Friday, September 02, 2011

Impak 2 September 1998

di Black 14 2001

Black 14 di pejabat Suhakam

penamaan calon PRK Lunas 2000

demo menuntut royalti minyak Terengganu



Waktu itu aku sedang di kelas tambahan subjek B.Inggeris buat persiapan SPM di bilik tayangan bangunan SMKA Kuala Selangor. Sedang dilamun entah apanya, tiba-tiba guru yang mengajar Puan Elina memberitahu bahawa Anwar Ibrahim baru sahaja dipecat dari jawatan Timbalan PM. Aku kaget dan yang lain-lain juga kaget mengingatkan sembang tentang Anwar, Mahathir, Mat Sabu, negara Islam, murtad dan macam-macam sering dibahas dengan intens sebelumnya bersama rakan-rakan seperti Yushafidi dan Ustaz Ghazali Omar berkat edaran meluas akhbar Harakah, majalah Tamadun dan bahan bacaan pro-pembangkang yang lainnya di sekolah aku.

Melaju ke depan, Puan Elina sering mengecam Anwar dengan demonstrasi haramnya di dalam kelas (Puan Elina guru kelas aku) dan tidak lama kaset-kaset dan risalah-risalah bermunculan di sekolah melalui agen-agen yang banyak baik pelajar mahupun guru sendiri. Kaset ceramah diperdengar melalui walkman dan walaupun barang haram di asrama sepertinya dihalalkan kerana mungkin 'selari' dengan jalur politik penguasa asrama. Hujung minggu kain rentang dipasang di luar dormitori menghadap dewan makan sebelum terpaksa ditanggalkan akibat komplain yang diterima dari ibu bapa yang datang melawat anak-anak dan kebetulan terpandang dan kebetulan mungkin pro-Mahathir.

Cuti 2 minggu berikutnya kerana Sukan Komanwel aku guna sebaiknya untuk menghadiri demonstrasi di Jalan TAR walaupun sepatutnya aku menghadiri Kelas Intensif SPM di Akademi Infotech Mara. Episod reformasi membuka lembaran baru wacana dari hal-hal seputar Islam dan politik ke arena yang lebih luas seperti hak asasi manusia, demokrasi, hubungan kaum dan sebagainya.

Melaju ke depan, aku mendaftar sebagai pelajar UiTM dan seluruh proses digunakan untuk menekan suara pelajar dari berbicara tentang politik lebih-lebih lagi reformasi dan Anwar Ibrahim. Pra akaun 6 bulan di Kuantan dan setelahnya 4 tahun di UiTM Melaka dan tanpa menamatkan pengajian, masa aku diluangkan dengan adil di antara keperluan hedonis bermain snuker dan dosa lain serta mengikuti ceramah politik, diskusi di UBU, diskusi buku, acara seni seperti Apuke dan semua aktiviti luar kelas yang mengujakan. Kuliah sangat membosankan dan aku jarang hadir, teman-teman ramai yang tidak membaca namun sangat diperlukan kerana boleh menjadi rakan hedonis dan untuk mengisi kekosongan substansi aku terpaksa setiap minggu pulang ke KL.

13 tahun ke hadapan, ada yang masih bersama seperti Rusnizam Mahat dan ada yang sudah tidak ambil peduli akibat kesibukan hidup dan itu tidak mendukacitakan kerana banyak teman-teman baru yang muncul pasca PRU 2004 dan pastinya pasca Mac 2008 yang mengangkat ramai aktivis reformasi ke kancah pemerintahan.

Sesuatu yang pasti, tanggal 2 September 1998 telah merubah banyak dan menjadi tanggungjawab aku dan kawan-kawan untuk terus berjuang dan memberi teguran kepada kawan-kawan yang sudah di pemerintahan, juga kepada diri sendiri andaikata terbabas dari landasan keadilan demi rakyat (bukan parti).

Reformasi bukan sekadar tentang Anwar Ibrahim walau peran beliau tidak boleh dinafikan dan disiniskan sekadar untuk tidak dicap orang Anwar, tetapi lebih dari itu - tentang masa depan Malaysia. Reformasi tentang kepedulian kita terhadap arah tuju Malaysia yang tercinta ini.