Saturday, June 30, 2012

Budaya 'mamak' di Malaysia

Ada beberapa hal yang aku perhati sepanjang di Indonesia yang membuat enak tinggal di Malaysia.

Apa itu?

Mamak! Tempat lepak (nongkrong) yang nyaman untuk menonton perlawanan bola sepak bersama teman2 (nonton bareng) dengan biaya murah dan boleh lama :)

Nonton bola sepak dengan RM1 dan selesa? hanya di mamak.

Bagi aku restoran mamak sentiasa berevolusi demi memenuhi keperluan pelanggannya dan berjaya menyediakan alternatif untuk mereka yang tidak suka minum bir atau arak dan yang tidak mampu membayar harga sebuah lepak yang tinggi.

Ini beberapa video di Youtube yang menggambarkan suasana di mamak sewaktu perlawanan bola sepak.


NZ Curry House, Wangsa Maju   

Restoran Hakim, Shah Alam  
Original Kayu, Ampang

Rasta, TTDI

Friday, June 22, 2012

KLAB dan buku indie


oleh Zulhabri Supian
Hujung minggu ini tanggal 23 dan 24 Jun jika anda di Kuala Lumpur atau Lembah Klang, silakan berkunjung ke sebuah pesta buku alternatif yang dinamakan KLAB (Kuala Lumpur Alternative Bookfest) di Annexe Gallery, Central Market. Kenapa saya mempromosinya? KLAB mempunyai pertalian personal yang dekat dikeranakan dari edisi pertama hingga keempat pada tahun lepas dikelola oleh saya bersama tokoh penerbitan “indie”, Amir Muhammad dan tokoh Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik. Hanya saja tahun ini yang memasuki edisi kelima saya tidak terlibat kerana sedang berkelana di pulau seribu pura. 
Idea awal KLAB dicetuskan oleh Amir dan langsung disambut saya yang kebetulan berfikir idea yang sama, cuma bezanya Amir melontarkan dan saya sekadar menyimpan di dalam hati. Asal muassalnya saya terinspirasi dengan beberapa pesta buku di Indonesia yang saya hadiri sekitar tahun 2004 hingga 2008 yang temanya lebih meriah, berani dan beragam dan lantas tertanya-tanya adakah hal serupa boleh diwujudkan di KL? Nah itu dia, euforia kemenangan menidakkan 2/3 majoriti Barisan Nasional di parlimen membuahkan semangat yang berkobar-kobar ke dalam diri saya dan tidak lama berselang dari tsunami 8 Mac, kemudian lahirlah KLAB pada 3 Mei 2008.
Secara umum, KLAB tidak jauh berbeza dari pesta-pesta buku lain seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang gah dan super meriah dengan kehadiran pelajar sekolah dan kanak-kanak riang ria kerana aktiviti utama tetap sama iaitu menjual buku serta sebagai platform untuk melancarkan buku, diskusi dan bermacam lagi. Cuma yang membezakannya hingga terpaksa sengaja atau tidak sengaja dinamai alternatif adalah disebabkan beberapa hal;
● Kebanyakan produk yang dijual di KLAB temanya agak berani dalam erti kata kritikal terhadap kerajaan yang memerintah Malaysia dan untuk produk yang tidak kritikal terhadap pemerintah terutama penerbitan sastera popular dan urban kontemporari, produknya dicipta untuk pasaran dan gaya yang khusus.
● KLAB membuka platform untuk pembaca berjumpa dengan penulis. Lebih santai dan dekat di hati tidak seperti Pesta Buku Antarabangsa yang terlalu besar dan kurang interaksi pembaca dan penulis. 
● KLAB menyatukan penerbitan buku bersemangat sama dalam bahasa yang berbeza baik dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin dan lain-lain.
● Kesemua produk yang dijual di KLAB berharga kurang daripada RM100.
Pada awalnya saya dan Amir bercita-cita besar untuk membawa idea KLAB ke luar Kuala Lumpur namun sehingga kini cita-cita tersebut belum terwujud. Meski demikian semangat KLAB dalam versi dan skala berbeza telah berjaya sampai ke Selangor melalui Pekan Frinjan, Pulau Pinang melalui Little Penang Street Market, Ipoh melalui Projek Rabak, Johor Baru melalui Gobok Buku dan barangkali banyak lagi yang tidak saya ketahui.
Buku indie
Bila berbicara tentang apa itu buku indie, jarang kita dapat mencapai kata sepakat. Itu tidak mengapa dan bagi saya biarkan kontestasi makna terus bergulir seperti mana polemik tanpa sudah tentang apa itu muzik mainstream dan muzik indie. Apa yang harus kita sepakati adalah jalani sahaja apa yang diperbuat, jika menulis ya teruskan menulis, jika menerbit teruslah menerbit dan jika menganjurkan acara kekalkan selamanya. Bagi saya sendiri, makna buku indie sangat sederhana iaitu sebuah buku yang ingin kita terbitkan sendiri atau diterbitkan dan kemudian berjaya tanpa banyak dihalangi serta dikawal idea dan proses kreatifnya.
Suasana di KLAB 2009.
Secara peribadi saya membaca buku apa saja dan tidak melihat siapa penerbitnya, baik itu penerbit besar atau penerbit kecil atau indie atau apa sekalipun. Ada dua penulis lokal yang membuat saya tertarik membaca karya-karya indie atau frinjan (pinggiran) iaitu Ruhayat X dan Sufian Abas, merekalah yang mempopularkan buku yang pada hemat saya tepat untuk dimasukkan di dalam kategori alternatif/indie/frinjan. Bertuahnya pembaca di Malaysia, mereka masih aktif menulis dan menerbit dan terus memperlebar pasar dan memunculkan banyak penulis baru.
Ruhayat X atau Amri Ruhayat adalah pelopor awal Komuniti Frinjan (Frinjan dalam bentuk organisasi tidak rasmi, bukan idea “frinjan” yang bebas organisasi) yang pada awalnya digerakkan bersama-sama saya dan seorang lagi penulis dan pelukis, Alina Abdullah dan kini kelangsungannya berada di bawah kendali anak-anak muda seperti Farhan Azahan dan rakan-rakan. Program utama Komuniti Frinjan adalah Pekan Frinjan yang dilangsungkan di Shah Alam sebagai upaya pengembangan aktiviti seni dan budaya kontemporari/alternatif ke luar Kuala Lumpur dan syukur sehingga kini telah berjaya dijalankan sebanyak 28 kali.
Namun apa guna 28 kali seandainya tidak ada impak positifnya dan ini yang membuat saya dan teman-teman bersyukur kerana sejak Pekan Frinjan pertama pada Mac 2009 dengan hanya beberapa judul buku dari beberapa penerbit, kini angkanya bertambah berkali-kali lipat.
Hingga kini, judul buku indie menghampiri angka 100 bahkan mungkin lebih mengingat tidak ada data khusus melainkan apa yang terdata di senarai buku untuk dijual yang saya perolehi dari Distro Buku. Beberapa penerbit yang lagi naik daun (sedang aktif dan bersemangat waja) adalah Sang Freud Press, Fixi, Moka Mocha Ink, Selut Press, Siluet Books, Lejen Press, Dubook Press, Jargon Books, Puisi Jadi Senjata, Moque Press, Sindiket Sol-jah, Merpati Jingga, Buku Hitam Press dan yang terbaru Obscura.
Apa yang membezakan penerbit-penerbit ini dengan penerbit lain (penerbit besar sebagai contoh) adalah mereka menggunakan media sosial seperti Facebook, Blog dan Twitter untuk promosi juga pembelian dan kebiasaannya penulis turut terlibat secara langsung juga. Selain itu mereka menggunakan pendekatan gerila untuk mencari dan membuka pasar seperti yang dilakukan Lejen Press dengan turun ke acara-acara seperti Pekan Frinjan, acara di dalam kampus dan banyak lagi. Pendekatan ini harus dipuji kerana sedikit sebanyak memecahkan tembok eksklusif buku yang selama ini dilihat tidak ramah kerana hanya boleh diperolehi di kedai-kedai buku.
Semoga kisah-kisah indah dunia perbukuan indie ini akan terus bertahan dan tidak hanyut dalam krisis substansi dan rasa “best” seperti yang terjadi kepada pembikin T-shirt indie yang marak beberapa tahun dahulu dan kini sepi tanpa berita. Saya lebih optimis dengan dunia perbukuan seperti mana optimisnya saya dengan dunia muzik dan perfileman indie lokal kerana mengetahui di dalamnya banyak manusia-manusia yang teruji semangat, upaya dan eksekusinya selama ini.
Hanya saja di dalam optimisme ini kita dihadirkan dengan berita pengharaman buku berjudul “Allah, Kebebasan dan Cinta” karya Irshad Manji terbitan ZI Publication dan pendakwaan kepada seorang pengurus kedai buku Borders di pusat membeli belah Mid Valley atas tuduhan mengedar buku tersebut. Berita ini sangat meresahkan dan bersempena KLAB hujung minggu ini, mari kita semua; dari pembaca, penulis dan penerbit bersatu melawan pengharaman buku dan pendakwaan oleh JAWI yang tidak profesional.
Dilarang melarang!
Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 21 Jun 2012

Saturday, June 16, 2012

Memilih Bali


oleh Zulhabri Supian
Pulau Menjangan
“Bali Pulau Syurga”
Sebut saja Bali pasti yang indah-indah akan terbayang, maksudnya keindahan alam ciptaan Tuhan berupa pantai, gunung, tasik dan banyak lagi termasuk juga manusianya yang eksotis seperti dimaknai banyak manusia dari Barat.
Namun demikian citra pulau syurga yang dipakaikan untuk Pulau Bali semakin lama semakin memudar terutama jika kita melihat angka kemiskinan dan pengangguran di Bali yang masih sangat tinggi. Pudar dari sisi ini sangat masuk akal diterima dan menjadi semacam loceng amaran untuk pihak berwenang.
Namun segolongan warga Bali yang berasal dari luar negara dan tergabung dalam komuniti expat baik mereka profesional, penganggur atau pecundang di negara asal merasa pudarnya berkurang gara-gara warga Bali asli mulai berani mengkritik industri pelancongan dan mempersoal kehadiran warga seperti mereka yang tidak memberi manfaat kepada perekonomian rakyat terbanyak.
Dari sisi pelancong, pudarnya dirasa kerana Bali sudah terlalu membangun lantas semakin rosak dan gelagat-gelagat pemain industri pelancongan yang tidak jujur baik iru pemandu teksi, pekedai, ejen pelancongan dan sebagainya tambah membantu memperburukkan imej. Lantas kenapa saya memilih Bali?
Alasan saya sederhana sekali. Bali dengan sedemikian parah tetap indah untuk kita hidup di dalamnya, sebut saja Pulau Menjangan, Pulau Gili, Gunung Agung, Gunung Batur, Ubud, Uluwatu, Pantai Geger, Pantai Padang-Padang, Pantai Amed, Tasik Bedugul, Pantai Lovina, Pulau Gili, Pulau Nusa Penida, Pulau Lembongan dan banyak lagi. Itu dari sisi keindahan dan kualiti gaya hidup yang boleh diperolehi di Pulau Bali dengan biaya yang murah asalkan berteman dengan masyarakat tempatan.
Meskipun begitu ada 2 alasan serius yang membuatkan saya bertahan dan menikmati Pulau Bali.
Pertama — Pembunuhan massal di Bali 1965
Sebahagian mangsa pembantaian massal
Saya pernah menulis tentang hal ini dalam tulisan berjudul “Melawan Lupa” yang tersiar beberapa bulan dahulu di ruang kolum ini. Saat itu adalah bulan awal saya di Bali dan setelah 4 bulan keterujaan untuk mengetahui lebih dalam tentang Tragedi 65 (istilah yang sering disebut di sini) bertumbuh dari hari ke hari.
Siapa sangka di dalam kemasan indah Pulau Bali, tersimpan kisah duka dan tragis di mana Bali menjadi salah satu kawasan dengan “penyembelihan” terganas terhadap orang-orang yang dituduh simpatisan dan anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) pasca persitiwa G30S.
Soe Hok Gie dalam sebuah esei di bukunya berjudul “Zaman Peralihan” (Bentang, 1995), menulis tentang Bali di saat hari-hari mencekam 1965-1966:
“Bali menjadi sebuah mimpi buruk pembantaian. Jika di antara pembaca ada yang mempunyai teman orang Bali, tanyakan apakah dia mempunyai teman yang menjadi korban pertumbuhan darah itu. Ia pasti akan mengiyakan, karena memang demikianlah keadaan di Bali. Tidak seorang pun yang tinggal di Bali pada waktu itu yang tidak mempunyai tetangga yang dibunuh atau tidak dikuburkan oleh setan hitam berbaret merah yang berkeliaran di mana-mana pada waktu itu.”
Kuburan massal mangsa yang dibunuh boleh dijumpai di banyak tempat di Bali dan salah satunya telah saya kunjungi beberapa bulan lepas iaitu di Pantai Baluk Renin yang terletak di Kecamatan Negara, Kabupaten Jembrana. Pantai Baluk Rening seperti yang dilaporkan Antara News (24/12) diduga menjadi lokasi pembantaian atau tempat mengubur banyak korban dan dugaan diperkuat dengan munculnya tulang belulang manusia di sekitar pantai saat dilanda hakisan.
Perlu diingatkan bahawa tiada pemandu pelancong akan memberitahu hal ini melainkan anda bertemankan masyarakat Bali yang peduli terhadap masa lampaunya akan tragedi kemanusiaan yang menyayat ini.
Hingga kini, persitiwa pembunuhan massal tahun 65 ini belum selesai dan mangsa terus menerus tanpa lelah mendesak kerajaan mengakui secara rasmi bahawa telah terjadi pelanggaran hak asasi manusia yang berat atas peristiwa tersebut seterusnya melaksanakan rehabilitasi bagi mangsa dan mendakwa para pelaku.
Secara prinsip saya bersama para mangsa dan mendukung perjuangan mereka kerana di Malaysia hal sama turut terjadi di mana mangsa pembunuhan Tragedi 13 Mei, Tragedi Taman Medan dan Tragedi Memali (sekadar menyebut beberapa kes) masih belum diselesaikan secara hukum. Maka kerana itu berpihak kepada pencari keadilan walau di mana berada sesungguhnya sesuatu yang sangat bermakna, batas negara perlu dihilangkan.
Kedua — Ajeg Bali
Pembantaian 1965 meragut lebih kurang 80,000 nyawa orang Bali dan kemudian lahirlah Pulau Bali dalam wajah baru seperti mana kelahiran semula Malaysia pasca-13 Mei yang ditandai dengan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Kelahiran baru Bali telah melahirkan masyarakat yang secara relatif turut makmur dalam kestabilan ekonomi dan politik walaupun di dalamnya sentiasa wujud curiga dan waspada terhadap apa yang dilabel penguasa kala itu “ejen-ejen komunis”.
Namun kemakmuran itu terjejas akibat insiden pengeboman Bali yang kemudian melahirkan semula kecurigaan dalam bentuk baru iatu, menajegkan Bali. Maka lahirlah konsep “Ajeg Bali” yang menurut I Ngurah Suryawan dalam eseinya berjudul “Pariwisata Budaya” ke “Ajeg Bali” (Beberapa Perspektif Perubahan Wacana Politik Kebudayaan dan Seni di Bali Pasca Rezim Soeharto) bererti, “Ajeg dalam konteks ini berarti kuat, kokoh, tak tergoyahkan. Dan orang Bali berkewajiban untuk memperkuat dan memperkokoh budaya Bali. Orang Balilah yang memiliki dan menjaga kebudayaan Bali tersebut. Konsep Ajeg ini menjadi obat dahaga di tengah kehausan masyarakat Bali untuk mencari benteng dan pertahanan baru. Benteng ini semakin hari semakin kuat dengan bertemunya korporasi media massa, negara, politisi, kelompok masyarakat adat”.
Secara umum, konsep Ajeg Bali mempunyai persamaan dengan Ketuanan Melayu di Malaysia di mana identiti kaum/etnik diperteguh dengan alasan budaya dan agama yang akhirnya melahirkan fundamentalisme Hindu di Bali dan fundamentalisme Islam di Malaysia.
Meskipun begitu, Ajeg Bali tidak selamanya alasan budaya dan agama kerana sisi ekonomi turut berperanan seperti yang ditulis I Ngurah Suryawan, “Akses dan perebutan sumber daya ekonomi menjadi pemicunya. Masyarakat Bali merasa terancam dengan kepungan para “pendatang” ini dan merasa perlu untuk membentengi diri dengan sikap waspada dan siaga. Salah satunya adalah melakukan razia (operasi) dan penggerebekan pada para pendatang yang sering disebut masyarakat Bali sebagai Nak Jawa (orang Jawa untuk menyebut seluruh pendatang dari semua daerah di Indonesia) atau Nyama Dauh Tukad (saudara di seberang sungai)".
Nah apa yang berlaku mirip sekali seperti di Malaysia di mana masyarakat Cina dan India hingga kini masih dilabel sebagai pendatang. Terbaliknya di Malaysia saya berada di kelas bukan pendatang kerana berbangsa Melayu dan di Bali tergolong pendatang “expat” kerana warga luar negara — untuk ini saya bersimpati kepada masyarakat Indonesia yang berasal dari luar Bali kerana seperti didiskriminasi di negara sendiri.
Dua hal di atas sangat dekat dengan saya kerana permasalahannya tidak jauh beza, cuma berlainan lokasi dan konteks — semangat mencari dan melawannya tetap sama. Pada akhirnya saya bersetuju dengan kesimpulan teman Bali saya, Agung Wardana dalam tulisannya, “Bali: Antara ‘Surga’ dan ‘Neraka’” yang menyebut:
“Pada saatnya nanti, tinggalah kita, masyarakat Bali kebanyakan, yang harus membersihkan ‘kotoran’ sehabis pesta meriah para turis dan orang kaya. Karena memang Bali adalah rumah kita. Bali bukanlah ‘surga’ ataupun ‘neraka’ tetapi ruang hidup yang mengharuskan kita terus berjuang untuk menjadikannya lebih baik.”
Saya berusaha untuk menjadi warga yang berjuang menjadikan Bali lebih baik bersama teman-teman Bali dan bukan Bali kerana di situlah kenikmatan hidup. Saya bersaudara bersama mereka yang menentang ketidakadilan dan penindasan, anti-korupsi dan punya kemanusian. Apa agamanya, bangsanya dan negaranya saya tidak peduli.
Apapun Bali memang indah, jemputlah ke sini.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 13 Jun 2012

Sunday, June 10, 2012

Hidup berkolaborasi


oleh Zulhabri Supian
“Science,” the physicist Werner Heisenberg once wrote, “is rooted in conversations.” As he saw it, scientists are rarely solitary thinkers but people who constantly talk: about ideas, findings, research techniques, and unresolved problems. Some of these conversations last for a few minutes or hours. But others continue for years or decades, shaping careers, disciplines, and even institutions. — Peter Dizikes
Ayat di atas merupakan perenggan pembuka dalam artikel berjudul “The Office Next Door”yang tersiar di laman web Technologyreview pada November/Disember 2011. Tulisan beliau yang saya baca beberapa minggu lepas tidak terlalu menarik perhatian kerana secara umum saya beranggapan inti besar dari tulisan tersebut adalah kolaborasi atau dalam bahasa biasanya saling bekerjasama. Kolaborasi bukanlah suatu hal baru pada saya kerana sudah diterap lama dan menjadi raison d’etre komuniti Frinjan yang digerakkan saya dan teman-teman lain.
Sejak awal bergeraknya komuniti Frinjan pada 2009 yang berteraskan pembudayaan seni dan budaya serta aktivisme ke dalam masyarakat. Kolaborasi adalah hal yang paling ditekankan kerana melaluinya sesuatu gerakan, ideologi dan idea akan lebih ampuh sifatnya.
Bahkan slogan Frinjan yang masih digunapakai sehingga kini adalah, “kami bukan independen melainkan interdependen” yang membawa maksud saling berkolaborasi itulah yang akan meneguhkan gerakan. Kata “independen” disini kami maknai secara umum sebagai idea dan “interdependen” sebagai kolaborasi yang jika dirangkum bererti, walaupun kami punya idea tersendiri, sifatnya akan lebih baik jika dicantum bersama idea-idea dari komuniti lain. Hal ini berterusan hingga kini dan semoga tidak berpenghujung dan menjadi tradisi yang akan diteruskan generasi mendatang dalam bentuk dan semangat zaman mereka.
Hubud
Kembali kepada tulisan Peter Dizikes, saya teruja menelaah semula usai pulang dari acara “Hubud 20x20, powered by Pecha Kucha” yang diadakan di Cafe Kendi di kota budaya Ubud tanggal 30 Mei lepas. Acara berskala sederhana dan percuma ini digagas tiga individu; Peter Wall, John Alderson dan Steve Munroe diadakan selang beberapa hari setelah TEDx Ubud yang berlangsung sangat meriah dan juga sangat mahal.
Pembicara pertama dari enam semuanya pada acara tersebut adalah Peter Wall, pengasas bersama Hubud yang menyampaikan presentasi berjudul, “Collaboration: Building 20, broadway musicals and scientists hanging out”. Presentasi enam minit beliau tentang kepentingan kolaborasi sangat menarik kerana disampaikan dengan struktur yang terbina kemas. Beliau memetik artikel oleh John Lehrer di majalah The New Yorker bertarikh 30 Januari 2012 yang berjudul, “Groupthink: The brainstorming myth”.
Peter Wall di dalam slide presentasi memetik empat hal dari artikel tersebut (sumber: Distility.com, Collaboration, Innovation and Branding: Is Brainstorming Effective?):
● Brainstorming is well known approach to generating ideas and problem solving. Alex Osborn of the B.B.D.O. advertising agency first described the brainstorming approach in his 1948 book, “Your Creative Power”. While it is still a really popular approach, empirical studies have actually found that a group brainstorming ideas is less effective than one person working alone. It turns out that there needs to be a certain amount of creative tension, criticism or different perspectives for groups to be at their creative best.
● The brainstorming edict to not criticise brainstormed ideas may actually work against creativity and innovation. The author notes that: “Criticism allows people to dig below the surface of the imagination and come up with collective ideas that aren’t predictable.”
● Research has shown that creative teams can be too familiar and get stale once they have worked together for too long. Collaboration can be enhanced when a team includes new members (or facilitators), people from different disciplines and with different backgrounds.
● Physical spaces can help foster creative friction and sparks of insight. Amazing innovations have resulted from spontaneous and repeated interactions between people from disparate fields. To make this happen, physical proximity can act like a “magical incubator” for ideas.

Salah seorang speaker di Hubud.
Enam minit yang menginspirasikan dan membuatkan saya mengapresiasi tulisan Dizikes, lalu membayangkan bagaimana proses berbual biasa selama bertahun-tahun dengan teman yang mempunyai minat sama dan personaliti “satu kepala” berupaya melahirkan idea yang menggegarkan dunia lapangan mereka berkecimpung. Sebut saja individu seperti Morris Halle, Noam Chomsky, Paul Samuelson, Robert Solow dan banyak lagi atau di peringkat yang lebih kecil, komuniti anak muda bernama Urban Village yang berpusat di Bangsar.
Nikmat kolaborasi
Untuk saya yang bergiat dalam bidang seni budaya, kolaborasi adalah kenikmatan tersendiri kerana melaluinya tembok eksklusif dan keegoaan yang dibina atas dasar senioriti, ideologi dan sebagainya akan terpecah. kolaborasi dalam kegiatan kesenian baik sesama komuniti atau sesama pengkarya acap kali menghasilkan sesuatu yang luar biasa baik dari segi persembahan atau kutipan dan pastinya rasa puas dan persaudaraan. Andaikan hasilnya berbalikan dari yang saya sebut, sekurang-kurangnya jendela-jendela dan kemungkinan-kemungkinan baru sudah dan akan muncul.
Pengalaman semasa aktif bersama Frinjan saya gunakan untuk berkolaborasi bersama kelompok seni berbeza disiplin dan genre (Frinjan bermula dengan seni penulisan) dan kemudian dikembangkan dengan memasuki ranah NGO sehingga kepada kelompok fesyen. Pada akhirnya Frinjan melalui acara utamanya Pekan Frinjan berjaya menyatukan seni muzik, seni penulisan, seni teater, seni filem, aktivisme dan kepedulian kepada fesyen di dalam satu acara sehingga tidak ada rasa kejanggalan untuk membaca dan tetap berfesyen ala hipster, hijabster, kopiahster atau sempoi.
Dalam konteks politik, kolaborasi dalam pengertian umum telah diguna pakai parti-parti politik yang membentuk dua gabungan parti politik terbesar di Malaysia iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Bayangkan jika masing-masing parti tidak mahu berkolaborasi? Sampai sudah tidak akan ada kerajaan atau jika ada sekalipun kerajaan minoriti yang cenderung kacau bilau.
Manakala dalam konteks program pemerkasaan masyarakat; wanita, ibu tunggal, anak yatim, anak muda, golongan marjinal dan sebagainya, kolaborasi merupakan elemen penting kepada kejayaan sesuatu program. Beberapa tahun kebelakangan banyak teman yang aktif di dalam usaha-usaha pemerkasaan masyarakat seperti inisiatif Chow Kit Kita untuk remaja di Chow Kit dan inisiatif Komuniti Buku Jalanan untuk membudayakan membaca yang bermula di Shah Alam dan kini telah bercambah ke enam kota lainnya berbekal visi dan misi yang sama.
Baik kolaborasi berstruktur atau tidak, itu persoalan kedua kerana yang terpenting menurut saya adalah membudayakan membaca, berdiskusi dan berkolaborasii. Semoga nanti darinya terhasil idea-idea yang berupaya menggoncang dunia.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 7 Jun 2012

Tuesday, June 05, 2012

PACARAN = MASALAH


Sebenarnya masalah itu boleh datang dari mana-mana, namun berdasarkan pengalaman aku banyak masalah yang berakar dari pacaran (dalam pengertian aku pacaran atau bercouple lebih kepada bercinta kerana nafsu dan kurang percaya diri yang tidak mengarah kepada tujuan akhir bernikah sebaliknya eksperimen hati dan perasaan).

Jika masalah menimbulkan sisi positif itu tidak mengapa (contohnya produktif menulis), namun majoriti secara umumnya bermain dengan masalah-masalah 'bodoh' yang sengaja tidak diantisipasi dari awal gara-gara 'dogmatik' dalam menerjemahkan makna cinta.

Glorifikasi cinta dan pacaran adalah kebodohan menjengkelkan. Semoga dijauhkan.

Saturday, June 02, 2012

Perubahan: Sisi lain Gunung Batur


oleh Zulhabri Supian
“Ilmu pengetahuan bukanlah alat untuk memenuhi hasrat peribadi, tetapi alat untuk kemajuan sosial” — Komunitas Anak Alam
Perubahan dalam sesuatu masyarakat baik secara makro atau mikro akan terus berlaku kerana lumrah dunia akan sentiasa ada pembaharuan dan pergantian, akan tetapi dampak perubahan boleh condong ke arah positif atau negatif bahkan stagnan bergantung kepada pelbagai faktor. Secara mikro perubahan digerakkan oleh kekuatan kolektif individu-individu peduli dan sedar terhadap lingkungan mereka dan secara makro digerakkan melalui dasar-dasar kerajaan.
Setelah hampir 4 bulan di Pulau Bali, beberapa hari lepas saya berkesempatan mendaki  Gunung Batur yang terletak di bahagian tengah Bali. Sebenarnya hasrat untuk mendaki sudah lama saya pendam semenjak pertama kali menjejak kaki ke kawasan ini pada tahun 2007. Keindahan Gunung Batur serta Tasik Batur yang terlihat dari restoran-restoran makan yang berderetan di sepanjang jalan utama sering kali memanggil tubuh ini untuk menikmatinya secara dekat.
Gunung Batur merupakan gunung api yang masih aktif dengan ketinggian 1,717 meter diatas paras laut. Berdasarkan catatan sejarah, Gunung Batur telah beberapa kali meletus diantara tahun 1917, 1926, 1965 dan 2004 dan letusan tahun 1926 adalah yang terbesar sekaligus menelan banyak korban jiwa.
Gunung Batur terletak di bahagian tengah Bali.
Gunung Batur dikelilingi oleh kaldera berukuran sekitar 13.8x10km dan merupakan salah satu yang terbesar dan terindah di dunia (van Bemmelen, 1949). Perjalanan mendaki dan menuruni gunung berjaya saya lakukan dalam tempoh lima jam dibantu oleh pemandu gunung.
Perubahan makro
Gunung Batur terletak di kecamatan (mukim) Kintamani, Kabupaten (daerah) Bangli yang masih memiliki keluarga miskin yang cukup tinggi tidak seperti daerah Badung di mana terletaknya Pantai Kuta, Legian dan Seminyak yang gemerlap cahayanya ke seluruh dunia.
Jika berangkat menuju Gunung Batur dari Kuta, Legian, Seminyak atau Nusa Dua, anda akan melihat kontradiksi yang menyakitkan di mana anak-anak yang tinggal di desa Blandingan dan beberapa desa di kawasan berbukit kaldera Tasik Batur hidup serba adanya. Harus diingat bahawa Gunung Batur dan sekitarnya merupakan salah satu destinasi unggulan yang diusung  Kementerian Pariwisata dan Ekonomi Kreatif tahun ini.
Tatkala anak sebaya mereka di kota menikmati kemudahan pendidikan lengkap dan merayakan gaya hidup moden dengan berpacaran di kompleks membeli belah dan bermain play station. Mereka terpaksa meninggalkan sekolah kerana orang tua tidak mempunyai wang secukupnya dan membanting tulang membantu keluarga mencari pendapatan tambahan. Selain pendidikan, mereka tidak mendapat akses kepada air bersih, akses kepada kesihatan dan makanan bergizi. Kehidupan anak-anak ini menggambarkan tepat taraf hidup banyak keluarga di sekitar Gunung Batur yang hidup penuh perjuangan.
Maka menyedari ini saya sempat mengorek cerita dalam penat lelah mendaki dan menuruni dari pemandu gunung saya iaitu Komang. Komang tergabung di dalam organisasi Himpunan Pramuwisata Pendakian Gunung Batur (HP2GB) yang ditubuhkan sesuai “Peraturan Bupati nomor: 14 Tahun 2007, Tanggal 24 Mei 2007” yang mensyaratkan setiap pendaki untuk menggunakan khidmat pemandu gunung dari HP2GB.
Rasional pemerintah daerah Bangli adalah untuk memeratakan sumber hasil pendapatan dari sektor pelancongan dengan menyalurkan terus kepada warga mukim Kintamani yang selama ini hanya menikmati sisa-sisa hasil operator pakej pendakian yang majoriti bermukim di luar Kintamani.
Tambah sadis, para pelancong baik domestik atau antarabangsa selama ini sekadar singgah di Kintamani untuk makan, berfoto dan memuji keindahan sementara pemandu pelancong pula sibuk mengira hasil komisyen yang lumayan banyak. Manakala para penduduk seperti biasa setia mengerah kudrat untuk meneruskan kehidupan mereka yang jauh dari gemerlap lembaran rupiah industri pelancongan yang tidak memperkasakan mereka.
Jadi ketika diberitahu oleh teman-teman di Bali bahawa saya harus menggunakan khidmat pemandu gunung saya tidak membantah seperti mana sebahagian pelancong terutama dari Barat yang berpendirian “hutan adalah hak masyarakat” dan harus bebas dari biaya kerana saya tahu wang ini akan menghidupi mereka secara langsung.
Menurut Komang, setakat ini seramai 66 penduduk tempatan bergabung di dalam HP2GB  dan jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa kerana antusias pelancong untuk mendaki tidak pernah menurun. Menurutnya lagi, HP2GB menggunakan sistem giliran untuk menjamin keadilan kepada semua pemandu gunung dan pada musim tidak sibuk, setiap 2 hari mereka akan mendapat tamu dan setiap hari pada musim sibuk.
Perubahan mikro
Selain dari HP2GB, sebuah komuniti lainnya bernama Komunitas Anak Alam turut memainkan peranan besar dalam memperkasakan warga terutama anak-anak di sekitar mukim Kintamani. Tanggal 27/5 lepas saya menghadiri program Hari Komunitas sempena acara “Bali Emerging Writers Festival” di mana melalui program ini berbagai komuniti memperkenalkan misi dan visinya kepada para pengunjung.
Booth Komunitas Anak Alam menarik perhatian pengunjung.
Melalui program ini saya diperkenalkan kepada sosok unggul bernama Pande Putu Setiawan, Ketua Komunitas Anak Alam yang memperoleh peluang belajar lebih tinggi ketika kelilingnya tidak memiliki kesempatan yang sama. Menarik tentang Pande Putu Setiawan ketika kebanyakan orang memilih untuk bekerja di syarikat-syarikat besar,  beliau memutuskan untuk bersama anak-anak dari keluarga tidak mampu di desa terpencil Blandingan-Kintamani yang kemudiannya melahirkan Komunitas Anak Alam.
Komunitas Anak Alam berkomitmen bahawa “Mendapatkan kesempatan hidup yang lebih baik adalah hak semua orang termasuk anak-anak yang hidup di kampung-kampung terpencil tersebut”.
Seperti terangkum di dalam laman web mereka, Komunitas Anak Alam mempunyai visi yang sangat murni, “Memberikan wadah bagi kaum muda Bali khususnya dan seluruh anak muda Indonesia untuk menunjukkan diri sebagai anak muda yang selain berpendidikan tetapi juga memiliki kepekaan sosial yang tinggi dan untuk mengakomodasi masyarakat peduli yang lain untuk berbagi kebaikan bersama-sama. Memberikan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak kita sekaligus memberikan bumi yang lebih layak huni”.
Untuk mencapai visi ini pelbagai aktiviti dilaksanakan Komunitas Anak Alam seperti mewujudkan perpustakaan, melaksanakan pertandingan kreativiti seperti melukis, menyanyi, menari, menulis dan lain-lain, bergotong royong membersihkan Tasik Batur yang semakin tercemar, pemberian makanan percuma, tayangan filem, pemberian biasiswa,  kursus Komputer dan Bahasa Inggeris percuma dan banyak lagi.
Perubahan mikro yang digerakkan Pande Putu Setiawan sempat diapresiasi majalah Reader’s Digest sebagai salah satu anak muda “Inspirasi Sukses untuk Indonesia” dan wajib dijadikan ikutan kita semua dan dipopularkan sebagai hal yang “cool” kerana hanya dengan pengisian yang bermakna kata “cool” itu akan menjadi jargon yang mulia dan kuat menghadapi badai “trendy” yang rapuh.
Pada akhirnya, setiap dari kita wajib menjadi ejen perubah kepada suatu yang lebih baik, sama ada sifatnya makro atau mikro itu hal kedua kerana idea dan tindakan itu maha besar sifatnya. Semua hal yang berlaku di dunia ini bermula dari idea, hanya si dungu takut kepada idea yang boleh menggoncang perubahan.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 31 Mei 2012