Monday, February 13, 2012

Filem ‘Nanban’ wajib ditonton!

Oleh Zulhabri Supian

Masyarakat Hindu terutama kaum Tamil di Malaysia baru selesai merayakan perayaan pesta Ponggal yang disambut 15 Januari yang lepas, sebuah perayaan menuai yang diraikan secara meluas oleh masyarakat Tamil di negeri Tamil Nadu, Sri Lanka dan di tempat-tempat di mana ramai terdapat kaum Tamil.

Seperti perayaaan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina, musim perayaan akan turut dimeriahkan dengan kehadiran filem dan untuk Ponggal tahun ini, filem Tamil berjudul “Nanban” tampil untuk tujuan tersebut.

Filem “Nanban” yang bererti “kawan” di dalam bahasa Tamil merupakan sebuah filem “remake” dari sebuah filem Hindi berjudul “3 Idiots” yang menggegarkaan dunia perfileman India pada tahun 2009 sudah.

Filem arahan Shankar yang terkenal dengan filem “Sivaji” ini diberitakan mendapat sambutan hangat di India terutama di bahagian selatan yang didominasi penduduk berbahasa Tamil. Malah di Malaysia sendiri, filem ini menduduki carta pertama untuk minggu yang baru berakhir.

Apa yang menarik tentang filem ini tidak lain tidak bukan adalah kritik sosial terhadap sistem pendidikan India yang disampaikan secara bersahaja, melucukan dan mudah dihadam oleh segenap lapisan penonton.

Antara inti ringkas filem ini menurut saya berkisar tentang bagaimana pendidikan itu harus difahami melepasi sindrom menghafal untuk berjaya di dalam peperiksaan yang sesungguhnya tidak akan berguna menghadapi rencah kehidupan sebenar. Selain itu, filem ini mengangkat satu hal yang sering dihadapi pelajar dan mahasiswa tentang bagaimana mereka tidak diberi pilihan mengikut minat dan kemahuan mereka tetapi sebaliknya terpaksa mengikut kemahuan ibu bapa atau penjaga mereka. Lantas dua hal ini menerbitkan persoalan tentang apa itu pendidikan sebenarnya.

Apa yang terkandung di dalam filem ini tidak terkecuali dari berlaku di Malaysia dan malangnya filem bertema sama dengan garapan komedi drama yang kritis sepengetahuan saya tidak pernah dihasilkan pengkarya kita, apatah lagi ditayangkan di pawagam umum di negara kita.

Pengalaman saya di sekolah dan universiti tidak pernah menipu hakikat kebobrokan sistem pendidikan yang bermentalkan peperiksaan untuk dilihat gah, tekanan ibu bapa dan masyarakat yang mengkedepankan prestij walau ia palsu serta desakan sistem ekonomi kapitalis yang bermatlamat maksimal untung dan eksploitasi.

Sejarah

Desakan menjadi negara maju secara segera telah secara perlahan-lahan menghakis kepentingan pengajian sejarah dan nilai murni kerana kebanyakan pelajar dan mahasiswa lebih tertarik dengan idea mendapatkan kemewahan semata selepas tamat pengajian.Jangan berangan berbicara tentang sejarah alternatif yang beragam versi jika sejarah berdasarkan buku teks yang dicipta para pemenang tersebut pun tidak diambil peduli.

Idea untuk memiliki kereta mewah dan rumah besar bersandarkan rasa ego dan riak untuk menunjuk-nunjuk sewajibnya kita tegah dari awal supaya nilai murni yang bersandarkan kepada pemahaman sejarah rasmi dan alternatif serta rasa kekitaan untuk saling bantu membantu setelahnya tidak akan menjadi hal yang minoriti.

Memetik pakar sejarah yang juga Canselor Kolej Universiti KDU, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, “Mereka hanya mahukan cara paling cepat untuk menjadi orang kaya, materialisme sudah menjadi keutamaan dalam masyarakat. Tetapi mereka perlu ingat, sejarah tidak hanya mengenai perkara yang berlalu. Ia sebenarnya menjelaskan apa yang berlaku. Ada banyak perkara berlaku di sekeliling yang kita tidak faham tetapi akhirnya kita faham melalui penjelasan sejarah”. Beliau yang kini sedang hangat dilanda kontroversi kiri dan kanan ekoran komentarnya berkaitan perihal Hang Tuah dan perjuangan kiri berkata demikian ketika menjadi panel diskusi mengenai Peranan Pendidikan Dalam Memupuk Kesederhanaan di Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global yang berlangsung minggu lalu.

Perangkap kaum dan agama

Sistem pendidikan kita yang terpisah-pisah dari segi bahasa dengan pelbagai kompleksitinya kesan dari kolonialisme memerlukan pemahaman sejarah yang jernih untuk mengelakkan kita dari terjebak dari kancah perkauman sempit.

Melihat hakikat tersebut yang tidak mungkin akan berubah di dalam masa yang singkat, setiap dari kita wajib untuk memahami konteks tentang dilema pendidikan kita yang mendorong kepada sifat perkauman yang menebal, seterusnya mencuba untuk menjadi ejen perubah kepada sebuah negara Malaysia yang lebih baik.

Saya sendiri bersekolah di sekolah agama yang 100 peratus Melayu Islam dan mengikuti pengajian peringkat universiti di universiti yang 100 peratus Melayu Islam dengan sebahagian kecil Bumiputera bukan Islam.

Jika dilihat dari bentuk pendedahan, saya cukup faham dan jelas untuk menjadi seorang ejen pembenci dan pengadu domba atas nama agama dan bangsa yang diperjuang hebat oleh individu-individu seperti Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan Hasan Ali.

Meskipun begitu, untuk terperangkap di dalam aura negatif merupakan suatu hal yang bodoh untuk saya lakukan dan syukur semua ini berjaya dilakukan berkat persitiwa reformasi 1998. Pasca-reformasi menemukan saya dengan pelbagai kalangan manusia berbeza latar belakang, kaum, agama dan bahasa yang seterusnya menghilangkan aura negatif yang sentiasa cuba mendekati seperti mana syaitan yang tidak pernah jemu menghasut manusia melakukan kejahatan.

Memetik Dr Helmy Haja Mydin, fellow di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) di dalam kolumnya di akhbar The Sun:

“I was especially disconcerted when I came across a sermon stating that ‘Muslims are selling out religion to certain quarters, Muslims who associate with non-Muslims or stand up for non-Muslim causes betray their faith’.”

Bagi saya, dalam konteks Malaysia kita sebagai seorang individu dan seterusnya kolektif mempunyai pilihan untuk menolak yang negatif di dalam sistem pendidikan dan mengangkat yang positif dengan sedaya upaya. Tidak dapat dinafikan hal-hal positif seharusnya dimainkan oleh sistem itu sendiri yang malangnya masih di sisi negatif. Namun sikap sering menyalahkan sistem untuk tidak berbuat apa wajib dihapuskan kerana setiap dari kita berupaya menjadi ejen perubah yang mudah-mudahan akan mengalahkan sistem yang negatif itu.

Meskipun begitu, dalam pada kita kritis, kredit harus diberikan kepada kerajaan dalam hal-hal pendidikan kerana sekarang terdapat perbincangan penting seperti penarafan dan autonomi universiti, transformasi politeknik, pengukuhan kolej komuniti, memperkasa latihan teknik dan voksaional, meningkatkan kokurikulum dan kemahiran insan, pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR, program 1 Murid 1 Sukan, keizinan guru siswazah berpolitik serta cadangan mengizinkaan pensyarah berpolitik dan pelajar IPT menjadi anggota parti politik.

Sebagai penutup, saya ingin memetik kata-kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah yang terkandung di makalah yang berjudul, “3M 2.0: Menyelami Minda Muda, Pendidikan, Partisipasi & Politik.”

“Mengapakah perlu dikembalikan roh universiti? Ia perlu kerana apabila dilihat perbincangan oleh sebahagian daripada kita yang bertanggungjawab terhadap universiti, terdapat banyak perbincangan tentang masalah dunia, pasaran pekerjaan, kerja kuat dan kejayaan. Tetapi jarang terdengar perbincangan tentang kekuatan peribadi, integriti, memburu dan menghayati budaya ilmu, kerjasama, idealisme dan paling penting — bagaimana untuk hidup dalam dunia yang lebih baik, dan bagaimana meninggalkan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik daripada masa kita tinggal didalamnya.”

Kata-kata Saifuddin Abdullah itu menurut saya cukup kuat dan cerah dalam menjelaskan erti sebenar pendidikan yang saya pertanyakan di awal tadi.

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 24 Januari 2012