Showing posts with label Shamsiah Fakeh. Show all posts
Showing posts with label Shamsiah Fakeh. Show all posts

Friday, November 16, 2007

JEMPUTAN

Pelancaran Buku dan Forum Diskusi

‘Sumbangan Gerakan Kiri untuk Kemerdekaan dan Pembinaan Negara’


Pengenalan:

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan gerakan kiri dalam perjuangan mencapai kemerdekaan dan membina negara bangsa Malaysia adalah besar dan penting sekali walaupun dicatatkan atau tidak dicatatkan dalam sejarah tanah air kita.

Golongan kiri terdiri daripada golongan-golongan nasionalis kiri dan golongan-golongan sosialis daripada KMM, PKMM, AWAS, API, BATAS, MDU, GLU, PMGLU, AMCJA dan PKM sebelum merdeka hingga PRM, Parti Buruh, Sosialis Front, Sosialis Club Universiti Malaya dan Kesatuan-kesatuan Sekerja selepas kemerdekaan. Mereka mewujudkan gerakan kiri untuk memperjuangkan kemerdekaan demi masyarakat yang adil dan demokratik.

Walaupun golongan kiri sudah membawa sumbangan dan berkorban besar untuk tanahair dan rakyat kita tetapi mereka dipinggirkan dan dikeluar dari arus perdana selama ini akibat daripada tekanan penjajah sebelum merdeka dan kuasa pemerintah kanan selepas merdeka. Sejarah dan jasa-jasa mereka sengaja dikikiskan daripada catatan-catatan dan tulisan-tulisan sejarah negara kita selama ini.

Sampailah masanya kita membicarakan sumbangan dan jasa gerakan kiri secara terbuka dan kembalikan kedudukan sebenar mereka dalam sejarah negara kita. Oleh itu, Strategic Information and Research Development (SIRD) akan menganjurkan satu forum diskusi tentang sumbangan gerakan kiri untuk kemerdekaan dan pembinaan negera. Buku-buku memoir tokoh gerakan kiri akan dilancarkan; buku-buku gerakan kiri and progresif juga akan dipamerkan serta dijual pada hari tersebut dengan harga yang istimewa.

Kita berasa bangga dan amat bersyukur kerana seorang tetamu yang terhormat SHAMSIAH FAKEH, pejuang nasionalis kiri yang disegani oleh penjajah British akan bersama-sama dengan kita dalam perbicaraan dan pelancaran buku ini.

Butir dan Aturcara Pelancaran Buku dan Forum Diskusi:

Tarikh : 18 November 2007 ( Hari Ahad)

Masa : 9.30 am – 1.30 pm

Tempat : Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor

1, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur

Aturcara:

9.30am Kehadiran Tetamu

10.00am Tayangan Filem “ Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka”

10.30am Kehadiran Tetamu Terhormat : Shamsiah Fakeh dan Ahli-ahli Panel

10.35am Upacara Pelancaran Buku:

· Memoir Shamsiah Fakeh– Dari AWAS ke Rejimen 10

· Memoir Abdullah C.D (Bahagian Kedua ) – Penaja dan Pemimpin Rejimen ke-10

11.00am Jamuan Ringan

11.30am Forum Diskusi:

“Sumbangan Gerakan Kiri untuk Kemerdekaan dan Pembinaan Negara”

Ahli-ahli Panel:

· En. Rustam Sani (Ahli cendekiawan awam, Ahli akademik, Penulis kolum dan Penyair terkenal di Malaysia)

· Dr Rohana Ariffin (Bekas Pensyarah University Sains Malaysia)

· En. Yong Kai Ping ( Chinese Editor, Malaysiakini)

1.30 pm Bersurai

Datanglah Beramai-ramai bersama kami membicara sumbangan gerakan kiri sebelum dan selepas kemerdekaan dengan lebih mendalam.

Kemasukan – Percuma

Sebarang pertanyaan sila hubungi Ms Choong atau Zul 03-79578343 / 79578342

Yang Benar:

CHONG TON SIN

Executive Director

Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)

http://www.facebook.com/event.php?eid=7100374001

http://10tahun.blogspot.com

Monday, November 05, 2007

Buku baru di Gerakbudaya Online

Memoir Shamsiah Fakeh, Dari AWAS ke Rejimen ke-10 (Edisi Baru)


Photobucket - Video and Image Hosting

Title: Memoir Shamsiah Fakeh, Dari AWAS ke Rejimen ke-10 (Edisi Baru)
Author: Shamsiah Fakeh
Publication: SIRD
ISBN: 9789833782321
Pages: 192 pages
Prices : RM30.00
Language : Malay

Shamsiah Fakeh adalah pemimpin pergerakan Kemerdekaan dari kalangan wanita Melayu yang berjuang dengan gigih hingga ke belantara Malaya. Beliau adalah Ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang berganding bahu dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) bagi mengibarkan panji-panji perjuangan menuntut Kemerdekaan dari tangan penjajah British. Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua API telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah. Shamsiah menyertai Rejimen Ke-10 iaitu sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM). Kehidupannya penuh ranjau berduri. Beberapa kali beliau sesat di hutan ketika melanjutkan perjuangan bersenjata ke arah menuntut Kemerdekaan. Perjuangannya tidak mengira tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa.

Beliau bersama suaminya Ibrahim, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan. Shamsiah mengorbankan jiwa dan raga untuk memerdekakan Malaya mengikut caranya yang tersendiri. Selepas terpisah dari PKM, beliau terus berada di China menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi. Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termetrainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada 1989. Sekembali ke tanah air, beliau bersama anak cucunya menjalani kehidupan hari tuanya secara sederhana. Beliau tidak pernah menyesal menentang penjajah British, tidak pernah menyesal masuk ke hutan dan menyertai Parti Komunis. Beliau bersyukur perjuangannya telah menggegarkan penjajah. Beliau percaya dan yakin generasi muda yang dapat menghayati sejarah yang benar pasti akan menemui arah tuju mereka.