Benarkah orang yang tidak mempelajari Islam tidak boleh mempersoalkan atau memberi pandangan (bukan kritikan) berkaitan isu Islam?
Membaca komen Ketua Penerangan Muslimat PAS, Senator Siti Zailah Yusof seperti mana yang disiarkan di Malaysiakini, jiwaku semakin kacau dan gelisah.
"It is unfortunate that we have such leaders who claim that Malaysia is an Islamic country and at the same time, attempt to speak on Islamic rules and laws when they have little knowledge of Islamic studies. This is like an accountant questioning a surgeon about practical procedures of surgery," she said.
Tidak dapat dinafikan, apa yang dikatakan olehnya di dalam isu ini sememangnya jujur dan amat baik sekali. Namun apa yang merungsingkan adalah kekerapan penggunaan konotasi yang berbunyi seperti ini 'orang yang tidak mempelajari ilmu agama tidak boleh bercakap tentang agama' dan kekerapan golongan ini menyamakannya dengan profesion lain seperti mana yang digunakan oleh Senator Siti Zailah.
Aku berpendapat isu agama harus diperbincangkan secara terbuka dan segala pandangan dan persoalan(bukan kritikan membabi buta) yang dikemukakan seharusnya dilihat dan diterima dengan hati yang terbuka. Apatah lagi, pandangan dan persoalan lazimnya datang dari seorang yang sememangnya peka terhadap agamanya dan bimbang akan penafsiran melulu dan sempit oleh segelintir ulama dan kebimbangan terhadap taklid buta umat Muhammad.
Berkaitan isu hudud dan negara Islam, penjelasan yang sangat lengkap amat diperlukan dan jawapan yang diberikan hendaklah berpijak di bumi yang nyata dan tidak berbelit-belit.
Banyak persoalan berkaitan hukum hudud yang jika ditanya oleh rakan bukan Islam amat sukar dijawab apatah lagi untuk menyakinkan mereka. Walaupun tidak dinafikan ketiadaan kebebasan media di negara ini telah serba banyak menghalang penyaluran maklumat penting seperti ini. Usaha cara lain perlu dilakukan.
Apa yang penting adalah diskusi ilmiah dan perbincangan yang terbuka dan meluas berkenaan pelbagai isu kompleks yang berkaitan dengan Islam wajib diadakan. Jangan membekukan minda kita dengan sepotong ayat yang lazim disampaikan oleh ustaz-ustaz kita yang berbunyi lebih kurang seperti ini 'perkara ini tidak boleh difikir kerana otak kita tidak sampai ke tahap itu dan tidak semua perkara boleh difikirkan secara logik akal'.
Memang ada perkara yang tidak boleh difikir secara logik dan ini tidak dapat dinafikan, namun apa yang membimbangkan adalah perkara yang boleh difikir secara logik sekali pun kebiasaannya dimasukkan sekali, dan selalunya bukan kerana Islam itu sendiri dan sebaliknya kerana kurangnya membaca, malas berfikir, kebekuan otak, konon sudah cukup alim sebab selalu ke surau, tiada ilmu dan taklid buta.
Jangan peduli apa yang mungkin akan dilabelkan oleh golongan taklid buta dan malas menimba ilmu ini jika niat kita benar-benar untuk melihat peningkatan luar dan dalam agama kita, Islam. Aku pasti Allah lebih berhak menilai hambanya. Hidup pencerahan dan kemajuan ekonomi dan pemikiran Islam!
No comments:
Post a Comment