Wednesday, May 30, 2012

Hubud





rangkuman acara Hubud yg diadakan di Cafe Kendi, Ubud 30 Mei 2012

https://www.facebook.com/hubudbali

Speaker 1 - Tentang pentingnya koloborasi.
Peter wall, 'Collaboration: Building 20, broadway musicals and scientists hanging out'
http://www.newyorker.com/reporting/2012/01/30/120130fa_fact_lehrer

Speaker 2 - - penciptaan produk untuk masyarakat dunia ketiga.
Ewa Wojkowska, 'I want red, not blue' http://kopernik.info/@thekopernik

Speaker 3 - Mata wang alternatif.
Stephen DeMeulenaere,'Your money and your life' -http://complementarycurrency.org/

Speaker 4 - Sustainable fisheries initiative.
Michael De Alessi, 'Fish or get off the pot'
#PulauMas #BlueSwimmingCrab

Speaker 5 - Kritik kpd konsumerisme.
Gavin Ryan, 'The path to the personal shrine'

Speaker 6 - Pembantaian tahun 65 di Bali.
Blair Robins, 'Bali 65: the mourning of the world'

Secara keseluruhan acara dan speaker memang terbaik dan semoga acara mendatang penyertaan masyarakat tempatan akan meningkat. Aku ingin melihat Pande Putu Setiawan dariKOMUNITAS ANAK ALAM diundang sebagai speaker kerana beliau sesungguhnya manusia unggul.

Tahniah atas usaha pertama ini Peter Wall (co-founder Hubudbali)

Monday, May 28, 2012

Zulfahmi Khairuddin: Memperkasa Mat Rempit


oleh Zulhabri Supian
Zulfahmi Khairuddin?
Pernahkah anda mendengar nama di atas? Jika tidak pernah anda pastinya bukan peminat sukan pemotoran terutama sukan bermotosikal.
Minggu baru lepas, 6 Mei 2012 di Litar Estoril, Portugal telah tercipta sejarah besar pemotoran negara apabila pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin telah menduduki tempat keempat pada perlumbaan kelas Moto3 (dahulu dikenali dengan nama 125cc) dalam Kejohanan Motosikal Dunia.
Kedudukan tempat keempat itu merupakan posisi paling cemerlang pernah diraih mana-mana pelumba negara walaupun pada satu ketika beliau hampir mencipta sejarah besar menaiki podium untuk tempat ketiga sebelum dipintas pelumba Sepanyol, Luis Salom di pusingan terakhir. Ya belum rezeki barangkali.
Berdasarkan pantauan saya di Facebook, Twitter dan blog, pencapaian yang diraih Zulfahmi ini tidak mencipta sensasi luar biasa seperti tatkala Yuna tampil di talkshow Conan O’Brien dan ini dimengerti kerana peminat sukan motosikal barangkali tidak mendominasi media sosial.
Saya dan motosikal
Untuk pengetahuan, sebelum saya meminati sukan lain seperti bola sepak, seni budaya dan politik, saya terlebih dahulu meminati sukan pemotoran terutama motosikal setelah diperkenalkan oleh ayah ketika kami tinggal di Pasir Gudang.
Kala itu setiap kali ada perlumbaan motosikal pada hari minggu di Litar Pasir Gudang, ayah pasti membawa saya dan abang untuk menonton perlumbaan. Untuk rekod, umur saya pada waktu itu adalah tujuh tahun dan pemotoran adalah minat/hobi pertama yang saya nikmati.
Lantaran dari minat yang tumbuh itu, saya mendesak ayah untuk membelikan basikal supaya boleh berangan menjadi pelumba motosikal dan sehingga peringkat sekolah menengah, cita-cita tersebut masih wujud sebelum realiti mencegahnya.
Sebagai ganti kepada cita-cita, saya meneruskan hobi menonton perlumbaan motosikal seperti Kejohanan Motosikal Dunia, Kejohanan Superbike Dunia, Kejohanan Motosikal Asia, Kejohanan Cub Prix dan lain-lain baik di kaca televisyen mahupun litar lumba.
Malah saya tidak pernah gagal ke litar setiap kali Kejohanan Motosikal Dunia dilangsungkan di Malaysia mulai tahun 1996 (kecuali 1998 di Pasir Gudang) sehingga sekarang dan melalui hobi ini juga saya pernah menyaksikan perlumbaan ala cub prix di Jakarta.
Selama mengikuti dan menonton saya sering tertanya-tanya bila agaknya pelumba negara akan naik di podium dan lagu kebangsaan, Negaraku dikumandangkan. Ada apa yang tidak kena dengan pelumba negara kita? Kemahiran? Tidak pintar? Saya akan ulas sedikit nanti.
Sebelumnya saya pernah menulis tentang pemotoran pada tulisan saya terdahulu bertajuk, “Pemotoran, Mat Rempit dan dasar Pakatan” yang tersiar pada 31 Oktober 2009.
Sang Zulfahmi
Zulfahmi adalah anak muda kelahiran Banting yang beraksi pada tahun ketiga dalam saingan Moto3 bersama pasukan AirAsia-Sic-Ajo. Beliau yang dulunya sekadar mat rempit membuktikan kepada dunia bahawa kemampuan pelumba dari Malaysia bahkan Asia Tenggara adalah setara jika diberi peluang dan tajaan tertentu.
Jika selama ini pelumba-pelumba yang terdiri dari anak muda di negara Eropah terutama Perancis dan Sepanyol serta Jepun di Asia yang mendominasi, tidak mustahil hal yang sebaliknya boleh berlaku di masa hadapan apabila pelumba dari rantau Asia Tenggara terutama Malaysia, Thailand dan Indonesia pula yang menguasai.
Hanya saja pada waktu ini industri pemotoran masih berpusat di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun sekaligus memudahkan akses kepada semua hal terutama aspek kewangan dan penajaan. Selama bertahun-tahun hal ini yang menjadi hambatan terbesar untuk pelumba berbakat besar dan berskil tinggi dari Malaysia memperagakan kehebatan tunggangan mereka kepada dunia.
Selain Malaysia, Thailand turut mempunyai wakil di siri Moto 2, Ratthapark Wilairot dan Indonesia menerusi Doni Tata Pradita yang pernah bertanding di kelas yang sama pada 2008. Dulu kita turut mempunyai Shahrul Yuzy yang bertanding di kelas sama selama dua musim, 2001 dan 2002 sebelum Petronas menamatkan penajaan untuk pasukan beliau, Petronas Sprinta Yamaha TVK Team.
Untuk apa yang dikecapi Zulfahmi, penghargaan sewajarnya diberikan kepada bos Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes dan bos SIC, Razlan Razali. Berikut kata-kata yang keluar dari seorang bos yang punya visi dan wawasan yang sukar dicontohi bos-bos lain sewaktu awal bermulanya pasukan ini.
“It is a great achievement to have a rider from the Asean region competing in the highest level of motorcycle racing arena. This is a great opportunity to showcase Asean talents on the world stage. We believe Asean has a lot of untapped motorsport talents, but limited opportunities are available to help them shine. Hence, we decided to do our part by providing the platform for these talents to unleash their potential. We have the technical competency and the mindset to compete, and with a real opportunity we can definitely take on the best in the world. We wish Zulfahmi all the best, and we know that he will make us proud!”  ~ Tony Fernandes
Selain Fernandes, penghargaan besar wajib diberikan kepada bos Two Wheels Motor Racing, Sam Hogg yang saban tahun berjuang melahirkan wira Malaysia masa hadapan bahkan Asia menerusi penganjuran Kejohanan Cub Prix Malaysia dan Kejohanan Motosikal Asia sejak 1994 dan 1996.
Satu usaha yang bukan mudah terutama bila berbicara aspek penajaan dan keperluan logistik.  Untuk bab penajaan, terima kasih kepada Petronas Motorsports yang komited untuk terus menaja dua siri perlumbaan ini yang menurut saya sangat penting sebagai medan awal mencungkil bakat-bakat muda tempatan terutamanya dan Asia Tenggara amnya.
21 tahun MotoGP Malaysia
Meskipun begitu apa yang diperoleh sekarang tidak sebanding dengan usia penganjuran yang sudah berusia 21 tahun, tempoh yang lama tetapi impaknya hanya dirasai bibit-bibitnya tahun ini. Apa yang salah selama ini?
Saya kurang pasti kerana tidak terlibat secara langsung di dalam penganjuran dan lobi-lobi dari pihak penganjur, penaja dan kerajaan. Namun apa yang saya yakini selama ini adalah tiada keseriusan di pihak kerajaan terutamanya (kerajaan memainkan peranan besar dalam banyak penganjuran acara bertaraf antarabangsa di Malaysia menerusi suntikan dana) dalam memperkasa kelompok yang cenderung meminati motosikal iaitu, mat rempit dan mat motor.
Apa yang terjadi selama ini adalah kerakusan untuk memperoleh imbuhan dari penganjuran seperti mana yang terjadi di lapangan sukan lain, contoh “Le Tour de Langkawi” untuk sukan berbasikal dan “Monsoon Cup” untuk sukan kapal layar.
Bahkan hingga kini kos untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi yang murah di negara jiran kita, Singapura sangat mahal di sini kerana cukai yang tinggi dan hanya mampu dinikmati  kelompok elit yang minoriti.
Sekali lagi hak majoriti peminat motosikal yang tergolong dalam kelas menengah dan kelas rendah untuk memiliki dan mendapat akses kepada motosikal berkuasa tinggi dengan teknologi hebat dinafikan. Padahal sekiranya cukainya masuk akal, mereka mampu membelinya seperti mana mampunya mereka memiliki Proton Satria.
Memperkasa Mat Rempit
Muncul pertanyaan adakah fenomena yang dicipta oleh Zulfahmi ini akan memberi impak kepada kelompok mat rempit yang diberi konotasi negatif oleh media dan masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan gara-gara aksi kenakalan yang kadang disertai kekerasan. Jika impak yang diingini adalah perubahan pola fikir dan sikap mereka dalam waktu singkat saya fikir itu terlalu tidak masuk akal.
Kebetulan saya pernah membesar di kalangan mat rempit sewaktu menetap di Kapar dan Klang, sejujurnya pada saya sikap mereka banyak yang salah.
Namun itu tidak mengurangi rasa kritis saya kepada dasar pendidikan negara yang terlalu memfokuskan kepada kejayaan akademik seterusnya meminggirkan mereka yang cenderung cemerlang di dalam bidang non-akademik yang bersifat kemahiran dan teknikal.
Usaha mendekati mereka yang dipelopori parti-parti politik baik Umno mahupun PAS selama ini pun bersifat ad-hoc dan tidak bersifat memperkasa mereka sebaliknya mengeksploitasi dan mendakyah mereka.
Menurut saya momentum yang dicipta berkat prestasi cemerlang Zulfahmi ini sewajarnya digunakan sebaiknya oleh pihak-pihak yang berkepentingan baik kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, dan kementerian-kementerian lain serta pihak korporat untuk sama-sama menggembleng tenaga memperkasa anak muda baik mereka mat rempit atau mat motor untuk serius memperbaiki diri melalui latihan dan sebagainya.
Apapun kredit kepada usaha Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menegaskan keseriusan kerajaan di Dewan Negara baru-baru ini  “Usaha kementerian dalam memajukan sukan bermotor tidak terhenti setakat itu sahaja di mana ketika ini terdapat 10 anak muda berusia antara 18 hingga 20 tahun sedang dilatih dan dikembangkan bakat mereka untuk diketengahkan menjadi pelumba bertaraf dunia,”.
Apa yang penting usaha pemerkasaan bukan sekadar reaksi ad-hoc yang bersifat jangka pendek sebaliknya mesti disusun kemas untuk jangka masa panjang. Apabila bicara tentang pemerkasaan, jangan kita bayangkan semuanya akan menjadi pelumba di kejohanan dunia kerana masih banyak arena lain baik di negara Eropah, Jepun, Asia mahupun tempatan. Perlu diingat, tidak perlu semua menjadi pelumba kerana bahagian lain tidak kurang pentingnya; teknikal, pengurusan, penajaan dan lain-lain.
Sudah tiba masanya kelompok marjinal secara sosio-ekonomi dan akademik ini diberi layanan sama rata dan manusiawi oleh kerajaan, korporat dan masyarakat. Siapa tahu jika segalanya berjalan baik, anak-anak muda kita akan menguasai arena sukan motosikal dunia dan jika berjaya impaknya akan dilihat pada generasi remaja dan anak muda pasca-wawasan 2020. Kita bukan mempunyai seorang Zulfahmi sahaja, kita ada Hafiz Syahrin, Hafiq Azmi, Md Ramdan Md Rosli dan banyak lagi.
Oh, jangan lupa kepada parti yang bertanding di dalam pilihanraya umum yang bakal menjelang, harapnya ada parti yang berani mengusung penurunan cukai motosikal berkuasa tinggi. Hal ini penting kerana ia akan membesarkan pasar seterusnya mendorong Malaysia menjadi hub teknologi dan industri motosikal.
Itulah inti kepada semua persoalan, transformasi kepada ekonomi berpendapatan tinggi melalui pemerkasaan mat rempit.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 9 Mei 2012

Tuesday, May 08, 2012

Bersihkan pembodohan


oleh Zulhabri Supian
Bersih! Bersih! Bersih! Kata-kata ini telah menggegarkan.
Seperti semua maklum tanggal 28 April 2012 lalu merupakan detik bersejarah di dalam perjalanan sebuah negara moden bernama Malaysia apabila puluhan ribu bahkan ada mengatakan ratusan ribu rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama turun ke jalan raya menuntut pilihan raya bersih dan adil. Aksi ini dinamai sebagai Bersih 3.0.
Sehingga kini telah tersebar catatan para peserta di blog, nota Facebook dan di media alternatif yang menceritakan pengalaman dan sudut pandang masing-masing mengenai persitiwa yang menghebohkan negara bahkan dunia. Semua itu akan dikenang suatu masa nanti sebagai catatan penting sejarah Malaysia untuk generasi mendatang seperti mana buku “Face Off: A Malaysian Reformasi Diary (1998-99)” oleh Sabri Zain dan “Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi” oleh Fathi Aris Omar yang mengisahkan catatan seputar awal reformasi dan tahun-tahun seterusnya.
Bersih pertama
Saya mempunyai ikatan personal yang kuat dengan Bersih melalui aksi pertama mereka pada November 2007 di mana saya telah membantu sedikit sebanyak belakang tabir setelah diundang bekerja sukarela oleh Faisal Mustaffa yang pada waktu itu aktif sebagai jawatankuasa. Kesan pertama, pengalaman bergiat dengan Bersih mempertemukan saya dengan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama yang cintakan negara dan di sini tiada sosok yang masih bermimpi bahawa negara ini milik Melayu dan Islam sahaja.
Pada aksi Bersih pertama saya terperangkap di Masjid Jamek setelah disembur gas pemedih mata dan air kimia dan kemudian berkumpul semula di Jalan Raja Laut sebelum berarak ke Istana Negara melaui Jalan Kuching dan Jalan Kinabalu dan malangnya disambut rakyat yang sedang bersurai setelah berjaya menghantar memorandum kepada Agong. Aksi pertama menurut saya dihadiri majoriti pendukung parti PAS dan PKR dan hanya sebahagian kecil bukan Melayu. Impak Bersih pertama yang boleh diukur adalah tumbangnya Barisan Nasional di 4 buah negeri dan hilangnya 2/3 majoriti mereka di parlimen buat pertama kali dalam sejarah.
Bersih 2.0
Kemenangan parti pembangkang (kemudian dinamakan Pakatan Rakyat) di Selangor dan Pulau Pinang serta Kuala Lumpur yang beragam kaum dan agama masyarakatnya telah merubah dinamik politik di Malaysia apabila kesedaran kelas menengah dan urban terhadap hak-hak sebagai rakyat dan tuntutan kepada perubahan dan penambahbaikan negara semakin lantang. Menariknya kelantangan ini merentas 3 kaum utama yang ada di Malaysia iaitu; Melayu, Cina dan India dan pada saya dipicu oleh damainya perubahan yang terjadi di 2 negeri tersebut tanpa melalui pergaduhan dan pertumpahan darah antara kaum. Mudah kata momok 13 Mei berjaya dilepasi dan kesempatan ini dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk menggerakkan perubahan.
Tidak seperti jawatankuasa Bersih pertama yang didominasi ahli-ahli politik pembangkang, Bersih 2.0 berubah sifat apabila pemimpin-pemimpin NGO mengambil alih peranan yang pastinya mengundang pro dan kontra dari dalaman masyarakat sivil dan Pakatan Rakyat. Meskipun begitu faktanya siapa pun yang mengetuai, Umno Barisan Nasional tetap akan menganggap sebarang bentuk perlawanan sebagai musuh mereka bahkan musuh negara yang perlu dibanteras dengan apa cara sekalipun.
Tidak menghairankan apabila respon kerajaan terhadap Bersih 2.0 sangat di luar dugaan dengan tangkapan-tangkapan awal terhadap aktivis, rampasan baju kuning Bersih, tuduhan komunis sehingga teman seaktivis dari Korea Selatan terpaksa dihantar pulang dan aksi menutup bandaraya Kuala Lumpur. Seperti diramal aksi berakhir dengan keganasan dari pihak polis terhadap peserta. Meski semua itu, hasil mahal yang diperolehi dari aksi kedua adalah kemajmukan rakyat yang sanggup dan berani turun melepasi segala halangan yang dipasang polis menuju pusat kota.
Bersih 3.0
Buat pertama kali dalam sejarah Bersih, saya tidak dapat hadir menyertai rakyat di pusat utama aksi Bersih 3.0 iaitu Kuala Lumpur kerana sedang bertugas di Bali. Namun begitu kesedihan diubati dengan melakukan aksi Bersih 3.0 di Pantai Kuta yang sering menjadi tumpuan pelancong bersama rakyat Malaysia yang sedang bekerja dan belajar di sini. Tambah menarik aksi turut disertai beberapa pelancong Malaysia yang kebetulan berada di Bali dan mengetahui tentang aksi ini melalui Facebook, lihat betapa patriotiknya mereka sehingga sanggup mengorbankan sedikit masa percutian yang singkat. Tidak ketinggalan beberapa teman aktivis dari Bali turut hadir memberikan sokongan mereka. Aksi diakhiri dengan penghantaran memorandum tuntutan Bersih kepada konsul jeneral Malaysia di Bali.
Untuk pengetahuan, aksi Bersih 3.0 peringkat global telah berjaya dilakukan secara rasmi di 85 buah kota di 35 buah negara dan secara tidak rasmi di beberapa kota lainnya seperti di Nigeria dan Pulau Weh, Acheh. Apa yang saya maksudkan dengan rasmi adalah aksi yang terkoordinasi di bawah Global Bersih yang berpusat di Melbourne, Australia. Saya fikir ini merupakan aksi bersejarah dan wajib didokumentasi untuk diperingat kepada generasi mendatang.
Usai aksi di Pantai Kuta, saya melaju pulang ke rumah untuk mengikuti perkembangan terkini situasi di Kuala Lumpur. Persetankan “kerusuhan” yang telah berlaku dan teori-teori yang berlegar, saya sangat kagum dan benar-benar tidak berkata apa melihat kehadiran rakyat Malaysia yang melimpah ruah. Foto-foto kerumunan manusia yang kemudian muncul menimbulkan rasa iri hati kerana saya tidak di sana, sedih juga sebenarnya walaupun berjaya diubati dengan aksi di Bali.
Aksi Bersih 3.0 di Bali.
Jam-jam dan hari-hari seterusnya saya menghabiskan masa dengan membaca catatan-catatan peserta dan yang satu ini sangat menyentuh hati nurani saya;
“I am your typical Malaysian. A 4th generation Chinese born and raised in Malaysia. I am a mother of two young energetic children. I am your middle class average Jane Doe. I am a professional working 9-5. I studied here, married here, worked here and have never lived abroad. I did not go out on 428 because I have a terrible life. I did not go out because I am not loyal to my country or her rulers. I did not go out because I am a dumb wit bought by the opposition to cause trouble. I went because I love my country. I went because I am Malaysian. And thank you all who stood next to me that day to help me reaffirm that,” — Charmaine
Pasca-Bersih 3.0
Bersih 3.0 telah membentuk dua kubu di kalangan rakyat seperti baju kuning dan merah di Thailand, pro-Bersih dan anti-Bersih dan perdebatan hangat berlaku sebelum, semasa dan sejurus aksi selesai di laman media sosial dan dunia fizikal. Macam-macam pembenaran dibawa oleh kubu pro-Bersih dan begitu juga pembodohan dari kubu anti-Bersih, ya sekali lagi “pembodohan” kerana majoriti anti-Bersih menentang kerana alasan-alasan berikut; Ambiga itu pro LGBT dan murtad, kenapa korang tidak bersyukur, Melayu gaduh dengan Melayu bangsa lain bertepuk tangan, kalau korang kutuk polis jangan nanti dirompak melapor pada polis, korang diperalatkan Anwar Ibrahim yang kemaruk nak jadi PM dan lain-lain alasan sebodoh dengannya kerana sandaran mereka hanya kaum dan agama. Jarang bahkan hampir tiada kubu anti-Bersih yang berbicara tentang tuntutan-tuntutan Bersih.
Menurut saya dengan menolak semua pembodohan tersebut, impak terbesar Bersih 3.0 adalah bersatunya anak pelbagai kaum dan agama menuntut salah satu hak mereka sebagai rakyat iaitu pilihanraya bersih dan adil. Tiada momok perkauman sebaliknya rakyat berbilang kaum dan agama bersatu hati bersama-sama di waktu senang dan di waktu susah apabila ditembak gas pemedih mata.
Apakah 8 tuntutan Bersih beserta 3 tuntutan tambahan akan segera dipenuhi kerajaan amat sukar diramal. Seandainya pilihanraya tetap dilaksana jua tanpa mengendahkan segala tuntutan Bersih dan kelak dimenangi Barsian Nasional, gerakan menuntut perubahan akan semakin lantang dan bercorak partisan. Andai dengan segala kecurangan itu hati nurani rakyat secara berjemaah memilih Pakatan Rakyat, saya percaya gerakan Bersih akan menjadi pemicu kepada pengembangan besar-besaran kelompok masyarakat sivil dan non-partisan. Bahkan kini pun saya percaya satu pertiga dari peserta Bersih 3.0 dan 90 peratus peserta Global Bersih  adalah terdiri dari kelompok masyarakat sivil dan non-partisan.
Pada hemat saya, kemenangan Pakatan Rakyat sangat penting untuk memudahkan Malaysia beranjak ke tahap seterusnya dengan syarat janji-janji perubahan dilaksanakan mereka. Kala itu saya, kita dan semua yang mendukung Bersih 3.0 berupaya melangkah jauh dalam segala agenda yang diperjuangkan dan tidak akan mudah terperangkap dengan pandangan-pandangan yang kini dinamai “partisan”.
Kemerdekaan kedua Malaysia ini perlu supaya tiada kedengaraan lagi alasan diperalat Anwar Ibrahim dan Ambiga, dan sudah tentu kita mahukan wacana kawan-kawan kita di Facebook tidak lebih lemah dari anak-anak sekolah menengah di Indonesia. Dari sisi lain Bersih bukan sekadar tentang pilihanraya bersih dan adil, sebaliknya tentang kualiti hujah dan pemikiran kubu yang menentang kerana kita mahukan penentang yang berfikir supaya negara bertambah maju dan dengannya dogma kaum dan agama menjadi terpinggir.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 4 Mei 2012.

Friday, May 04, 2012

LGBT: Ancaman negara?


Tanggal 21 April lepas kira-kira 1,000 orang berhimpun membantah amalan seks bebas dan anti LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).  Perhimpunan ini dianjurkan oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan turut disertai oleh 18 NGO termasuk Aman Kampus.
Intipati menarik di dalam perhimpunan tersebut sudah tentu semai kebencian seperti yang terserlah di dalam ucapan Presiden Alam Warisan, Azam Moktar,  "Today I withhold this keris. But if one day I can't tolerate anymore, I will use the keris against the enemy of this land."
Sementara itu pada hari yang sama, di Pulau Bali sedang berlangsung sebuah majlis pengumpulan dana untuk komuniti lesbian, L-Word Indonesia yang diadakan di sebuah kafe khusus untuk kelompok ini. Tidak ada yang istimewa di acara ini yang dibuat sempena memperingati hari Kartini melainkan sesi perkongsian cerita dan rintihan yang dihadapi mereka di dalam berhadapan dengan masyarakat.
Ketika menulis ini, saya baru selesai menghadiri tayangan dan diskusi filem pendek 'Sanubari Jakarta' di Bentara Budaya Bali. Lola Amaria bersama sembilan pengarah muda menggarap kompilasi filem pendek yang terinspirasi dari kisah-kisah realiti kehidupan cinta sesama jenis di Jakarta.  Filem berskala indie kerana menggunakan wang sendiri ini mengangkat 10 kisah tentang komuniti LGBT dan durasi setiap cerita adalah 10 menit.
Apa yang menarik, mahasiswa-mahasiswa dari universiti tempatan diundang untuk hadir dan turut serta dalam diskusi yang berlangsung hangat dan diselang seli gelak tawa. Hal ini sangat terbalik dengan apa yang berlaku di UPM di mana ruang universiti dan anak muda termasuk mahasiswa yang diundang didedahkan dengan ucapan-ucapan kebencian terhadap kelompok minoriti ini tanpa diwujudkan ruang perbincangan. Barangkali Islam Melayu Raja yang dianut kelompok ini melarang itu dan sebaliknya menghalalkan ancaman kekerasan.
Saya dan LGBT
Pengalaman pertama saya berhadapan dengan kelompok LGBT (kebanyakannya rakan homoseksual) adalah sewaktu berada di sekolah rendah di mana beberapa rakan dilihat cenderung menyerupai karakter wanita dan hal ini saya maklumi kerana ketika saya dan rakan-rakan menunjukkan sifat 'kelakian' dengan bermain bola sepak, mereka sibuk bermain congkak dan batu seremban bersama rakan-rakan wanita. Entah mengapa saya tidak pernah menghakimi rakan saya itu ketika kebanyakan yang lain sibuk mentertawa dan mengejek walhal saya adalah ketua pasukan bola sepak, mungkin kerana saya turut gemar bermain batu seremban dan timbul rasa memahami.
Beranjak ke sekolah menengah, saya tinggal di asrama lelaki sebuah sekolah agama di Kuala Selangor selama lima tahun dan di sini saya berhadapan dengan pelajar-pelajar LGBT yang lebih banyak barangkali kerana usia remaja adalah masa yang normal untuk mengeksplorasi seksualiti masing-masing. Bukan hal yang mengejutkan ada beberapa pelajar yang pura-pura menyukai wanita walhal pada faktanya melakukan hubungan seks dengan pelajar lelaki. Ada yang memang biseksual dan ada juga yang homoseksual. Seperti biasa saya menyikapinya dengan berlapang dada selagi mana pelajar tersebut tidak melakukan gangguan seksual terhadap saya dan bersikap hipokrit. Menariknya kelompok ini taat beragama seperti mana kelompok lurus dan salah seorang menjabat jawatan penting berkaitan hal ehwal pengurusan surau.
Melepasi zaman sekolah dan universiti, skop kerja saya yang sering berhubungan dengan komuniti seni mendedahkan kepada interaksi yang lebih luas dengan kelompok LGBT seperti aktivis yang aktif  dalam penganjuran Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik , penulis buku Azwan Ismail dan banyak lagi. Seperti biasa saya tetap menerima mereka seadanya tanpa sama sekali mengubah orientasi seks saya yang masih 100 peratus meminati wanita.
LGBT dan agama
Dalam Islam, ayat di Surah Al A'raf:80-84 dan Surah Hud:77-83 secara jelas berisi kutukan dan larangan Allah SWT terhadap mereka yang melakukan amalan homoseksual. Amalan homoseksual juga menjadi momok yang menakutkan di agama Kristian di mana Bible menyebutnya sebagai ibadah kafir yang lazim dikenali dengan nama ‘pelacuran kudus’. Ia sangat mengutuk dan mengecam pelakunya kerana bertentangan dengan moral.
Baru-baru ini negara-negara anggota OIC, kelompok Arab dan Afrika memilih untuk keluar ruangan sebagai bentuk protes sewaktu perdebatan mengenai hak-hak terhadap pelaku homoseksual di Dewan HAM PBB dilangsungkan. Hak kelompok pelaku homoseksual itu dibahas di PBB untuk pertama kalinya, sejak resolusi persamaan hak bagi semua orang diluluskan pada Jun 2011.
Imej dari filem Sanubari Jakarta.
“Perilaku bermoral yang diusung berdasarkan konsep 'orientasi seksual' bertentangan dengan ajaran berbagai macam agama, termasuk Islam. Dari perspektif ini, menghalalkan homoseksual dan amalan seksual peribadi lainnya atas nama orientasi seksual adalah tidak dapat diterima bagi OIC,” kata delegasi Pakistan.
Sementara itu Musdah Mulia yang terkenal dengan kontroversinya, pernah mengeluarkan pernyataan bahawa homoseksual dan homoseksualiti adalah kelaziman dan dibuat oleh Tuhan, dengan begitu diizinkan juga dalam agama Islam. Siti Musdah melanjutkan bahawa sarjana-sarjana Islam sederhana mengatakan tidak ada pertimbangan untuk menolak homoseksual dalam Islam, dan bahawa larangan homoseks dan homoseksualiti hanya merupakan kecenderungan para ulama. Beliau berkata demikian di dalam sebuah diskusi yang diadakan di Jakarta pada Mac 2008.
Debat tentang itu baik dalam soal keagamaan mahupun perundangan antarabangsa saya serahkan pada yang pakar. Secara peribadi saya sedaya upaya ingin mengelak menulis tentang LGBT kerana persoalan ini sangat sensitif dan rumit terutama sebagai seorang penganut Islam. Namun setelah melihat aksi kebencian massa di UPM tersebut saya gagal menahan diri dan bersangka buruk bahawa mereka tidak mempunyai rakan atau ahli keluarga dan saudara yang berperilaku seperti itu. Seandainya mereka punya sekalipun, ajaran Islam 'songsang' yang menyemai kebencian terhadap orang bukan Islam dan kelompok LGBT inilah yang melahirkan perilaku hasut dan benci yang tidak manusiawi itu. Mungkin juga sejak dari kecil hingga dewasa mereka sudah terbiasa menghina manusia-manusia yang berbeza orientasi seksual ini. Saya percaya mereka bersikap seperti itu kerana dilahirkan lurus, andai saja mereka lahir berbeza nescaya mereka akan menginsafi luasnya penciptaan Tuhan.
LGBT dan Hedonisme
Dalam menyikapi LGBT, jangan kita terperangkap dengan berita sensasi pesta-pesta liar sebahagian kelompok LGBT dan memaknai LGBT semberono sebagai hedonis. Kaum hedonis bukan sahaja ada di kelompok LGBT bahkan lebih leluasa di kalangan kelompok lurus dan lucunya sering diwajarkan dan diterima kerana walaupun tetap 'berdosa', namun dosanya tidak sebesar LGBT.
Meskipun begitu kelompok LGBT harus bijak menggunakan strategi untuk menarik perhatian masyarakat terhadap perjuangan mereka yang majoritinya masih belum boleh menerima barangkali kerana 'nilai Asia' nya yang masih tebal. Saya percaya masyarakat seluruhnya sangat terbuka seperti yang terjadi di lapangan pekerjaan di mana kelompok LGBT diterima dan menguasai beberapa sektor kerjaya seperti wartawan/blogger hiburan, jurusolek dan sebagainya. Perjuangan memang memerlukan masa yang panjang dan di sinilah diperlukan karakter aktivis yang mampu bertahan atau istiqomah di dalam apa yang diperjuangkan.
LGBT jenayah?
Nah perjuangan selanjutnya inilah yang sukar dan mendapat banyak tentangan, perlindungan dari sisi undang-undang. Namun perbezaan tafsir atas kata 'undang-undang' untuk LGBT bak kata Pang Khee Teik ini wajar dicermati;
    "It occurred to me that while both sides of the debate referred to the laws this and the laws that, we actually meant completely different things. When we referred to “the laws”, we were thinking of an instrument that protects people. When some people refer to “the laws”, they were thinking of an instrument that punishes people. This disparity reveals the opposing philosophies: people as innocent until proven guilty vs people as inherently guilty, in need of control and guidance from the state. One’s justice is fairness, equality, protection of rights. Another’s justice is vengeance, a show of might, reminding the minorities to toe the line."
Barangkali kita harus memikirkan apa yang diperkatakan Lola Amaria, produser dan pengarah salah satu cerita 'Sanubari Jakarta' sewaktu sesi diskusi bahawa pemilihan tema tersebut bertujuan memperkenalkan kepada masyarakat bahwa ada komuniti LGBT di tengah-tengah mereka, bukan untuk menghakimi atau membela komuniti tersebut. Kerana ini juga pendidikan, saya dan teman-teman tidak mahu membuat filem yang menghakimi, tetapi bercerita. Siapa yang mahu dilahirkan berbeza, kita tidak mahu mereka dibeza-bezakan.
Tambah Lola, walau apapun hasil dari debat sekitar LGBT tidak akan boleh menutup satu hal yang paling mendasar iaitu cinta, "Kita tidak mungkin hidup tanpa cinta walaupun cintanya dari sudut pandang berbeza." Bagi saya pula, kita manusia tetaplah menjalankan kecintaan kita kepada Tuhan, manusia dan alam seluruhnya serta keadilan kepada semua dan serahkan kepada Tuhan untuk melakukan tugasnya nanti. Saya percaya dengan tidak membenci kita akan disayangi Tuhan, sebaliknya jika kita bersikap lebih dari Tuhan nescaya dunia akan musnah.
Ancaman negara yang sebenar adalah apabila masyarakat secara berjemaah mengiyakan kezaliman dan penindasan, menyemai kebencian dan mengancam dengan kekerasan,  menolak menggunakan hati nurani sihat, menghalalkan rasuah dan sepertinya. Ketahuilah juga bahawa jarang bahkan mungkin tiada satupun peperangan di dunia ini dikeranakan oleh LGBT, tetapi kerana ego kelakian, berebut wanita dan agama, ya.
Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 28 April 2012

Tuesday, May 01, 2012

Bersih 3.0 Malaysia: reportase untuk teman Indonesia


13358055211458799296

Massa di Jl Tunku Abdul Rahman











1335783300971128098

Sebahagian massa di Jl Tun Perak

13358067391640644110

Massa di kiri dan kanan yang dipisahkan oleh tiang jalur LRT

13357837662045143609

Massa berhadapan dengan polisi yang memblokade Lapangan Merdeka

Sabtu kemarin telah terjadi satu aksi unjuk rasa besar-besaran di Kuala Lumpur untuk menuntut pemilu bersih dan adil. Aksi yang telah direncana satu bulan awal oleh kelompok aliansi yang menamakan diri sebagai Bersih berjaya menarik dukungan rakyat apabila hampir 100,000 ribu telah hadir.

Aksi Bersih 3.0 ini bukan sahaja terjadi di Kuala Lumpur, tetapi di beberapa kota lainnya di Malaysia seperti Pulau Pinang, Johor Bharu, Kuantan, Ipoh, Melaka, Kota Kinabalu, Kuching, Kluang, Miri, Sibu, Seremban dan Muar.

Aksi Bersih 3.0 turut diadakan di 85 buah kota di 35 buah negara seluruh dunia oleh rakyat Malaysia yang bekerja dan sedang kuliah di negara tersebut. Aksi di luar negara telah dikoordinasi oleh Global Bersih yang merupakan cabang kepada komite utama Bersih di Malaysia.

Bersih adalah aliansi 84 LSM dan turut disokong beberapa partai oposisi di Malaysia. Bersih siri pertama berlangsung pada november 2007 dan siri kedua pula pada Julai 2011. Kedua-dua aksi ini telah berjaya menarik puluhan ribu rakyat untuk turun ke jalan. Walaubagaimanapun, aksi ketiga adalah aksi terbesar di mana diperkirakan hampir 100,000 telah turun ke jalan.

13357839011069554708

Aksi di Penang berlangsung damai

Bersih menuntut 8 perkara iaitu; pembersihan daftar pemilih, reformasi undi pos, penggunaan tinta kekal, minima kampanye 21 hari, media yang bebas, memperkukuh institusi awam seperti SPR (KPU), SPRM (KPK), kejaksaan, PDRM (Polri) yang selama ini tidak independen kerana tidak bertanggungjawab secara terus ke atas parlimen (DPR) sebaliknya cenderung dipergunakan partai yang memerintah, menghentikan korupsi dan politik kotor.

Untuk aksi 3.0, Bersih menuntut tambahan 3 perkara iaitu; ) Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), KPUnya Malaysia harus meletak jawatan kerana gagal mengurus pemilu dengan benar dan beberapa hari lalu ketua dan wakil ketua SPR ternyata anggota UMNO iaitu partai yang berkuasa. Setelah dibongkar oposisi, mereka kemudian mengakui dan memberi alasan bahawa keanggotaannya bersifat tidak aktif  2) proses perjalanan pemilu harus dibersihkan terlebih dahulu sebelum pemilu umum ke 13 diadakan 3) mengundang pemerhati antarabangsa untuk memantau perjalanan pemilu ke 13

Aksi Bersih di KL yang ricuh setelah polisi menembak gas pemedih mata telah mewarnai pemberitaan di sejumlah media antarabangsa termasuk di Indonesia. Sehingga sekarang aksi rusuh yang berlaku dipercayai dipicu oleh provokatur iaitu polisi berpakaian baju kuning Bersih yang berjaya masuk ke dalam kelompok massa sehingga berjaya memancing sekelompok massa untuk merusuh.

Foto dan video massa melakukan kekerasan yang dipercayai adalah polisi sedang bertebaran di facebook, blog serta twitter dan kelompok Bersih telah menggesa pihak polisi menindaklanjuti untuk mengenal pasti siapa sebenarnya dalang di sebalik kerusuhan tersebut.

Aksi Bersih 3.0 turut dilakukan masyarakat Malaysia yang tinggal di Jakarta dan Bali serta wisatawan Malaysia di Pulau Weh, Acheh.

13357842831975963181

13357839961308995884

Aksi di Jakarta

13357841161044938633

Aksi di Melbourne

1335784532484839006

Secara keseluruhan, aksi Bersih 3.0 merupakan detik bersejarah bagi Malaysia di mana rakyat pelbagai kaum baik Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan lain-lain bersatu untuk menuntut pemilu yang bersih dan adil.

Impak Bersih 3.0 amat ditakuti pemerintah Malaysia sekarang iaitu koalisi Barisan Nasional (BN) yang dikepalai partai Melayu, UMNO bersama-sama partai Cina, MCA, partai India, MIC dan 11 partai kecil lain. Ini kerana selama ini BN senantiasa memainkan isu kaum dan agama yang diwarisi dari penjajah kolonial British untuk menakut-nakutkan rakyat daripada membuat perubahan.

Semoga nantinya Malaysia akan mengalami perubahan ke arah yang lebih baik kerana dua negara yang pada suatu masa dahulu tahap perekonomiannya sama iaitu Singapura dan Korea Selatan telah meninggalkan Malaysia.

Selama ini Malaysia telah mengalami kemajuan dalam bidang ekonomi di bawah pemerintahan BN dan itu wajib disyukuri, namun itu tidak bermakna rakyat Malaysia tidak bisa bersikap kritis terhadap pemerintahnya. Malaysia sebenarnya harus lebih baik dari sekarang dan partai manapun yang bisa memacu ekonomi Malaysia menyamai minimal ekonomi Korea Selatan, partai itu wajib didukung. Syaratnya pemilu mesti bersih dan adil.

Doa dari rakyat Indonesia yang cintakan keadilan juga dibutuhkan supaya nantinya pemerintah Malaysia mendatang akan lebih manusiawi dan tidak arogan seperti sekarang. Rakyat Indonesia harus bisa membedakan rakyat Malaysia dan pemerintah Malaysia.

Malaysian deserve better!

tulisan ini pertama kali tersiar di Kompasiana