Friday, December 02, 2005

Aku tak setuju!

Selepas membaca kolum Epilog Akmal Abdullah yang bertajuk "Pertahankan definisi, jati diri filem nasional", aku ingin menyatakan rasa tidak bersetuju terhadap pandangan yang dilontarkan beliau. Pada pendapat aku, semua filem yang dihasilkan dan diarahkkan oleh pengarah dari Malaysia wajib diiktiraf sebagai filem nasional dan bahasa serta budaya yang digunakan di dalam filem tidak sepatutnya menjadi isu. Sama ada ingin memanggilnya filem Malaysia (kerana terdapat watak dominan yang terdiri dari bangsa yang berbeza seperti Sepet), filem Melayu Malaysia, filem Cina Malaysia, filem India Malaysia, filem Iban Malaysia dan sebagainya itu terpulang kerana yang penting ianya tetap layak diiktiraf sebagai filem nasional.

Sebagai sebuah negara multi kultural, isu seperti ini seharusnya sudah selesai dan tidak dibangkitkan lagi. Walaupun definisi filem nasional ketika ini ialah filem yang berteraskan bahasa nasional iaitu Bahasa Malaysia, itu tidaklah bermakna ianya statik dan tidak boleh dipinda. Jika orang muda zaman ini mempunyai sudut pandang yang berbeza dan mahukan definisi usang ini serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan disemak semula supaya sesuai dengan latar masyarakat Malaysia kontemporari, biarkan proses demokrasi yang menentukan. Tidaklah perlu diugut dan ditakutkan dengan tindakan-tindakan yang bersifat undang-undang.

Kepada saudara Akmal Abdullah yang saya sentiasa ikuti tulisannya selain daripada Norazam Shairi di Utusan, aku tetap akan menyanyangi bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia sampai bila-bila tetapi bukan dengan cara anda. Fakta yang jelas, Bahasa Malaysia yang majoritinya digunakan oleh masyarakat Melayu masih dianggap bahasa kelas bawahan di negara ini kerana penuturnya masih lemah di dalam bidang ekonomi. Lazimnya, sesuatu masyarakat hanya akan memandang tinggi bahasa yang digunakan oleh kaum yang maju bukannya kaum yang masih lemah. Namun di dalam masa yang sama janganlah menganggap semua penutur bahasa-bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris sebagai bijak dan hebat. Ini kerana terdapat juga di antara mereka yang hanya pandai bertutur tetapi kosong isinya.

Berdasarkan pemerhatian aku, Bahasa Malaysia bukanlah faktor yang sangat penting di dalam menyatu padukan masyarakat Malaysia terutama di bandar-bandar besar seperti di Lembah Klang kerana penggunaan Bahasa Inggeris yang agak meluas. Apa yang lebih penting adalah minat, sikap dan kualiti yang ada di dalam diri setiap rakyat Malaysia yang menyatukan sesama kita.

1 comment:

Anonymous said...

Saya antara peminat tulisan sdr Akmal Abdullah kerana ia menulis berdasarkan ketetapan yang ada. Yakni berpaksikan perlembagaan yang dipersetujui (tentunya berpaksikan sejarah tanah air). Tinggal sama ada kita mahu menghayati atau sebaliknya. Apa guna buat ketetapan tetapi memungkirinya, apatah lagi ketetapan tersebut begitu mulus. mungkin ada juga kebenarannya andai yang menyatakan 'kemunafikan' itu suatu yang banyak tidak menyukainya.