Sebelum peristiwa reformasi 1998, umumnya cikgu di sekolahku ada 2 kubu satunya PAS dan satunya UMNO.
Apabila reformasi tercetus - cikgu kelas aku 5 Taqwa, Puan Elina yang tidak berapa jelas pendirian politiknya sebelum itu mengambil posisi pro-Mahathir dan sering mengambil kesempatan brainwash kami. Apa motifnya aku tidak faham waktu itu, barangkali gusar melihat hampir semua pelajar kelasnya menjadikan majalah "Tamadun" sebagai bahan bacaan wajib selain Dewan Masyarakat.
Brainwash Puan Elina selalunya dineutralkan oleh Ustaz Ghazali Omar, cikgu bagi subjek Pendidikan Al-Quran & Sunnah merangkap pembekal akhbar Harakah untuk para pelajar. Ustaz Ghazali Omar pada malam hari menjadi pendakwah bebas dan sering diundang memberi ceramah di surau/masjid di sekitar Kuala. Selangor; kesempatan untuk ikut yang tidak akan dilepaskan demi hidangan yang enak selepas Solat Isyak.
Ustaz Ghazali Omar sering mengingatkan aku untuk berhati-hati dengan Anwar Ibrahim yang sangat dibenci Puan Elina itu. Pada tahun 1997 Anwar datang ke sekolahku untuk satu acara UMNO Kuala Selangor dan sempat menyindir PAS di dalam ucapannya. Kami dipaksa hadir & diberi akhbar Era Watan.
Terima kasih kepada cikgu-cikguku yang memberi pendidikan politik tanpa sedar dan kepada Ustaz Ghazali, saya akan terus berhati-hati dengan sesiapa pun terutama ahli politik dan agamawan yang berpolitik.