Monday, October 08, 2012

Jalan sukar melawan perkauman


Melawan perkauman bukan hal mudah lagi-lagi di negara ini yang sudah mendarah daging. Kita sering berusaha untuk lari namun sering digagalkan di meja makan bila bersama keluarga atau di hari perayaan besar. Hal ini berlaku di kalangan anak semua bangsa, baik Melayu, Cina, India dan lainnya.
Oleh kerana berkecimpung di dalam dunia aktivisme selain dunia nyata (perniagaan), saya pernah menulis tentang peri pentingnya melawan perkauman di kalangan mereka yang mendakwa sebagai pejuang melawan perkauman. Ini bukan hal yang sengaja diada-adakan melainkan memang ada dan tanpa sedar dinafikan dan diberikan pelbagai alasan oleh si pelaku, aktivis anti-perkauman yang perkauman.
Dibesarkan di dalam dua dunia yang satunya penuh dengan wacana Melayu dan musuh-musuhnya dan satunya lagi, bangsa Malaysia dan kebersamaannya memberikan dimensi yang pelbagai di dalam menyikapi hal-hal yang berlaku di sekeliling.
Telinga ini sering mendengar keluh kesah pekerja Melayu yang mendakwa didiskriminasi di tempat kerja dengan gaji yang tidak sama dengan rakan sejawatan dari bangsa lain dan peluang kenaikan pangkat yang disulitkan.
Telinga ini juga sering mendengar keluh kesah mahasiswa Cina dan India yang mendakwa tidak mendapat biasiswa dari kerajaan walaupun mendapat keputusan cemerlang dan datang dari keluarga tidak berada.
Mata ini sering melihat bagaimana anak-anak Melayu dipandang rendah apabila menjejak kaki di kedai-kedai bernuansa mewah dan mata ini sering melihat bagaimana anak-anak Cina dan India akan dibantai sekiranya melakukan pelanggaran ke atas anak-anak Melayu. Tragedi Kampung Medan sebagai contoh.
Lalu apa jalan ke depan? dan masihkah ada sinar cahaya?
Jika ditanya saya, jawapannya bercampur kerana sulit untuk dijangka ke mana akan menghala hubungan kaum di negara ini. Selepas pilihanraya Mac 2008 saya kembali optimis, namun beberapa tahun kedepannya optimisme itu kembali memudar. Peristiwa Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 kembali memberi harapan walau banyak cerita-cerita dalaman yang saya dengar tentang apa di sebalik gerakan Bersih dan Pakatan Rakyat kadangkala menggoncang perasaan ini.
Pilihanraya umum ke 13 semakin menjelang dan perang kebencian di antara kaum akan ditingkatkan demi sebuah kuasa. Minda orang Melayu telah dihasut dengan gigihnya oleh UMNO melalui media arus perdana bahawa kuasa politik Melayu sedang diancam walaupun hakikatnya tidak sama sekali.
Namun, tingkah laku segelintir ahli politik bukan Melayu dari Pakatan Rakyat yang kurang sensitif terhadap persoalan politik Melayu dan Islam turut tidak membantu, sebagai contoh komentar Ngeh Koo Ham dalam kes filem “The Innocence of Muslim”.
Baru-baru ini, Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) telah mengadakan “Kempen selamatkan pendidikan Cina” dan mereka telah menghantar memorandum kepada PM Najib Razak.
Antara isi kandungan memorandum itu adalah: masalah kekurangan guru yang serius di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, petempatan guru tidak berkelayakan bahasa Cina masih dihantar mengajar di sekolah Cina, Sijil Peperiksaan Bersama sekolah persendirian yang tidak diiktiraf, kesukaran permohonan pendaftaran ahli lembaga pengarah pengelola sekolah dan beberapa lagi.
Saya memahami dan tidak bermasalah dengan apa yang diperjuangkan mereka kerana ia termaktub di dalam Perlembagaan walaupun jauh sudut di hati berharap anak semua bangsa di masa hadapan akan belajar di bawah satu bumbung.
Meskipun itu hak, saya percaya perangai seperti Dong Zong ini tidak akan membantu ke arah hubungan kaum yang lebih baik dan kaum Cina akan dilihat dengan lebih curiga. Pastinya hal ini tidak membantu saya dan kita semua yang menginginkan wujudnya bangsa Malaysia yang lebih bersatu padu. Jalan semakin sukar kerana pelaku perkauman, UMNO akan memanfaatkannya.
Meski begitu, Dong Zong telah dihentam hebat oleh seorang blogger berbangsa Cina, Shen Yee Aun yang kebetulan sahabat saya dan sayangnya sudah memasuki kem UMNO melalui proksinya MCA, tidak mengapalah.
Saya sangat bersetuju dengan beberapa kenyataan balas beliau merespon isi memorandum Dong Zong seperti di bawah;
- Even the Malays let a Chinese to lead and coach them and my own University Debate coach recognize that as integration of skills , knowledge and mindset of the Chinese version of the Malay Debate mentality and technique into our University Debate Community.
- How could Dong Zong ever thinks that only Chinese deserved to teach Chinese and non Chinese teacher are less qualify to teach Chinese ?
-Even Shila Amzah can sing Chinese Song way better than thousands of Malaysian Chinese.
- Even you ( Dong Zong ) are more RACIST THAN THE MALAY RACIST BECAUSE THEY NEVER EVEN SUGGEST TO USE ARABIC LANGUAGE AS PART OF OUR NATIONAL LANGUAGE ( Islamic Language ).
- Dong Zong are more RACIST and EXTREME than Malays because they restricted other races to learn Chinese Language but the Malays ENCOURAGE OUR MALAYSIAN CHINESE TO LEARN THEIR OWN LANGUAGE.
Kritikan tajam tersebut boleh dibaca lengkap di blog beliau di sini.
Akhirnya seorang berbangsa Cina berani mengkritik cauvinis dari kaumnya, tahniah saya ucapkan! Jika selama ini hanya kaum Melayu yang berani secara terbuka menempelak kaumnya sendiri, sudah tiba masanya kaum-kaum lain melakukan hal yang sama. Jangan dicari salah kaumnya, carilah salah perkaumannya.
Semoga perbezaan politik tidak menghalang kita untuk membetulkan apa yang tidak betul.
Kita anak semua bangsa wajib melawan perkauman di kalangan bangsa kita dahulu bermula di meja makan, sekolah, tempat kerja dan di mana saja. Semoga usaha kecil tetapi berterusan akan membuahkan hasil paling tidak untuk anak-anak kita nanti.
Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 7hb Oktober 2012

No comments: