Friday, November 07, 2003

Harapan awal Pak Lah

Sejak jawatan Perdana Menteri ini dipegang oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau telah menunjukkan kelainan yang agak ketara berbanding dengan PM kita yang terdahulu. Kenyataan beliau yang menyuruh bekerja bersama-sama dan bukannya bekerja untuknya adalah sesuatu yang harus dipuji.

Terkini adalah cadangan penubuhan Institut Etika Awam serta melaksanakan Pelan Kewibawaan Nasional ke arah menggalakkan urus tadbir yang berkesan, akauntabiliti serta kecekapan sektor awam dan swasta.

Beliau berkata kesemua ini bertujuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi, memantapkan perkhidmatan awam dan membanteras rasuah dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada rakyat.

Kelihatan di hari-hari awalnya sebagai PM, beliau telah memperlihatkan sedikit karakternya sebagai pemimpin yang pro-rakyat dan pro-ketelusan.

Namun adalah lebih baik untuk terus bersikap skeptikal terhadap segala harapan dan janji-janji yang telah ditaburkan. Ini memandangkan kenyataannya yang berjanji untuk meneruskan segala dasar dan juga polisi yang telah dirangka oleh Tun Dr. Mahathir.

Kita tahu segalanya adalah hanya retorik atau janji-janji manis yang disogokkan kepada rakyat selagi beliau tidak mempunyai keinginan politik yang kuat untuk membuat perubahan yang ketara kepada beberapa institusi penting.

Meletakkan BPR sebagai satu badan di bawah parlimen seperti Suhakam adalah langkah yang paling wajar untuk dilakukan jika beliau bersungguh-sungguh untuk memerangi rasuah di samping perubahan sikap di kalangan pekerja sektor awam.

Kita tunggu apakah beliau sanggup melakukan perkara ini dan jika beliau masih berdolak-dalik, usahlah harap perubahan atau reformasi yang ketara di dalam sistem pentadbiran kerajaan.

Penerusan dasar-dasar serta undang-undang kerajaan yang menindas di bawah Tun Dr. Mahathir seperti Akta ISA, AUKU, Akta Penerbitan dan sebagainya memperlihatkan kepada kita bahawa pertukaran pemimpin hanyalah perpindahan kuasa dari satu golongan elit ke golongan elit yang lain.

Kuasa-kuasa yang mencengkam minda dan intelektual rakyat terus menerus mencari mangsanya. Kepentingan public discourse dan pandangan alternatif masih tidak menjadi agenda utama. Suara kira-kira 42% pemilih pada pilihanraya umum tahun 1999 yang mengundi parti-parti pembangkang kelihatan seperti tidak diendahkan dan adakalanya dianggap sangat minoriti.

100 hari pertama pentadbiran negara di bawah Pak Lah ini ditunggu dengan penuh minat dan debar. Apakah reformasi yang sanggup dilakukannya? Apakah karakter dan kekuatan beliau? Apapun, diharap Pak Lah tidak mengecewakan rakyat Malaysia yang prihatin dan peka!

No comments: