Tuesday, August 28, 2012

Nasionalisme pembodohan di Indonesia


oleh Zulhabri Supian

Nasionalisme adalah perebutan kekuasaan...
Nasionalisme adalah kekayaan pribadi...
Nasionalisme adalah menindas rakyat...
Nasionalisme adalah mencuri aset negara...
Nasionalisme adalah pembodohan massa...

Di atas salah satu rangkap puisi berjudul “Sebuah puisi nasionalisme pembodohan” karya Phandjie Trihatmojo, anak muda dari Depok yang mewakili kekecewaan sebahagian masyarakat Indonesia terhadap negara dan pemerintahnya.

Jika di Malaysia, slogan “Malaysia Boleh” ciptaan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi sesuatu yang dilebih-lebihkan, Indonesia tidak terkecuali mengalami hal yang sama dengan kata “nasionalisme”. Kata yang positif jika terlebih pakai dan terlebih dimaknai akan menjadi hal yang berlawanan. Sungguh beruntung generasi muda Malaysia kerana kata nasionalisme dari awal disedari maknanya sebagai “poyo” sehingga menjadi nasionalis bererti menyokong pemerintah Umno dan Ketuanan Melayu.

Semenjak berkenalan dengan Indonesia, saya melihat ada dua kelompok yang mendominasi wacana di Indonesia; pertama kelompok nasionalis (nasionalisme pembodohan) dan kedua kelompok rasionalis (nasionalisme rasional). Malangnya kelompok pertama lebih mendominasi sementara kelompok kedua yang dominan di Malaysia menjadi pinggiran di sana dan sering dicerca warga senegara kerana dituduh tidak cukup nasionalis.

Kes teman saya, Wening Gemi Nastiti mahasiswi di Limkokwing menjadi contoh klasik. Sewaktu heboh petugas Pejabat Kelautan dan Perikanan Indonesia yang ditangkap Polis Diraja Malaysia pada 2010, Wening menulis artikel di Kompasiana, laman blog pembaca Kompas dengan judul “Salam dari Kami, Pelajar Indonesia yang Menuntut Ilmu di Malaysia”. Artikel ini kemudian mengundang perdebatan hangat pro dan kontra kerana ditafsir kaum nasionalis sebagai pro-Malaysia. Wening dicerca banyak pembacanya dan itu biasa.

Jika di Malaysia warga yang pro kepada negara (selalu bererti pro-Umno) sebaliknya yang dicerca sebagai pencacai dan dituduh tidak kritis. Barangkali ini salah satu sebab Malaysia secara ekonomi relatif maju kerana warganya tidak mudah berpuas hati. Kelentong nasionalisme tidak laku di Malaysia selagi ekonomi masih kalah jauh dengan Singapura dan ketika sebahagian rakyat dianggap kelas kedua.

Indonesia mampu lebih maju jika perlawanan melawan nasionalisme pembodohan berjaya dimenangi. Selama ini warga Indonesia mudah dipancing emosi dan akal sihat oleh pemerintah dari zaman Soekarno hingga ke zaman reformasi dengan mencari musuh bersama yang seringkali adalah Malaysia. Dulu pemerintah Malaysia melakukan hal sama dengan menjadikan Singapura sebagai kambing hitam dan sekarang tidak laku lagi.

Dalam banyak kes, pemerintah Indonesia berjalan seiring dengan media mereka yang mengamalkan kebebasan bereskpresi yang liar dan tidak bertanggungjawab. Apa yang dilapor media dan diungkap pemimpin tentang Malaysia dipercayai bulat-bulat walhal dalam hal ehwal politik dalam negara mereka lebih kritis. Pengamatan saya sifat kritis hanya digunapakai di dalam politik dalam negara tetapi tidak jika berhubungan dengan Malaysia. Ada double standards di sini.

Tambah melucukan jika hubungan kedua negara sedang memanas, kata “Ganyang Malaysia” sering dilaungkan walhal yang melaungkan dengan penuh semangat barangkali adalah pembenci Parti Komunis Indonesia (PKI) yang merupakan tulang belakang kepada gerakan. Gerakan “Ganyang Malaysia” adalah bentuk perlawanan kepada pembentukan Malaysia yang dijuarai Soekarno kerana dianggap sebagai “boneka British”.

Ironis sekali, tetapi tidak menghairankan apabila nasionalisme dikedepankan berbanding fakta sejarah baik versi rasmi mahupun alternatif. Jika mengetahui fakta sekalipun, sering terjadi pengetahuan tentang gerakan kiri dan komunis serta sejarah Nusantara difahami skopnya sebatas acuan negara Indonesia moden. Yang pasti tidak ramai tahu bahawa Malaysia turut merdeka dengan darah serta air mata dan ini nasionalis Malaysia juga tidak tahu.

Jenaka tentang perbezaan kata dalam Bahasa Indonesia dan Malaysia yang disebar di Internet dan dipercayai ramai warganya tanpa menyoal menambahkan lagi daftar nasionalisme pembodohan yang dicipta dengan senyap. Saya sering ditanya warga biasa Indonesia tentang kebenaran kata “Kementerian Tuduh Menuduh”, “Kementerian Tak Berdosa”, “Laskar Hentak-Hentak Bumi”, “Hospital korban lelaki” dan apabila saya menjawab tidak, ramai yang seolah tidak percaya.

Contoh lain kes nasionalisme pembodohan adalah ketika warga mereka melancong ke Malaysia. Mereka yang rasionalis biasanya akan melihat Malaysia dengan objektif tetapi kaum nasionalisme pembodohan akan berkata seperti ini, “Malaysia itu sebenarnya tidak punya apa-apa baik budaya mahupun tempat menariknya, kalau Indonesia diurus dengan baik kita mampu meninggalkan mereka dengan jauh” dan “Malaysia negara kecil cuma 27 juta, Indonesia punya 240 juta dan tidak mudah diurus”. Anehnya mereka tidak berbuat sesuatu yang serius untuk melawan salah urus negara.

Mentaliti seperti ini tidak akan membawa Indonesia ke mana-mana kerana telah dibonsai dengan kata nasionalisme sehingga hilang daya kritis dan dibutakan mata tentang fakta kejayaan China membangun ekonominya dengan jumlah penduduk lebih satu bilion. Itu belum saya beritahu bahawa erti “Melayu” di Malaysia itu termasuk di dalamnya etnik Jawa, Bugis, Banjar dan lain-lain serta kaum Cina dan India membentuk lebih dari 30 peratus warga Malaysia. Kaum nasionalis sentiasa di dalam sindrom penafian yang tanpa disedari dimanfaatkan sebaiknya pemerintah mereka untuk terus merompak harta negara dan membodohkan warganya.

Nasionalisme pembodohan ini sangat mengakar ke seluruh tubuh warga seperti mana budaya rasuah sehingga aspek-aspek kebersamaan yang bersifat lebih sejagat dipinggirkan berbanding sebuah kata nasionalisme yang membodohkan. Melawan nasionalisme pembodohan merupakan hal yang paling mendasar untuk dilakukan warga Indonesia seperti mana warga Malaysia melawan slogan “Malaysia Boleh”, “Keranamu Malaysia” dan kini “Janji Ditepati”. Bagaimana untuk melawan? Untuk permulaan warga Indonesia harus menuntut pemerintah menjadikan ekonomi Indonesia sama baik atau lebih baik dari Malaysia.

Menurut saya kata-kata John F. Kennedy, “Jangan tanyakan apa yang negara ini berikan kepadamu tapi tanyakan apa yang telah kamu berikan kepada negaramu” sangat tidak relevan jika sesebuah negara diperintah kaum penindas dan koruptor. Apa yang diperlukan negara adalah pemerintah adil serta rakyat yang cerdas dan jika terpenuhi, rasa nasionalisme suci yang manusiawi dan inklusif akan muncul. Soal siapa yang memberi tidak timbul kerana masing-masing saling memberi.

Bermula dengan ASEAN yang akan terbuka pada 2015, mari kita warga Indonesia dan Malaysia serta negara ASEAN lain berfikir sebagai satu kesatuan yang mengutamakan nilai-nilai sejagat yang membebaskan kita dari pembodohan kepada pemerkasaan pemikiran dan daya tindak. Sudah tiba masanya warga ASEAN dan dunia bersatu tenaga menolak segala bentuk pembodohan dan penindasan tanpa melihat batas-batas negara. Untuk hal ini, saya merasa syukur kerana mempunyai banyak teman yang berkongsi hasrat yang sama dan tentangannya kini adalah bagaimana untuk menyebarluas.

Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 23 Ogos 2012

Monday, August 13, 2012

Ketuanan Bali, Melayu & Islam

oleh Zulhabri Supian

Menurut Chris Barker, konsep identiti adalah “it pertains to cultural descriptions of persons with which we emotionally identify and which concern sameness and difference, the personal and the social”. Beliau kemudian menambah bahawa identiti itu merupakan konstruksi budaya kerana “the discursive resources that form the material for identity formation are cultural in character”.

Manakala politik identiti ditandai dengan penguatan identiti sesuatu kelompok masyarakat baik yang berakar kaum mahupun agama dan kini merupakan fenomena global yang berlaku di mana-mana, barangkali sebagai bentuk tentangan terhadap arus globalisasi atau mungkin rasa kurang percaya atau terlebih percaya diri sesuatu masyarakat. Politik identiti seringkali dimainkan peranannya oleh mereka yang sedang berkuasa melalui penguatan identiti sesuatu kelompok sebagai tuan dan dikukuhkan dalam bentuk undang-undang. Jika di Malaysia popular dengan wacana “Ketuanan Melayu” yang secara terang dan bersembunyi mendiskriminasi rakyat Malaysia bukan berketurunan Melayu (baca Melayu Islam), di Bali mereka mempunyai “Ajeg Bali” (Ketuanan Bali) yang menurut saya kedua-dua esensinya mirip.

Menurut Gde Putra, aktivis di Komunitas Taman 65, “Ajeg Bali, yang mana ‘ajeg’ adalah kuat dan tangguh adalah upaya agar Bali tetap kukuh. Wacana Ajeg Bali ini muncul pasca Bom Bali 1 sebagai respon terhadap terorisme. Menjaga Bali tidak hanya bersifat fizik seperti merawat pura (kuil) dan candi kuno agar tidak memudar tetapi juga bersifat luas iaitu budaya Bali. Dengan semangat penjagaan, Ajeg Bali diambil oleh beberapa pakar, mereka mengaitkannya dengan keajegan Hindu sebagai agama majoriti dan tuan rumah di Bali. Sehingga Ajeg Bali adalah bahagian inner power Hindu”.

Dalam upaya penguatan identiti kebalian itu, setiap desa adat berusaha menjaga kawasannya dari dimasuki budaya yang bukan Bali. Bermacam cara digunakan seperti menghidupkan kembali Pecalang (Polisi Desa Adat) sehingga memasang pembesar suara di kuil untuk memutar rakaman puja trisandya (seperti azan) tiga kali sehari.

Jika pernah ke Bali, saya pasti anda pernah melihat pecalang, mereka adalah kelompok pemuda berpakaian adat dengan warna gelap yang bertugas tidak hanya sebagai tukang parkir atau penjaga trafik saat upacara adat, namun juga ditugaskan melakukan sweeping pendatang yang tidak mempunyai KTP (kad pengenalan). Pecalang kalau di Malaysia boleh kita samakan dengan penguatkuasa jabatan agama Islam seperti dari JAIS, JAWI dan sebagainya.

Meskipun begitu toleransi masyarakat Hindu terhadap masyarakat Muslim secara umumnya masih berjalan baik sehingga sekarang walaupun dalam beberapa ketika mengalami ketegangan dan konflik. Umumnya ketegangan muncul kerana perselisihan di antara kelompok anak muda yang dikeranakan persoalan-persoalan kecil seperti saling pandang memandang, berebut teman wanita atau teman lelaki dan bunyi motor yang dikuatkan.

Namun pada pengamatan saya, hubungan masyarakat Muslim-Hindu di Bali terbahagi kepada dua iaitu bersifat baik terhadap mereka yang tinggal di kampung Islam (sudah wujud lama dan penduduknya menjadi sebahagian dari orang Bali) dan bersifat kurang baik dan curiga terhadap mereka yang tinggal di kawasan bercampur-campur (kebanyakan pendatang baru yang ingin mencari rezeki).

Berdasarkan sejarah, kampung Islam seperti Kampung Loloan, Pegayaman dan Kusamba berjaya tumbuh di tengah lautan desa adat Hindu kerana dua faktor, pertama tanah warisan diberikan oleh penguasa Puri (Istana) bagi perantau dari Jawa, Lombok mahupun Bugis-Makassar dan kedua penguasa Puri memberi perlindungan kepada perantau kerana pertimbangan ekonomi, tawanan perang dan sebagai askar kerajaan.

Hubungan warga kampung dengan warga desa-desa Hindu selama ini dibangun melalui ikatan kekerabatan berdasarkan hubungan darah melalui perkahwinan antara warga kampung dan warga banjar (desa-desa Hindu) di sekitar kampung. Perkahwinan silang tidak menjadi masalah di sini kerana menggunakan garis lelaki, jadi gadis Hindu akan memasuki Islam dan gadis Muslim akan memasuki Hindu dan ini tidak dipermasalahkan.

Selain dari kekerabatan, ikatan dibangun melalui penggunaan bahasa Bali dalam komunikasi sehari-hari dan kegiatan gotong royong. Berbeza dengan masyarakat Muslim yang mendiami perkampungan yang sifatnya autonomi dan sudah lama wujud, mereka yang tinggal di kawasan bercampur-campur menghadapi banyak masalah kerana kawasan mereka berada di bawah kekuasaan desa adat yang Hindu. Masyarakat Muslim yang tinggal di luar perkampungan dan lazimnya mencari rezeki sebagai pemulung (mencari & menjual barang-barang terpakai), penjual bakso, pekerja seks dan lain-lain sering merasa takut apabila didatangi pecalang yang melakukan pemeriksaan KTP.

Akibat dari pengetatan peraturan kependudukan bagi pendatang, setiap warga pendatang harus memiliki KTP sementara yang dipanggil KIPEM (kad identiti penduduk musiman) dan jika enggan menguruskannya hendaklah pulang ke tempat asal atau keluar dari Bali. Masyarakat Muslim (termasuk Kristian dan lain-lain) ini juga harus membayar cukai kepada banjar setempat untuk mendukung program-program banjar seperti kegiatan upacara keagamaan dan sebagainya.

Warganegara Indonesia berasal dari luar Bali ini dianggap “orang luar” dan patut dicurigai kerana dianggap akan membawa pengaruh buruk ke dalam masyarakat Bali dan sering dipersepsikan sebagai teroris, pencuri, penyebar penyakit seksual dan banyak lagi. Tentangan ke hadapan pasti menarik untuk diperhatikan, perubahan sosial dan politik di masa hadapan akan mencatur pola perhubungan rakyat baik di Bali mahupun Malaysia sama ada masih bersandarkan pada solidariti identiti atau solidariti kelas dan solidariti kebersamaan yang melintasi kaum dan agama.

Di Bali solidariti berdasarkan identiti lebih diterima kerana mendapat dukungan pemerintah Bali dan elit-elit lokal yang bergerak di dalam industri pelancongan, lantas mencipta musuh bersama iaitu “pendatang” dan dengan itu segala polisi-polisi yang tidak adil dan bersifat menjual Bali boleh ditutup dengan mudah. Manakala di Malaysia solidariti berdasarkan identiti diterima kerana mereka percaya Melayu Islam sebagai akar tunjang Ketuanan Melayu adalah bangsa terpilih lantas keadilan hanya layak dilihat dari kacamata mereka sahaja.

Syahredzan Johan dalam tulisan berjudul “We are Malay-Muslims, We are Entitled” secara jelas menyatakannya, “We find ourselves up in arms at the fate of Muslims minorities in other countries like Thailand, Philippines, Myanmar and China. We invoke freedom of religion when we hear of minarets being banned in Switzerland or burqas being banned in France. But if the rights of Muslim minorities should be protected in the face of the majority, why is it that we do not have the same vigour to protect the rights our non-Muslim minorities? Why must the rights of others here only be exercised if we deem those rights as exercisable?”

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 5 Ogos 2012.

Thursday, August 02, 2012

Nasi lemak di Bali


































Nasi lemak adalah makanan khas Malaysia dan kebiasaan dihidangkan untuk sarapan pagi. Meskipun begitu beberapa tahun belakangan nasi lemak berubah menjadi makanan yang dijual 24 jam dan menjadi satu hal yang biasa untuk menikmatinya ketika makan malam. Beberapa faktor mendorong kepada tren baru ini, salah satunya adalah tumbuhnya kedai makan 24 jam dan yang beroperasi lewat sore hingga ke pagi di mana-mana serta perubahan gaya hidup masyarakat Malaysia.

Nasi lemak dimasak menggunakan santan kelapa dan kadangkala daun pandan dimasukkan ketika nasi lemak dimasak untuk menambahkan aromanya. Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, teri goreng dan sambal. Tetapi kini nasi lemak dijual dengan berbagai lauk seperti daging, ayam, sotong, udang, limpa, dan hati (lembu).

Kini nasi lemak yang enak bisa dinikmati di Bali, pulau syurga yang sentiasa menggamit kunjungan pelancong dari seluruh dunia. Tepat lokasinya di Jalan Pulau Komodo di Sanglah (di hadapan Circle K) dengan nama Warung Feons dan cabang barunya di Jalan Tukad Irawadi dengan nama Fil & Lif. Pemilik kedua-dua warung ini namanya Pak Jaya yang pernah bekerja di tempat judi Genting di Malaysia selama beberapa tahun. Saking lamanya di Malaysia Pak Jaya tahu benar selera mahasiswa kedoktoran Malaysia yang berjumlah sekitar 250 orang yang sedang kuliah di Udayana dan memanfaatkan peluang itu untuk berbisnis.

























Kedua-dua warung ini dibuka 24 jam dan di cabang barunya tersedia wi-fi, AC dan televisyen untuk nonton bareng. Jika anda berkunjung ke Bali, sila singgah sebentar di Warung Feons atau Fil & Lif untuk merasai keenakan nasi lemak Pak Jaya. Pak Jaya bisa dihubungi di nombor ini 085339155927.