Temuramah Mingguan Malaysia bersama Ungku Aziz
Di dalam Mingguan Malaysia edisi 31 Ogos, akhbar Mingguan Malaysia telah menemuramah tokoh akademik dan juga bekas Naib Canselor Universiti Malaya, PROFESOR Diraja Ungku Aziz .
Beliau telah terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka. Disiarkan beberapa petikan yang menarik di dalam temuramah tersebut.
Tentang Rasuah
Pak Ungku bercakap tentang kuasa dan autoriti, tetapi bagaimana dengan nilai yang sepatutnya untuk rakyat yang merdeka?
UNGKU AZIZ: Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki.
Kalau banyak sangat rasuah, negara akan terancam. Kita nampaknya kini dilanda masalah rasuah yang besar-besar. Ia sudah menular di Lembaga Tabung Haji, Koperasi Angkatan Tentera. Dulu kita dengar kes rasuah sekali-sekala, tetapi sekarang frekuensinya sudah bertambah.
Kita patut bertanya kenapa sekarang kita menghadapi gejala negatif yang semakin membesar ini berbanding lima tahun lalu? Kenapa orang Melayu mengazabkan diri mereka sendiri?
Rasuah akan meracuni sistem kita. Ini adalah sesuatu yang serius kerana mereka ini orang yang mempunyai kedudukan dan kuasa. Sekarang kita bercakap tentang nilai berjuta-juta ringgit.
Selain bebas rasuah, apakah nilai lain yang patut ada pada masyarakat?
UNGKU AZIZ: Kita mesti jujur, tulus dan ikhlas. Kedua ialah telus. Jadi kita mesti telus dan tulus; tiada apa-apa agenda di bawah meja.
Pada pandangan saya, barangkali kita harus mengenal pasti apakah nilai-nilai yang kita mahu dan perlu ada pada masyarakat Melayu, Islam serta masyarakat Malaysia amnya.
Apakah nilai-nilai yang disebut dalam Wawasan 2020 itu tidak memadai?
UNGKU AZIZ: Sesetengahnya agak umum dan pada saya ia memerlukan satu penilaian semula.
Kibar Bendera
Ada orang kata kalau tidak kibarkan bendera dan teriak `merdeka' untuk sambut merdeka, itu tidak patriotik. Pada pandangan Pak Ungku apakah yang dikatakan patriotisme?
UNGKU AZIZ: Betul, kepada saya mengibarkan bendera itu adalah sesuatu yang simbolik saja. Kita seharusnya menunjukkan semangat patriotisme bukan sehari atau sebulan tetapi sepanjang masa.
Orang boleh mengibarkan bendera bukan saja satu tetapi dua, tiga atau berapa sekali pun untuk menunjukkan rasa patriotismenya. Tetapi kepada saya patriotisme juga bermakna tidak membuang sampah merata-rata. Itu tidak dilakukan.
Begitu juga kita tengok bagaimana orang meletakkan kereta mereka sesuka hati di tepi jalan. Jalan yang empat lorong tinggal dua saja. Ini tidak patriotik dan bertentangan dengan kemerdekaan. Siapa yang memberi hak kepada mereka mengambil ka-wasan orang sesuka hati?
Kepada saya, patriotisme juga bermakna mematuhi undang-undang yang ada. Yang membezakan masyarakat Malaysia dengan mereka di negara maju seperti Eropah, Amerika Syarikat atau Jepun ialah mereka mematuhi undang-undang. Secara umumnya setiap hari mereka hormat kepada undang-undang dan menjaga kebersihan.
Nilai-nilai patriotisme itu luas dan ia sepatutnya diajarkan di sekolah.
Negara Ketiga
Saya tertarik dengan apa yang Pak Ungku katakan itu. Baru-baru ini pemimpin negara juga bercakap berulang-ulang tentang betapa kita mempunyai kemudahan kelas pertama tetapi mentaliti dunia ketiga.
UNGKU AZIZ: Saya fikir pemimpin negara juga mempunyai masalah yang sama dengan saya iaitu apabila cakap berulang-ulang perkara itu jadi lapuk (ketawa).
Kita memang negara ketiga. Jangan fikir kita ini negara maju. Jangan tersilap dengan kedudukan kita.
Antara kemudahan kelas pertama atau pemikiran kelas pertama mana lebih utama?
UNGKU AZIZ: Kepada saya kedua-duanya sama penting, kait-mengait. Kita tidak boleh kata salah satu itu lebih daripada yang satu lagi.
Adakah kita bersedia untuk menjadi negara maju dengan mentaliti yang ada sekarang?
UNGKU AZIZ: Belum lagi. Kita jauh tertinggal di belakang. Ini kerana masyarakat kita meletakkan nilai yang tinggi kepada kebendaan dan kekayaan. Kalau kaya, orang itu berjaya, bernasib baik dan gembira. Gembira itu disamakan dengan kaya.
Bagi orang Melayu pula, kita tidak tahu apakah nilai kita yang sebenarnya. Adakah kita mahu mengatakan kalau kita menjaga fardu ain, semua nilai kita itu sudah baik dan tidak akan ada masalah lagi. Adakah itu caranya? Saya tidak jelas.
Kita mempunyai kemudahan infrastruktur yang setanding dan malah ada yang lebih baik daripada di negara lain. Kita mempunyai pelabuhan dan lapangan terbang yang baik. Kita tidak boleh mengharapkan kemudahan yang baik itu akan menyebabkan kita memiliki nilai yang baik.
Kemalasan Berfikir
Adakah orang Melayu masih keliru?
UNGKU AZIZ: Saya rasa orang Melayu tidak berminat untuk berfikir secara serius. Mereka tidak mahu berhenti sejenak untuk berfikir. Berfikir adalah satu kemahiran. Tidak semua orang boleh melakukannya. Banyak orang yang hanya mengikut-ikut saja dan tidak mahu berfikir.
Sila klik di sini untuk temuramah penuh
Juga klik di sini untuk membaca artikel Minda Melayu oleh Prof. Ungku Aziz.
No comments:
Post a Comment