untuk meraikan dan menuntut kepelbagaian yang wujud dalam dunia Melayu.

Persembahan perdana Projek Suitcase 2003 akan diadakan di Singapura (sempena Pesta Raya Festival Seni Melayu di The Esplanade). Di Kuala Lumpur pula, pementasan Projek Suitcase 2003 akan bermula pada ,10 Disember sehinggalah pada 14 Disember. Semua persembahan akan disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Artikel ini diterbitkan atas keizinan penulisnya, Nizam Zakaria. Artikel ini telah disiarkan di Kakiseni pada 27 November 2003.
Kredit untuk MCA

Langkah terbaru yang diambil oleh MCA seperti apa yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chan Kong Choy untuk mengkaji Dokumen Negara Islam yang dibentangkan PAS baru-baru ini secara terperinci perlu dipuji.

Walaupun tujuan utamanya tetap untuk menentang hasrat PAS itu, langkah MCA yang kali ini berlawanan dengan reaksi balas Dato' Fong Chan Onn sebelum ini untuk membuat kajian secara analitikal serta mendengar dan bertemu pakar perundangan Syariah dan Islam adalah sesuatu yang baik untuk budaya berpolitik di negara ini.

Namun apa yang diharap, janganlah hanya cuba untuk mencari kelemahan sahaja dan mengenepikan apa yang baik dan membawa faedah kepada rakyat. Kepada PAS dan parti-parti politik lain, budaya seperti ini seharusnya menjadi rutin dan kebiasaan berbanding dengan retorik palsu dan hujah yang tidak rasional.
BPR-Nazri

Kelihatan perang mulut di antara Pengarah Siasatan BPR, Datuk Nordin Ismail dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz semakin hebat. Sama ada wujud pakatan politik untuk menjatuhkan Nazri Aziz, itu bukan persoalan utama.

Apa yang amat mengejutkan dan sangat perlu untuk diberikan perhatian adalah berkenaan kenyataan Datuk Nazri seperti yang dilaporkan di akhbar The Star 8 Disember 2003;

“I want to give Nordin a warning, don't repeat this threat to any minister or anyone else.

“He (Nordin) is a government officer and under the government's structure, the Cabinet is the highest,” he said.

“So it is wrong for a government officer to issue threats to a member of the Cabinet who is his employer,” he added.


Kenyataan sebegini sememangnya menjatuhkan maruah dan kredibiliti beliau sebagai seorang menteri. Adakah kerana menteri kabinet lebih tinggi kuasanya, pegawai kerajaan atau sesiapa sahaja tidak boleh menegur atau mengkritik.

Jika inilah yang berlaku selama ini, nampaknya tiada jalan lain selain daripada menjadikan BPR sebagai sebuah badan yang bebas dan tidak lagi terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Selagi itu tidak dilaksanakan, segala-galanya pasti dianggap retorik dan janji mulut manis seorang politikus.
UiTM- wang rakyat Malaysia untuk rakyat Melayu/Bumiputra Malaysia

Sila klik berita di Utusan Malaysia 9 Disember yang bertajuk Penuhi matlamat UiTM - Sultan

Aku tidak pasti adakah bermoral menggunakan wang rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk kepentingan dan objektif yang ingin dicapai oleh orang Melayu/Bumiputra sahaja.

Aku berpandangan di dalam era penglobalisasian pendidikan dan di dalam usaha untuk mencapai matlamat perpaduan kaum yang sebenar. UiTM sewajarnya membuka tempatnya kepada seluruh rakyat Malaysia sejajar dengan statusnya yang bernama universiti.

Pasti terdapat ramai orang Melayu/Bumiputra yang tidak bersetuju akan hal ini. Namun demi langkah jangka panjang, tindakan ini harus dilakukan. Adakah pelajar Melayu hanya ingin kelihatan gah sesama bangsanya sahaja?

Aku akui sistem pendidikan di UiTM boleh dibanggakan dan sumbangannya selama ini kepada orang Melayu amatlah besar dan aku boleh bersetuju jikalau penubuhan UiTM pada masa lalu adalah bertujuan untuk menolong orang Melayu kerana sememangnya keadaan di waktu itu ia amat memerlukan kewujudannya.

Namun, isu yang timbul di dalam bidang pendidikan dan orang Melayu di ketika ini amat berbeza sekali latarnya. Era ini, kita memerlukan pelajar yang mampu bergaul dan bersosial di kalangan rakan pelbagai bangsa demi untuk peningkatan pemahaman tentang budaya kaum lain dan keterbukaan fikiran.

Selain daripada itu, pergaulan sebegini akan meningkatkan daya berhujah dan kita berpeluang mengartikulasi idea tentang pelbagai isu yang bukan hanya tertumpu terhadap isu kaum tertentu sahaja.

Sama ada pelajar Melayu mampu untuk bertahan jika dasar penubuhan UiTM dipinda, ia perlu dibincangkan kemudian. Dan apa yang penting, tiada jalan lain selain daripada pendidikan bagi kita untuk memaju dan meningkatkan diri.

Walaupun begitu, apa yang aku nampak takrif pendidikan pada pemahaman sebilangan besar ibu bapa dan pelajar Melayu amatlah dangkal dan sempit. Pendidikan bagi golongan ini adalah untuk mencari kerja dan pendidikan untuk menjadi orang yang mampu membeli kereta dan sebuah rumah.

Bagi aku, tidak kira apapun, pendidikan adalah proses sepanjang hayat, proses peningkatan daya fikir dan juga untuk mencari pekerjaan yang bukan hanya untuk memenuhi kepentingan diri sendiri sahaja.

Tuesday, December 09, 2003

Distortion 2003, kehadiran penonton mengecewakan

Konsert Distortion 2003 yang diadakan di Stadium Merdeka pada malam minggu yang lepas telah gagal menarik minat pencinta muzik Malaysia. Dianggarkan terdapat hanya lebih kurang 1000-2000 penonton yang sudi membayar RM35 untuk menikmati nyannyian secara live dari band-band tempatan.

Tolak ke tepi faktor audien, secara keseluruhan persembahan oleh band-band pada malam tersebut boleh dianggap cemerlang terutama sekali persembahan oleh Prana, Gerhana Ska Cinta, OAG dan Koffin Kanser.

Persembahan dari band-band lain seperti dari Exists, Damn Dirty Apes, Flop Poppy, Naked Breed, Pretty Ugly, Love Me Butch dan lain-lain lagi juga amat memuaskan. Setiap band membawakan 3 buah lagu walaupun terdapat beberapa band yang di atas permintaan memainkan 4 buah lagu seperti OAG.

Konsert ini bermula pada pukul 6 petang dan tamat tatkala jam menghampiri 12 tengah malam. Namun begitu, sepanjang enam jam konsert ini berlalu, tiada langsung rasa keletihan dan kebosanan.

Terdapat beberapa insiden menarik yang berlaku semasa berlangsungnya Distortion 2003 ini. Salah satunya adalah semasa Andy Flop Poppy ingin memulakan persembahan, beliau terdengar suara audien yang mengatakan poyo kepadanya. Seperti dijangka, Andy yang terkenal dengan sikapnya yang agak tegas telah menjawab dengan menyindir kembali audien tersebut.

Agak kesal juga dengan insiden tersebut yang sering terjadi di dalam senario muzik underground di mana jika sesuatu band itu menjadi terkenal dan berjaya menembusi pasaran mainstream. Ia selalu dianggap poyo dan di boo di gig-gig.

Tidak dapat dinafikan bahawa jalan yang diambil oleh Flop Poppy untuk memasuki muzik mainsteram terlalu cepat jika dibandingkan dengan OAG dan tambah meluat lagi adalah mendengar lirik lagu Suzila yang dibawakan Flop Poppy pada malam tersebut.

Kepada peminat muzik undeground yang bersifat demikian, tingkah lagu dan gaya fikir mereka yang sempit adalah lebih kurang sama dengan golongan tidak rasional PAS, UMNO dan yang sama waktu dengannya.

Sesuatu yang baik tidak kira sama ada ianya mainstream atau underground seharusnya dihargai dan diberi sokongan. Jika tidak, cubalah bertanya kepada diri sendiri apakah matlamat dan tujuan untuk memperjuangkan muzik underground.

Bagi aku, oleh sebab kebanyakan muzik yang dimainkan oleh band-band ini adalah lahir dari hati yang benar-benar ikhlas dan minat terhadap muzik yang seterusnya menghasilkan lagu-lagu yang asli dan bermutu. Penerimaan audien massa terhadap lagu-lagu sebegini seperti yang telah ditunjukkan oleh OAG menggambarkan kejayaan muzik underground selagi mana prinsip dan stail mereka tidak berubah.

Apapun, perkara ini masih boleh dibincangkan untuk mencari jalan terbaik bagi memartabatkan dunia muzik tempatan yang kelihatan telah dikotori oleh muzik-muzik sampah. Dan jangan lupa Konsert Rock The World pada 20 Disember ini, tiket RM20 jer!

Friday, December 05, 2003

Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar

DKL ‘mangsa’ kebebasan akhbar?

‘We can never be sure that the opinion we are endeavouring to stifle is a false opinion; and if we were sure, stifling it would be an evil still’ – John Stuart Mill dalam On Liberty (1859).

Lima tahun lalu, sebelum Anwar Ibrahim dipecat, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) di New York menamakan dua editor kanan media Malaysia sebagai mangsa pencabulan hak kebebasan akhbar.

Johan Jaaffar sebagai ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu, dan Ahmad Nazri Abdullah (ketua pengarang Berita Harian) dianggap menerima tekanan politik Dr Mahathir Mohamad sebagai langkah mempersiapkan aksi politik ke atas timbalannya pada 2 September 1998. Yunus Said (TV3) juga terbabit. Waktu itu perdana menteri mendakwa tindakan demikian "bukan kerana politik".

Abdullah Ahmad, juga suka dikenali Dollah Kok Lanas (DKL), terpaksa melalui penghujung jalan seperti tiga tokoh media berpengaruh itu. Jalan yang sama pernah ditempuhi A Kadir Jasin, Munir Majid (kumpulan New Straits Times) dan Zainuddin Maidin (kumpulan Utusan Melayu), tokoh-tokoh berpengalaman dalam dunia media tempatan.

Menyedari peranan licik tokoh seumpama mereka, dan hubungan erat media dengan tuan-tuan politik, apakah wajar dan boleh kita menganggap DKL sebagai seorang ‘mangsa’ kebebasan akhbar di negara ini?

Atau, oleh kerana dia sendiri tidak pernah peduli kebebasan akhbar seperti yang kita fahami, DKL tidak layak diangkat sebagai seorang ‘mangsa’?

Anugerah

Pertengahan tahun ini, di majlis konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdullah dianugerah doktor kehormat dalam bidang kewartawanan. Dalam ucapan penganugerahan tersebut, dan beberapa tempat lain, DKL beria-ia meyakinkan kita bahawa memang sudah wujud kebebasan akhbar di negara ini.

Sehingga ‘kebebasan akhbar’ itu menyebabkan kita sukar membaca ulasan menarik atau analisa mendalam (kecuali tulisan Johan sendiri ketika perletakan jawatannya) tentang siri-siri pemecatan mendadak tokoh-tokoh besar media ini sepanjang 10 tahun lalu, termasuk kes mutakhir DKL.

Semua kejadian sepenting ini menjadi misteri atau dianggap tidak mempunyai nilai berita! Tetapi desas-desus lisan akan kedengaran kemudiannya, seperti khabar-khabar angin lain, dari kalangan wartawan media arus perdana sendiri.

Mungkin hari ini, setelah dipecat daripada jawatan ketua pengarang kumpulan (walau masih ahli lembaga pengarah syarikat), DKL masih percaya bahawa dia hanyalah "menunaikan syarat-syarat perlantikannya" pada Mei 2000.

Beginilah alasan rasmi perdana menteri dua hari lalu: "Saya difahamkan, penamatan khidmat (DKL) itu dibuat mengikut terma lantikan yang ditandatangani antara Abdullah (Ahmad) dengan majikannya."

Nasihat Umno

Abdullah Ahmad Badawi malah berhujah pengguguran serta-merta itu, selepas beberapa jam terdahulu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan Umno, "tiada kaitan politik dalam negara atau masalah peribadi dengan pemimpin (parti itu)."

Perdana menteri menambah, kerajaan menerima nota bantahan daripada Arab Saudi ekoran tulisan DKL, Freeing the Prophet’s Land dalam akhbar berbahasa Inggeris itu seminggu sebelumnya.

Kes DKL lebih jelas daripada pengguguran Zainuddin (Zam). Sekurang-kurangnya Abdullah menulis sendiri artikel yang mengkritik dasar kongkongan kerajaan Arab itu walau dia berdiam diri terhadap kongkongan di sini.

Pemecatan Zam diselubungi misteri dan dia sendiri ‘bingung’ memikirkan bagaimana laporan sidang akhbar Dr Mahathir di Jakarta diproses di Kuala Lumpur sedangkan dia sendiri berada di luar negara.

Kenapa dia harus bertanggungjawab...begitu seolah-olah rungut Zam. Senator (sekarang timbalan menteri) ini dibekukan seketika di UPD, syarikat penerbitan buku dalam Kumpulan Utusan, selepas penggugurannya.

Alasan pemecatan

Jika itulah alasan pemecatan DKL, selepas pengurusan NSTP ‘dinasihati’ Umno, tindakan penggugurannya jelas sekali satu sekatan terhadap kebebasan akhbar. Dari segi prinsip, tindakan politik itu wajar dibantah.

Isu sama ada wajar atau tidak seseorang wartawan menggesa sesebuah kerajaan autokrasi ditumbangkan tidak pernah berbangkit. Semua pengamal media bebas menyeru hal yang sama.

Kerana mempertahankan atau mempromosi kebebasan dianggap tanggungjawab moral atau ikatan etika yang paling wajib ada pada seseorang wartawan dan medianya.

Oleh itu, kes DKL dengan artikelnya itu atau ulasannya tentang Umno vis-à-vis Najib Razak, masih dalam lingkungan pencabulan hak kebebasan akhbar.

Namun, tidak semua media mempunyai keberanian moral atau kesedaran etika yang sama dengan tuntutan persekitaran operasinya. Media arus perdana negara ini terperangkap dalam permainan ini – ketakutan untuk berbeza pandangan dengan pihak berkuasa sehingga rela mengongkong diri sendiri sejak bertanya soalan di sidang akhbar lagi!

Pencabulan media

NST memang sering pula dituduh memadamkan atau meremehkan liputan berita-berita penting yang lain. Tindakan seumpama ini juga boleh dianggap sejenis pengurusan tidak profesional dan langkah menghalang kebebasan akhbar.

Tetapi samalah reaksi kita terhadap beberapa penjuru pandangan John Stuart Mill dalam bukunya itu On Liberty, atau karya-karyanya yang lain, Utilitarianism (1863) dan Considerations on Representative Government (1861).

Penolakan kita terhadap beberapa penjuru pandangan Mill tidak pula menafikan banyak lagi olahannya yang bernas lagi meyakinkan.

Cuma adakalanya kita tertanya-tanya, apa perlu membahaskan hal-hal teori seumpama ini – soal DKL jadi ‘mangsa’ – memandangkan betapa seriusnya pencabulan oleh media arus perdana sendiri demi mengukuhkan kuasa politik?

Jawaban jujur terhadap persoalan ini boleh mengukur sejauh mana kita beriltizam, bukan kepada batin sendiri, tetapi kepada kebenaran dan kebebasan yang kita laung-laungkan.
--------------------------------------------------------------------------------
Rujukan: IPI World Press Review (Malaysia)

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (1 Disember 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com