Tuesday, September 23, 2003

My Sassy Girl

Filem hasil arahan Kwak Jae Yong ini yang diterbitkan pada 2001 telah ku tonton sebanyak lapan kali. Tiga secara bersendirian dan selebihnya bersama rakan-rakan. Filem ini tidak menjemukan walaupun ia ditonton berulang kali.

Ulasan ini walaupun terlewat hampir setahun setengah sejak kali pertama aku tonton, namun aku berpendapat filem ini masih dan sedang ditonton oleh penonton-penonton baru dan juga yang lama kerana menurut peniaga vcd yang aku temui, vcd filem ini masih laku dan PMP Entertainment juga telah menerbitkan vcd asli untuk dijual di sini. Sayang sekali, filem ini masih belum ditayangkan di pawagam di negara ini.

Setiap kali menonton bersama rakan-rakan setelah aku mengesyorkannya, respon yang diterima sangatlah positif sehinggakan ia mewujudkan rantaian di mana rakan-rakanku tersebut, menyebar pula kepada rakan mereka pula. Melalui cara inilah aku rasakan permintaan untuk vcd dan juga dvd pirate filem ini masih berterusan sehingga kini.

My Sassy Girl adalah filem Korea pertama yang ku tonton dan sejak itu, kegilaanku terhadap filem-filem dari Korea berterusan sehingga kini dan ia juga disebabakan oleh pelbagai faktor seperti minat terhadap budaya dan cara hidup orang Korea, tema yang pelbagai dan juga faktor mudahnya mendapatkan vcd filem Korea di sini.

Filem ini juga menduduki tangga kedua filem box office pada tahun tersebut! Untuk pengetahuan juga, industri perfileman Korea adalah di antara yang terbesar di dunia, membanggakan lagi adalah hampir setiap tahun filem box-office dimonopoli oleh filem Korea dan Korea juga satu-satunya negara di mana market share dikuasai oleh filem-filem Korea sendiri.

Tidak dapat dinafikan, dua watak utama yang dilakonkan oleh Cha Tae Hyun, Gyun Woo yang turut berlakon di dalam filem Lover Concerto yang pernah ditayangkan di ASTRO Showcase (VCD juga ada dijual) beberapa bulan lalu dan juga Jeon Ji Hyun yang pernah berlakon di dalam filem Il Mare (VCD juga ada dijual) dan filem terbarunya, The Uninvited sememangnya berkesan dan hidup.

Mimik muka Tae Hyun begitu menjadi dan menimbulkan rasa kelakar dan kadang kala simpati. Manakala Ji Hyun pula yang kelihatan manis walaupun di sebaliknya amat garang, aneh dan huru-hara yang disebabkan oleh permasalahan yang dihadapi.

Terdapat beberapa adegan yang aku sangat sukai seperti adegan memberi bunga ros di dewan kuliah sambil diiringi mainan piano yang begitu romantik oleh Ji Hyun. Juga adegan di dalam train di mana mereka berdua bermain teka kaki dan kepada pemenang, hadiah yang diberikan adalah menjentik dan juga menampar.

Adegan yang paling menusuk kalbu bagiku adalah semasa Tae Hyun menyatakan 10 perkara tentang Ji Hyun kepada lelaki yang disuruh oleh ibu Ji Hyun untuk dikahwini dan juga semasa Ji Hyun berjumpa orang tua di bawah sepohon pokok, tempat di mana mereka berdua menanam kapsul yang mengandungi surat yang ditulis sebelum mereka berpisah untuk seketika.

Sesuatu yang sangat menarik mengenai filem ini adalah tiada satupun adegan cium dan juga seks untuk menunjukkan kasih sayang mereka dan sesuatu yang mengagumkan adalah walaupun tanpa adegan ini, perasaan 'jiwang' dan ingin bercinta sangat meluap-luap. Satu contoh yang baik bahawa untuk memperlihatkan ciri-ciri romantik dan kasih sayang, adegan seks bukanlah elemen terpenting. Bagaimana filem itu digarap lebih memberi kesan terhadap penonton.

Sesuatu yang sangat menarik mengenai filem ini adalah jalan ceritanya yang sukar dijangka. Elemen yang membuatkan aku sentiasa tertunggu-tunggu apa selanjutnya?

Namun aku tidak dapat bayangkan jikalau mereka dapat dipertemukan oleh makcik Gyun Woo seperti yang dirancang pada awalnya, pasti perjalanan dan kesudahannya berbeza. Bagaimana jika dibuat versi filem ini berdasarkan situasi tersebut?

Frasa 'building the bridge for someone you love' di dalam filem ini amat aku minati dan ia sesungguhnya amat relevan di dalam usaha mencari pasangan dan ia menyanggah prasa 'nak buat macam mana, dah takdir' yang selalu digunakan oleh orang Melayu.

Lagu tema filem ini juga sangat menarik dan tidak rugi untuk mengeluarkan sedikit wang lagi untuk medapatkannya. keseluruhannya, filem ini tidak rugi ditonton dan amat baik untuk mereka yang berminat tentang negara yang satu ketika ini berada di bawah kita dan sekarang telah terkehadapan dalam pelbagai bidang. Alngkah baiknya jika kulaiti filem komersil percintaan Malaysia setaraf ini dan juga A2DC.

No comments: