Tuesday, January 03, 2006

Harian Metro yang hampeh!

Tahun baru bermula dengan sesuatu yang buruk, perangai media kita terutama yang berbahasa Malaysia tak pernah berubah-ubah. Sejak zaman pra hinggalah pasca reformasi, propaganda, pembohongan, pemberitaan yang berat sebelah, tipu dusta amat sukar dipisahkan. Apa nak jadi dengan media kita??? Takkan nak harap Pak Lah campur tangan jugak. Nasib baiklah korang ada akhbar versi internet, taklah membazir duit aku nak membeli.

Aku yang hangin,

Habri

Ganti Pesta Langkawi- Harian Metro
Three Of Four "Black Metal" Youths Freed- Bernama

Klik di sini untuk membaca sisi lain so called "Black Metal"

SUARA RAKYAT MALAYSIA
Address: 383, 1st Floor, Jalan 5/59, 46000 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Telephone: +6 03 7784 3525
Fax: +6 03 7784 3526
Email: suaram@suaram.org
Web: www.suaram.org

1hb. Januari 2006

Kepada,

1) Tan Sri Mohd Bakri Bin Hj. Omar
Ketua Polis Negara,
Ibupejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
Bukit Aman 50560 Kuala Lumpur

2) Tuan ACP Mohd Dzuraidi,
Ketua Polis Daerah Brickfields,
Kuala Lumpur

Tan Sri IGP dan Tuan KPD,

PENCABULAN HAK ASASI MANUSIA DAN SALAHGUNA KUASA POLIS
PENAHANAN BERAMAI-RAMAI TAHUN BARU DI PAUL’S PLACE DAN KAWASAN SEKITAR

Pihak kami ingin mengutarakan satu operasi polis yang dijalankan pada malam tahun baru – malam Ahad sekitar jam 11 malam di Paul’s Place dan kawasan berdekatan dengannya dimana lebihkurang 380 orang telah ditahan polis.

Kami telah mendapat pelbagai aduan daripada mangsa dan amat dukacita dengan tindakan polis dimana keadaan dan cara penahanan ini dibuat mengambarkan bahawa operasi ini telahpun dirancang sebelum (planned and calculated). Kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke Balai polis Brickfields.

Kami ingin mengutarakan beberapa isu yang pada pendapat kami telah mencabul hak asasi manusia dan merupakan salahguna kuasa polis.

1. Polis membuat penahanan secara sewenang-wenangnya tanpa alasan yang kukuh. Sebab penahanan tidak jelas dimana diberitahu antaranya bahawa ia adalah perhimpunan haram, tiada permit hiburan dan berpakaian tidak senonoh. Apabila pihak Timbalan KPD ditanya oleh Peguam, beliau tidak dapat memberikan sebab penahanan. Ini dengan sendiri melanggar prosedur kerana setiap oang yang ditahan perlu diberitahu alasan mengapa mereka ditahan. Kebanyakan mereka yang ditahan pula memberitahu bahawa mereka tidak diberitahu mengapa mereka ditahan semasa penahanan dibuat.

2. Jika sebab-sebab diatas adalah sebab penahanan polis, pihak kami tidak faham mengapa kesemua mereka yang ditahan harus menjalani ujian air kencing untuk mengenalpasti samada mereka telah mengambil dadah. Polis harus mempunyai sebab yang munasabah untuk membuat sebarang tangkapan dan dalam isu ini nampaknya polis mengambil polisi ‘ tangkap dulu, siasat kemudian’. Maka tindakan mengambil ujian air kencing nampaknya satu tindakan memancing tanpa mempunyai sebab kukuh. Tindakan ini mencabul hak kebebasan rakyat dalam satu sistem demokratik.

3. Kami juga difahamkan bahawa ramai orang yang berada di kawasan sekitar turut ditahan tanpa sebab yang tidak jelas. Ini dengan jelas mengatakan bahawa walaupun mereka tidak terlibat mengambil bahagian dalam ” perhimpunan haram” tetapi mereka turut ditahan polis. Kami diberitahu bahawa separuh daripada mereka yang ditahan diluar premis.

4. Kami juga diberitahu bahawa antara alasan penahanan adalah baju atau pakaian yang dipakai oleh mangsa tahanan kerana dikatakan tidak senonoh. Setiap seorang individu mempunyai hak untuk memakai sebarang pakaian kecuali pakaian tersebut mencabul hak orang lain, orang ramai atau melanggar sebarang undang-undang. Pihak polis tidak boleh sewenang-wenang menahan orang awam berdasarkan lobi pihak-pihak tertentu yang tidak suka dengan pakaian yang dipakai oleh individu lain.

5. Ada juga segelintir yang ditahan diberitahu bahawa mereka ditahan kerana sebagai saksi. Ini dengan jelas adalah penahanan tidak sah kerana mengapa saksi ditahan polis.

6. Kami juga difahamkan bahawa salah seorang yang ditahan kemudian telah dibawa untuk dibuat liputan temuramah untuk pihak TV3 walaupun pada masa tersebut beliau masih ditahan. Tindakan ini amat serius kerana sebelum pun siasatan dijalankan, pihak polis telah mengambil langkah memberi laluan kepada media tertentu untuk mendapat access kepada orang tahanan. Seorang tahanan yang dibawa pada masa tahanan untuk memberi temuramah TV merupakan satu tindakan yang melanggar prosedur dan adalah salahguna kuasa polis.

Kami berharap satu siasatan dibuat kerana kami berpendapat wujud salahguna kuasa polis dan pencabulan hak asasi manusia. Kami kecewa kerana kita melangkah ke tahun baru 2006 dengan imej polis terus tercemar jika isu-isu ini tidak ditangani.

Sekian Terima Kasih dengan harapan tindakan dan siasatan dikendalikan oleh pihak yang berkecuali.

Yang Benar,

S.Arutchelvan
Penyelaras

Sk - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)

No comments: