Wednesday, August 27, 2003

Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar

Akar-umbi ‘pembodohan’ Umno

Hishamuddin Rais membuat kesimpulan menarik, walau masih permukaan dan awal, “jenayah Umno yang paling utama adalah memperbodohkan masyarakat Melayu. Rasuah saya rasa [jenayah] biasa.”

“Tapi, memperbodohkan orang Melayu itulah jenayah yang lebih besar,” kata Isham, namanya di kalangan teman-teman, tidak lama selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Hujah ini mengingatkan saya perbualan agak panjang dengan seorang sarjana dari sebuah universiti tempatan dan teman-teman penulis beberapa bulan sebelum Isham dibebaskan – berkenaan hal yang sama. Saya menekankan persoalan ini harus diteliti dengan lebih halus dan dikaji.

Saya kira ramai orang boleh bersetuju tentang gejala ini (walau tidak pasti sama ada orang ramai bersetuju bahawa ia lebih serius daripada rasuah seperti ditanggap Isham). Secara popular, pembodohan digambarkan dengan ungkapan “insulting our intelligence” (menghina kecerdikan kita) apabila merujuk kenyataan pemimpin politik atau laporan akhbar negara ini.

Kenyataan atau laporan itu mengandaikan orang ramai tidak menghalusi kesahan atau kebenaran ideanya. Ia dikeluarkan tanpa rasa malu; lagi pun rasa malu seumpama itu sudah tidak bernilai apa-apa dalam budaya politik kita. Oleh itu, dengan sewenang-wenangnya, ia disampaikan sama ada dalam bentuk mempertahankan sesuatu tindakan politik, menolak sesuatu hujah atau memberi ulasan tentang sesuatu isu.

‘Memperbodoh-bodohkan’ orang ramai topiknya luas dan boleh dilihat dari pelbagai penjuru. Misalnya, asal-usul pembodohan, teknik-teknik atau keadaan-keadaan proses ini terbentuk, dan juga reaksi orang ramai.

Tetapi saya ingin menarik kepada satu persoalan yang paling asasi: hubungan antara ‘kemahuan berfikir’ dengan pembodohan. Bagi saya, pembodohan membentuk budaya bersama atau sejenis social conditioning; yakni, rasa tidak perlu berhujah, berbeza pandangan, mempertikaikan sesuatu maklumat yang disogokkan atau mencabar kelaziman serta ‘tradisi’.

Ia mematikan keghairahan berfikir, serta menumpulkan minda, mula-mula secara kolektif, kemudian secara peribadi. Mula-mula di kalangan pengikut kelompok dominan, kemudian kepada penentangnya dan akhir sekali di kalangan pengikut penentang itu sendiri. Pembangkang kemudiannya mewarisi pembodohan yang tidak disukai itu.

Semangat berfikir kritis hanya ditujukan kepada kerajaan dan masyarakat (mereka ini semuanya salah); penyokong pembangkang tidak berfikir tentang parti atau pemimpinnya sendiri (konon semuanya betul), sama seperti teman-teman Isham – mungkin – tidak boleh mengeluarkan idea yang lebih baik daripadanya.

Aktivis dan pemimpin pembangkang juga gagal melihat serta membedah sesuatu yang lebih abstrak daripada tindakan politik, kenyataan pemimpin kerajaan atau perundangan. Soal nilai, budaya atau ‘ikatan seni’ yang mengawal minda, gelagat, minat atau naluri bangsa ini gagal dibedah siasat.

Jika ada, itu semua teori yang dilontar semula daripada buku-buku; bukan kefahaman mereka yang asli tentang negara ini. Saya tidak fikir mereka faham dan saya tidak nampak mereka sedar bahawa inilah kelemahan asasi mereka dalam perlawanan dengan Barisan Nasional dan institusi-institusinya. Bagi saya, ini semua akibat-akibat nyata ketumpulan minda.

Malah, ada di kalangan mereka bersikap anti-ilmu; tidak tahu meletakkan hubungan antara ‘teori’, ‘kritik’, ‘konsep’, ‘kajian’, ‘idea’, ‘falsafah’ atau kegiatan ‘intelektual’ dengan gerak kerja perjuangan.

Sering kita dengar, dengan nada jengkel atau sinis, “awak kritik saja, memang mudah”, “kita tidak perlu intelektual yang pandai berteori” atau “teori banyak-banyak pun tidak guna, yang penting pelaksanaan”. Sedarkah mereka nada seumpama ini lahir akibat pembodohan?

Proses keseluruhan pembodohan melalui pendidikan, undang-undang keras (yang menyekat debat awam) dan juga laporan media, akhirnya menimbulkan gejala paling berbahaya – merebaknya gejala ketiadaan atau kelemahan minat untuk berfikir.

Maksudnya, berfikir di luar batasan persoalan diri, berfikir soal-soal yang lebih abstrak dan menyentuh ruang lingkup bermasyarakat atau isu-isu kenegaraan. Mahu atau tidak, semua orang berfikir – fakta ini pasti – khasnya untuk mengatasi persoalan peribadi, seperti kelaparan atau kekasih merajuk.

Kerancakan debat awam – dianggap unsur penting penyertaan dalam proses demokrasi – tidak akan mungkin tanpa keinginan untuk berbeza pandangan dan kebebasan berfikir individu. Tetapi kebebasan berfikir itu sendiri hanyalah sejenis proses lewat (kalau bukan akhir) daripada: (a) keyakinan berfikir, khususnya secara awam dan sebelum itu, (b) kemahuan berfikir, secara senyap-senyap dan bersendirian sifatnya.

Di Eropah abad ke-18, ketika asas-asas sains moden mula berkembang, sains masih dianggap sebahagian cabang falsafah tabii, rasa ingin tahu (curiosity) jadi bahan ketawa. Mereka yang suka menyelidik alam semula jadi – bagi melayan rasa ingin tahu (asas utama penerokaan sains dan pemikiran) – dianggap kegiatan orang malas dan tidak berakal!

Charles Linnaeus, ahli sains Sweden yang mengasaskan sistem pengkelasan sains hingga dipakai ke hari ini, pada 1740 terpaksa menulis bagi menjawab sikap sinis masyarakatnya:

“satu soalan yang sering ditanya, satu sanggahan yang sering dibuat terhadap ahli sains yang ghairah mengkaji alam tabii, apabila orang yang rendah pelajarannya melihat ahli falsafah tabii memeriksa hasil-hasil alam.

“Orang ramai bertanya, selalunya dengan ketawa menyindir, ‘apa guna buat kerja ini’ … Orang seperti itu beranggapan falsafah alam tabii sekadar melayan rasa ingin tahu, hanya sejenis hiburan untuk membazir masa bagi golongan yang malas dan tidak berotak.”

Sebelum Zaman Pencerahan, beratus-ratus tahun sejak Zaman Pertengahan dan Renaissance, melayan rasa ingin tahu secara intelek (intellectual curiosity) dipandang buruk. Ia dianggap sejenis hawa nafsu (dan juga dosa) yang menyebabkan Adam dan Hawa tercampak ke bumi (selepas memakan sejenis buah di syurga).

Imej negatif ini berakar umbi begitu mendalam melalui penulisan-penulisan agama sehingga pemikir besar Jean-Jacques Rousseau terpaksa berhujah betapa mustahaknya rasa ingin tahu (dan berfikir) untuk menajamkan ilmu dalam risalah pendidikannya yang masyhur, Emile (terbit 1762).

Proses pembodohan dalam masyarakat kita membawa natijah yang serupa dengan pengalaman Eropah ini – ia berjaya membunuh rasa mahu berfikir dan mempertikai. Di sini bermula kelumpuhan pemikiran, mematikan ‘rasa yakin akal’ (asas kemerdekaan diri) atau kesan akhirnya, ketandusan debat awam.

Kebebasan berfikir itu sendiri (selalu dirangkum bersama kebebasan beragama atau kesedaran nurani) sejenis tuntutan akibat ingin berbeza anutan, khususnya agama, dalam sejarah Eropah. Ia akhirnya diiktiraf sebagai satu hak asasi setelah wujud keinginan serta keyakinan yang kuat untuk berbeza anutan (termasuk tidak menganut apa-apa!).

Tuntutan kebebasan, apa juga bentuk, selalu muncul akibat rasa ingin bebas yang telah meronta-ronta, tidak tertahan-tahan lagi. Tetapi projek pembodohan Dr Mahathir Mohamad membunuh benih asas ini, ‘rasa ingin’ – sama ada bebas atau berfikir. Juga, membunuh kecemerlangan seperti kritik Khalid Jaafar tentang “kelaihan (mediocrity)… [sebagai] menjelaskan makna sebenar Mahathirisme.”

Penyakit yang sama akibat pembodohan ini, termasuk tidak cemerlang khasnya dalam bidang pemikiran, merebak di kalangan aktivis pembangkang, pemimpin siswa dan juga penggerak Reformasi. Misalnya, ia timbul melalui rasa malas membaca atau mudah berpuas hati dengan pandangan yang selapis, cetek dan permukaan.

Atau, ketika berdiskusi atau bermesyuarat, mereka gagal berhujah dengan lebih mendalam dari pelbagai penjuru dengan sokongan fakta atau sudut pandangan yang lebih bernas. Oleh itu, tidak berlaku percambahan, serta kepelbagaian idea atau semakan-semakan semula hujah yang sudah klise atau stereotaip. Tiada proses ‘peningkatan kebernasan idea’ – yang dianggap asas penolakan kedepan peradaban manusia.

Semua ini terjadi akibat hilangnya proses penerokaan akliah; proses ini datang bersama kemahuan yang kuat untuk berfikir, rasa seronok melayan fikiran apabila dihadapkan dengan persoalan mental walau ia waktu-waktunya membingungkan. Tetapi kebingungan itu tidak menjadi halangan; rasa asyik itu lebih kuat. Ia semacam rasa puas – dalam satu ‘permainan’ – untuk mencari ‘jawapan’ terhadap sesuatu kemusykilan.

Bagi mangsa pembodohan, kemusykilan itu sendiri – atau bagi seorang aktivis, permasalahan masyarakat dan bangsa – gagal dirumuskan! Tidak muncul rasa resah ingin meneroka pemikiran sendiri.

Sebab itu, dalam pertemuan petang itu, saya katakan pada Isham, “dalam bangsa yang beku pemikirannya, soalan yang betul dan paling asasi (untuk mengatasi kebekuan itu sendiri) tidak mampu ditanya!” Dia pun ketawa besar, bersetuju.

Gejala ini tidaklah terlalu pelik, sesiapa yang pernah membaca ‘teori’ kelumpuhan paradigma seperti karangan Joel Arthur Barker, Paradigms: The Business of Discovering the Future akan faham kesan buruk seumpama ini.

“Masyarakat tanpa kaum intelektual yang berkesan [dan juga malas] tidak mampu merumuskan masalah,” kata profesor Syed Hussein Alatas. “Ciri utama [individu serta kelompok] bukan intelektual adalah tidak adanya kemahuan berfikir dan tidak mampu melihat akibat [ketika proses berfikir].”

Ertinya, mangsa proses pembodohan Dr Mahathir tidak mungkin mencari punca kebodohannya sendiri! Mereka seolah-olah terkena sejenis dadah ‘scopolamine’ (dari pokok borrachero yang banyak tumbuh di Colombia). Mangsa akan mengikut apa sahaja kemahuan atau perintah orang lain. Mangsa tidak sedar apa-apa yang pernah terjadi ketika di bawah pengaruh dadah ini.

Berbeza dengan dadah jenis-jenis lain, scopolamine menghalang pembentukan memori dalam otak manusia. Mangsa tidak mungkin mengenali siapa penganiayanya. Walau melalui proses hipnosis, mangsa tetap gagal mengingati apa-apa kerana ingatan tidak pernah dirakam dalam minda.

Persoalan seterusnya, bagaimana menumbuhkan minat serta kemahuan untuk berfikir? Kita tahu kesan lanjut jika ada kemahuan ini. Ia dapat diukur daripada pengucapan (rumusan) persoalan tertentu, beberapa analisa yang tersusun-jalin (walau tidak mesti lengkap) dan proses pencarian akliah yang serius, sama ada pembacaan, pertanyaan atau berdiskusi.

Pembangkang tidak boleh lagi menyumbat maklumat kepada rakyat kerana ia sejenis permainan membodohkan bangsa sendiri. Kaedah pendidikan jenis suapan (spoon-feeding), hafalan dan banjiran maklumat seperti di sekolah dan kampus sudah cukup merosakkan. Permainan ini sejenis alat kawalan atau saluran taklukan ke atas kita semua.

Permainan ini tidak boleh sama sekali diteruskan selepas tamat pengajian rasmi, khasnya di kalangan aktivis, profesional atau penulis – mereka nanti gagal berperanan sebagai anasir berfikir yang boleh diharapkan untuk mereformasikan masyarakat dan menolak kemajuan idea bangsa lebih kedepan. Mereka harus diasah berfikir sendiri – dengan yakin.

Dalam renungan John Stuart Mill: “[As] a thinker it is his great duty his first duty to follow his intellect to whatever conclusions it may lead. Truth gains more even by errors of one who, with due study and preparation, thinks for himself, than by the true opinions of those who only hold them because they do not suffer themselves to think.

Namun, penghujahan Mill berikutnya semacam ada ‘pertentangan’ di negara ini, khasnya di kalangan aktivis pembangkang, pemimpin siswa dan juga penggerak Reformasi.

Kenapa krisis politik sehebat tempoh 1998-2003, kontroversi dan pengalaman bergaul dengan aktivis lama (banyak membaca, berpengalaman atau aktif berfikir) gagal merangsang aktivis muda berfikir lebih rancak dan berdikari (terasa ada jurang antara mereka dengan anak muda)? Kalau begitu, di mana bermula kemahuan untuk berfikir?

Mill menulis: “Where there is a tacit convention that principles are not to be disputed; where the discussion of the greatest questions which can occupy humanity is considered closed, we cannot hope to find that generally high scale of mental activity which has made some periods of history so remarkable.

“Never when controversy avoided the subjects which are large and important enough to kindle enthusiasm, was the mind of a people stirred up from its foundations, and the impulse given which raised even persons of the most ordinary intellect to something of the dignity of thinking beings.

Jika kita bersetuju bahawa projek pembodohan Dr Mahathir telah mematikan semangat mahu berfikir dengan yakin, kenapa kita sendiri gagal merangsang minat berfikir – melalui aktivisme, tulisan dan ucapan kita?

Bagaimana menumbuhkan minat serta kemahuan untuk berfikir? Kerancakan berfikir – melayan rasa ingin tahu seperti di Zaman Pencerahan – bermula dari mana, sebenarnya?

Rujukan:

Hishamuddin Rais (2003) ‘Penjara sebagai universiti dan tadika’ dalam Siasah, Julai, hal. 60

Khalid Jaafar (2003) ‘Nyanyian angsa’ dalam Siasah, Ogos, hal. 64

Mill, John Stuart (1972) Utilitarianism, On Liberty, and Considerations on Representative Government, London: JM Dent & Sons. Bab ‘Of the liberty of thought and discussion’ hal. 94-95

Outram, Dorinda (2000) The Enlightenment, Cambridge: Cambridge University Press. Lihat bab ‘Science and the Enlightenment’ hal. 50-51

Syed Hussein Alatas (1991) Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka [atau teks asal (1977) Intellectuals in Developing Societies, London: Frank Cass] hal. 13 dan 20-21

Tulisan ini teks lengkap yang belum disunting dan diterbitkan dalam 'Tiada Noktah', Malaysiakini.com (25 Ogos 2003)

No comments: