Saturday, August 30, 2003

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 46!

Kepada seluruh rakyat Malaysia, detik 12 tengah malam hari ini menandakan ulang tahun ke 46 kemerdekaan negara kita yang tercinta ini. Di hari yang mulia dan bersejarah ini, mari kita sama-sama melihat dan berfikir bagaimana untuk kita mempertahankan kemerdekaan kita.

Di hari yang mulia ini juga, kita sebagai rakyat Malaysia prihatin yang terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat perlu bertekad untuk terus memajukan negara yang tercinta ini di dalam segala bidang demi untuk mencapai status negara maju yang diidam-idamkan.

Golongan rakyat terbanyak juga perlu untuk menyemai minat membaca, berfikir, memerhati dan cuba untuk membincangkan segala isu yang berkait secara langsung atau tidak langsung di dalam pembinaan diri, masyarakat, bangsa, agama dan negara.

Jangan didiamkan sahaja apa yang kita fikirkan tanpa ada usaha untuk menyebarkannya. Berbincang selalu dan jauhkan diri di dalam melihat sesuatu isu dari sisi yang sempit.

Ingat! Apa yang kita lakukan ini semua adalah disebabkan KERANAMU MALAYSIA! dan bukanlah KERANAMU........Kurangkan melihat sesuatu dari kerangka sudut UMNO, PAS, PKRM, MCA dan sebagainya yang kebiasaannya akan mengurangkan tahap berfikir dan kebijaksanaan kita.

Kepada yang sudah berumur 21 tahun ke atas, silalah mendaftar untuk menjadi pengundi secepat yang mungkin. Pilihanraya semakin hampir dan gunakanlah kesempatan ini untuk membuat pilihan. Jangan asyik mengkritik itu dan ini tetapi di dalam masa yang sama mengabaikan hak dan tanggungjawab kita.

Jangan berdasarkan premis 'politik dan politikus itu kotor', kita juga bersubahat meneruskan kekotoran itu.

Akhir sekali, sila baca surat pembaca yang bernama Thomas Lee yang disiarkan di akhbar internet, Malaysiakini yang memberikan kita input yang sangat baik. SELAMAT HARI MERDEKA!!!

Friday, August 29, 2003

Subjek 'Minda Mahathir' di UiTM

Mengikut laporan berita yang tersiar di Utusan Malaysia Online edisi 29 Ogos, para pelajar di UiTM mulai sesi tahun hadapan pastinya akan terpaksa mengambil tambahan satu subjek baru.

Secara peribadi, mempelajari pemikiran pemimpin atau individu itu tidak menjadi kesalahan dan sesungguhnya digalakkan walaupun ianya adalah musuh dan lawan kita. Mengkritik dan menghentam seseorang pemimpin atau individu tanpa membuat kaji selidik terlebih dahulu adalah merendahkan keilmuan dan pastinya tiada kredibiliti yang akan dapat dibawa bersama.

Sejak dua atau tiga bulan lepas, penggemar-penggemar buku pasti dapat melihat di kedai-kedai buku utama akan buku Koleksi Minda Perdana Menteri yang diperagakan. Buku koleksi yang terdapat di dalam pelbagai tajuk itu sangat sesuai untuk pembacaan umum.

Namun begitu, andai senat UiTM meluluskan rancangan ini, diharap akan ada pendiskusian dan perdebatan yang terbuka tentang 'Minda Mahathir' ini agar ianya dapat dilihat dari pelbagai sudut walaupun aku merasakan ianya mustahil.Aku sangat berharap aku salah!

Perlu diingat, tidak kesemua idea Dr. Mahathir itu bagus dan boleh diterima walaupun sebenarnya ia terlalu subjektif. Namun jika ada suara yang menentang atau menolak minda Dr. Mahathir, janganlah sewwnang-wenang dilabelkan sebagai anti-kerajaan dan sebagainya.

Kesangsian juga mungkin timbul akan apa motif utama di sebalik pengenalan subjek ini? adakah semata-mata kerana Dr. Mahathir membawa pemikiran global seperti apa yang dikta oleh Ibrahim. Atau ini adalah satu kaedah lain untuk mengindoktrinasikan pelajar-pelajar UiTM supaya menyokong parti perkauman Melayu, UMNO seperti mana program BTN. Sama-sama kita tunggu!

Surat Pembaca Utusan

Kepada pelajar-pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Malaysia (UIA). Sila baca artikel surat pembaca akhbar Utusan Malaysia yang menggelarkan dirinya Siswa Bandar (tiada e-mel yang menghalang untuk dilanjutkan perbincangan).

Wednesday, August 27, 2003

Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar

Akar-umbi ‘pembodohan’ Umno

Hishamuddin Rais membuat kesimpulan menarik, walau masih permukaan dan awal, “jenayah Umno yang paling utama adalah memperbodohkan masyarakat Melayu. Rasuah saya rasa [jenayah] biasa.”

“Tapi, memperbodohkan orang Melayu itulah jenayah yang lebih besar,” kata Isham, namanya di kalangan teman-teman, tidak lama selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Hujah ini mengingatkan saya perbualan agak panjang dengan seorang sarjana dari sebuah universiti tempatan dan teman-teman penulis beberapa bulan sebelum Isham dibebaskan – berkenaan hal yang sama. Saya menekankan persoalan ini harus diteliti dengan lebih halus dan dikaji.

Saya kira ramai orang boleh bersetuju tentang gejala ini (walau tidak pasti sama ada orang ramai bersetuju bahawa ia lebih serius daripada rasuah seperti ditanggap Isham). Secara popular, pembodohan digambarkan dengan ungkapan “insulting our intelligence” (menghina kecerdikan kita) apabila merujuk kenyataan pemimpin politik atau laporan akhbar negara ini.

Kenyataan atau laporan itu mengandaikan orang ramai tidak menghalusi kesahan atau kebenaran ideanya. Ia dikeluarkan tanpa rasa malu; lagi pun rasa malu seumpama itu sudah tidak bernilai apa-apa dalam budaya politik kita. Oleh itu, dengan sewenang-wenangnya, ia disampaikan sama ada dalam bentuk mempertahankan sesuatu tindakan politik, menolak sesuatu hujah atau memberi ulasan tentang sesuatu isu.

‘Memperbodoh-bodohkan’ orang ramai topiknya luas dan boleh dilihat dari pelbagai penjuru. Misalnya, asal-usul pembodohan, teknik-teknik atau keadaan-keadaan proses ini terbentuk, dan juga reaksi orang ramai.

Tetapi saya ingin menarik kepada satu persoalan yang paling asasi: hubungan antara ‘kemahuan berfikir’ dengan pembodohan. Bagi saya, pembodohan membentuk budaya bersama atau sejenis social conditioning; yakni, rasa tidak perlu berhujah, berbeza pandangan, mempertikaikan sesuatu maklumat yang disogokkan atau mencabar kelaziman serta ‘tradisi’.

Ia mematikan keghairahan berfikir, serta menumpulkan minda, mula-mula secara kolektif, kemudian secara peribadi. Mula-mula di kalangan pengikut kelompok dominan, kemudian kepada penentangnya dan akhir sekali di kalangan pengikut penentang itu sendiri. Pembangkang kemudiannya mewarisi pembodohan yang tidak disukai itu.

Semangat berfikir kritis hanya ditujukan kepada kerajaan dan masyarakat (mereka ini semuanya salah); penyokong pembangkang tidak berfikir tentang parti atau pemimpinnya sendiri (konon semuanya betul), sama seperti teman-teman Isham – mungkin – tidak boleh mengeluarkan idea yang lebih baik daripadanya.

Aktivis dan pemimpin pembangkang juga gagal melihat serta membedah sesuatu yang lebih abstrak daripada tindakan politik, kenyataan pemimpin kerajaan atau perundangan. Soal nilai, budaya atau ‘ikatan seni’ yang mengawal minda, gelagat, minat atau naluri bangsa ini gagal dibedah siasat.

Jika ada, itu semua teori yang dilontar semula daripada buku-buku; bukan kefahaman mereka yang asli tentang negara ini. Saya tidak fikir mereka faham dan saya tidak nampak mereka sedar bahawa inilah kelemahan asasi mereka dalam perlawanan dengan Barisan Nasional dan institusi-institusinya. Bagi saya, ini semua akibat-akibat nyata ketumpulan minda.

Malah, ada di kalangan mereka bersikap anti-ilmu; tidak tahu meletakkan hubungan antara ‘teori’, ‘kritik’, ‘konsep’, ‘kajian’, ‘idea’, ‘falsafah’ atau kegiatan ‘intelektual’ dengan gerak kerja perjuangan.

Sering kita dengar, dengan nada jengkel atau sinis, “awak kritik saja, memang mudah”, “kita tidak perlu intelektual yang pandai berteori” atau “teori banyak-banyak pun tidak guna, yang penting pelaksanaan”. Sedarkah mereka nada seumpama ini lahir akibat pembodohan?

Proses keseluruhan pembodohan melalui pendidikan, undang-undang keras (yang menyekat debat awam) dan juga laporan media, akhirnya menimbulkan gejala paling berbahaya – merebaknya gejala ketiadaan atau kelemahan minat untuk berfikir.

Maksudnya, berfikir di luar batasan persoalan diri, berfikir soal-soal yang lebih abstrak dan menyentuh ruang lingkup bermasyarakat atau isu-isu kenegaraan. Mahu atau tidak, semua orang berfikir – fakta ini pasti – khasnya untuk mengatasi persoalan peribadi, seperti kelaparan atau kekasih merajuk.

Kerancakan debat awam – dianggap unsur penting penyertaan dalam proses demokrasi – tidak akan mungkin tanpa keinginan untuk berbeza pandangan dan kebebasan berfikir individu. Tetapi kebebasan berfikir itu sendiri hanyalah sejenis proses lewat (kalau bukan akhir) daripada: (a) keyakinan berfikir, khususnya secara awam dan sebelum itu, (b) kemahuan berfikir, secara senyap-senyap dan bersendirian sifatnya.

Di Eropah abad ke-18, ketika asas-asas sains moden mula berkembang, sains masih dianggap sebahagian cabang falsafah tabii, rasa ingin tahu (curiosity) jadi bahan ketawa. Mereka yang suka menyelidik alam semula jadi – bagi melayan rasa ingin tahu (asas utama penerokaan sains dan pemikiran) – dianggap kegiatan orang malas dan tidak berakal!

Charles Linnaeus, ahli sains Sweden yang mengasaskan sistem pengkelasan sains hingga dipakai ke hari ini, pada 1740 terpaksa menulis bagi menjawab sikap sinis masyarakatnya:

“satu soalan yang sering ditanya, satu sanggahan yang sering dibuat terhadap ahli sains yang ghairah mengkaji alam tabii, apabila orang yang rendah pelajarannya melihat ahli falsafah tabii memeriksa hasil-hasil alam.

“Orang ramai bertanya, selalunya dengan ketawa menyindir, ‘apa guna buat kerja ini’ … Orang seperti itu beranggapan falsafah alam tabii sekadar melayan rasa ingin tahu, hanya sejenis hiburan untuk membazir masa bagi golongan yang malas dan tidak berotak.”

Sebelum Zaman Pencerahan, beratus-ratus tahun sejak Zaman Pertengahan dan Renaissance, melayan rasa ingin tahu secara intelek (intellectual curiosity) dipandang buruk. Ia dianggap sejenis hawa nafsu (dan juga dosa) yang menyebabkan Adam dan Hawa tercampak ke bumi (selepas memakan sejenis buah di syurga).

Imej negatif ini berakar umbi begitu mendalam melalui penulisan-penulisan agama sehingga pemikir besar Jean-Jacques Rousseau terpaksa berhujah betapa mustahaknya rasa ingin tahu (dan berfikir) untuk menajamkan ilmu dalam risalah pendidikannya yang masyhur, Emile (terbit 1762).

Proses pembodohan dalam masyarakat kita membawa natijah yang serupa dengan pengalaman Eropah ini – ia berjaya membunuh rasa mahu berfikir dan mempertikai. Di sini bermula kelumpuhan pemikiran, mematikan ‘rasa yakin akal’ (asas kemerdekaan diri) atau kesan akhirnya, ketandusan debat awam.

Kebebasan berfikir itu sendiri (selalu dirangkum bersama kebebasan beragama atau kesedaran nurani) sejenis tuntutan akibat ingin berbeza anutan, khususnya agama, dalam sejarah Eropah. Ia akhirnya diiktiraf sebagai satu hak asasi setelah wujud keinginan serta keyakinan yang kuat untuk berbeza anutan (termasuk tidak menganut apa-apa!).

Tuntutan kebebasan, apa juga bentuk, selalu muncul akibat rasa ingin bebas yang telah meronta-ronta, tidak tertahan-tahan lagi. Tetapi projek pembodohan Dr Mahathir Mohamad membunuh benih asas ini, ‘rasa ingin’ – sama ada bebas atau berfikir. Juga, membunuh kecemerlangan seperti kritik Khalid Jaafar tentang “kelaihan (mediocrity)… [sebagai] menjelaskan makna sebenar Mahathirisme.”

Penyakit yang sama akibat pembodohan ini, termasuk tidak cemerlang khasnya dalam bidang pemikiran, merebak di kalangan aktivis pembangkang, pemimpin siswa dan juga penggerak Reformasi. Misalnya, ia timbul melalui rasa malas membaca atau mudah berpuas hati dengan pandangan yang selapis, cetek dan permukaan.

Atau, ketika berdiskusi atau bermesyuarat, mereka gagal berhujah dengan lebih mendalam dari pelbagai penjuru dengan sokongan fakta atau sudut pandangan yang lebih bernas. Oleh itu, tidak berlaku percambahan, serta kepelbagaian idea atau semakan-semakan semula hujah yang sudah klise atau stereotaip. Tiada proses ‘peningkatan kebernasan idea’ – yang dianggap asas penolakan kedepan peradaban manusia.

Semua ini terjadi akibat hilangnya proses penerokaan akliah; proses ini datang bersama kemahuan yang kuat untuk berfikir, rasa seronok melayan fikiran apabila dihadapkan dengan persoalan mental walau ia waktu-waktunya membingungkan. Tetapi kebingungan itu tidak menjadi halangan; rasa asyik itu lebih kuat. Ia semacam rasa puas – dalam satu ‘permainan’ – untuk mencari ‘jawapan’ terhadap sesuatu kemusykilan.

Bagi mangsa pembodohan, kemusykilan itu sendiri – atau bagi seorang aktivis, permasalahan masyarakat dan bangsa – gagal dirumuskan! Tidak muncul rasa resah ingin meneroka pemikiran sendiri.

Sebab itu, dalam pertemuan petang itu, saya katakan pada Isham, “dalam bangsa yang beku pemikirannya, soalan yang betul dan paling asasi (untuk mengatasi kebekuan itu sendiri) tidak mampu ditanya!” Dia pun ketawa besar, bersetuju.

Gejala ini tidaklah terlalu pelik, sesiapa yang pernah membaca ‘teori’ kelumpuhan paradigma seperti karangan Joel Arthur Barker, Paradigms: The Business of Discovering the Future akan faham kesan buruk seumpama ini.

“Masyarakat tanpa kaum intelektual yang berkesan [dan juga malas] tidak mampu merumuskan masalah,” kata profesor Syed Hussein Alatas. “Ciri utama [individu serta kelompok] bukan intelektual adalah tidak adanya kemahuan berfikir dan tidak mampu melihat akibat [ketika proses berfikir].”

Ertinya, mangsa proses pembodohan Dr Mahathir tidak mungkin mencari punca kebodohannya sendiri! Mereka seolah-olah terkena sejenis dadah ‘scopolamine’ (dari pokok borrachero yang banyak tumbuh di Colombia). Mangsa akan mengikut apa sahaja kemahuan atau perintah orang lain. Mangsa tidak sedar apa-apa yang pernah terjadi ketika di bawah pengaruh dadah ini.

Berbeza dengan dadah jenis-jenis lain, scopolamine menghalang pembentukan memori dalam otak manusia. Mangsa tidak mungkin mengenali siapa penganiayanya. Walau melalui proses hipnosis, mangsa tetap gagal mengingati apa-apa kerana ingatan tidak pernah dirakam dalam minda.

Persoalan seterusnya, bagaimana menumbuhkan minat serta kemahuan untuk berfikir? Kita tahu kesan lanjut jika ada kemahuan ini. Ia dapat diukur daripada pengucapan (rumusan) persoalan tertentu, beberapa analisa yang tersusun-jalin (walau tidak mesti lengkap) dan proses pencarian akliah yang serius, sama ada pembacaan, pertanyaan atau berdiskusi.

Pembangkang tidak boleh lagi menyumbat maklumat kepada rakyat kerana ia sejenis permainan membodohkan bangsa sendiri. Kaedah pendidikan jenis suapan (spoon-feeding), hafalan dan banjiran maklumat seperti di sekolah dan kampus sudah cukup merosakkan. Permainan ini sejenis alat kawalan atau saluran taklukan ke atas kita semua.

Permainan ini tidak boleh sama sekali diteruskan selepas tamat pengajian rasmi, khasnya di kalangan aktivis, profesional atau penulis – mereka nanti gagal berperanan sebagai anasir berfikir yang boleh diharapkan untuk mereformasikan masyarakat dan menolak kemajuan idea bangsa lebih kedepan. Mereka harus diasah berfikir sendiri – dengan yakin.

Dalam renungan John Stuart Mill: “[As] a thinker it is his great duty his first duty to follow his intellect to whatever conclusions it may lead. Truth gains more even by errors of one who, with due study and preparation, thinks for himself, than by the true opinions of those who only hold them because they do not suffer themselves to think.

Namun, penghujahan Mill berikutnya semacam ada ‘pertentangan’ di negara ini, khasnya di kalangan aktivis pembangkang, pemimpin siswa dan juga penggerak Reformasi.

Kenapa krisis politik sehebat tempoh 1998-2003, kontroversi dan pengalaman bergaul dengan aktivis lama (banyak membaca, berpengalaman atau aktif berfikir) gagal merangsang aktivis muda berfikir lebih rancak dan berdikari (terasa ada jurang antara mereka dengan anak muda)? Kalau begitu, di mana bermula kemahuan untuk berfikir?

Mill menulis: “Where there is a tacit convention that principles are not to be disputed; where the discussion of the greatest questions which can occupy humanity is considered closed, we cannot hope to find that generally high scale of mental activity which has made some periods of history so remarkable.

“Never when controversy avoided the subjects which are large and important enough to kindle enthusiasm, was the mind of a people stirred up from its foundations, and the impulse given which raised even persons of the most ordinary intellect to something of the dignity of thinking beings.

Jika kita bersetuju bahawa projek pembodohan Dr Mahathir telah mematikan semangat mahu berfikir dengan yakin, kenapa kita sendiri gagal merangsang minat berfikir – melalui aktivisme, tulisan dan ucapan kita?

Bagaimana menumbuhkan minat serta kemahuan untuk berfikir? Kerancakan berfikir – melayan rasa ingin tahu seperti di Zaman Pencerahan – bermula dari mana, sebenarnya?

Rujukan:

Hishamuddin Rais (2003) ‘Penjara sebagai universiti dan tadika’ dalam Siasah, Julai, hal. 60

Khalid Jaafar (2003) ‘Nyanyian angsa’ dalam Siasah, Ogos, hal. 64

Mill, John Stuart (1972) Utilitarianism, On Liberty, and Considerations on Representative Government, London: JM Dent & Sons. Bab ‘Of the liberty of thought and discussion’ hal. 94-95

Outram, Dorinda (2000) The Enlightenment, Cambridge: Cambridge University Press. Lihat bab ‘Science and the Enlightenment’ hal. 50-51

Syed Hussein Alatas (1991) Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka [atau teks asal (1977) Intellectuals in Developing Societies, London: Frank Cass] hal. 13 dan 20-21

Tulisan ini teks lengkap yang belum disunting dan diterbitkan dalam 'Tiada Noktah', Malaysiakini.com (25 Ogos 2003)

Saturday, August 23, 2003

Golongan 'Intelektual Palsu' menceroboh hak individu!

Amat terkejut dan marah apabila membaca berita yang disiarkan di akhbar internet Malaysiakini tentang pencerobohan ke atas hak peribadi pelajar oleh pihak pentadbiran UPM. Sila baca berita yang telah disiarkan di Malaysiakini di bawah untuk kita sama-sama dapat menganalisanya secara kritikal.

Midnight raid on students’ rooms, documents seized
Beh Lih Yi
4:34pm Fri Aug 22nd, 2003

Universiti Putra Malaysia (UPM) authorities carried out a midnight raid on the rooms of four women undergraduates and subsequently interrogated them for allegedly planning ‘underground activities’.

In the incident last Thursday, it was learnt that the residential college authorities searched the two rooms between 12 midnight to 3am.

According to a source, the six-member raiding team comprising four men and two women was led by residential college head Assoc Prof Dr Azali Mohamed.

However, Azali (photo) declined to comment on the raid when contacted later.

Documents confiscated

The source said the team had even searched the students’s personal files on their computers and confiscated several documents, including leaflets from opposition party PAS.

"They told the four that they had breached university regulations but didn’t explain what (wrongs) the students had committed," added the source who declined to be named.

The source said the four were then brought to Azali’s room at about 2am and were ‘interrogated’ by student affairs department deputy vice-chancellor Prof Dr Abdullah Al-Hadi Mohamed.

"The interrogation was merely a brainwash. They asked the four not to participate in any pro-opposition activities," said the source, adding that it could be an attempt to create fear among students in view of the coming campus elections.

The four are members of the Muslim Undergraduates Association (Persatuan Mahasiswa Islam, PMI) which was said to be linked to PAS.

Pro-opposition activities

Meanwhile, the source said the deputy vice-chancellor - who was appointed early this year - had embarked on an ‘unusual’ series of talks at different residential colleges recently.

"During these talks, he claimed there are campaigns among students to topple him and this was linked to the anti-establishment factions in the university."

According to the source, the deputy vice-chancellor also vowed to rid the campus of all ‘pro-opposition activities’.

Numerous attempts to reach Abdullah (left) for comment provide futile.

When contacted, an UPM student expressed anger and disappointment with the raid.

"We are angered by it, it was a shame. For Muslims, regardless of whether the students are Malay, Chinese or Indian, the raid violated the women’s rights when men entered their rooms at midnight."

Tainted elections

Campus elections for this year have been slated for Sept 4 while nomination day is fixed for next Saturday.

The UPM student council has been controlled by those labelled as ‘anti-establishment’ over the past few years. In last year’s polls, the faction won 34 out of 45 seats.

The faction has also been dominating the polls in other universities such as Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia and Universiti Sain Malaysia.

Campus elections, often tainted by partisan politics, never fails to make it to the limelight. Allegations of vote tampering and irregularities are common
.

Blogger Suresh Gnasegarah juga ada mengulas tentang isu ini. Sila klik di sini.
'Malaysia Boleh' pada pandangan Marina Mahathir

Sila baca artikel yang ditulis oleh anak perempuan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad di dalam kolum dwi-mingguannya di akhbar The Star. Tulisan yang sangat menarik yang melontarkan pelbagai persoalan yang perlu difikirkan bersama.

Friday, August 22, 2003

Kibarkan Jalur Gemilang!

Kebelakangan ini, kita pasti akan tertonton iklan berkenaan kibarkan Jalur Gemilang bersempena dengab bulan kemerdekaan sekarang. Iklan ini menonjolkan alasan yang diberikan oleh segelintir rakyat yang tidak mengibarkan bendera dan juga sebaliknya.

Secara jujur, saya dapat merasakan bahawa iklan ini tidak langsung mempunyai motif lain baik politik dan sebagainya dan ia hanyalah usaha murni kerajaan untuk membangkit semangat patriotik rakyat terhadap negaranya.

Namun apa yang menjadi sedikit keresahan adalah berkenaan beberapa alasan yang diberikan kedua-dua golongan yang berbeza ini. Bagi yang tidak mengibarkan jalur gemilang, tiada langsung alasan yang diberikan adalah dari sudut yang lebih mendalam dan patriotik. Manakala bagi yang mengibar, alasan yang diberikan juga agak ringkas dan tidak mendalam. Tidak pastilah pula sama ada iklan ini telah dirancang atau tidak. Wallahualam.

Apapun pandangan yang berbeza itu, ia tidaklah menjadi satu masalah utama di sini kerana ia adalah pilihan masing-masing. Masalahnya di sini adalah tiadanya perbezaan pendapat yang melihat secara mendalam akan realiti kehidupan dan persoalan sosio ekonomi dan politik Malaysia ketika ini secara jujur.

Alasan yang diberikan oleh seorang pemuda 'mat rempit' (hanya tanggapan saya) yang hanya akan mengibarkan bendera jikalau diberi percuma adalah sangat dikesali dan ditangisi. Mungkin ini juga adalah hasil mentaliti UMNO yang gemar memberi segalanya percuma tanpa menitik beratkan akan kepentingan apa yang diberikan secara percuma itu.

Masih kuat di ingatan saya tentang betapa semangatnya saya membeli jalur gemilang semasa Sukan Komanwel 98 yang berharga RM15 dan ketika itu masih bersekolah lagi demi untuk memberi sokongan penuh kepada atlit negara ketika itu terutamanya skuad hoki lelaki. Bagusnya, 'Jalur Gemilang' itu masih setia bersama saya sehingga sekarang.

Berkenaan mentaliti percuma ini, apa yang saya dapat perhatikan adalah majoriti yang menjadi ahli atau menyokong barisan pembangkang terkecuali. Ini dapat dibuktikan semasa kemuncak gerakan reformasi, pilihan raya 99 dan juga sehingga kini di mana mereka ini sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk membeli baju, cendera hati, pelekat, vcd, bendera dan sebagainya tanpa perlu mengharap.

Namun sama ada ianya ikhlas atau tidak, itu sukar dipastikan kerana mungkin ada yang membelinya sendiri kerana tidak diberi percuma, maka terpaksalah berbuat demikian. Walaubagaimanapun, secara luarannya golongan ini tetap lebih maju.

Terdapat pelbagai alasan yang membuatkan mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah sesautu yang membanggakan di saat dan ketika ini, di anataranya:

1) demokrasi terhad di mana pelbagai undang-undang yang tidak adil dan menindas seperti ISA, AUKU,Akta Penerbitan,Akta Hasutan dll digunakan terhadap pihak yang menentang dengan alasan keselamatan negara
2) kebebasan di dalam pelbagai perkara seperti media, berhimpun, berpersatuan dan sebagainya juga disempitkan
3) pembodohan minda rakyat oleh media kerajaan terutamanya RTM dan media arus perdana lain berterusan setiap hari.
4) ruang untuk mendapatkan maklumat dan pandangan yang pelbagai dan berbeza secara mudah seperti dengan hanya menonton tv dan membaca akhbar arus perdana ditutup
5) RASUAH yang begitu menular di segala sektor kerajaan
6) poltik perkauman dan agama yang sempit yang masih menjadi amalan
7) jurang digital dan juga maklumat yang agak lebar di antara penduduk bandar dan di luar bandar

Di samping itu, di bawah adalah beberapa point yang dikemukan oleh seorang pembaca ahkbar internet,Malaysiakini,Hon Lam Wai

-The death of 28-year-old Ho Kwai See while under police custody. No party is held responsible. The case will be closed and hushed up. If a few years ago, the deputy prime minister of Malaysia was assaulted while under police custody, what more now, considering that this person was a mere coconut trader. It took public and international outcry for the government to initiate an investigation.

-Illegal logging in Pahang, resulting in the destruction of a permanent forest reserve. No explanation will be provided and no party will he held responsible.

-Constant mismanagement of public funds for personal gains, in the forms of Perwaja Steel, Bakun Dam and the MAS financial scandal. Again, there will be no person or party which will be accountable.

-Substandard education system at the tertiary level. Wastage of tax-payers funds with substandard computer labs that are being delivered to our children.

-Traffic police constantly on the lookout for ‘duit kopi’.
The very fabric of Malaysia and its society is slowly being torn apart and have allowed to rot. Our children will inherit a shell of a country, a country that is devoid of human values, devoid of any sense of responsibility. In essence, devoid of any sense patriotism.


Namun, di segi lain mengibarkan Jalur Gemilang juga menjadi kebanggaan kita dan antara alasan yang dapat diberi adalah;

- Malaysia tanah tumpah darahku

- Malaysia adalah sebuah negara yang menghimpunakan tiga bangsa yang besar di dunia iaitu Melayu, daripada kepulauan Nusantara, Cina dari Tanah Besar China dan juga India, dari negara India dan betapa beruntungnya kita tanpa perlu ke negara tersebut untuk mengenali budaya setiap kaum.

- Malaysia aman dan stabil walaupun dengan mengenepikan peri pentingnya aspek pemikiran, keterbukaan, menutup segala isu sensitif tanpa ingin menyelesaikannya secara konkrit dan penghakisan hak asasi rakyat

- Malaysia terkenal di mata dunia di dalam pelbagai bidang seperti sukan, ekonomi dsb walaupun mungkin hanya dikagumi oleh mereka yang ada kepentingan dan mereka yang tidak memahami Malaysia secara mendalam

Akhirnya, terpulang kepada setiap individu sama ada ingin atau tidak mengibarkan jalur gemilang yang sebenarnya hanyalah sekadar simbol. Apa yang penting adalah sumbangan dan penghayatan yang bermakna terhadap negara tercinta ini yang boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Untuk mengatakan dengan tidak mengibarkan jalur gemilang itu sebagai tidak patriotik adalah sesuatu yang sangat sempit dan pandangan seperti ini harus disanggah.

Perbincangan yang sangat terbuka berkenaan arah tuju, matlamat, masalah dan kompleksiti yang ada pada negara kita perlu dijalankan sejujurnya tanpa perlu berselindung lagi demi memastikan kemerdekaan negara kita dapat difahami dan dihayati dengan sepenuhnya. Perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan selain daripada tokoh UMNO perlu didedahkan secara meluas dan diceritakan dengan adil dan padat di dalam buku sejarah sekolah supaya rakyat terutama generasi muda tidak ditipu selama-lamanya dengan retorik kemerdekaan UMNO.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka dari kebodohan!

Monday, August 18, 2003

Syabas Nazri!

Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan seperti yang dilaporkan di Bernama amat dialu-alukan. Sejak kebelakangan ini, individu yang bernama Nazri Aziz adalah salah satu contoh politikus yang berani, jujur dan dari kalangan yang ingin mengilmukan masyarakat.

Walau apapun motif disebaliknya yang mungkin lebih dibincangkan segelintir kelompok, baik pro-kerajaan, pro-pembangkang mahupun non partisan. Saya amat gembira mendengar kenyataan seperti ini dari seorang menteri kabinet dan lebih gemar melihat point of view yang diberikan berbanding dengan melihat siapa yang berkata.

Selama inipun, saya selalu mempunyai anggapan bahawa terdapat ramai golongan seperti Nazri di dalam gabungan parti pemerintah yang menginginkan rakyat Malaysia yang intelek, matang, bijak dan terbuka. Namun faktor apa yang menjadi batu penghalang bagi melaksanakan apa yang diimpi dan dikata, hanya tuhan yang tahu. Hampir tepat mungkinnya kerana ingin mengekalkan 'kuasa' yang sememangnya tidak boleh dilepaskan begitu mudah.

Tidak menjadi masalah jika 'kuasa' yang diamanahkan oleh pengundi yang telah dibodohkan itu digunakan sebaiknya untuk kemaslahatan seluruh rakyat. namun apa yang terjadi selalunya terjadi kontradiksi terhadap peranan kuasa itu, digunakan untuk kepentingan diri sendiri, rakan taulan dan kaum keluarga. Satu pengkhianatn yang besar terhadap umat manusia.

Diharap akan ada susulan besar-besaran terhadap kenyataan Nazri ini di media arus perdana seperti mana yang selalu terjadi tatkala pemimpin besar negara, Dr. Mahathir menyampaikan ideanya. Tunggu dan lihat. Hidup debat terbuka dan kebebasan intelek!!!

Wednesday, August 13, 2003

Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar

Negara sekular, negara Islam atau ‘Negara Buku’?

"Di kala semua kerajaan yang menentukan untung nasib rakyat; di depan semua negara ini, hampir semuanya memerintah dengan kuku besi … muncullah satu ruang yang hanya wujud dalam minda … kita hormatinya dengan nama Republik, kerana ia mempunyai semangat kebebasan, dan kerana intinya kedaulatan [diri]. Inilah ruang bakat dan ruang pemikiran."

Menjelang 1780, di Eropah, orang faham apa erti kebebasan berfikir dan berkarya walau kerajaan-kerajaan masih lagi dikongkong penuh oleh raja (dan gereja) – kecuali England dan Belanda. Ramai yang faham apa erti kebebasan ini dalam usaha menentang kebobrokan politik, kongkongan agama dan ketakadilan sistem bermasyarakat dalam ‘era kemutlakan kerajaan’.

Kata editor tinjauan sastera Histoire de la Republique des Lettres en France, termasuk kutipan di perenggan pertama, anggota-anggota ‘republik surat’ membentuk kelompok terpelajar berdasarkan meritnya sendiri, dan "mendapat reputasi tinggi seperti memerintah [negara] kuasa besar di muka bumi ini." Penulis zaman itu, Zaman Pencerahan, selalunya disebut ‘man of letters’ dan golongan inilah yang disebut ‘republic of letters’.

Penulis, ahli falsafah, saintis, seniman, aktivis politik dan pemikir melalui karya masing-masing dalam bentuk novel, buku dan akhbar – juga debat umum di kedai kopi dan salon (rumah terbuka di kalangan jemputan khas) – mempengaruhi masyarakat dan kerajaan.

Menurut Dorinda Outram, orang ramai waktu itu faham bahawa (a) penulis sebagai pembentuk fikiran masyarakat dan pengaruh golongan ini (‘republik surat’) seakan-akan kerajaan juga; (b) wujud kesamarataan di kalangan anggota ‘republik’ ini; (c) mereka menganut nilai kosmopolitanisme; (d) ilmu dan ahli fikir tidak mengenal batas-batas perbezaan politik.

Bukan sahaja tokoh-tokoh pemikir besar, yang dikaji pemikiran mereka hingga saat ini, tetapi juga penulis-penulis kecil – kini sudah dilupakan sama sekali – memainkan peranan yang penting. Mereka, digelar ‘Grub Street’, menyebarkan ‘sastera bawah tanah’ dalam format buku murah dan samizat tentang skandal politik, pornografi, rencana akhbar, ulasan buku, cerita kanak-kanak, novel cinta, skrip teater, libreto opera (muzik), sains pop dan buku kembara.

Ruang awam

Kekuatan ini pertama kali muncul di Eropah era Pencerahan (walau pendidikan, khususnya tentang agama di institusi gereja, sudah beratus-ratus tahun berkembang, termasuk era Renaissance abad ke-14 hingga 17) dalam bentuk mengasak kerajaan untuk tolerasi agama, kebebasan berfikir serta bersuara, kesamarataan, demokrasi, keadilan sosial dan hak asasi.

Jurgen Habermas merumuskan gejala baru ini, gejala orang ramai menggunakan akal rasional secara terbuka untuk mempengaruhi keputusan isu-isu negara, sebagai ‘ruang awam.’ Mula-mula karya sastera dan kritik seni dijadikan bahan perbincangan, kemudiannya beralih kepada isu-isu politik dan ekonomi.

Sehingga pernah terjadi, di England pada 1670-an, menjelang Revolusi Gemilang 1688, perbincangan kedai kopi disifatkan "sarang kekacauan politik". Kerajaan dalam pengumuman tentang hal ini menyebut:

"Orang ramai mula menafsir kebebasan mengikut selera sendiri, tidak cukup di kedai kopi, tetapi juga di tempat dan pertemuan lain, secara terbuka atau tertutup, untuk menghentam serta memperlekehkan keputusan negara, dengan membincangkan hal-hal yang mereka [rakyat] sendiri tidak faham, dan berusaha mencipta serta menyuburkan rasa tidak senang hati dalam fikiran rakyat jelata [pimpinan Beta]."

Percubaan kerajaan untuk mengadakan sekatan tidak diberikan perhatian oleh parlimen. Akhirnya sekatan bersuara (censorship) dimansuhkan pada 1695, hasil kejayaan bahan bertulis dan perbincangan kedai kopi. Dari sinilah sejarah terbentuknya konsep serta amalan ‘pendapat awam’ atau ‘debat awam’ yang dianggap unsur penting kebebasan dalam demokrasi hari ini.

Tetapi di negara kita hari ini, tidak wujud ‘republik penulis’ atau ‘republik buku’. Buku, akhbar dan laman web politik (mungkin juga VCD?) – yang pernah rancak awal krisis 1998 – kini sukar mendapat sambutan. Akhbar pembangkang tersohor, Harakah, perlahan-lahan menurun jualannya sehingga 150,000 naskhah daripada kira-kira 350,000 naskhah menjelang pilihan raya umum 1999.

Isu kebebasan akhbar tidak disuarakan sungguh-sungguh oleh pembangkang; sama sahaja larangan berceramah tidak diatasi sejak Julai 2001.

Golongan wartawan dan penulis – sastera dan seni – tidak muncul sebagai kelompok berpengaruh; malah mereka langsung berdiam diri. Sementara di kalangan pembangkang, sukar sekali melahirkan penulis baru, apatah lagi berbakat. Banyak sekali isu dikupas ‘cincai-cincai’ atau terabai.

Ketandusan karya

Malah, di kalangan mereka tidak ada keghairahan menulis, menerbit risalah, berdiskusi buku, menterjemah, atau mengajar-belajar teori. Juga, mutu debat dalam diskusi pula (walau dihadiri mahasiswa atau golongan terpelajar) masih sangat rendah. Golongan yang menyeru ke arah reformasi nampaknya perlukan lebih banyak reformasi daripada kerajaan itu sendiri!

Sebab itu tidak kita temui karya-karya baik tentang ‘politik Islam’ – kecuali satu atau dua karya terjemahan – di pasaran walau kelihatan pengaruh politik agama ala PAS semakin membusung sejak krisis 1998.

Malah, buku-buku tentang isu-isu yang bergerak sepanjang lima tahun lepas tidak tertulis; misalnya buku panduan hak asasi untuk remaja atau debat asas ‘kebebasan akhbar’! Ada tanggapan, jika ditulis sekali pun, belum tentu mendapat sambutan – tidakkah ini sejenis paradoks?

Kemasukan golongan profesional, seperti didakwa, dalam parti Islam atau kelompokan cerdik pandai, sekali lagi seperti didakwa, dalam Partai Rakyat Malaysia (PRM) tidaklah lebih menarik, malah kelihatannya tidak berguna apa-apa!

Benar sekali pandangan profesor Syed Hussein Alatas: "Barang kali petunjuk yang paling jelas tentang tidak adanya minat intelektual di banyak negara membangun di Asia adalah tidak adanya falsafah politik yang maju – falsafah yang digarap secara konsisten dan rasional melalui sarana buku-buku dan penerbitan yang lain."

Tambahnya: "Jika kita ambil sebuah parti komunis di Eropah, maka falsafah [juga] tidak disusun dalam perlembagaannya. [Tetapi] di luar perlembagaan parti, didapati ratusan buku dan penerbitan lainnya menghuraikan falsafahnya [parti itu] secara rinci dan meliputi sejumlah aspek kehidupan sosial. Ada ahli teori dan pemikir parti; ada pula para pengkritiknya. Jadi kehidupan intelektual parti ditopang oleh kerja para intelektual di dalam dan di luarnya.

"Tidak demikian halnya dalam banyak negara membangun. Di sini parti-parti politik hanya mempunyai perlembagaan mereka untuk menyatakan kesedaran falsafah. Peranan kaum intelektual dalam politik [dianggap] kurang penting; mereka (ahli politik) lebih banyak bergantung pada emosi dan kepekaan tradisional massa daripada daya tarik pada taakulan intelektual…"

Dasar buku negara

Di kalangan gerakan bukan pembangkang per se, rungutan tentang hal yang sama – yakni kedaifan minat membaca dan kekurangan buku bermutu – juga sering kedengaran, bukan mutakhir ini tetapi sudah sejak lama dulu. Seolah-olahnya isu ini tidak pernah mahu diselesaikan; tidak ada ada pemikiran serius dicampakkan bagi menanganinya.

"Dasar Buku Negara (DBN) sudah menjelaskan supaya industri buku mesti diiktiraf sebagai industri yang penting [tetapi kerajaan tidak pernah mengambil sikap begitu; yang ada, sekadar perisytiharan niat – penulis ini] kerana buku sebagai alat penting dalam pembangunan sosio-budaya intelektual masyarakat sama ada menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan atau Dasar Kebudayaan Kebangsaan," rungut presiden Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (Ikatan), Shaari Abdullah kepada Berita Harian.

"Malah buku juga boleh bertindak sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat berilmu dan bermaklumat, masyarakat sains dan teknologi serta masyarakat bersatu padu bagi mencapai status negara maju seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020."

Penerbitan buku baru sebanyak 4,578 judul pada 1990 meningkat kepada 6,465 judul (1995), tetapi menurun pula kepada 5,341 (2000) dan kemudian meningkat kepada 6,090 dua tahun lepas.

"Bagaimanapun, jumlah ini (judul buku) masih kurang memberangsangkan kerana kriteria negara maju harus menerbitkan sekurang-kurangnya 20,000 judul buku [setahun]. Ini bermakna bagi penduduk Malaysia yang mencapai 24 juta penduduk memerlukan kira-kira 1,000 judul bagi setiap satu juta penduduk," tambah Shaari.

Masalah budaya

Dr Hassan Ahmad, seorang tokoh yang dihormati dalam hal-hal seumpama ini, berbicara dengan nada yang sama. Menurutnya, masalah besar bukan lagi isu prasarana penerbitan, bukan masalah kemajuan pendidikan atau literasi (celik huruf), taraf ekonomi, "tetapi masalah budaya."

"Masalah budaya ini tidak lagi kena mengena dengan keupayaan industri buku di negara ini untuk menerbitkan sebanyak buku yang mungkin setiap tahun, tetapi dengan dua masalah yang cukup mendasar.

"Pertama, masalah manusia yang dikatakan tidak mempunyai kesedaran buku atau minat membaca yang tinggi dan kedua, masalah budaya pendidikan dalam masyarakat," kata bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dalam satu kertas kerjanya seperti dipetik rencana ‘DBN perlu dikaji semula: Hassan’.

Kadar pembacaan buku tidak meningkat walau jumlah penduduk negara ini sudah bertambah serta kadar celik huruf sudah mencapai lebih 90 peratus. Rata-rata buku umum sukar dihabiskan stoknya dalam tempoh dua atau tiga tahun walau jumlah cetakannya kecil (2,000 hingga 3,000 naskhah).

Tambah Hassan, kini ketua eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia: "Namun, kalau hanya lima peratus daripada 10 juta orang Melayu dewasa yang literat (tahu membaca) membaca [dan membeli] satu buku umum dalam bahasa Melayu setiap tahun, ini bererti 500,000 naskhah buku itu boleh dijual.

"Soalnya, mengapa hal ini (tahap pembelian dan membaca buku yang tinggi) tidak berlaku dalam dunia penerbitan buku khususnya berbahasa Melayu di negara ini, sedangkan keadaan kemajuan pendidikan, kemajuan kadar literasi, keadaan kemajuan ekonomi dan infrastruktur penerbitan yang baik di sini," soalnya.

[Nota: Namun, sebuah kedai buku besar dari Jepun mempunyai pengalaman berbeza di negara ini. "Kami tersentak serta terperanjat melihat minat membaca yang besar di negara ini. Rakyat Malaysia memang pembaca yang serius!" kata pengarah urusan Kinokuniya, Hiroyoshi Kageyama, kepada The Star. Dia menambah, kedai bukunya di KLCC dikunjungi antara 100,000 hingga 150,000 orang sebulan dan berjaya menjual lebih 100,000 buah buku sebulan.]


Tidak relevan

Malangnya, walau rungutan sekali sekala ada, tetapi di kalangan pembangkang, isu kemajuan buku tidak pernah disuarakan, apatah lagi diperjuangkan. Kerajaan pula tidak serius. Malah, segelintir sahaja di kalangan aktivis pembangkang ‘kelihatan’ membaca!

Tetapi, entah apa mabuknya, isu ‘negara Islam’ lawan ‘negara sekular’ dibesar-besarkan oleh beberapa pihak misalnya Lim Kit Siang (DAP) dan beberapa individu seperti Hishamuddin Rais. Saya kira isu ini tidak relevan dibandingkan isu ‘negara buku’, bukan begitu?

‘Negara buku’ yang kuat pengaruh tulisannya – seperti pengalaman Eropah abad ke-18 – sehingga terpancar pada keghairahan membaca pelbagai bidang pengetahuan dan kemudian berhujah secara rasional, matang lagi mendalam dalam isu-isu politik-kenegaraan.

Apa pun ideologi atau bentuk negara masa depan, jika rakyat tidak tahu berfikir bebas, kongkongan akan muncul di mana-mana, bila-bila masa sahaja, dari kerajaan baru itu nanti. Hidup ‘negara buku’!


--------------------------------------------------------------------------------
Rujukan
Ahmad Fauzi Mustafa (2003), ‘Ke mana arah industri buku Malaysia sekarang?’, Berita Minggu, 20 Julai

Berita Minggu (2003) ‘DBN perlu dikaji semula: Hassan’, 20 Julai

Habermas, Jurgen (1989) The Structural Transformation of the Public Sphere, Massachusetts: MIT Press Bab ‘Social structure of the public sphere’ hal 27-31 dan ‘Political functions of the public sphere’ hal 59

Outram, Dorinda (2000) The Enlightenment, Cambridge: Cambridge University Press. Lihat bab ‘Coffee houses and consumers’ hal 18-24

Syed Hussein Alatas (1991) Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka [atau teks asal (1977) Intellectuals in Developing Societies, London: Frank Cass] hal 66-67


Thong, P.W (2003) ‘Japan bookstore bullish about business in Malaysia’, The Star, 21 Julai

Wolff, Philippe (1968) The Cultural Awakening, New York: Pantheon Books. Bab-bab ‘The cultural foundations of Europe’, ‘The heritage of the Carolingian renaissance’ dan ‘The enrichment of culture’.

FATHI ARIS OMAR, pernah bertugas bersama Malaysiakini.com, kini wartawan bebas. Beliau mempunyai sebuah kolum yang dipanggil 'Tiada Noktah' di akhbar dalam talian, Malaysiakini di mana beliau cuba mengungkapkan isu-isu yang saling bergabung jalin antara media, wartawan, buku, penerbitan, teknologi maklumat dan sosio-politik negara kita.

"Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (11 Ogos 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com"


Promo Malaysiakini

Kepada sesiapa yang menginginkan sumber berita alternatif yang mempunyai kredibiliti. Silalah berlanggan dengan akhbar dalam talian, Malaysiakini dengan harga serendah RM10 sebulan. Tidak lengkap membaca akhbar arus perdana tanpa membaca akhbar alternatif dan independen dan sebaliknya.
Semangat 'Malaysia Boleh'

Melihat sambutan yang diberikan kepada perenang Malik Mydin yang berjaya merentasi Selat Inggeris sehinggakan Perdana Menteri dan timbalannya sanggup turun ke KLIA menanti kepulangan 'hero negara' adalah sesuatu yang tidak mengejutkan.

Sebelum itu, tahniah diucapkan kepada kejayaan yang telah digapai oleh Malik, sesuatu yang boleh dibanggakan jikalau tidak terlalu 'terlampau' publisitinya. Melihat segala apa yang berlaku, banyak persoalan yang timbul di benak fikiran.

Pastinya, akan ada dua kelompok utama yang akan berbeza pendapat, satu menyokong dan satu lagi bersikap sinis. Walau apapun posisinya, perdebatan yang sihat amat perlu untuk merungkai secara mendalam akan semangat 'Malaysia Boleh' ini.

Kepada yang bersikap sinis, jika pihak yang di sebelah sana menanyakan soalan seperti 'kau boleh buat ke macam dia?' atau menggambarkan usaha saudara Malik itu sebagai satu simbol patriotisme dan seterusnya menggelarkan pihak yang sinis ini sebagai tidak patriotik. Berikan mereka jawapannya.

Antara jawapan balas yang dapat difikirkan adalah, apakah untuk menunjukkan semangat patriotisme kita hanya melalui satu cara sahaja, jika begitu, hanya Malik dan mungkin juga Azhar Mansor dan pendaki Gunung Everest sahaja yang mempunyai rasa patriotik terhadap negara tercinta ini, malah Dr Mahathir juga akan dianggap tidak patriotik.

Kita perlu menyedari bahawa ramai di kalangan mereka yang bersikap sinis itu termasuklah saya adalah golongan rakyat yang mungkin lebih patriotiknya. Golongan-golongan inilah yang mahu melihat semangat 'Malaysia Boleh' digunakan di tempat yang sepatutnya dan yang lebih mendalam, tidak hanya terhad kepada bentuk simbol yang kosong.

Saya amat bersetuju dengan pandangan surat pembaca Malaysiakini, Pelita Negara yang menyenaraikan beberapa perkara yang memerlukan semangat 'Malaysia Boleh' dan kegilaan memecah rekod itu patut ditumpukan. Di bawah adalah sebahagian petikan daripada artikel beliau;

"The records that Malaysians should really break are the ones that could benefit the nation ultimately.

-We should strive to be the most educated and most efficient workforce globally.

-The police should concentrate their efforts to make Malaysia the safest place with the lowest crime rates ever recorded anywhere.

-The various authorities should co-ordinate their efforts to make Malaysia the cleanest country in the world.

-Given the advantages of being a multi-ethnic and multi-cultural country, we should overcome our prejudices and work hard together, to create the most peaceful and understanding nation on earth.

These are record-breaking feats that we need to conquer. These are the building blocks towards the construction of the Greatest Nation in the world.

It is not wise just to pride ourselves on the physical appearance of things, unless we want to become the laughing stock of the world. Instead we should judge the success of any project or action, by assessing the fulfilment of its intended goal, base on its functionality, efficiency, suitability, sustainability and safety.

Malaysia and its people should not become slaves to symbolism. Instead, we should be its master and use it with prudence to move our nation closer towards achieving our goals.

We do not want Malaysia to become a stage crowded with useless monumental props and backdrops that hinder the flow of our nation’s story.

Our forefathers made their entrance onto the stage during the difficult years of colonisation. It is now the duty of the present generation of Malaysians to carry on working towards achieving their vision of a united, prosperous and progressive Malaysia.

We must ensure that when it is time for us to exit the stage, we leave behind an audience who is deeply inspired to continue our efforts for generations to come. Each Malaysian has different parts to play. It is time we stop being obsessed with symbolism and start working hard for the success of our country."


Sesungguhnya, kita percaya bahawa semangat 'Malaysia Boleh' itu adalah sesuatu yang baik dan mulia. Namun kita tidak boleh terus membiarkan ia digunakan oleh segolongan manusia yang memalukan dan merendahkan imej negara di mata dunia dengan slogan ini dan juga segolongan manusia yang tidak boleh membezakan semangat 'Malaysia Boleh' dengan 'Kerajaan Boleh', 'BN Boleh', 'UMNO Boleh', 'Melayu Boleh' dan 'Mahathir Boleh'.

Akhirnya, jika kita fikir 'Malaysia Boleh', rakyat di Burundi juga pastinya turut memiliki sikap yang sama dan sememangnya semua makhluk ciptaan tuhan amat berkebolehan. Sama ada boleh yang penting atau sebaliknya, itu soal lain.

Wednesday, August 06, 2003

Produk 'PATRIOTISME PALSU' berkubur?

Melihat kepada statistik jualan 6 bulan pertama yang dikeluarkan oleh MAA adalah tidak memeranjatkan tatkala melihat penguasaan pasaran kereta nasional kebanggaan rakyat Malaysia merosot dengan begitu ketara kepada 53%, pengurangan kira-kira 25% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Di dalam masa yang sama, jualan kereta Toyota dilaporkan meningkat sebanyak 74% dan model terbaru Honda telah ditempah oleh 10000 pengguna. Alasan yang diberikan di atas penurunan ini seperti SARS dan isu Iraq dirasakan tidak begitu tepat dan cuba untuk mengaburi mata rakyat.

Tarikh pelaksanaan AFTA semakin menghampiri kita dan walaupun ia belum berkuatkuasa sekarang, prestasi Proton dilihat amat buruk dan adakah ini petanda jelas bahawa produk 'patriotisme palsu' (selagi Proton tidak menggunakan 100% kandungan tempatan) ini akan terus merosot dan berkubur?

Apakah strategi yang akan digunakan Proton untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka? Bergabung dengan 'Big Six' seperti yang pernah disyorkan oleh Datin Seri Rafidah Aziz? menurunkan harga kereta? atau tetap utuh dengan prinsip kereta nasional dan seterusnya bersaing secara sihat dengan syarikat automatif gergasi yang lain?

Pilihan yang ada mungkin terbentang luas dan sedang difikirkan sebaik-baiknya oleh golongan yang berkenaan terutama sekali Tengku Mahalel. Saya juga secara peribadi mengharapkan agar negara tanah tumpah saya ini mempunyai kereta buatan Malaysia yang asli yang boleh dibanggakan saentero dunia.

Namun bila dan ketikanya tidak perlu dipaksakan dan bagi saya perkembangan industri automotif hendaklah selari dengan kemampuan negara. Terkadang saya terfikir sendirian apakah niat sebenar Dr. Mahathir dan sesiapa juga yang terlibat mengilhamkan kewujudan produk 'patriotisme palsu' pada ketika sebelum ia dilancarkan?

Saya juga tidak pasti adakah pengilham idea ini sedar atau tahu akan wujudnya AFTA dan proses globalisasi semasa itu. Jika tidak, apakah rasional dan tujuan utama projek kereta ini?

Mungkin ada yang berhujah ini adalah sebahagian proses perindustrian negara di ketika itu dan ini tidak dapat dinafikan. Namun, jikalau golongan yang merancang ini sedar akan tiadanya AFTA di masa hadapan, ada kemungkinan projek kereta nasional adalah sebahagian daripada program pemunduran teknologi, citarasa dan pilihan rakyat Malaysia secara sedar atau tidak sedar.

Ini kerana rakyat Malaysia yang kebanyakannya saya pasti menggunakan kereta Proton di ketika ini adalah kerana terpaksa kerana ia adalah yang paling murah(mahal memandangkan ia dibuat di sini) dan termampu jika dibandingkan dengan kereta luar negara. (Itupun kerana regim cukai yang tinggi).

Justeru, pengguna Proton dipaksa mengguna pakai produk yang rendah kualiti(masih tidak memasuki US, jika diterima di sana ia dianggap berkualiti), khidmat lepas jualan yang tidak memuasakan, model yang ketinggalan dan tidak kompetitif dan harga yang mahal. Ini semua menyebabkan rakyat Malaysia mundur citarasa dan pengetahuannya dan kadang kala membentuk psiki merendah iri dan takjub membabi buta pabila melihat kereta buatan luar seperti Mitsubishi, Honda, Toyota dsb yang sebenarnya mampu dimiliki oleh pemilik Waja dan Wira di ketika ini jikalau tidak kerana regim cukai yang menindas yang telah melariskan produk 'patriotisme palsu' itu secara paksa.

Persoalannya, adakah projek ini mampu bertahan dan apakah motif utama di sebalik projek ini? adakah untuk mengkayakan sebilangan individu atau sebagai senjata politik parti pemerintah ataupun untuk merevolusi pemikiran rakyat terutamanya Melayu terhadap pentingnya perindustrian di ketika itu?

Walau apapun matlamat sebenarnya, saya tetap tidak bersetuju dengan projek ini kerana saya mempunyai pandangan bahawa kita perlu membangun mengikut kapasiti dan hanya sesuai untuk membuat anjakan dan revolusi di dalam perkara yang dianggap asas terlebih dahulu seperti pendidikan, kesihatan, perumahan dsb kerana kita perlu menyediakan manusia yang mempunya mentaliti 'first world' terlebih dahulu atau pun seiring dan bukanlah infrastruktur atau projek 'first world' terlebih dahulu seperti Litar F1 Sepang, Proton dan KLCC.