Tuesday, August 28, 2012

Nasionalisme pembodohan di Indonesia


oleh Zulhabri Supian

Nasionalisme adalah perebutan kekuasaan...
Nasionalisme adalah kekayaan pribadi...
Nasionalisme adalah menindas rakyat...
Nasionalisme adalah mencuri aset negara...
Nasionalisme adalah pembodohan massa...

Di atas salah satu rangkap puisi berjudul “Sebuah puisi nasionalisme pembodohan” karya Phandjie Trihatmojo, anak muda dari Depok yang mewakili kekecewaan sebahagian masyarakat Indonesia terhadap negara dan pemerintahnya.

Jika di Malaysia, slogan “Malaysia Boleh” ciptaan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi sesuatu yang dilebih-lebihkan, Indonesia tidak terkecuali mengalami hal yang sama dengan kata “nasionalisme”. Kata yang positif jika terlebih pakai dan terlebih dimaknai akan menjadi hal yang berlawanan. Sungguh beruntung generasi muda Malaysia kerana kata nasionalisme dari awal disedari maknanya sebagai “poyo” sehingga menjadi nasionalis bererti menyokong pemerintah Umno dan Ketuanan Melayu.

Semenjak berkenalan dengan Indonesia, saya melihat ada dua kelompok yang mendominasi wacana di Indonesia; pertama kelompok nasionalis (nasionalisme pembodohan) dan kedua kelompok rasionalis (nasionalisme rasional). Malangnya kelompok pertama lebih mendominasi sementara kelompok kedua yang dominan di Malaysia menjadi pinggiran di sana dan sering dicerca warga senegara kerana dituduh tidak cukup nasionalis.

Kes teman saya, Wening Gemi Nastiti mahasiswi di Limkokwing menjadi contoh klasik. Sewaktu heboh petugas Pejabat Kelautan dan Perikanan Indonesia yang ditangkap Polis Diraja Malaysia pada 2010, Wening menulis artikel di Kompasiana, laman blog pembaca Kompas dengan judul “Salam dari Kami, Pelajar Indonesia yang Menuntut Ilmu di Malaysia”. Artikel ini kemudian mengundang perdebatan hangat pro dan kontra kerana ditafsir kaum nasionalis sebagai pro-Malaysia. Wening dicerca banyak pembacanya dan itu biasa.

Jika di Malaysia warga yang pro kepada negara (selalu bererti pro-Umno) sebaliknya yang dicerca sebagai pencacai dan dituduh tidak kritis. Barangkali ini salah satu sebab Malaysia secara ekonomi relatif maju kerana warganya tidak mudah berpuas hati. Kelentong nasionalisme tidak laku di Malaysia selagi ekonomi masih kalah jauh dengan Singapura dan ketika sebahagian rakyat dianggap kelas kedua.

Indonesia mampu lebih maju jika perlawanan melawan nasionalisme pembodohan berjaya dimenangi. Selama ini warga Indonesia mudah dipancing emosi dan akal sihat oleh pemerintah dari zaman Soekarno hingga ke zaman reformasi dengan mencari musuh bersama yang seringkali adalah Malaysia. Dulu pemerintah Malaysia melakukan hal sama dengan menjadikan Singapura sebagai kambing hitam dan sekarang tidak laku lagi.

Dalam banyak kes, pemerintah Indonesia berjalan seiring dengan media mereka yang mengamalkan kebebasan bereskpresi yang liar dan tidak bertanggungjawab. Apa yang dilapor media dan diungkap pemimpin tentang Malaysia dipercayai bulat-bulat walhal dalam hal ehwal politik dalam negara mereka lebih kritis. Pengamatan saya sifat kritis hanya digunapakai di dalam politik dalam negara tetapi tidak jika berhubungan dengan Malaysia. Ada double standards di sini.

Tambah melucukan jika hubungan kedua negara sedang memanas, kata “Ganyang Malaysia” sering dilaungkan walhal yang melaungkan dengan penuh semangat barangkali adalah pembenci Parti Komunis Indonesia (PKI) yang merupakan tulang belakang kepada gerakan. Gerakan “Ganyang Malaysia” adalah bentuk perlawanan kepada pembentukan Malaysia yang dijuarai Soekarno kerana dianggap sebagai “boneka British”.

Ironis sekali, tetapi tidak menghairankan apabila nasionalisme dikedepankan berbanding fakta sejarah baik versi rasmi mahupun alternatif. Jika mengetahui fakta sekalipun, sering terjadi pengetahuan tentang gerakan kiri dan komunis serta sejarah Nusantara difahami skopnya sebatas acuan negara Indonesia moden. Yang pasti tidak ramai tahu bahawa Malaysia turut merdeka dengan darah serta air mata dan ini nasionalis Malaysia juga tidak tahu.

Jenaka tentang perbezaan kata dalam Bahasa Indonesia dan Malaysia yang disebar di Internet dan dipercayai ramai warganya tanpa menyoal menambahkan lagi daftar nasionalisme pembodohan yang dicipta dengan senyap. Saya sering ditanya warga biasa Indonesia tentang kebenaran kata “Kementerian Tuduh Menuduh”, “Kementerian Tak Berdosa”, “Laskar Hentak-Hentak Bumi”, “Hospital korban lelaki” dan apabila saya menjawab tidak, ramai yang seolah tidak percaya.

Contoh lain kes nasionalisme pembodohan adalah ketika warga mereka melancong ke Malaysia. Mereka yang rasionalis biasanya akan melihat Malaysia dengan objektif tetapi kaum nasionalisme pembodohan akan berkata seperti ini, “Malaysia itu sebenarnya tidak punya apa-apa baik budaya mahupun tempat menariknya, kalau Indonesia diurus dengan baik kita mampu meninggalkan mereka dengan jauh” dan “Malaysia negara kecil cuma 27 juta, Indonesia punya 240 juta dan tidak mudah diurus”. Anehnya mereka tidak berbuat sesuatu yang serius untuk melawan salah urus negara.

Mentaliti seperti ini tidak akan membawa Indonesia ke mana-mana kerana telah dibonsai dengan kata nasionalisme sehingga hilang daya kritis dan dibutakan mata tentang fakta kejayaan China membangun ekonominya dengan jumlah penduduk lebih satu bilion. Itu belum saya beritahu bahawa erti “Melayu” di Malaysia itu termasuk di dalamnya etnik Jawa, Bugis, Banjar dan lain-lain serta kaum Cina dan India membentuk lebih dari 30 peratus warga Malaysia. Kaum nasionalis sentiasa di dalam sindrom penafian yang tanpa disedari dimanfaatkan sebaiknya pemerintah mereka untuk terus merompak harta negara dan membodohkan warganya.

Nasionalisme pembodohan ini sangat mengakar ke seluruh tubuh warga seperti mana budaya rasuah sehingga aspek-aspek kebersamaan yang bersifat lebih sejagat dipinggirkan berbanding sebuah kata nasionalisme yang membodohkan. Melawan nasionalisme pembodohan merupakan hal yang paling mendasar untuk dilakukan warga Indonesia seperti mana warga Malaysia melawan slogan “Malaysia Boleh”, “Keranamu Malaysia” dan kini “Janji Ditepati”. Bagaimana untuk melawan? Untuk permulaan warga Indonesia harus menuntut pemerintah menjadikan ekonomi Indonesia sama baik atau lebih baik dari Malaysia.

Menurut saya kata-kata John F. Kennedy, “Jangan tanyakan apa yang negara ini berikan kepadamu tapi tanyakan apa yang telah kamu berikan kepada negaramu” sangat tidak relevan jika sesebuah negara diperintah kaum penindas dan koruptor. Apa yang diperlukan negara adalah pemerintah adil serta rakyat yang cerdas dan jika terpenuhi, rasa nasionalisme suci yang manusiawi dan inklusif akan muncul. Soal siapa yang memberi tidak timbul kerana masing-masing saling memberi.

Bermula dengan ASEAN yang akan terbuka pada 2015, mari kita warga Indonesia dan Malaysia serta negara ASEAN lain berfikir sebagai satu kesatuan yang mengutamakan nilai-nilai sejagat yang membebaskan kita dari pembodohan kepada pemerkasaan pemikiran dan daya tindak. Sudah tiba masanya warga ASEAN dan dunia bersatu tenaga menolak segala bentuk pembodohan dan penindasan tanpa melihat batas-batas negara. Untuk hal ini, saya merasa syukur kerana mempunyai banyak teman yang berkongsi hasrat yang sama dan tentangannya kini adalah bagaimana untuk menyebarluas.

Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 23 Ogos 2012

Monday, August 13, 2012

Ketuanan Bali, Melayu & Islam

oleh Zulhabri Supian

Menurut Chris Barker, konsep identiti adalah “it pertains to cultural descriptions of persons with which we emotionally identify and which concern sameness and difference, the personal and the social”. Beliau kemudian menambah bahawa identiti itu merupakan konstruksi budaya kerana “the discursive resources that form the material for identity formation are cultural in character”.

Manakala politik identiti ditandai dengan penguatan identiti sesuatu kelompok masyarakat baik yang berakar kaum mahupun agama dan kini merupakan fenomena global yang berlaku di mana-mana, barangkali sebagai bentuk tentangan terhadap arus globalisasi atau mungkin rasa kurang percaya atau terlebih percaya diri sesuatu masyarakat. Politik identiti seringkali dimainkan peranannya oleh mereka yang sedang berkuasa melalui penguatan identiti sesuatu kelompok sebagai tuan dan dikukuhkan dalam bentuk undang-undang. Jika di Malaysia popular dengan wacana “Ketuanan Melayu” yang secara terang dan bersembunyi mendiskriminasi rakyat Malaysia bukan berketurunan Melayu (baca Melayu Islam), di Bali mereka mempunyai “Ajeg Bali” (Ketuanan Bali) yang menurut saya kedua-dua esensinya mirip.

Menurut Gde Putra, aktivis di Komunitas Taman 65, “Ajeg Bali, yang mana ‘ajeg’ adalah kuat dan tangguh adalah upaya agar Bali tetap kukuh. Wacana Ajeg Bali ini muncul pasca Bom Bali 1 sebagai respon terhadap terorisme. Menjaga Bali tidak hanya bersifat fizik seperti merawat pura (kuil) dan candi kuno agar tidak memudar tetapi juga bersifat luas iaitu budaya Bali. Dengan semangat penjagaan, Ajeg Bali diambil oleh beberapa pakar, mereka mengaitkannya dengan keajegan Hindu sebagai agama majoriti dan tuan rumah di Bali. Sehingga Ajeg Bali adalah bahagian inner power Hindu”.

Dalam upaya penguatan identiti kebalian itu, setiap desa adat berusaha menjaga kawasannya dari dimasuki budaya yang bukan Bali. Bermacam cara digunakan seperti menghidupkan kembali Pecalang (Polisi Desa Adat) sehingga memasang pembesar suara di kuil untuk memutar rakaman puja trisandya (seperti azan) tiga kali sehari.

Jika pernah ke Bali, saya pasti anda pernah melihat pecalang, mereka adalah kelompok pemuda berpakaian adat dengan warna gelap yang bertugas tidak hanya sebagai tukang parkir atau penjaga trafik saat upacara adat, namun juga ditugaskan melakukan sweeping pendatang yang tidak mempunyai KTP (kad pengenalan). Pecalang kalau di Malaysia boleh kita samakan dengan penguatkuasa jabatan agama Islam seperti dari JAIS, JAWI dan sebagainya.

Meskipun begitu toleransi masyarakat Hindu terhadap masyarakat Muslim secara umumnya masih berjalan baik sehingga sekarang walaupun dalam beberapa ketika mengalami ketegangan dan konflik. Umumnya ketegangan muncul kerana perselisihan di antara kelompok anak muda yang dikeranakan persoalan-persoalan kecil seperti saling pandang memandang, berebut teman wanita atau teman lelaki dan bunyi motor yang dikuatkan.

Namun pada pengamatan saya, hubungan masyarakat Muslim-Hindu di Bali terbahagi kepada dua iaitu bersifat baik terhadap mereka yang tinggal di kampung Islam (sudah wujud lama dan penduduknya menjadi sebahagian dari orang Bali) dan bersifat kurang baik dan curiga terhadap mereka yang tinggal di kawasan bercampur-campur (kebanyakan pendatang baru yang ingin mencari rezeki).

Berdasarkan sejarah, kampung Islam seperti Kampung Loloan, Pegayaman dan Kusamba berjaya tumbuh di tengah lautan desa adat Hindu kerana dua faktor, pertama tanah warisan diberikan oleh penguasa Puri (Istana) bagi perantau dari Jawa, Lombok mahupun Bugis-Makassar dan kedua penguasa Puri memberi perlindungan kepada perantau kerana pertimbangan ekonomi, tawanan perang dan sebagai askar kerajaan.

Hubungan warga kampung dengan warga desa-desa Hindu selama ini dibangun melalui ikatan kekerabatan berdasarkan hubungan darah melalui perkahwinan antara warga kampung dan warga banjar (desa-desa Hindu) di sekitar kampung. Perkahwinan silang tidak menjadi masalah di sini kerana menggunakan garis lelaki, jadi gadis Hindu akan memasuki Islam dan gadis Muslim akan memasuki Hindu dan ini tidak dipermasalahkan.

Selain dari kekerabatan, ikatan dibangun melalui penggunaan bahasa Bali dalam komunikasi sehari-hari dan kegiatan gotong royong. Berbeza dengan masyarakat Muslim yang mendiami perkampungan yang sifatnya autonomi dan sudah lama wujud, mereka yang tinggal di kawasan bercampur-campur menghadapi banyak masalah kerana kawasan mereka berada di bawah kekuasaan desa adat yang Hindu. Masyarakat Muslim yang tinggal di luar perkampungan dan lazimnya mencari rezeki sebagai pemulung (mencari & menjual barang-barang terpakai), penjual bakso, pekerja seks dan lain-lain sering merasa takut apabila didatangi pecalang yang melakukan pemeriksaan KTP.

Akibat dari pengetatan peraturan kependudukan bagi pendatang, setiap warga pendatang harus memiliki KTP sementara yang dipanggil KIPEM (kad identiti penduduk musiman) dan jika enggan menguruskannya hendaklah pulang ke tempat asal atau keluar dari Bali. Masyarakat Muslim (termasuk Kristian dan lain-lain) ini juga harus membayar cukai kepada banjar setempat untuk mendukung program-program banjar seperti kegiatan upacara keagamaan dan sebagainya.

Warganegara Indonesia berasal dari luar Bali ini dianggap “orang luar” dan patut dicurigai kerana dianggap akan membawa pengaruh buruk ke dalam masyarakat Bali dan sering dipersepsikan sebagai teroris, pencuri, penyebar penyakit seksual dan banyak lagi. Tentangan ke hadapan pasti menarik untuk diperhatikan, perubahan sosial dan politik di masa hadapan akan mencatur pola perhubungan rakyat baik di Bali mahupun Malaysia sama ada masih bersandarkan pada solidariti identiti atau solidariti kelas dan solidariti kebersamaan yang melintasi kaum dan agama.

Di Bali solidariti berdasarkan identiti lebih diterima kerana mendapat dukungan pemerintah Bali dan elit-elit lokal yang bergerak di dalam industri pelancongan, lantas mencipta musuh bersama iaitu “pendatang” dan dengan itu segala polisi-polisi yang tidak adil dan bersifat menjual Bali boleh ditutup dengan mudah. Manakala di Malaysia solidariti berdasarkan identiti diterima kerana mereka percaya Melayu Islam sebagai akar tunjang Ketuanan Melayu adalah bangsa terpilih lantas keadilan hanya layak dilihat dari kacamata mereka sahaja.

Syahredzan Johan dalam tulisan berjudul “We are Malay-Muslims, We are Entitled” secara jelas menyatakannya, “We find ourselves up in arms at the fate of Muslims minorities in other countries like Thailand, Philippines, Myanmar and China. We invoke freedom of religion when we hear of minarets being banned in Switzerland or burqas being banned in France. But if the rights of Muslim minorities should be protected in the face of the majority, why is it that we do not have the same vigour to protect the rights our non-Muslim minorities? Why must the rights of others here only be exercised if we deem those rights as exercisable?”

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 5 Ogos 2012.

Thursday, August 02, 2012

Nasi lemak di Bali


































Nasi lemak adalah makanan khas Malaysia dan kebiasaan dihidangkan untuk sarapan pagi. Meskipun begitu beberapa tahun belakangan nasi lemak berubah menjadi makanan yang dijual 24 jam dan menjadi satu hal yang biasa untuk menikmatinya ketika makan malam. Beberapa faktor mendorong kepada tren baru ini, salah satunya adalah tumbuhnya kedai makan 24 jam dan yang beroperasi lewat sore hingga ke pagi di mana-mana serta perubahan gaya hidup masyarakat Malaysia.

Nasi lemak dimasak menggunakan santan kelapa dan kadangkala daun pandan dimasukkan ketika nasi lemak dimasak untuk menambahkan aromanya. Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, teri goreng dan sambal. Tetapi kini nasi lemak dijual dengan berbagai lauk seperti daging, ayam, sotong, udang, limpa, dan hati (lembu).

Kini nasi lemak yang enak bisa dinikmati di Bali, pulau syurga yang sentiasa menggamit kunjungan pelancong dari seluruh dunia. Tepat lokasinya di Jalan Pulau Komodo di Sanglah (di hadapan Circle K) dengan nama Warung Feons dan cabang barunya di Jalan Tukad Irawadi dengan nama Fil & Lif. Pemilik kedua-dua warung ini namanya Pak Jaya yang pernah bekerja di tempat judi Genting di Malaysia selama beberapa tahun. Saking lamanya di Malaysia Pak Jaya tahu benar selera mahasiswa kedoktoran Malaysia yang berjumlah sekitar 250 orang yang sedang kuliah di Udayana dan memanfaatkan peluang itu untuk berbisnis.

























Kedua-dua warung ini dibuka 24 jam dan di cabang barunya tersedia wi-fi, AC dan televisyen untuk nonton bareng. Jika anda berkunjung ke Bali, sila singgah sebentar di Warung Feons atau Fil & Lif untuk merasai keenakan nasi lemak Pak Jaya. Pak Jaya bisa dihubungi di nombor ini 085339155927.

Monday, July 30, 2012

Keangkuhan ibadat, adat & tradisi


oleh Zulhabri Supian


Saudi authorities warned non-Muslim expatriates on Friday, the first day of Ramadan, not to eat, drink, or smoke in public until the end of the Muslim holy month’s sunrise-to-sunset fast — or face expulsion. The Interior Ministry of the oil-rich kingdom called on expatriates to “show consideration for feelings of Muslims” and “preserve the sacred Islamic rituals.” Otherwise, a ministry statement said, Saudi authorities will cancel violators’ work contracts and expel them.

Petikan berita di atas merupakan kenyataan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi seperti dilaporkan agensi berita Associated Press bertarikh 20 Julai yang dikutip hampir seluruh media berpengaruh di dunia dan tidak terlepas media nasional di Malaysia dan Indonesia.

Kenyataan menteri tersebut seperti memberitahu dunia bahawa bulan keangkuhan umat Islam sudah tiba, maka berjaga-jagalah dan hormatilah kami yang mudah terusik rasa sensitifnya. Tren sama yang angkuh turut berlaku di dunia Islam lain tidak terkecuali Malaysia dan Indonesia walau dalam bentuk yang berbeza yang tidak terlihat keras tetapi intinya tetap sama; kami sedang berpuasa dan kalian tidak, maka sebagai insan lemah dan mudah tergoda hawa nafsu kalian harus menghormati amalan berpuasa kami.

Di Malaysia terutama di laman Facebook dan Twitter, kita dengan mudah menemui komentar dan kicauan dari mereka yang Muslim menegur dan menyumpah seranah orang bukan Islam yang menyibuk di bazar Ramadan dan kedai-kedai makan ketika menghampiri waktu berbuka kerana dikatakan menganggu kelancaran proses penting dalam amalan berpuasa iaitu berbuka puasa.

Keberadaan orang bukan Islam di waktu-waktu genting seperti itu sering dipermasalahkan dan didakwa sebagai tidak menghormati mereka yang sedang berpuasa. Itu belum saya menyebut politik bulan puasa yang terjadi di tempat kerja yang terdiri dari pekerja berbilang agama.

Sesama Muslim tidak terlepas dari isu juga, lihat saja ketika perlawanan bola sepak persahabatan di antara Kelantan menentang QPR yang dilangsungkan sebelah malam setelah jam solat terawih yang dipermasalahkan seolah-olah Ramadan itu tentang solat terawih semata-mata.

Banyak komentar dan kicauan yang menyindir kekalahan Kelantan kerana faktor pemainnya tidak menunaikan solat terawih memperlihatkan bulan mulia ini memunculkan kebodohan dan keangkuhan yang menjengkelkan. Tambah jengkel ada yang tidak menunaikan solat fardhu tetapi menunaikan solat terawih yang sunat kerana tekanan sosial masyarakat barangkali dan ingin terlihat beragama di kacamata lingkungannya.

Tambah jengkel apabila orang bukan Islam cuba berpuasa dipuji puja dengan harapan mereka akan memeluk Islam dan ada pula yang berfikir puasa itu sejatinya milik Islam seperti mana mereka memahami bahawa Melayu itu Islam, lantas mereka hairan kenapa mereka ingin berpuasa.

Seharusnya bulan Ramadan memunculkan aspek Islam yang humanis dalam erti kepedulian terhadap kaum miskin dan hidup sederhana, malah yang muncul adalah keyakinan kuat bahawa Islamlah agama yang sangat benar dan ikutlah kami kerana jika tidak kalian akan dibakar di neraka kelak.

Namun ada yang indah hadir dari Indonesia apabila organisasi massa yang terkenal keras, Front Pembela Islam melalui ketua FPI Cabang Jakarta, Habib Salim bin Umar Alatas menentang penggunaan pembesar suara berlebihan selama Ramadan.

Beliau berkata, “Hal itu memang lebih baik bahawa masjid-masjid hendaknya menyesuaikan pengeras suara mereka ketika membaca Alquran, agar kegiatan tersebut tidak mengganggu orang lain, terutama jika para pembaca tidak dapat membaca dengan lancar atau tidak memahami apa yang mereka baca, jangan sampai orang lain memberikan komentar negatif”.

Sebelumnya pemerintah di Kalimantan Tengah (Kalteng) telah menyeru supaya masjid-masjid tidak menggunakan pembesar suara ketika menggelar tadarus di bulan puasa, sebagai bentuk toleransi terhadap umat beragama lain.

Seperti yang dilaporkan The Jakarta Post (19/7), Wakil Gubernur (Wagub) Kalteng, Achmad Diran berkata “Jangan gunakan pengeras suara ketika tadarus, kasihan umat beragama lain yang ingin beristirahat. Silakan menggunakan pengeras suara ketika azan Magrib dan tarawih, tetapi begitu jam sembilan malam, tolong matikan (pengeras suara)”.

Keangkuhan adat & tradisi

Jika bulan Ramadan memunculkan keangkuhan beribadat yang ditandai dengan amalan berpuasa, di Pulau Bali yang saya diami sekarang juga memunculkan keangkuhan dalam bentuk adat dan tradisi yang ditandai dengan perarakan layang-layang.

Baru-baru ini berlangsung festival permainan layang-layang bertaraf antarabangsa di Pantai Padang Galak berdekatan Sanur dan jauh sebelum itu dan hingga kini permainan ini masih dimainkan kerana angin kencang sedang melanda pulau ini.

Menjadi tradisi setiap kumpulan yang terdiri dari kebanyakan lelaki dari pelbagai lapisan umur untuk mengadakan perarakan membawa layang-layang yang berbentuk gergasi melalui jalan-jalan utama dan kebetulan kebanyakannya kecil di sini.

Secara jujur tradisi bermain layang-layang ini sangat baik dan tidak dipermasalahkan, hanya saja perarakan yang dibuat dengan niat untuk menunjuk-nunjuk dan sengaja memandu (layang-layang dibawa dengan mini truk) perlahan lantas memperlahankan aliran trafik dengan iringin deruman enjin motor dan hon yang memekakkan sangat menjengkelkan. Apatah lagi tradisi perarakan ini memperlihatkan kepada pengguna jalan raya yang lain wajah angkuh dan samseng dari peserta perarakan seandainya ada yang tidak memberi kerjasama.

Saya dimaklumkan bahawa tradisi mengkedepankan otot dan bukan akal fikiran menjadi kebanggaan di sini yang diwarnai dengan bersemaraknya organisasi massa seperti Laskar Bali dan Pemuda Bali Bersatu (Perkasa dan Pekida jika di Malaysia) yang mendakwa sebagai benteng pertahanan Bali.

Malangnya hingga kini mereka sangat lemah bila berhadapan dengan pelabur besar yang membawa dollar seperti mana Umno yang berdegar-degar berbicara tentang ketuanan Melayu yang pada hakikatnya hanyalah ketuanan ringgit.

Bagi saya keangkuhan dalan bentuk ibadat, adat dan tradisi bermunculan di sana sini sebagai manifestasi rasa percaya diri yang rendah dan kekeliruan dalam menyikapi perubahan dunia global yang semakin kencang.

Saya tidak berminat dengan teori konspirasi tentang globalisme dan isu-isu sekitarnya tetapi sangat berusaha sedaya upaya untuk mengkedepankan nilai sejagat yang semakin menjadi arus perdana berkat globalisasi; mementingkan toleransi, saling menghargai dan menolak keangkuhan.

Jika anda suka beribadat dan jika anda hidup dengan adat dan tradisi, jangan lupa jadikan toleransi, saling menghargai dan bersederhana sebagai bahagian dari ibadat, adat dan tradisi juga.

Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 25 Julai 2012.

Friday, July 27, 2012

Ramadan di Bali - minggu pertama

Minggu pertama Ramadan di Bali aku berkesempatan mengunjungi 3 perkampungan atau kawasan di mana masyarakat Muslim menetap. Kepada mereka yang berencana berpuasa di Bali (tidak semestinya tahun ini) semoga ini bermanfaat.

Kampung Bugis Tuban 
Kampung ini terletak di daerah Tuban berhampiran lapangan terbang dan kebiasaannya teksi yang membawa penumpang ke Kuta akan melalui jalan ini. Aku pernah menulis tentang keragaman di Kuta dan sekitarnya sebelumnya di The Malaysian Insider.
Kampung Jawa, Denpasar 
Kepada penikmat makanan Jawa terutama dari Madura di sinilah syurganya.
http://www.thejakartapost.com/bali-daily/2012-07-27/kampung-jawa-offers-ramadhan-treats.html

Loloan Timur & Barat, Negara 
Letaknya 3 jam perjalanan dari Kuta/Denpasar dan sangat berbaloi dilawat jika mempunyai masa percutian panjang atau jika meminati ilmu antropologi serta berminat tentang kebudayaan. Aku pernah menulis tentang Loloan di sini.


bazar Ramadan di luar Masjid Baiturrahmah, Kg Jawa Denpasar




Penginapan murah di Loloan, 60,000 rupiah



aneka juadah berbuka


bersahur bersama remaja Loloan Timur

Al-Quran tertua di Bali tulisan tangan ulama dari Terengganu

bertemu takmir Masjid Agung Baitul Qodim, Loloan Timur


bertemu penjaga makam Buyut Lebai

masjid agung perkampungan Bugis di Tuban berdekatan airport

Tuesday, July 24, 2012

Generasi Ada Apa Dengan Cinta dan seorang Ladya Cheryl

oleh Zulhabri Supian

Kemaskini 29 April 2016

Seorang Alya (Ladya Cheryl)

Wawancara singkat aku dengan Alya (Ladya Cheryl) yang diatur oleh Zeke Khaseli (frontman band Zeke and The Popo yang terkenal melalui OST filem Janji Joni) pada 2012 (suami Ladya sejak 2014). Ladya sosok berbeza dari Dian Sastro dan kawan-kawan, tiada akaun Instagram dan jarang ada berita tentangnya. Setelah wawancara ini pernah terserempak sekali di Stadium Gelora Bung Karno semasa kempen Jokowi (Ladya yang menjadi relawan Jokowi terlihat sedang tekun mengutip sampah sarap yang ditinggalkan pendukung Jokowi). Satu hal pasti jika rindu sosok Ladya tontonlah filem-filem lakonannya setelah AADC yang tidak begitu komersial;
Biarkan Bintang Menari (2003)
Kara, Anak Sebatang Pohon (2005)
Banyu Biru (2005)
Fiksi. (2008)
Babi Buta yang Ingin Terbang (2008)
Trip To The Wound (2008)
Kebun Binatang (2012)

Aku lari ke hutan, kemudian menyanyiku
Aku lari ke pantai, kemudian teriakku
Sepi-sepi dan sendiri
Aku benci

Aku ingin bingar,

Aku mau di pasar
Bosan Aku dengan penat,
Dan enyah saja kau pekat
Seperti berjelaga jika Ku sendiri

Pecahkan saja gelasnya biar ramai, biar mengaduh sampai gaduh,

Ada malaikat menyulam jaring laba-laba belang di tembok keraton putih,
Kenapa tak goyangkan saja loncengnya, biar terdera

Atau aku harus lari ke hutan belok ke pantai?


bosan aku dengan penat

dan enyah saja kau pekat
seperti berjelaga jika kusendir

Di atas adalah puisi berjudul “Tentang seseorang” yang dibaca dan dilagukan oleh Dian Sastro sambil diiringi petikan gitar dari Anda Bunga. Pembacaan puisi ini menghiasi salah satu babak dalam filem Ada Apa Dengan Cinta yang menjadi fenomena di Indonesia pada tahun 2002 dan kemudian tidak lama setelah itu Malaysia.

Semasa puisi indah ini dibacakan, ada adegan memilukan di mana Alya (teman Cinta yang dilakonkan oleh Dian Sastro) yang kerap dipukul ayahnya cuba untuk membunuh diri setelah permintaannya kepada Cinta untuk menemaninya di rumah tidak dapat dipenuhi.

Cinta terpaksa berbohong bahawa dia akan ke hospital kerana sudah berjanji sebelumnya untuk berkasih sayang di sebuah kafe bersama Rangga yang dilakonkan oleh Nicholas Saputra dan di kafe itulah Cinta menyanyikan lagu yang dibuat dari puisi “Tentang seseorang” Rangga.

Filem ini meraih kejayaan besar dan menandai kebangkitan dunia perfileman Indonesia pasca-reformasi. Saya sendiri terinspirasi banyak dari filem ini terutama untuk mengenal Indonesia dengan lebih dalam termasuk dunia sasteranya, selain dari aspek politik.

Saya masih ingat kunjungan pertama ke Jakarta pada 2004 dipenuhi dengan pesanan buku  AKU karya Syumandjaya yang dipopularkan menerusi filem ini. Maka selain kata gelar generasi reformasi, saya dan mereka yang kemudian lebih menghargai Indonesia yang sentiasa dimomokkan negatif oleh media arus perdana Malaysia kala itu yang anti-reformasi suka menyebut, generasi Ada Apa Dengan Cinta.

Melalui pengamatan saya, komentar terbanyak yang diterima selepas menonton filem ini adalah tentang watak Alya yang dilakonkan oleh Ladya Cheryl. Banyak yang bertanya termasuk saya kenapa watak Cinta tidak diberikan kepada Ladya.

Masa berlalu dan persoalan ini terlupakan dan baru-baru ini saya berkesempatan bertanya beberapa soalan kepada si empunya diri perihal terkini beliau, signifikan ulang tahun kesepuluh filem Ada Apa Dengan Cinta dan hal-hal lain. Berikut soal jawab bersama Ladya Cheryl.

Ladya bermain bass untuk Zeke Khaseli
Salam Ladya, apa khabar? Boleh ceritakan sedikit tentang perkembangan terkini?
Baik, terima kasih. Filem terakhir saya Postcards from the Zoo/Kebun Binatang dan baru selesai penayangan di Jakarta dan sekarang sedang belajar bermain bass.

Kamu dikenal di Malaysia menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC), apa signifikan filem ini terhadap kamu?
Senang juga masih diingat. Di awal Mac 2012 memasuki tahun kesepuluh setelah AADC, kami (tim AADC) melaksanakan reuni kecil dengan mengundang beberapa teman-teman untuk menonton bersama para pelakon dan krew. Ada juga kuiz-kuiz yang dibuat untuk mendapatkan tiket menonton di hari ulang tahun yang kesepuluh tersebut. Pengalaman AADC memang agak susah di tinggalkan.

Setelah AADC, kamu sering berlakon di dalam filem independen dan secara peribadi saya suka filem “Babi Buta Yang Ingin Terbang”. Apa alasan kamu memilih berlakon filem seperti ini?
Babi Buta Yang Ingin Terbang adalah filem ketiga saya dengan Edwin (sutradara). Saya dan Edwin pertama kali bekerjasama menerusi filem pendek “Kara Anak Sebatang Pohon” dan kemudian filem pendek kedua yang di buat semasa penggambaran Babi Buta, Trip to the Wound. Edwin mengajak saya berbual tentang hal-hal yang berkaitan dengan filem yang kemudian membuat saya tertarik. Alasannya mungkin hanya kerana saya senang berbual dengan Edwin.

Tentang filem Babi Buta, kamu punya pandangan tentang tema filem tersebut? Bagaimana kamu menyikapi perubahan terhadap etnik Cina yang terjadi pasca-reformasi?
Tema yang diangkat Edwin saya rasa sangat berani dan membuat kita yang menonton merasa percaya akan visual yang ditampilkan dan terasa jujur yang akhirnya membuat hanyut dalam perasaan-perasaan kegelisahan dari setiap generasi yang berbeza. Sebenarnya menyikapi perubahan adalah rutinitas, kerana perubahan tidak terjadi sekali sahaja. Mungkin menyikapinya secara positif saja sudah cukup berani.

Kamu punya impian untuk menjadi sutradara?
Belum

Bagaimana kamu melihat kondisi dunia perfileman di Indonesia belakangan ini?
Sekarang di Indonesia sutradara baru bertambah bersamaan dengan berkembangnya teknologi. Beberapa mengambil kesempatan dengan adanya kemudahan yang ditawarkan, meskipun sedikit yang berhasil. Paling tidak sebahagian dari kami masih ada yang berusaha keras.

Filem AADC juga sering menjadi penanda lahirnya filem pasca-reformasi sehingga menjadi tren di Indonesia dan Malaysia, kamu punya sesuatu untuk dikongsikan selama kamu terlibat dalam proses pembuatan filem ini?
Kerana AADC adalah filem pertama saya, mungkin banyak sekali yang harus saya belajar mengerti seperti proses berteman dengan teman-teman di AADC, belum lagi menguasai situasi dalam set. Hal yang saya ingat Titi, Sissy, Asti dan Dian banyak membantu, intinya kami saling membantu saat ada salah satu yang kesusahan dalam watak kami. Kami semua belajar mengerti keadaan termasuk perfileman indonesia yang saat itu sedang kurang baik. Jadi kami sangat bersungguh-sungguh.

 Filem AADC juga berjaya mengangkat semula sastera di kalangan generasi muda, kalau kamu sendiri bagaimana? Siapa penulis kesukaanmu?
Victor Hugo “Les miserables”, Floretta Schreiber “SYBILL”, Mark Twain “Tom Sawyer”

Sekarang kamu bermain bass untuk Zeke, bagaimana mulanya itu?
Awal Mac tahun 2011, Zeke menawarkan untuk membantu dalam pembuatan klip album kedua “Bore You To tears”. Setelah itu kami terlibat dalam perbualan tentang muzik yang saya suka, apakah saya boleh memainkan alat muzik. Kemudian menerusi emel, Zeke menawarkan saya menjadi pemain bassnya. Saya fikir kenapa tidak, lagi pula saya tidak pernah punya band dan tidak pernah memegang bass.

Adakah kamu serius dengan muzik atau sekadar suka-suka?
Serius dan suka muzik.

Terima kasih atas kerjasamanya dan sukses untuk segala apa yang kamu kerjakan
Sama-sama

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider, 5 Julai 2012.

Saturday, June 30, 2012

Budaya 'mamak' di Malaysia

Ada beberapa hal yang aku perhati sepanjang di Indonesia yang membuat enak tinggal di Malaysia.

Apa itu?

Mamak! Tempat lepak (nongkrong) yang nyaman untuk menonton perlawanan bola sepak bersama teman2 (nonton bareng) dengan biaya murah dan boleh lama :)

Nonton bola sepak dengan RM1 dan selesa? hanya di mamak.

Bagi aku restoran mamak sentiasa berevolusi demi memenuhi keperluan pelanggannya dan berjaya menyediakan alternatif untuk mereka yang tidak suka minum bir atau arak dan yang tidak mampu membayar harga sebuah lepak yang tinggi.

Ini beberapa video di Youtube yang menggambarkan suasana di mamak sewaktu perlawanan bola sepak.


NZ Curry House, Wangsa Maju   

Restoran Hakim, Shah Alam  
Original Kayu, Ampang

Rasta, TTDI

Friday, June 22, 2012

KLAB dan buku indie


oleh Zulhabri Supian
Hujung minggu ini tanggal 23 dan 24 Jun jika anda di Kuala Lumpur atau Lembah Klang, silakan berkunjung ke sebuah pesta buku alternatif yang dinamakan KLAB (Kuala Lumpur Alternative Bookfest) di Annexe Gallery, Central Market. Kenapa saya mempromosinya? KLAB mempunyai pertalian personal yang dekat dikeranakan dari edisi pertama hingga keempat pada tahun lepas dikelola oleh saya bersama tokoh penerbitan “indie”, Amir Muhammad dan tokoh Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik. Hanya saja tahun ini yang memasuki edisi kelima saya tidak terlibat kerana sedang berkelana di pulau seribu pura. 
Idea awal KLAB dicetuskan oleh Amir dan langsung disambut saya yang kebetulan berfikir idea yang sama, cuma bezanya Amir melontarkan dan saya sekadar menyimpan di dalam hati. Asal muassalnya saya terinspirasi dengan beberapa pesta buku di Indonesia yang saya hadiri sekitar tahun 2004 hingga 2008 yang temanya lebih meriah, berani dan beragam dan lantas tertanya-tanya adakah hal serupa boleh diwujudkan di KL? Nah itu dia, euforia kemenangan menidakkan 2/3 majoriti Barisan Nasional di parlimen membuahkan semangat yang berkobar-kobar ke dalam diri saya dan tidak lama berselang dari tsunami 8 Mac, kemudian lahirlah KLAB pada 3 Mei 2008.
Secara umum, KLAB tidak jauh berbeza dari pesta-pesta buku lain seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang gah dan super meriah dengan kehadiran pelajar sekolah dan kanak-kanak riang ria kerana aktiviti utama tetap sama iaitu menjual buku serta sebagai platform untuk melancarkan buku, diskusi dan bermacam lagi. Cuma yang membezakannya hingga terpaksa sengaja atau tidak sengaja dinamai alternatif adalah disebabkan beberapa hal;
● Kebanyakan produk yang dijual di KLAB temanya agak berani dalam erti kata kritikal terhadap kerajaan yang memerintah Malaysia dan untuk produk yang tidak kritikal terhadap pemerintah terutama penerbitan sastera popular dan urban kontemporari, produknya dicipta untuk pasaran dan gaya yang khusus.
● KLAB membuka platform untuk pembaca berjumpa dengan penulis. Lebih santai dan dekat di hati tidak seperti Pesta Buku Antarabangsa yang terlalu besar dan kurang interaksi pembaca dan penulis. 
● KLAB menyatukan penerbitan buku bersemangat sama dalam bahasa yang berbeza baik dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin dan lain-lain.
● Kesemua produk yang dijual di KLAB berharga kurang daripada RM100.
Pada awalnya saya dan Amir bercita-cita besar untuk membawa idea KLAB ke luar Kuala Lumpur namun sehingga kini cita-cita tersebut belum terwujud. Meski demikian semangat KLAB dalam versi dan skala berbeza telah berjaya sampai ke Selangor melalui Pekan Frinjan, Pulau Pinang melalui Little Penang Street Market, Ipoh melalui Projek Rabak, Johor Baru melalui Gobok Buku dan barangkali banyak lagi yang tidak saya ketahui.
Buku indie
Bila berbicara tentang apa itu buku indie, jarang kita dapat mencapai kata sepakat. Itu tidak mengapa dan bagi saya biarkan kontestasi makna terus bergulir seperti mana polemik tanpa sudah tentang apa itu muzik mainstream dan muzik indie. Apa yang harus kita sepakati adalah jalani sahaja apa yang diperbuat, jika menulis ya teruskan menulis, jika menerbit teruslah menerbit dan jika menganjurkan acara kekalkan selamanya. Bagi saya sendiri, makna buku indie sangat sederhana iaitu sebuah buku yang ingin kita terbitkan sendiri atau diterbitkan dan kemudian berjaya tanpa banyak dihalangi serta dikawal idea dan proses kreatifnya.
Suasana di KLAB 2009.
Secara peribadi saya membaca buku apa saja dan tidak melihat siapa penerbitnya, baik itu penerbit besar atau penerbit kecil atau indie atau apa sekalipun. Ada dua penulis lokal yang membuat saya tertarik membaca karya-karya indie atau frinjan (pinggiran) iaitu Ruhayat X dan Sufian Abas, merekalah yang mempopularkan buku yang pada hemat saya tepat untuk dimasukkan di dalam kategori alternatif/indie/frinjan. Bertuahnya pembaca di Malaysia, mereka masih aktif menulis dan menerbit dan terus memperlebar pasar dan memunculkan banyak penulis baru.
Ruhayat X atau Amri Ruhayat adalah pelopor awal Komuniti Frinjan (Frinjan dalam bentuk organisasi tidak rasmi, bukan idea “frinjan” yang bebas organisasi) yang pada awalnya digerakkan bersama-sama saya dan seorang lagi penulis dan pelukis, Alina Abdullah dan kini kelangsungannya berada di bawah kendali anak-anak muda seperti Farhan Azahan dan rakan-rakan. Program utama Komuniti Frinjan adalah Pekan Frinjan yang dilangsungkan di Shah Alam sebagai upaya pengembangan aktiviti seni dan budaya kontemporari/alternatif ke luar Kuala Lumpur dan syukur sehingga kini telah berjaya dijalankan sebanyak 28 kali.
Namun apa guna 28 kali seandainya tidak ada impak positifnya dan ini yang membuat saya dan teman-teman bersyukur kerana sejak Pekan Frinjan pertama pada Mac 2009 dengan hanya beberapa judul buku dari beberapa penerbit, kini angkanya bertambah berkali-kali lipat.
Hingga kini, judul buku indie menghampiri angka 100 bahkan mungkin lebih mengingat tidak ada data khusus melainkan apa yang terdata di senarai buku untuk dijual yang saya perolehi dari Distro Buku. Beberapa penerbit yang lagi naik daun (sedang aktif dan bersemangat waja) adalah Sang Freud Press, Fixi, Moka Mocha Ink, Selut Press, Siluet Books, Lejen Press, Dubook Press, Jargon Books, Puisi Jadi Senjata, Moque Press, Sindiket Sol-jah, Merpati Jingga, Buku Hitam Press dan yang terbaru Obscura.
Apa yang membezakan penerbit-penerbit ini dengan penerbit lain (penerbit besar sebagai contoh) adalah mereka menggunakan media sosial seperti Facebook, Blog dan Twitter untuk promosi juga pembelian dan kebiasaannya penulis turut terlibat secara langsung juga. Selain itu mereka menggunakan pendekatan gerila untuk mencari dan membuka pasar seperti yang dilakukan Lejen Press dengan turun ke acara-acara seperti Pekan Frinjan, acara di dalam kampus dan banyak lagi. Pendekatan ini harus dipuji kerana sedikit sebanyak memecahkan tembok eksklusif buku yang selama ini dilihat tidak ramah kerana hanya boleh diperolehi di kedai-kedai buku.
Semoga kisah-kisah indah dunia perbukuan indie ini akan terus bertahan dan tidak hanyut dalam krisis substansi dan rasa “best” seperti yang terjadi kepada pembikin T-shirt indie yang marak beberapa tahun dahulu dan kini sepi tanpa berita. Saya lebih optimis dengan dunia perbukuan seperti mana optimisnya saya dengan dunia muzik dan perfileman indie lokal kerana mengetahui di dalamnya banyak manusia-manusia yang teruji semangat, upaya dan eksekusinya selama ini.
Hanya saja di dalam optimisme ini kita dihadirkan dengan berita pengharaman buku berjudul “Allah, Kebebasan dan Cinta” karya Irshad Manji terbitan ZI Publication dan pendakwaan kepada seorang pengurus kedai buku Borders di pusat membeli belah Mid Valley atas tuduhan mengedar buku tersebut. Berita ini sangat meresahkan dan bersempena KLAB hujung minggu ini, mari kita semua; dari pembaca, penulis dan penerbit bersatu melawan pengharaman buku dan pendakwaan oleh JAWI yang tidak profesional.
Dilarang melarang!
Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 21 Jun 2012

Saturday, June 16, 2012

Memilih Bali


oleh Zulhabri Supian
Pulau Menjangan
“Bali Pulau Syurga”
Sebut saja Bali pasti yang indah-indah akan terbayang, maksudnya keindahan alam ciptaan Tuhan berupa pantai, gunung, tasik dan banyak lagi termasuk juga manusianya yang eksotis seperti dimaknai banyak manusia dari Barat.
Namun demikian citra pulau syurga yang dipakaikan untuk Pulau Bali semakin lama semakin memudar terutama jika kita melihat angka kemiskinan dan pengangguran di Bali yang masih sangat tinggi. Pudar dari sisi ini sangat masuk akal diterima dan menjadi semacam loceng amaran untuk pihak berwenang.
Namun segolongan warga Bali yang berasal dari luar negara dan tergabung dalam komuniti expat baik mereka profesional, penganggur atau pecundang di negara asal merasa pudarnya berkurang gara-gara warga Bali asli mulai berani mengkritik industri pelancongan dan mempersoal kehadiran warga seperti mereka yang tidak memberi manfaat kepada perekonomian rakyat terbanyak.
Dari sisi pelancong, pudarnya dirasa kerana Bali sudah terlalu membangun lantas semakin rosak dan gelagat-gelagat pemain industri pelancongan yang tidak jujur baik iru pemandu teksi, pekedai, ejen pelancongan dan sebagainya tambah membantu memperburukkan imej. Lantas kenapa saya memilih Bali?
Alasan saya sederhana sekali. Bali dengan sedemikian parah tetap indah untuk kita hidup di dalamnya, sebut saja Pulau Menjangan, Pulau Gili, Gunung Agung, Gunung Batur, Ubud, Uluwatu, Pantai Geger, Pantai Padang-Padang, Pantai Amed, Tasik Bedugul, Pantai Lovina, Pulau Gili, Pulau Nusa Penida, Pulau Lembongan dan banyak lagi. Itu dari sisi keindahan dan kualiti gaya hidup yang boleh diperolehi di Pulau Bali dengan biaya yang murah asalkan berteman dengan masyarakat tempatan.
Meskipun begitu ada 2 alasan serius yang membuatkan saya bertahan dan menikmati Pulau Bali.
Pertama — Pembunuhan massal di Bali 1965
Sebahagian mangsa pembantaian massal
Saya pernah menulis tentang hal ini dalam tulisan berjudul “Melawan Lupa” yang tersiar beberapa bulan dahulu di ruang kolum ini. Saat itu adalah bulan awal saya di Bali dan setelah 4 bulan keterujaan untuk mengetahui lebih dalam tentang Tragedi 65 (istilah yang sering disebut di sini) bertumbuh dari hari ke hari.
Siapa sangka di dalam kemasan indah Pulau Bali, tersimpan kisah duka dan tragis di mana Bali menjadi salah satu kawasan dengan “penyembelihan” terganas terhadap orang-orang yang dituduh simpatisan dan anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) pasca persitiwa G30S.
Soe Hok Gie dalam sebuah esei di bukunya berjudul “Zaman Peralihan” (Bentang, 1995), menulis tentang Bali di saat hari-hari mencekam 1965-1966:
“Bali menjadi sebuah mimpi buruk pembantaian. Jika di antara pembaca ada yang mempunyai teman orang Bali, tanyakan apakah dia mempunyai teman yang menjadi korban pertumbuhan darah itu. Ia pasti akan mengiyakan, karena memang demikianlah keadaan di Bali. Tidak seorang pun yang tinggal di Bali pada waktu itu yang tidak mempunyai tetangga yang dibunuh atau tidak dikuburkan oleh setan hitam berbaret merah yang berkeliaran di mana-mana pada waktu itu.”
Kuburan massal mangsa yang dibunuh boleh dijumpai di banyak tempat di Bali dan salah satunya telah saya kunjungi beberapa bulan lepas iaitu di Pantai Baluk Renin yang terletak di Kecamatan Negara, Kabupaten Jembrana. Pantai Baluk Rening seperti yang dilaporkan Antara News (24/12) diduga menjadi lokasi pembantaian atau tempat mengubur banyak korban dan dugaan diperkuat dengan munculnya tulang belulang manusia di sekitar pantai saat dilanda hakisan.
Perlu diingatkan bahawa tiada pemandu pelancong akan memberitahu hal ini melainkan anda bertemankan masyarakat Bali yang peduli terhadap masa lampaunya akan tragedi kemanusiaan yang menyayat ini.
Hingga kini, persitiwa pembunuhan massal tahun 65 ini belum selesai dan mangsa terus menerus tanpa lelah mendesak kerajaan mengakui secara rasmi bahawa telah terjadi pelanggaran hak asasi manusia yang berat atas peristiwa tersebut seterusnya melaksanakan rehabilitasi bagi mangsa dan mendakwa para pelaku.
Secara prinsip saya bersama para mangsa dan mendukung perjuangan mereka kerana di Malaysia hal sama turut terjadi di mana mangsa pembunuhan Tragedi 13 Mei, Tragedi Taman Medan dan Tragedi Memali (sekadar menyebut beberapa kes) masih belum diselesaikan secara hukum. Maka kerana itu berpihak kepada pencari keadilan walau di mana berada sesungguhnya sesuatu yang sangat bermakna, batas negara perlu dihilangkan.
Kedua — Ajeg Bali
Pembantaian 1965 meragut lebih kurang 80,000 nyawa orang Bali dan kemudian lahirlah Pulau Bali dalam wajah baru seperti mana kelahiran semula Malaysia pasca-13 Mei yang ditandai dengan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Kelahiran baru Bali telah melahirkan masyarakat yang secara relatif turut makmur dalam kestabilan ekonomi dan politik walaupun di dalamnya sentiasa wujud curiga dan waspada terhadap apa yang dilabel penguasa kala itu “ejen-ejen komunis”.
Namun kemakmuran itu terjejas akibat insiden pengeboman Bali yang kemudian melahirkan semula kecurigaan dalam bentuk baru iatu, menajegkan Bali. Maka lahirlah konsep “Ajeg Bali” yang menurut I Ngurah Suryawan dalam eseinya berjudul “Pariwisata Budaya” ke “Ajeg Bali” (Beberapa Perspektif Perubahan Wacana Politik Kebudayaan dan Seni di Bali Pasca Rezim Soeharto) bererti, “Ajeg dalam konteks ini berarti kuat, kokoh, tak tergoyahkan. Dan orang Bali berkewajiban untuk memperkuat dan memperkokoh budaya Bali. Orang Balilah yang memiliki dan menjaga kebudayaan Bali tersebut. Konsep Ajeg ini menjadi obat dahaga di tengah kehausan masyarakat Bali untuk mencari benteng dan pertahanan baru. Benteng ini semakin hari semakin kuat dengan bertemunya korporasi media massa, negara, politisi, kelompok masyarakat adat”.
Secara umum, konsep Ajeg Bali mempunyai persamaan dengan Ketuanan Melayu di Malaysia di mana identiti kaum/etnik diperteguh dengan alasan budaya dan agama yang akhirnya melahirkan fundamentalisme Hindu di Bali dan fundamentalisme Islam di Malaysia.
Meskipun begitu, Ajeg Bali tidak selamanya alasan budaya dan agama kerana sisi ekonomi turut berperanan seperti yang ditulis I Ngurah Suryawan, “Akses dan perebutan sumber daya ekonomi menjadi pemicunya. Masyarakat Bali merasa terancam dengan kepungan para “pendatang” ini dan merasa perlu untuk membentengi diri dengan sikap waspada dan siaga. Salah satunya adalah melakukan razia (operasi) dan penggerebekan pada para pendatang yang sering disebut masyarakat Bali sebagai Nak Jawa (orang Jawa untuk menyebut seluruh pendatang dari semua daerah di Indonesia) atau Nyama Dauh Tukad (saudara di seberang sungai)".
Nah apa yang berlaku mirip sekali seperti di Malaysia di mana masyarakat Cina dan India hingga kini masih dilabel sebagai pendatang. Terbaliknya di Malaysia saya berada di kelas bukan pendatang kerana berbangsa Melayu dan di Bali tergolong pendatang “expat” kerana warga luar negara — untuk ini saya bersimpati kepada masyarakat Indonesia yang berasal dari luar Bali kerana seperti didiskriminasi di negara sendiri.
Dua hal di atas sangat dekat dengan saya kerana permasalahannya tidak jauh beza, cuma berlainan lokasi dan konteks — semangat mencari dan melawannya tetap sama. Pada akhirnya saya bersetuju dengan kesimpulan teman Bali saya, Agung Wardana dalam tulisannya, “Bali: Antara ‘Surga’ dan ‘Neraka’” yang menyebut:
“Pada saatnya nanti, tinggalah kita, masyarakat Bali kebanyakan, yang harus membersihkan ‘kotoran’ sehabis pesta meriah para turis dan orang kaya. Karena memang Bali adalah rumah kita. Bali bukanlah ‘surga’ ataupun ‘neraka’ tetapi ruang hidup yang mengharuskan kita terus berjuang untuk menjadikannya lebih baik.”
Saya berusaha untuk menjadi warga yang berjuang menjadikan Bali lebih baik bersama teman-teman Bali dan bukan Bali kerana di situlah kenikmatan hidup. Saya bersaudara bersama mereka yang menentang ketidakadilan dan penindasan, anti-korupsi dan punya kemanusian. Apa agamanya, bangsanya dan negaranya saya tidak peduli.
Apapun Bali memang indah, jemputlah ke sini.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 13 Jun 2012

Sunday, June 10, 2012

Hidup berkolaborasi


oleh Zulhabri Supian
“Science,” the physicist Werner Heisenberg once wrote, “is rooted in conversations.” As he saw it, scientists are rarely solitary thinkers but people who constantly talk: about ideas, findings, research techniques, and unresolved problems. Some of these conversations last for a few minutes or hours. But others continue for years or decades, shaping careers, disciplines, and even institutions. — Peter Dizikes
Ayat di atas merupakan perenggan pembuka dalam artikel berjudul “The Office Next Door”yang tersiar di laman web Technologyreview pada November/Disember 2011. Tulisan beliau yang saya baca beberapa minggu lepas tidak terlalu menarik perhatian kerana secara umum saya beranggapan inti besar dari tulisan tersebut adalah kolaborasi atau dalam bahasa biasanya saling bekerjasama. Kolaborasi bukanlah suatu hal baru pada saya kerana sudah diterap lama dan menjadi raison d’etre komuniti Frinjan yang digerakkan saya dan teman-teman lain.
Sejak awal bergeraknya komuniti Frinjan pada 2009 yang berteraskan pembudayaan seni dan budaya serta aktivisme ke dalam masyarakat. Kolaborasi adalah hal yang paling ditekankan kerana melaluinya sesuatu gerakan, ideologi dan idea akan lebih ampuh sifatnya.
Bahkan slogan Frinjan yang masih digunapakai sehingga kini adalah, “kami bukan independen melainkan interdependen” yang membawa maksud saling berkolaborasi itulah yang akan meneguhkan gerakan. Kata “independen” disini kami maknai secara umum sebagai idea dan “interdependen” sebagai kolaborasi yang jika dirangkum bererti, walaupun kami punya idea tersendiri, sifatnya akan lebih baik jika dicantum bersama idea-idea dari komuniti lain. Hal ini berterusan hingga kini dan semoga tidak berpenghujung dan menjadi tradisi yang akan diteruskan generasi mendatang dalam bentuk dan semangat zaman mereka.
Hubud
Kembali kepada tulisan Peter Dizikes, saya teruja menelaah semula usai pulang dari acara “Hubud 20x20, powered by Pecha Kucha” yang diadakan di Cafe Kendi di kota budaya Ubud tanggal 30 Mei lepas. Acara berskala sederhana dan percuma ini digagas tiga individu; Peter Wall, John Alderson dan Steve Munroe diadakan selang beberapa hari setelah TEDx Ubud yang berlangsung sangat meriah dan juga sangat mahal.
Pembicara pertama dari enam semuanya pada acara tersebut adalah Peter Wall, pengasas bersama Hubud yang menyampaikan presentasi berjudul, “Collaboration: Building 20, broadway musicals and scientists hanging out”. Presentasi enam minit beliau tentang kepentingan kolaborasi sangat menarik kerana disampaikan dengan struktur yang terbina kemas. Beliau memetik artikel oleh John Lehrer di majalah The New Yorker bertarikh 30 Januari 2012 yang berjudul, “Groupthink: The brainstorming myth”.
Peter Wall di dalam slide presentasi memetik empat hal dari artikel tersebut (sumber: Distility.com, Collaboration, Innovation and Branding: Is Brainstorming Effective?):
● Brainstorming is well known approach to generating ideas and problem solving. Alex Osborn of the B.B.D.O. advertising agency first described the brainstorming approach in his 1948 book, “Your Creative Power”. While it is still a really popular approach, empirical studies have actually found that a group brainstorming ideas is less effective than one person working alone. It turns out that there needs to be a certain amount of creative tension, criticism or different perspectives for groups to be at their creative best.
● The brainstorming edict to not criticise brainstormed ideas may actually work against creativity and innovation. The author notes that: “Criticism allows people to dig below the surface of the imagination and come up with collective ideas that aren’t predictable.”
● Research has shown that creative teams can be too familiar and get stale once they have worked together for too long. Collaboration can be enhanced when a team includes new members (or facilitators), people from different disciplines and with different backgrounds.
● Physical spaces can help foster creative friction and sparks of insight. Amazing innovations have resulted from spontaneous and repeated interactions between people from disparate fields. To make this happen, physical proximity can act like a “magical incubator” for ideas.

Salah seorang speaker di Hubud.
Enam minit yang menginspirasikan dan membuatkan saya mengapresiasi tulisan Dizikes, lalu membayangkan bagaimana proses berbual biasa selama bertahun-tahun dengan teman yang mempunyai minat sama dan personaliti “satu kepala” berupaya melahirkan idea yang menggegarkan dunia lapangan mereka berkecimpung. Sebut saja individu seperti Morris Halle, Noam Chomsky, Paul Samuelson, Robert Solow dan banyak lagi atau di peringkat yang lebih kecil, komuniti anak muda bernama Urban Village yang berpusat di Bangsar.
Nikmat kolaborasi
Untuk saya yang bergiat dalam bidang seni budaya, kolaborasi adalah kenikmatan tersendiri kerana melaluinya tembok eksklusif dan keegoaan yang dibina atas dasar senioriti, ideologi dan sebagainya akan terpecah. kolaborasi dalam kegiatan kesenian baik sesama komuniti atau sesama pengkarya acap kali menghasilkan sesuatu yang luar biasa baik dari segi persembahan atau kutipan dan pastinya rasa puas dan persaudaraan. Andaikan hasilnya berbalikan dari yang saya sebut, sekurang-kurangnya jendela-jendela dan kemungkinan-kemungkinan baru sudah dan akan muncul.
Pengalaman semasa aktif bersama Frinjan saya gunakan untuk berkolaborasi bersama kelompok seni berbeza disiplin dan genre (Frinjan bermula dengan seni penulisan) dan kemudian dikembangkan dengan memasuki ranah NGO sehingga kepada kelompok fesyen. Pada akhirnya Frinjan melalui acara utamanya Pekan Frinjan berjaya menyatukan seni muzik, seni penulisan, seni teater, seni filem, aktivisme dan kepedulian kepada fesyen di dalam satu acara sehingga tidak ada rasa kejanggalan untuk membaca dan tetap berfesyen ala hipster, hijabster, kopiahster atau sempoi.
Dalam konteks politik, kolaborasi dalam pengertian umum telah diguna pakai parti-parti politik yang membentuk dua gabungan parti politik terbesar di Malaysia iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Bayangkan jika masing-masing parti tidak mahu berkolaborasi? Sampai sudah tidak akan ada kerajaan atau jika ada sekalipun kerajaan minoriti yang cenderung kacau bilau.
Manakala dalam konteks program pemerkasaan masyarakat; wanita, ibu tunggal, anak yatim, anak muda, golongan marjinal dan sebagainya, kolaborasi merupakan elemen penting kepada kejayaan sesuatu program. Beberapa tahun kebelakangan banyak teman yang aktif di dalam usaha-usaha pemerkasaan masyarakat seperti inisiatif Chow Kit Kita untuk remaja di Chow Kit dan inisiatif Komuniti Buku Jalanan untuk membudayakan membaca yang bermula di Shah Alam dan kini telah bercambah ke enam kota lainnya berbekal visi dan misi yang sama.
Baik kolaborasi berstruktur atau tidak, itu persoalan kedua kerana yang terpenting menurut saya adalah membudayakan membaca, berdiskusi dan berkolaborasii. Semoga nanti darinya terhasil idea-idea yang berupaya menggoncang dunia.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 7 Jun 2012