Produk 'PATRIOTISME PALSU' berkubur?
Melihat kepada statistik jualan 6 bulan pertama yang dikeluarkan oleh MAA adalah tidak memeranjatkan tatkala melihat penguasaan pasaran kereta nasional kebanggaan rakyat Malaysia merosot dengan begitu ketara kepada 53%, pengurangan kira-kira 25% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
Di dalam masa yang sama, jualan kereta Toyota dilaporkan meningkat sebanyak 74% dan model terbaru Honda telah ditempah oleh 10000 pengguna. Alasan yang diberikan di atas penurunan ini seperti SARS dan isu Iraq dirasakan tidak begitu tepat dan cuba untuk mengaburi mata rakyat.
Tarikh pelaksanaan AFTA semakin menghampiri kita dan walaupun ia belum berkuatkuasa sekarang, prestasi Proton dilihat amat buruk dan adakah ini petanda jelas bahawa produk 'patriotisme palsu' (selagi Proton tidak menggunakan 100% kandungan tempatan) ini akan terus merosot dan berkubur?
Apakah strategi yang akan digunakan Proton untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka? Bergabung dengan 'Big Six' seperti yang pernah disyorkan oleh Datin Seri Rafidah Aziz? menurunkan harga kereta? atau tetap utuh dengan prinsip kereta nasional dan seterusnya bersaing secara sihat dengan syarikat automatif gergasi yang lain?
Pilihan yang ada mungkin terbentang luas dan sedang difikirkan sebaik-baiknya oleh golongan yang berkenaan terutama sekali Tengku Mahalel. Saya juga secara peribadi mengharapkan agar negara tanah tumpah saya ini mempunyai kereta buatan Malaysia yang asli yang boleh dibanggakan saentero dunia.
Namun bila dan ketikanya tidak perlu dipaksakan dan bagi saya perkembangan industri automotif hendaklah selari dengan kemampuan negara. Terkadang saya terfikir sendirian apakah niat sebenar Dr. Mahathir dan sesiapa juga yang terlibat mengilhamkan kewujudan produk 'patriotisme palsu' pada ketika sebelum ia dilancarkan?
Saya juga tidak pasti adakah pengilham idea ini sedar atau tahu akan wujudnya AFTA dan proses globalisasi semasa itu. Jika tidak, apakah rasional dan tujuan utama projek kereta ini?
Mungkin ada yang berhujah ini adalah sebahagian proses perindustrian negara di ketika itu dan ini tidak dapat dinafikan. Namun, jikalau golongan yang merancang ini sedar akan tiadanya AFTA di masa hadapan, ada kemungkinan projek kereta nasional adalah sebahagian daripada program pemunduran teknologi, citarasa dan pilihan rakyat Malaysia secara sedar atau tidak sedar.
Ini kerana rakyat Malaysia yang kebanyakannya saya pasti menggunakan kereta Proton di ketika ini adalah kerana terpaksa kerana ia adalah yang paling murah(mahal memandangkan ia dibuat di sini) dan termampu jika dibandingkan dengan kereta luar negara. (Itupun kerana regim cukai yang tinggi).
Justeru, pengguna Proton dipaksa mengguna pakai produk yang rendah kualiti(masih tidak memasuki US, jika diterima di sana ia dianggap berkualiti), khidmat lepas jualan yang tidak memuasakan, model yang ketinggalan dan tidak kompetitif dan harga yang mahal. Ini semua menyebabkan rakyat Malaysia mundur citarasa dan pengetahuannya dan kadang kala membentuk psiki merendah iri dan takjub membabi buta pabila melihat kereta buatan luar seperti Mitsubishi, Honda, Toyota dsb yang sebenarnya mampu dimiliki oleh pemilik Waja dan Wira di ketika ini jikalau tidak kerana regim cukai yang menindas yang telah melariskan produk 'patriotisme palsu' itu secara paksa.
Persoalannya, adakah projek ini mampu bertahan dan apakah motif utama di sebalik projek ini? adakah untuk mengkayakan sebilangan individu atau sebagai senjata politik parti pemerintah ataupun untuk merevolusi pemikiran rakyat terutamanya Melayu terhadap pentingnya perindustrian di ketika itu?
Walau apapun matlamat sebenarnya, saya tetap tidak bersetuju dengan projek ini kerana saya mempunyai pandangan bahawa kita perlu membangun mengikut kapasiti dan hanya sesuai untuk membuat anjakan dan revolusi di dalam perkara yang dianggap asas terlebih dahulu seperti pendidikan, kesihatan, perumahan dsb kerana kita perlu menyediakan manusia yang mempunya mentaliti 'first world' terlebih dahulu atau pun seiring dan bukanlah infrastruktur atau projek 'first world' terlebih dahulu seperti Litar F1 Sepang, Proton dan KLCC.
No comments:
Post a Comment