Wednesday, March 23, 2005

Temuramah bersama James Lee di Harian Metro

Aku amat menyukai kata-kata James Lee di bawah ini dan amat berharap agar rakyat Malaysia dapat mengerti apa itu filem Malaysia yang sebenar apabila membaca kenyataan James Lee ini. Selama ini aku berpendapat segala filem yang dihasilkan di Malaysia tidak kira apa bahasanya adalah filem Malaysia.

"Kalau kita lihat kebanyakan filem di pasaran sekarang, ia adalah gambaran masyarakat Melayu dan bukan masyarakat Malaysia. Contohnya Buai Laju-Laju adalah gambaran kehidupan orang Melayu di perkampungan Melayu.

Sama juga seperti filem Cina dan Tamil, masing-masing gambaran masyarakat Cina dan Tamil. Sanctuary memang mengenai keluarga Cina di Kelana Jaya dan memang begitu kehidupan masyarakatnya.

Ketika menghadiri festival di Rotterdam pada 26 Januari hingga 6 Februari, Malaysia paling mendapat tumpuan kerana mempertaruhkan 14 filem. Ada filem Tamil, ada filem Cina dan filem Melayu arahan saya, Amir Muhammad, Tan Chai Mui, Deepak Kumaran Menon, Yuhang dan Ahmad Azharuddin. Mereka puas kerana dapat melihat kepelbagaian kaum di Malaysia.

Kalau boleh memanglah bagus menghasilkan filem muhibah menggabungkan pelbagai kaum di negara ini seperti Sepet tetapi saya rasa itu tidak semestinya untuk menggambarkan realiti masyarakat Malaysia"


Rentetan penayangan filem Sepet, kita dapat mendengar kata-kata seperti 'inilah baru filem Malaysia!' 'barulah betul Malaysia!' dan seumpamanya daripada penonton-penonton kerana berdasarkan ceritanya itu sendiri serta kepelbagaian bangsa dan bahasa yang ada di dalamnya.

Walaupun aku seorang peminat sejati filem Yasmin Ahmad ini, malah sudah menontonnya sebanyak 8 kali sehingga kini. Aku menyanggah pandangan demikian kerana realiti yang wujud adalah tidak semua rakyat Malaysia melalui kehidupan harian dengan berinteraksi dengan kaum-kaum yang lain. Jika adapun hanya sekadar semasa membeli barang di kedai dan sebagainya yang jarang menghadirkan sebarang kesan yang bermakna.

Apabila membaca beberapa blog dan sembang-sembang dengan beberapa rakan, kebanyakan dari mereka mengkritik filem arus perdana yang pastinya berbahasa Melayu sebagai tidak memperlihatkan wajah sebenar Malaysia. Aku amat risau dengan pemahaman yang sebegini dan aku amat mengharapkan agar mereka dapat menerima realiti kehidupan rakyat Malaysia pelbagai kaum yang ada di sini yang bukan semuanya bercampur.

Namun begitu, usaha untuk memperbanyakkan filem ala Sepet harus digalakkan supaya ia dapat merapatkan perpaduan kaum terutamanya di kalangan generasi muda. Ini kerana ada di kalangan anak-anak muda pelbagai bangsa di negara ini yang masih gagal untuk menghilangkan prejudis dan bersifat perkauman tanpa ada usaha untuk pergi lebih dalam memahami apa latarnya. Kita hanya perlu pergi ke sekolah agama, sekolah cina, IPTA dan kolej swasta yang berprestij seperti Kolej Sunway, HELP dan lain-lain lagi (ITTAR bagi aku tak termasuk) untuk berjumpa manusia-manusia ini yang dikatakan berpendidikan.

Sila klik di sini untuk temuramah penuh

No comments: