Cukong merompak tanah Universiti Malaya
Oleh Hishamuddin Rais
Nota: 'Cukong' adalah perkataan yang berasal dari Indonesia bererti tauke. Perkataan ini muncul apabila tauke Cina mengkudai para jeneral untuk merompak dan menyamun Indonesia. Hasilnya cukong-cukong ini telah memiliki hampir 80 peratus kekayaan Indonesia.
Nota: 'Merompak' adalah perkataan Melayu dari ibu perkataan - rompak. Penambahan 'me' menjadikan ianya perbuatan. Rompak memberi makna merampas harta benda yang bukan kepunyaan. Perkataan ini sama maknanya dengan samun-menyamun, jara-menjarah, rampok-merampok, lanun-melanun.
Nota: Bersekongkol - Merancang bersama-sama untuk melakukan perbuatan jahat.
- Dari Kamus tulisan Hishamuddin Rais.
Saya telah menerima berita ringkas dari seorang graduan Universiti Malaya. Beritanya tentang ura-ura syarikat cukong Cina yang ingin membeli tanah kawasan Universiti Malaya. Yang menyampaikan berita yang berbunyi agak marah ini bukan graduan Melayu atau Bumiputera atau Islam tetapi seorang graduan Punjabi lulusan Universiti Malaya.
Saya telah pernah menulis tentang peranan para-para cukong ini. Malah banyak kerosakan yang sedang dialami dalam negara kita ini, selain daripada hasil kerja pemodal luar negara, adalah hasil dari kerenah para cukong-cukong tempatan.Biar saya nyatakan di sini sekali lagi bahawa para cukong ini TIDAK mungkin dan tidak berani melakukan rompakan ke atas tanah Melayu jika TIDAK ada kerjasama yang intim dengan benggolan politikus Melayu/Bumiputera.
Di Indonesia, para cukong ini secara licik telah berjaya masuk ke dalam struktur pentadbiran junta Jeneral Haji Muhamad Suharto. Sedikit demi sedikit sesudah tahun 1965 para cukong-cukong ini telah berjaya memiliki hampir 80% dari harta kekayaan Indonesia. Cukong-cukong ini memiliki bank, tanah pertanian, jaringan jualan eksport/import, cari gali dan termasuk jaringan jualan runcit. Ertinya para cukong ini telah berjaya menjerat leher 250 juta rakyat Indonesia.
Telah diwujudkan satu persekongkolan yang begitu intim di antara jeneral-jeneral Golkar dengan para cukong ini. Aparachik tentera sering diarah oleh para jeneral untuk mengawal dan menumpaskan rakyat daripada bangun melawan apabila tanah dan harta mereka dirompak oleh para cukong. Inilah hakikat latar belakang yang berlaku di Indonesia hingga meletusnya 13 Mei 1998 di Jakarta.
Struktur politik
Di Tanah Melayu ini pada awalnya para cukong ini telah menjalin hubungan dengan golongan feudal untuk mendapat tanah dan harta kekayaan. Apabila struktur politik berubah, maka para cukong ini seperti lintah, telah mengalihkan hisapan mereka kepada para politikus Melayu/Bumiputera.
Sama seperti di Indonesia, para cukong Cina di Malaysia telah menjalin kerjasama yang intim dengan politikus Melayu/Bumiputera dalam semua bentuk. Para politikus Melayu, dalam usaha untuk mendapat kuasa, telah mencari dana modal dari para cukong. Yang ironinya, modal asal para cukong ini adalah hasil dari tanah orang Melayu sendiri yang telah tergadai di era feudal berkuasa mutlak.
Para politikus Melayu/Bumiputera yang dijadikan YB, kini telah dijadikan alat untuk mendodoikan orang Melayu di kampung-kampung. YB-YB inilah yang ke hulu ke hilir diperalatkan para cukong sehinggakan tanah dan kampung orang Melayu tergadai. YB-YB ini jugalah yang meluluskan akta rampasan tanah di parlimen untuk menghalalkan rompakan tanah rizab orang Melayu agar dilihat suci di sisi undang-undang.
Kes terbaru yang jelik lagi menjelikkan sedang dipentaskan di Johor. Apa yang sedang berlaku dengan projek Iskandar di Johor ini adalah ulang tayang wayang yang sama. Keluasan tanah yang dirompak cukup besar sehinggakan rakyat senegara kagum tidak sedarkan diri. Ini dibantu dengan razmataz dan kong kali kong yang cukup besar dan indah sehinggakan orang Melayu Johor menjadi rabun dan buta. Pada hal hakikatnya adalah sama - para YB Melayu/Bumiputera/Islam sedang diperalatkan oleh cukong Cina.
Adakah apa yang saya tulisan ini memiliki unsur perkauman?. Tidak, ini bukan perkauman. Para cukong adalah satu kumpulan kelas manusia, di Malaysia ini kerana hukum sejarah para cukong terdiri daripada bangsa China. Kalau di Tanzania, Trinidad atau Uganda - para cukong terdiri daripada pendatang India. Di Ivory Coast pula, para cukong adalah orang Arab Lebanon.
Apa yang menjadi perhitungan awal dan akhir untuk cukong ialah UNTUNG. Mereka datang ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan yang lebih selesa. Tidak pernah dalam akal fikrah mereka untuk mendirikan tamadun Melayu. Malah, pada awal kedatangan imigran ini mereka juga sanggup menjualkan warga dari tanah kelahiran mereka sendiri asalkan mereka mendapat untung.
Tidak berpendidikan tinggi
Cukong Cina di sini wajib kita pisahkan dari keseluruhan masyarakat Cina yang kini adalah warganegara Malaysia. Ada perbezaan yang hakiki antara cukong Cina dengan masyarakat Cina. Cukong Cina ini tidak memiliki kecintaan terhadap nilai ilmu, terhadap nilai seni budaya, terhadap nilai sejarah dan terhadap nilai negara bangsa.
Bukan susah untuk mengenali cukong-cukong ini. Mereka ini tidak berpendidikan tinggi. Tidak memiliki budaya ilmu. Ada yang hanya bekas pemandu lori, ada bekas penjual tayar kereta, ada bekas penjual insurans nyawa, ada bekas pegawai syarikat iklan. Kebijaksanaan mereka ialah membodek dan merasuah para politikus Melayu/Bumiputera atau pegawai-pegawai kerajaan dan polis.
Pada awalnya mereka menjalankan perniagaan segala bentuk judi, penyeludupan - dari dadah hingga ke apa sahaja, hingga ke syarikat pelacuran. Kalau di Sabah dan Sarawak, cukong ini merompak hutan-hutan balak. Dengan harta kekayaan, mereka semakin merapati para politikus Melayu/Bumiputera.
Mereka juga kini dapat menjalin hubungan dengan kaum feudal Melayu. Melalui hubungan ini, para cukong mendapat lesen untuk membuka bank atau membuka gedung perjudian halal (!) atau mendirikan gedung-gedung di atas tanah orang Melayu yang telah dirampas.
Kaum feudal Melayu pula memberikan mereka darjah kehormat yang membolehkan mereka bergerak terbuka untuk dihormati sebagai anggota masyarakat. Perancangan sulit syarikat cukong Cina untuk membeli 600 ekar tanah Universiti Malaya ini pasti bergerak seperti yang saya nyatakan ini. Selama tiga bulan secara rahsia mereka telah berbincang. Antara siapa dengan siapa masih menjadi tanda tanya.
Saya yakin, pasti telah ada politikus Melayu/Bumiputera yang telah disuap dan dilincirkan. Pasti cukong-cukong ini telah 'berkautim' untuk menjarah harta tanah yang lumayan di tengah-tengah kota. Tanpa kerjasama politikus Melayu TIDAK mungkin cukong ini berani membuka mulut untuk merompak kawasan tanah Universiti Malaya.
Universiti Malaya adalah tanda dan makna tamadun keilmuan negara bangsa. Universiti Malaya adalah gedung ilmu tertua dalam negara kita ini. Universiti Malaya memiliki sejarah. Bumi, bangunan, jalan, pokok dan tasik Universiti Malaya memiliki tanda dan makna tamadun negara bangsa.
Sejarah universiti
Memansuhkan Universiti Malaya dari tempat asalnya adalah satu niat jahat para cukong Cina untuk melupuskan persejarahan gilang gemilang - persejarahan perjuangan keilmuan dan perjuangan kemahasiswaan. Seperti yang telah saya nyatakan bahawa para cukong Cina ini tidak memiliki nilai seni budaya, apatah lagi nilai sejarah.
Bagi para cukong ini, yang penting hanyalah mereka mendapat keuntungan. Para cukong ini tidak memiliki apa-apa nilai budaya. Apakah kita lupa keinginan mereka untuk membina gedung-gedung di Bukit Cina Melaka atau keinginan mereka untuk mengambil tanah perkuburan Cina di belakang Istana Negara? Para cukong dalam dunia ini tidak memiliki nilai bangsa, nilai agama, nilai budaya, nilai seni, nilai sejarah - apa yang mereka sembah hanyalah nilai wang ringgit.
Bagi cukong ini, kalau datuk, nenek, ibu, ayah dan anak mereka boleh dijual, pasti mereka akan menjualkannya. Budaya cukong ini adalah budaya kaum migran yang datang ke sesebuah negara untuk mencari kekayaan. Orang Penan di Sarawak tidak pernah terfikir untuk memotong kayu kayan sumber kehidupan mereka. Orang Melayu di Kedah tidak pernah terfikir untuk menjualkan tanah sawah mereka untuk dijadikan taman perumahan.
Nelayan di Balik Pulau ditipu dan dipaksa oleh politikus Melayu/Bumiputera untuk menjualkan tanah kepada cukong, tidak ada niat untuk mendirikan hotel di tapak rumah mereka. Tanah orang Berembang di Ampang tidak akan dirampas cukong jika politikus Melayu/Bumiputera tidak di rasuah.
Para politikus Melayu/Bumiputera ini sebenarnya sama perangainya dengan si cukong. Politikus Melayu/Bumiputera hari ini bukanlah insan yang membawa tanda mercu tamadun keilmuan bangsa Melayu. Mereka ini juga tidak memiliki budaya ilmu, budaya seni dan budaya sejarah yang tinggi; malah ramai daripada mereka ini menyamar untuk mendapatkan tiket Melayu/Bumiputera. Jika diselidiki rapi, akan ditemui asal-usul mereka adalah anak lelaki si anu dan si anu berasal dari Kerala. Ertinya mereka juga membawa budaya imigran yang tidak terbenam lama mendalam dalam proses pembudayaan negara bangsa.
Universiti Malaya wajib dianggap sebagai teras pembudayaan sejarah keilmuan negara bangsa Malaysia. Mengalihkan ianya ke mana sahaja bermakna ada niat jahat lagi buruk. Rasa saya telah sampai masanya kita memberi pengajaran kepada para cukong Cina dan para politikus Melayu/Bumiputera ini bahawa niat buruk dan kejahatan mereka telah melampaui batas. Bukit telah banyak menjadi gondol, banjir kilat menjadi-jadi, bangunan telah runtuh rantah - apakah mereka mahu mengulangi 13 Mei ala Jakarta?
Nota kaki: Universiti Sobborne masih tegak berdiri di tengah kota Paris semenjak ia didirikan hampir 700 tahun dahulu. Polytechnic Central London menjadi University of Westminster masih tegak berdiri di tengah-tengah kota London semenjak 200 tahun dahulu. University College London berselirat di sekitar kota London, masih tegak berdiri di tempat yang sama semenjak 180 tahun dahulu walaupun harga tanah adalah yang termahal di dunia. Universiti Al-Azhar masih tegak berdiri di tengah-tengah kota Qahirah selama 700 tahun. Oxford, Cambridge, MIT, Yale, Havard, UCLA - semuanya tegak berdiri di tempat yang sama. Kenapa? Kerana tidak ada cukong Cina dan politikus Melayu/Bumiputera.
No comments:
Post a Comment