Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar
Negara sekular, negara Islam atau ‘Negara Buku’?
"Di kala semua kerajaan yang menentukan untung nasib rakyat; di depan semua negara ini, hampir semuanya memerintah dengan kuku besi … muncullah satu ruang yang hanya wujud dalam minda … kita hormatinya dengan nama Republik, kerana ia mempunyai semangat kebebasan, dan kerana intinya kedaulatan [diri]. Inilah ruang bakat dan ruang pemikiran."
Menjelang 1780, di Eropah, orang faham apa erti kebebasan berfikir dan berkarya walau kerajaan-kerajaan masih lagi dikongkong penuh oleh raja (dan gereja) – kecuali England dan Belanda. Ramai yang faham apa erti kebebasan ini dalam usaha menentang kebobrokan politik, kongkongan agama dan ketakadilan sistem bermasyarakat dalam ‘era kemutlakan kerajaan’.
Kata editor tinjauan sastera Histoire de la Republique des Lettres en France, termasuk kutipan di perenggan pertama, anggota-anggota ‘republik surat’ membentuk kelompok terpelajar berdasarkan meritnya sendiri, dan "mendapat reputasi tinggi seperti memerintah [negara] kuasa besar di muka bumi ini." Penulis zaman itu, Zaman Pencerahan, selalunya disebut ‘man of letters’ dan golongan inilah yang disebut ‘republic of letters’.
Penulis, ahli falsafah, saintis, seniman, aktivis politik dan pemikir melalui karya masing-masing dalam bentuk novel, buku dan akhbar – juga debat umum di kedai kopi dan salon (rumah terbuka di kalangan jemputan khas) – mempengaruhi masyarakat dan kerajaan.
Menurut Dorinda Outram, orang ramai waktu itu faham bahawa (a) penulis sebagai pembentuk fikiran masyarakat dan pengaruh golongan ini (‘republik surat’) seakan-akan kerajaan juga; (b) wujud kesamarataan di kalangan anggota ‘republik’ ini; (c) mereka menganut nilai kosmopolitanisme; (d) ilmu dan ahli fikir tidak mengenal batas-batas perbezaan politik.
Bukan sahaja tokoh-tokoh pemikir besar, yang dikaji pemikiran mereka hingga saat ini, tetapi juga penulis-penulis kecil – kini sudah dilupakan sama sekali – memainkan peranan yang penting. Mereka, digelar ‘Grub Street’, menyebarkan ‘sastera bawah tanah’ dalam format buku murah dan samizat tentang skandal politik, pornografi, rencana akhbar, ulasan buku, cerita kanak-kanak, novel cinta, skrip teater, libreto opera (muzik), sains pop dan buku kembara.
Ruang awam
Kekuatan ini pertama kali muncul di Eropah era Pencerahan (walau pendidikan, khususnya tentang agama di institusi gereja, sudah beratus-ratus tahun berkembang, termasuk era Renaissance abad ke-14 hingga 17) dalam bentuk mengasak kerajaan untuk tolerasi agama, kebebasan berfikir serta bersuara, kesamarataan, demokrasi, keadilan sosial dan hak asasi.
Jurgen Habermas merumuskan gejala baru ini, gejala orang ramai menggunakan akal rasional secara terbuka untuk mempengaruhi keputusan isu-isu negara, sebagai ‘ruang awam.’ Mula-mula karya sastera dan kritik seni dijadikan bahan perbincangan, kemudiannya beralih kepada isu-isu politik dan ekonomi.
Sehingga pernah terjadi, di England pada 1670-an, menjelang Revolusi Gemilang 1688, perbincangan kedai kopi disifatkan "sarang kekacauan politik". Kerajaan dalam pengumuman tentang hal ini menyebut:
"Orang ramai mula menafsir kebebasan mengikut selera sendiri, tidak cukup di kedai kopi, tetapi juga di tempat dan pertemuan lain, secara terbuka atau tertutup, untuk menghentam serta memperlekehkan keputusan negara, dengan membincangkan hal-hal yang mereka [rakyat] sendiri tidak faham, dan berusaha mencipta serta menyuburkan rasa tidak senang hati dalam fikiran rakyat jelata [pimpinan Beta]."
Percubaan kerajaan untuk mengadakan sekatan tidak diberikan perhatian oleh parlimen. Akhirnya sekatan bersuara (censorship) dimansuhkan pada 1695, hasil kejayaan bahan bertulis dan perbincangan kedai kopi. Dari sinilah sejarah terbentuknya konsep serta amalan ‘pendapat awam’ atau ‘debat awam’ yang dianggap unsur penting kebebasan dalam demokrasi hari ini.
Tetapi di negara kita hari ini, tidak wujud ‘republik penulis’ atau ‘republik buku’. Buku, akhbar dan laman web politik (mungkin juga VCD?) – yang pernah rancak awal krisis 1998 – kini sukar mendapat sambutan. Akhbar pembangkang tersohor, Harakah, perlahan-lahan menurun jualannya sehingga 150,000 naskhah daripada kira-kira 350,000 naskhah menjelang pilihan raya umum 1999.
Isu kebebasan akhbar tidak disuarakan sungguh-sungguh oleh pembangkang; sama sahaja larangan berceramah tidak diatasi sejak Julai 2001.
Golongan wartawan dan penulis – sastera dan seni – tidak muncul sebagai kelompok berpengaruh; malah mereka langsung berdiam diri. Sementara di kalangan pembangkang, sukar sekali melahirkan penulis baru, apatah lagi berbakat. Banyak sekali isu dikupas ‘cincai-cincai’ atau terabai.
Ketandusan karya
Malah, di kalangan mereka tidak ada keghairahan menulis, menerbit risalah, berdiskusi buku, menterjemah, atau mengajar-belajar teori. Juga, mutu debat dalam diskusi pula (walau dihadiri mahasiswa atau golongan terpelajar) masih sangat rendah. Golongan yang menyeru ke arah reformasi nampaknya perlukan lebih banyak reformasi daripada kerajaan itu sendiri!
Sebab itu tidak kita temui karya-karya baik tentang ‘politik Islam’ – kecuali satu atau dua karya terjemahan – di pasaran walau kelihatan pengaruh politik agama ala PAS semakin membusung sejak krisis 1998.
Malah, buku-buku tentang isu-isu yang bergerak sepanjang lima tahun lepas tidak tertulis; misalnya buku panduan hak asasi untuk remaja atau debat asas ‘kebebasan akhbar’! Ada tanggapan, jika ditulis sekali pun, belum tentu mendapat sambutan – tidakkah ini sejenis paradoks?
Kemasukan golongan profesional, seperti didakwa, dalam parti Islam atau kelompokan cerdik pandai, sekali lagi seperti didakwa, dalam Partai Rakyat Malaysia (PRM) tidaklah lebih menarik, malah kelihatannya tidak berguna apa-apa!
Benar sekali pandangan profesor Syed Hussein Alatas: "Barang kali petunjuk yang paling jelas tentang tidak adanya minat intelektual di banyak negara membangun di Asia adalah tidak adanya falsafah politik yang maju – falsafah yang digarap secara konsisten dan rasional melalui sarana buku-buku dan penerbitan yang lain."
Tambahnya: "Jika kita ambil sebuah parti komunis di Eropah, maka falsafah [juga] tidak disusun dalam perlembagaannya. [Tetapi] di luar perlembagaan parti, didapati ratusan buku dan penerbitan lainnya menghuraikan falsafahnya [parti itu] secara rinci dan meliputi sejumlah aspek kehidupan sosial. Ada ahli teori dan pemikir parti; ada pula para pengkritiknya. Jadi kehidupan intelektual parti ditopang oleh kerja para intelektual di dalam dan di luarnya.
"Tidak demikian halnya dalam banyak negara membangun. Di sini parti-parti politik hanya mempunyai perlembagaan mereka untuk menyatakan kesedaran falsafah. Peranan kaum intelektual dalam politik [dianggap] kurang penting; mereka (ahli politik) lebih banyak bergantung pada emosi dan kepekaan tradisional massa daripada daya tarik pada taakulan intelektual…"
Dasar buku negara
Di kalangan gerakan bukan pembangkang per se, rungutan tentang hal yang sama – yakni kedaifan minat membaca dan kekurangan buku bermutu – juga sering kedengaran, bukan mutakhir ini tetapi sudah sejak lama dulu. Seolah-olahnya isu ini tidak pernah mahu diselesaikan; tidak ada ada pemikiran serius dicampakkan bagi menanganinya.
"Dasar Buku Negara (DBN) sudah menjelaskan supaya industri buku mesti diiktiraf sebagai industri yang penting [tetapi kerajaan tidak pernah mengambil sikap begitu; yang ada, sekadar perisytiharan niat – penulis ini] kerana buku sebagai alat penting dalam pembangunan sosio-budaya intelektual masyarakat sama ada menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan atau Dasar Kebudayaan Kebangsaan," rungut presiden Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (Ikatan), Shaari Abdullah kepada Berita Harian.
"Malah buku juga boleh bertindak sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat berilmu dan bermaklumat, masyarakat sains dan teknologi serta masyarakat bersatu padu bagi mencapai status negara maju seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020."
Penerbitan buku baru sebanyak 4,578 judul pada 1990 meningkat kepada 6,465 judul (1995), tetapi menurun pula kepada 5,341 (2000) dan kemudian meningkat kepada 6,090 dua tahun lepas.
"Bagaimanapun, jumlah ini (judul buku) masih kurang memberangsangkan kerana kriteria negara maju harus menerbitkan sekurang-kurangnya 20,000 judul buku [setahun]. Ini bermakna bagi penduduk Malaysia yang mencapai 24 juta penduduk memerlukan kira-kira 1,000 judul bagi setiap satu juta penduduk," tambah Shaari.
Masalah budaya
Dr Hassan Ahmad, seorang tokoh yang dihormati dalam hal-hal seumpama ini, berbicara dengan nada yang sama. Menurutnya, masalah besar bukan lagi isu prasarana penerbitan, bukan masalah kemajuan pendidikan atau literasi (celik huruf), taraf ekonomi, "tetapi masalah budaya."
"Masalah budaya ini tidak lagi kena mengena dengan keupayaan industri buku di negara ini untuk menerbitkan sebanyak buku yang mungkin setiap tahun, tetapi dengan dua masalah yang cukup mendasar.
"Pertama, masalah manusia yang dikatakan tidak mempunyai kesedaran buku atau minat membaca yang tinggi dan kedua, masalah budaya pendidikan dalam masyarakat," kata bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dalam satu kertas kerjanya seperti dipetik rencana ‘DBN perlu dikaji semula: Hassan’.
Kadar pembacaan buku tidak meningkat walau jumlah penduduk negara ini sudah bertambah serta kadar celik huruf sudah mencapai lebih 90 peratus. Rata-rata buku umum sukar dihabiskan stoknya dalam tempoh dua atau tiga tahun walau jumlah cetakannya kecil (2,000 hingga 3,000 naskhah).
Tambah Hassan, kini ketua eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia: "Namun, kalau hanya lima peratus daripada 10 juta orang Melayu dewasa yang literat (tahu membaca) membaca [dan membeli] satu buku umum dalam bahasa Melayu setiap tahun, ini bererti 500,000 naskhah buku itu boleh dijual.
"Soalnya, mengapa hal ini (tahap pembelian dan membaca buku yang tinggi) tidak berlaku dalam dunia penerbitan buku khususnya berbahasa Melayu di negara ini, sedangkan keadaan kemajuan pendidikan, kemajuan kadar literasi, keadaan kemajuan ekonomi dan infrastruktur penerbitan yang baik di sini," soalnya.
[Nota: Namun, sebuah kedai buku besar dari Jepun mempunyai pengalaman berbeza di negara ini. "Kami tersentak serta terperanjat melihat minat membaca yang besar di negara ini. Rakyat Malaysia memang pembaca yang serius!" kata pengarah urusan Kinokuniya, Hiroyoshi Kageyama, kepada The Star. Dia menambah, kedai bukunya di KLCC dikunjungi antara 100,000 hingga 150,000 orang sebulan dan berjaya menjual lebih 100,000 buah buku sebulan.]
Tidak relevan
Malangnya, walau rungutan sekali sekala ada, tetapi di kalangan pembangkang, isu kemajuan buku tidak pernah disuarakan, apatah lagi diperjuangkan. Kerajaan pula tidak serius. Malah, segelintir sahaja di kalangan aktivis pembangkang ‘kelihatan’ membaca!
Tetapi, entah apa mabuknya, isu ‘negara Islam’ lawan ‘negara sekular’ dibesar-besarkan oleh beberapa pihak misalnya Lim Kit Siang (DAP) dan beberapa individu seperti Hishamuddin Rais. Saya kira isu ini tidak relevan dibandingkan isu ‘negara buku’, bukan begitu?
‘Negara buku’ yang kuat pengaruh tulisannya – seperti pengalaman Eropah abad ke-18 – sehingga terpancar pada keghairahan membaca pelbagai bidang pengetahuan dan kemudian berhujah secara rasional, matang lagi mendalam dalam isu-isu politik-kenegaraan.
Apa pun ideologi atau bentuk negara masa depan, jika rakyat tidak tahu berfikir bebas, kongkongan akan muncul di mana-mana, bila-bila masa sahaja, dari kerajaan baru itu nanti. Hidup ‘negara buku’!
--------------------------------------------------------------------------------
Rujukan
Ahmad Fauzi Mustafa (2003), ‘Ke mana arah industri buku Malaysia sekarang?’, Berita Minggu, 20 Julai
Berita Minggu (2003) ‘DBN perlu dikaji semula: Hassan’, 20 Julai
Habermas, Jurgen (1989) The Structural Transformation of the Public Sphere, Massachusetts: MIT Press Bab ‘Social structure of the public sphere’ hal 27-31 dan ‘Political functions of the public sphere’ hal 59
Outram, Dorinda (2000) The Enlightenment, Cambridge: Cambridge University Press. Lihat bab ‘Coffee houses and consumers’ hal 18-24
Syed Hussein Alatas (1991) Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka [atau teks asal (1977) Intellectuals in Developing Societies, London: Frank Cass] hal 66-67
Thong, P.W (2003) ‘Japan bookstore bullish about business in Malaysia’, The Star, 21 Julai
Wolff, Philippe (1968) The Cultural Awakening, New York: Pantheon Books. Bab-bab ‘The cultural foundations of Europe’, ‘The heritage of the Carolingian renaissance’ dan ‘The enrichment of culture’.
FATHI ARIS OMAR, pernah bertugas bersama Malaysiakini.com, kini wartawan bebas. Beliau mempunyai sebuah kolum yang dipanggil 'Tiada Noktah' di akhbar dalam talian, Malaysiakini di mana beliau cuba mengungkapkan isu-isu yang saling bergabung jalin antara media, wartawan, buku, penerbitan, teknologi maklumat dan sosio-politik negara kita.
"Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (11 Ogos 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com"
Promo Malaysiakini
Kepada sesiapa yang menginginkan sumber berita alternatif yang mempunyai kredibiliti. Silalah berlanggan dengan akhbar dalam talian, Malaysiakini dengan harga serendah RM10 sebulan. Tidak lengkap membaca akhbar arus perdana tanpa membaca akhbar alternatif dan independen dan sebaliknya.
No comments:
Post a Comment