Saturday, August 30, 2003

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 46!

Kepada seluruh rakyat Malaysia, detik 12 tengah malam hari ini menandakan ulang tahun ke 46 kemerdekaan negara kita yang tercinta ini. Di hari yang mulia dan bersejarah ini, mari kita sama-sama melihat dan berfikir bagaimana untuk kita mempertahankan kemerdekaan kita.

Di hari yang mulia ini juga, kita sebagai rakyat Malaysia prihatin yang terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat perlu bertekad untuk terus memajukan negara yang tercinta ini di dalam segala bidang demi untuk mencapai status negara maju yang diidam-idamkan.

Golongan rakyat terbanyak juga perlu untuk menyemai minat membaca, berfikir, memerhati dan cuba untuk membincangkan segala isu yang berkait secara langsung atau tidak langsung di dalam pembinaan diri, masyarakat, bangsa, agama dan negara.

Jangan didiamkan sahaja apa yang kita fikirkan tanpa ada usaha untuk menyebarkannya. Berbincang selalu dan jauhkan diri di dalam melihat sesuatu isu dari sisi yang sempit.

Ingat! Apa yang kita lakukan ini semua adalah disebabkan KERANAMU MALAYSIA! dan bukanlah KERANAMU........Kurangkan melihat sesuatu dari kerangka sudut UMNO, PAS, PKRM, MCA dan sebagainya yang kebiasaannya akan mengurangkan tahap berfikir dan kebijaksanaan kita.

Kepada yang sudah berumur 21 tahun ke atas, silalah mendaftar untuk menjadi pengundi secepat yang mungkin. Pilihanraya semakin hampir dan gunakanlah kesempatan ini untuk membuat pilihan. Jangan asyik mengkritik itu dan ini tetapi di dalam masa yang sama mengabaikan hak dan tanggungjawab kita.

Jangan berdasarkan premis 'politik dan politikus itu kotor', kita juga bersubahat meneruskan kekotoran itu.

Akhir sekali, sila baca surat pembaca yang bernama Thomas Lee yang disiarkan di akhbar internet, Malaysiakini yang memberikan kita input yang sangat baik. SELAMAT HARI MERDEKA!!!

No comments: