Monday, May 28, 2012

Zulfahmi Khairuddin: Memperkasa Mat Rempit


oleh Zulhabri Supian
Zulfahmi Khairuddin?
Pernahkah anda mendengar nama di atas? Jika tidak pernah anda pastinya bukan peminat sukan pemotoran terutama sukan bermotosikal.
Minggu baru lepas, 6 Mei 2012 di Litar Estoril, Portugal telah tercipta sejarah besar pemotoran negara apabila pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin telah menduduki tempat keempat pada perlumbaan kelas Moto3 (dahulu dikenali dengan nama 125cc) dalam Kejohanan Motosikal Dunia.
Kedudukan tempat keempat itu merupakan posisi paling cemerlang pernah diraih mana-mana pelumba negara walaupun pada satu ketika beliau hampir mencipta sejarah besar menaiki podium untuk tempat ketiga sebelum dipintas pelumba Sepanyol, Luis Salom di pusingan terakhir. Ya belum rezeki barangkali.
Berdasarkan pantauan saya di Facebook, Twitter dan blog, pencapaian yang diraih Zulfahmi ini tidak mencipta sensasi luar biasa seperti tatkala Yuna tampil di talkshow Conan O’Brien dan ini dimengerti kerana peminat sukan motosikal barangkali tidak mendominasi media sosial.
Saya dan motosikal
Untuk pengetahuan, sebelum saya meminati sukan lain seperti bola sepak, seni budaya dan politik, saya terlebih dahulu meminati sukan pemotoran terutama motosikal setelah diperkenalkan oleh ayah ketika kami tinggal di Pasir Gudang.
Kala itu setiap kali ada perlumbaan motosikal pada hari minggu di Litar Pasir Gudang, ayah pasti membawa saya dan abang untuk menonton perlumbaan. Untuk rekod, umur saya pada waktu itu adalah tujuh tahun dan pemotoran adalah minat/hobi pertama yang saya nikmati.
Lantaran dari minat yang tumbuh itu, saya mendesak ayah untuk membelikan basikal supaya boleh berangan menjadi pelumba motosikal dan sehingga peringkat sekolah menengah, cita-cita tersebut masih wujud sebelum realiti mencegahnya.
Sebagai ganti kepada cita-cita, saya meneruskan hobi menonton perlumbaan motosikal seperti Kejohanan Motosikal Dunia, Kejohanan Superbike Dunia, Kejohanan Motosikal Asia, Kejohanan Cub Prix dan lain-lain baik di kaca televisyen mahupun litar lumba.
Malah saya tidak pernah gagal ke litar setiap kali Kejohanan Motosikal Dunia dilangsungkan di Malaysia mulai tahun 1996 (kecuali 1998 di Pasir Gudang) sehingga sekarang dan melalui hobi ini juga saya pernah menyaksikan perlumbaan ala cub prix di Jakarta.
Selama mengikuti dan menonton saya sering tertanya-tanya bila agaknya pelumba negara akan naik di podium dan lagu kebangsaan, Negaraku dikumandangkan. Ada apa yang tidak kena dengan pelumba negara kita? Kemahiran? Tidak pintar? Saya akan ulas sedikit nanti.
Sebelumnya saya pernah menulis tentang pemotoran pada tulisan saya terdahulu bertajuk, “Pemotoran, Mat Rempit dan dasar Pakatan” yang tersiar pada 31 Oktober 2009.
Sang Zulfahmi
Zulfahmi adalah anak muda kelahiran Banting yang beraksi pada tahun ketiga dalam saingan Moto3 bersama pasukan AirAsia-Sic-Ajo. Beliau yang dulunya sekadar mat rempit membuktikan kepada dunia bahawa kemampuan pelumba dari Malaysia bahkan Asia Tenggara adalah setara jika diberi peluang dan tajaan tertentu.
Jika selama ini pelumba-pelumba yang terdiri dari anak muda di negara Eropah terutama Perancis dan Sepanyol serta Jepun di Asia yang mendominasi, tidak mustahil hal yang sebaliknya boleh berlaku di masa hadapan apabila pelumba dari rantau Asia Tenggara terutama Malaysia, Thailand dan Indonesia pula yang menguasai.
Hanya saja pada waktu ini industri pemotoran masih berpusat di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun sekaligus memudahkan akses kepada semua hal terutama aspek kewangan dan penajaan. Selama bertahun-tahun hal ini yang menjadi hambatan terbesar untuk pelumba berbakat besar dan berskil tinggi dari Malaysia memperagakan kehebatan tunggangan mereka kepada dunia.
Selain Malaysia, Thailand turut mempunyai wakil di siri Moto 2, Ratthapark Wilairot dan Indonesia menerusi Doni Tata Pradita yang pernah bertanding di kelas yang sama pada 2008. Dulu kita turut mempunyai Shahrul Yuzy yang bertanding di kelas sama selama dua musim, 2001 dan 2002 sebelum Petronas menamatkan penajaan untuk pasukan beliau, Petronas Sprinta Yamaha TVK Team.
Untuk apa yang dikecapi Zulfahmi, penghargaan sewajarnya diberikan kepada bos Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes dan bos SIC, Razlan Razali. Berikut kata-kata yang keluar dari seorang bos yang punya visi dan wawasan yang sukar dicontohi bos-bos lain sewaktu awal bermulanya pasukan ini.
“It is a great achievement to have a rider from the Asean region competing in the highest level of motorcycle racing arena. This is a great opportunity to showcase Asean talents on the world stage. We believe Asean has a lot of untapped motorsport talents, but limited opportunities are available to help them shine. Hence, we decided to do our part by providing the platform for these talents to unleash their potential. We have the technical competency and the mindset to compete, and with a real opportunity we can definitely take on the best in the world. We wish Zulfahmi all the best, and we know that he will make us proud!”  ~ Tony Fernandes
Selain Fernandes, penghargaan besar wajib diberikan kepada bos Two Wheels Motor Racing, Sam Hogg yang saban tahun berjuang melahirkan wira Malaysia masa hadapan bahkan Asia menerusi penganjuran Kejohanan Cub Prix Malaysia dan Kejohanan Motosikal Asia sejak 1994 dan 1996.
Satu usaha yang bukan mudah terutama bila berbicara aspek penajaan dan keperluan logistik.  Untuk bab penajaan, terima kasih kepada Petronas Motorsports yang komited untuk terus menaja dua siri perlumbaan ini yang menurut saya sangat penting sebagai medan awal mencungkil bakat-bakat muda tempatan terutamanya dan Asia Tenggara amnya.
21 tahun MotoGP Malaysia
Meskipun begitu apa yang diperoleh sekarang tidak sebanding dengan usia penganjuran yang sudah berusia 21 tahun, tempoh yang lama tetapi impaknya hanya dirasai bibit-bibitnya tahun ini. Apa yang salah selama ini?
Saya kurang pasti kerana tidak terlibat secara langsung di dalam penganjuran dan lobi-lobi dari pihak penganjur, penaja dan kerajaan. Namun apa yang saya yakini selama ini adalah tiada keseriusan di pihak kerajaan terutamanya (kerajaan memainkan peranan besar dalam banyak penganjuran acara bertaraf antarabangsa di Malaysia menerusi suntikan dana) dalam memperkasa kelompok yang cenderung meminati motosikal iaitu, mat rempit dan mat motor.
Apa yang terjadi selama ini adalah kerakusan untuk memperoleh imbuhan dari penganjuran seperti mana yang terjadi di lapangan sukan lain, contoh “Le Tour de Langkawi” untuk sukan berbasikal dan “Monsoon Cup” untuk sukan kapal layar.
Bahkan hingga kini kos untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi yang murah di negara jiran kita, Singapura sangat mahal di sini kerana cukai yang tinggi dan hanya mampu dinikmati  kelompok elit yang minoriti.
Sekali lagi hak majoriti peminat motosikal yang tergolong dalam kelas menengah dan kelas rendah untuk memiliki dan mendapat akses kepada motosikal berkuasa tinggi dengan teknologi hebat dinafikan. Padahal sekiranya cukainya masuk akal, mereka mampu membelinya seperti mana mampunya mereka memiliki Proton Satria.
Memperkasa Mat Rempit
Muncul pertanyaan adakah fenomena yang dicipta oleh Zulfahmi ini akan memberi impak kepada kelompok mat rempit yang diberi konotasi negatif oleh media dan masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan gara-gara aksi kenakalan yang kadang disertai kekerasan. Jika impak yang diingini adalah perubahan pola fikir dan sikap mereka dalam waktu singkat saya fikir itu terlalu tidak masuk akal.
Kebetulan saya pernah membesar di kalangan mat rempit sewaktu menetap di Kapar dan Klang, sejujurnya pada saya sikap mereka banyak yang salah.
Namun itu tidak mengurangi rasa kritis saya kepada dasar pendidikan negara yang terlalu memfokuskan kepada kejayaan akademik seterusnya meminggirkan mereka yang cenderung cemerlang di dalam bidang non-akademik yang bersifat kemahiran dan teknikal.
Usaha mendekati mereka yang dipelopori parti-parti politik baik Umno mahupun PAS selama ini pun bersifat ad-hoc dan tidak bersifat memperkasa mereka sebaliknya mengeksploitasi dan mendakyah mereka.
Menurut saya momentum yang dicipta berkat prestasi cemerlang Zulfahmi ini sewajarnya digunakan sebaiknya oleh pihak-pihak yang berkepentingan baik kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, dan kementerian-kementerian lain serta pihak korporat untuk sama-sama menggembleng tenaga memperkasa anak muda baik mereka mat rempit atau mat motor untuk serius memperbaiki diri melalui latihan dan sebagainya.
Apapun kredit kepada usaha Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menegaskan keseriusan kerajaan di Dewan Negara baru-baru ini  “Usaha kementerian dalam memajukan sukan bermotor tidak terhenti setakat itu sahaja di mana ketika ini terdapat 10 anak muda berusia antara 18 hingga 20 tahun sedang dilatih dan dikembangkan bakat mereka untuk diketengahkan menjadi pelumba bertaraf dunia,”.
Apa yang penting usaha pemerkasaan bukan sekadar reaksi ad-hoc yang bersifat jangka pendek sebaliknya mesti disusun kemas untuk jangka masa panjang. Apabila bicara tentang pemerkasaan, jangan kita bayangkan semuanya akan menjadi pelumba di kejohanan dunia kerana masih banyak arena lain baik di negara Eropah, Jepun, Asia mahupun tempatan. Perlu diingat, tidak perlu semua menjadi pelumba kerana bahagian lain tidak kurang pentingnya; teknikal, pengurusan, penajaan dan lain-lain.
Sudah tiba masanya kelompok marjinal secara sosio-ekonomi dan akademik ini diberi layanan sama rata dan manusiawi oleh kerajaan, korporat dan masyarakat. Siapa tahu jika segalanya berjalan baik, anak-anak muda kita akan menguasai arena sukan motosikal dunia dan jika berjaya impaknya akan dilihat pada generasi remaja dan anak muda pasca-wawasan 2020. Kita bukan mempunyai seorang Zulfahmi sahaja, kita ada Hafiz Syahrin, Hafiq Azmi, Md Ramdan Md Rosli dan banyak lagi.
Oh, jangan lupa kepada parti yang bertanding di dalam pilihanraya umum yang bakal menjelang, harapnya ada parti yang berani mengusung penurunan cukai motosikal berkuasa tinggi. Hal ini penting kerana ia akan membesarkan pasar seterusnya mendorong Malaysia menjadi hub teknologi dan industri motosikal.
Itulah inti kepada semua persoalan, transformasi kepada ekonomi berpendapatan tinggi melalui pemerkasaan mat rempit.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 9 Mei 2012

No comments: