Politik? menurut pengertian umum masyarakat Malaysia, politik itu adalah Umno, PAS, PKR, DAP, Anwar Ibrahim, Najib Razak, Parlimen Malaysia dan objek-objek lain yang sinonim dengan rasa kurang selesa diri apabila berbicara tentangnya. Politik juga difahami oleh rakyat Malaysia sebagai medan pemecah belah institusi keluarga dan masyarakat baik di kampung, taman perumahan mahupun komuniti rumah pangsapuri.
Sebelum terjadinya peristiwa reformasi 1998, saya memahami politik sebagai pertentangan di antara kelompok Melayu dan bukan Melayu terutamanya kelompok Cina berkat semai benih benci yang ditabur oleh oleh pemain-pemain politik perkauman seperti guru dan ibu bapa sejak berada di sekolah rendah dan bersambung ke sekolah menengah seterusnya dilengkapkan dengan perseteruan di dalam arena sukan. Masih terbayang kebencian saya terhadap pemain ping pong berbangsa Cina sewaktu mewakili sekolah di dalam pertandingan peringkat daerah. Rasanya seperti “jihad” setiap kali bertemu dengan pemain berbangsa Cina dengan kadangkala takbir diteriak sebagai pembakar semangat. Andai Perkasa sudah wujud di kala itu pasti Ibrahim Ali akan merasa bangga dengan kepahlawanan saya melawan “orang asing”.
Bagi menjamin masuk ke syurga, makna politik ketika itu dienakkan lagi dengan pengertian politik Islam yang kononnya dibawa PAS melawan politik thogut yang kononnya dibawa Umno. Ketika tadinya etnik Melayu disatukan untuk melawan bukan Melayu, kali ini politik Islam diperteguhkan dengan ancaman siksaan api neraka bagi mereka yang tidak beriman dengan politik Islam di bawah panji PAS dan hal ini sering menjadi pengalaman bual saya secara tertutup bersama agamawan parti.
Sedang dibakar elok pengertian politik kaum dan agama yang tidak menjernihkan malah menakutkan, rezeki pencerahan datang bergolek tatkala Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya yang kemudiannya memercik api kemarahan rakyat dan menerbitkan sebuah gerakan reformasi.
Reformasi berlaku pada September 1998 dan tatkala itu saya berada di Tingkatan 5, namun beberapa bulan sebelum itu berlaku tiga aksi politik di sekolah saya yang dipicu oleh rasa ketidakadilan beberapa kelompok tertentu. Peristiwa itu adalah aksi boikot pelajar lelaki terhadap pengusaha kantin yang tidak adil dengan mengutamakan pelajar wanita di dalam penyediaan makanan di waktu rehat, pengambilan paksa sebuah padang kecil untuk bermain bola sepak yang diteroka pelajar lelaki oleh seorang cikgu wanita untuk pasukan bola jaringnya dan tuduhan penyelewengan dana makan malam membeli van untuk sekolah oleh pihak sekolah. Tiga persitiwa ini terlahir atas faham kami terhadap proses politik dan kekuatannya dalam melawan tirani dan alhasilnya ketiga-tiga aksi ini membuah hasil positif.
Kembali semula kepada reformasi, apa yang dibawa Anwar Ibrahim ini telah melahirkan satu pengertian baru politik pada saya daripada yang bersifat eksklusif Melayu dan Islam kepada suatu jalur yang lebih inklusif iaitu pelbagai kaum dan agama. Saya merasa tertarik walau wujud curiga yang besar akan keseriusan mereka mengamalkan politik jiwa besar ini walaupun pada akhirnya saya tetap memilih menyokong perjuangan reformasi dengan rasa waspada yang tinggi.
Pilihanraya umum 1999 berlalu dan politik Islam muncul pemenang besar dengan tumbangnya Umno di tangan PAS di Terengganu dan saya sedikit gembira tetapi tetap waspada seperti biasa. Tidak sampai dua tahun kemudian, waspada saya menjadi benar apabila PAS bercadang melaksanakan hukum hudud di negeri Terengganu dan tidak lama kemudian Barisan Alternatif dibubarkan. Episod sedih sebuah proses saya memahami dan memaknai politik.
Seterusnya tahun 2004 merupakan kiamat bagi kebanyakan pendukung politik Islam dan politik pelbagai kaum dan agama apabila Barisan Nasional menang besar dan berjaya merampas semula tampuk pemerintahan di Terengganu. Putus asa? tidak peduli politik? oh tidak! kerana itu hanya tindak mereka yang melihat politik sekadar alat untuk mencapai kekuasaan.
Tidak lama, keceriaan kembali semula apabila Parti Keadilan Rakyat berjaya dilahirkan hasil perkahwinan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia dan penegasan yang kuat dari Anwar Ibrahim setelah bebas dari jeriji penjara tentang politik pelbagai kaum sangat membantu. Keluarnya tokoh-tokoh kuat PKR dari parti dan kembalinya mereka ke Umno atas dasar mempertahankan Melayu dan Islam seperti yang didakwa Ezam Mohd Noor, Ruslan Kassim dan ramai lagi membenarkan waspada tinggi saya selama ini bahawa gerakan reformasi yang seterusnya melahirkan parti dan lembaga politik lain pada awalnya wajib diragui.
Ketuanan rakyat dan penolakan terhadap ketuanan Melayu yang dilaung-laung dengan keras, berani dan menyakinkan oleh Anwar Ibrahim dan juak-juaknya semasa kempen pilihanraya umum 2008 saya sambut dengan riang. Saya tidak menyangka bahawa angan-angan yang kadangkala masuk ke dalam mimpi ini akhirnya diungkapkan nyata dan disambut positif masyarakat Melayu Islam. Syukur hasil PRU 2008 itu mencetuskan tsunami politik yang berjaya menumbangkan rejim Umno BN di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak (kemudian dirampas semula) dan mengekalkan pemerintahan di Kelantan selain menidakkan 2/3 majoriti Barisan Nasional di parlimen.
Kini kita berhadapan dengan politik Malaysia yang sukar diramal pasca-Bersih dan pasca-semai benci kaum dan agama yang dihadapkan di hadapan kita setiap masa dan ketika. Kita akan berhadapan dengan pilihanraya umum ke 13 yang dijangka diadakan pada awal tahun hadapan dan pilihan ada di tangan kita untuk mengatur perjalanan negara ini.
Politik pra-1998 hingga kini telah mengajar saya suatu hal yakni dalam berpolitik baik sebagai aktor aktif, aktor pasif atau penonton, fobia politik atau ketidakpercayaan kepada parti politik, lembaga politik, ahli politik dan perilaku politik wajib dilawan. Kita perlu memahami politik dengan makna yang lebih luas, politik adalah kehidupan kita dari sekecil-kecil hal hingga sebesar-besarnya dan politik adalah suatu proses yang jika diimani dengan kepercayaan kita yang kuat dan disusuli aksi tindak boleh membuahkan hal-hal positif yang kita idamkan di dalam kehidupan kita.
Jika kita memahami politik dalam erti kata murninya, kita tidak akan mudah diperbodoh baik oleh aktor parti/lembaga politik seperti Barisan Nasional, Pakatan Rakyat atau gerakan apapun, tidak mudah terjebak ke dalam kancah politik perkauman dan agama yang sempit, apatah lagi terpesona dengan politik tokoh baik Najib Razak ataupun Anwar Ibrahim. Rakyat yang cerdas memaknai politik akan melahirkan suatu bangsa dan negara yang cerdas juga, tetapi ini tidak akan berlaku selagi mana kelompok fobia politik memilih untuk malas mengaji apalagi memaknainya.
Mereka yang sengaja memilih untuk fobia politik sehingga membuangnya dalam kehidupan mereka menurut saya adalah golongan bodoh sombong atau pandai sombong dan mereka tidak jauh bezanya dengan mayat hidup yang pasrah. Cuma bezanya mayat hidup seperti penagih dadah adalah mereka jarang mengadu masalah-masalah sementara mereka yang fobia politik ini asyik meleter itu dan ini di status facebook mereka, kicauan di Twitter, tulisan di blog dan sembang-sembang di mamak. Barangkali pemerintah harus mengharamkan Internet dan mamak 24 jam untuk menyedarkan kelompok fobia politik ini.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 15 Disember 2011
No comments:
Post a Comment