Wednesday, February 27, 2008

Harapan Baru Malaysia, PKR, DAP & PAS

Aku amat sibuk dalam beberapa hari ini untuk membantu kempen PKR di Subang dan juga beberapa teman yang turut bertanding atas tiket PKR, PAS dan DAP di seluruh negara. Sokongan dan bantuan diberi dalam pelbagai bentuk.

Malam tadi menghadiri dua ceramah PKR yang diadakan di Seksyen 17 PJ, kawasan majoriti Cina dan di Sungai Way yang mempunyai komposisi penduduk yang berbilang kaum. Tarikan utama sudah pasti Anwar Ibrahim yang tidak jemu-jemu menyampaikan idea dan tawaran PKR dan juga pembangkang kepada rakyat. Kehadiran masyarakat setempat amat baik dan hampir menyamai mood 1999, malah lebih baik kerana semua kaum turun dan bersatu kali ini tidak seperti selalu. Harap-harap perubahan ini dapat ditransformasikan di dalam bentuk undi.

Cerita tentang pilihan raya di Malaysia memang banyak yang negatif terutama yang menyentuh aspek media yang bagi aku sangat kronik kebodohannya. Aku pun tak tahu nak kata apa lagi, sektor lain boleh maju dan progresif sedikit ke hadapan tetapi tidak pada alat propaganda paling berkesan di dunia ini. Letih dan hangin apabila membaca, menonton dan mendengar propaganda manifesto BN yang hadhari sangat tu. Aku boleh terima manifesto tu kalau ia dilaksana dengan jujur dan kalau tak laksana pun aku sangat rasional dan akan dapat menerima untuk cuba memahaminya terlebih dahulu. Tapi berilah peluang kepada manifesto dari parti pembangkang untuk diberi ulasan dan perhatian yang sewajarnya, itu pun sukar. Tak tahulah apa nak jadi dengan Malaysia, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia yang menyokong BN dan membenci pembangkang tanpa mendapat maklumat seimbang.


Manifesto KeADILan 2008
Harapan Baru Untuk Malaysia

Prakata

Tekad Pertama: Negara Madani Untuk Semua
Mempertahankan Perpaduan, Hak Asasi dan Integriti.

Tekad Kedua: Ekonomi Maju untuk Semua
Pengagihan Sama Rata Menjana Dayasaing yang Tinggi

Tekad Ketiga: Malaysia Yang Selamat Untuk Semua
Pasukan Polis Yang Bersih Untuk Perlindungan Rakyat

Tekad Keempat: Harga Rendah Untuk Semua
Kawalan Harga Petrol dan Barangan

Tekad Kelima: Pendidikan Terbaik Untuk Semua
Kualiti Pendidikan Tertinggi Yang Percuma

Prakata

Malaysia kini berada di persimpangan jalan dan kita perlu memutuskan apakah kita bersedia untuk masa depan yang lebih baik.

Beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat bagaimana Negara yang kita cintai ini diheret ke arah peningkatan krisis antara kaum, kelemahan pencapaian ekonomi, penambahan kadar jenayah dan keadaan korupsi bertambah bobrok.

Satu ketika dahulu kita berada sama taraf dengan beberapa buah negara luar dalam pertumbuhan ekonomi, perlaksanaan undang-undang dan juga mutu pendidikan, tetapi kini dunia memandang rendah keupayaan Malaysia dengan ekonomi yang tidak kompetitif, pencapaian universiti yang bertambah merosot, dan sistem mahkamah yang tidak ada integriti dan maruah sama sekali.

Dokumen ini merangkumkan visi KeADILan untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan sebenar. Ia merangkumi bagaimana kita akan membina sebuah Negara yang menyasarkan potensi sebenar, bakat dan kaliber rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Ia akan tertumpu kepada 5 kunci utama yang kita yakin serta percaya adalah kunci pemula proses pembaikpulihan Malaysia.

Pertama, kita akan menjadikan Malaysia sebuah Negara Madani untuk semua.

KeADILan yakin bahawa semangat Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang perlu dihormati dan diperakui, bukan melalui perkataan semata-mata. Kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin kedaulatan undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan. Negara madani menjamin keperluan untuk kita menolak sebarang bentuk politik yang tidak lekang daripada masalah perkauman dan seterusnya memacu upaya masyarakat menjunjung keadilan, perpaduan dan hormat menghormati melangkaui semua.

Kedua, kami akan membentuk ekonomi mapan untuk semua.

Agenda Ekonomi Malaysia yang diusahakan oleh KeADILan memugar kepercayaan kita di mana sekiranya kita bersedia secara global untuk memastikan pertumbuhan dalam Negara yang mapan, polisi menindas yang hanya mengayakan golongan elit perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira kaum. Untuk Malaysia terus berdiri seiring dengan gergasi ekonomi seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura, kita perlu memainkan peranan melalui peruntukan yang seiring dengan persaingan global demi memastikan korupsi dan pembaziran dihapuskan.

Ketiga, kami akan memastikan komuniti rakyat Malaysia merangkumi setiap kawasan kejiranan berada dalam keadaan selamat seluruhnya.

Penyalahgunaan pihak berkuasa polis demi tujuan politik sempit yang berleluasa, meluasnya perpecahan dalaman dan sikap menerima korupsi, semuanya merupakan duri dalam daging kepada kredibiliti pihak polis untuk berkhidmat dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia. Kehilangan anak-anak kecil yang tidak terkira kini secara tragis berpunca daripada kegagalan pihak berkuasa untuk menjamin keselamatan kita. KeADILan mempunyai wawasan bahawa pihak polis perlu diurus, dilatih dan dikawalselia dengan lebih baik untuk memastikan agar mereka lebih fokus tentang tanggungjawab utama mereka untuk memastikan setiap kawasan dan rakyat Malaysia selamat daripada sebarang ancaman.

Keempat, kami akan memastikan Malaysia boleh menguntungkan dan termampu untuk semua.

Malaysia adalah pengeksport minyak petrol, dan kenaikan secara mendadak dan dramatik harga petrol hanya akan mengesani subsidi yang menjadi habuan rakus parti pemerintah serta korupsi. melalui salahguna dana dan kuasa. KeADILan menjanjikan harga minyak yang lebih rendah sejajar dengan keuntungan Petronas. Pengurusan harga-harga barang konsumer akan menjamin pengeluaran yang seimbang serta stabil. Tarif dan tol juga tidak akan dinaikkan secara tidak munasabah semata-mata untuk memenuhi kepentingan serta memuaskan kehendak korporat dan konglomerat rakus.

Kelima, kami akan meningkatkan mutu pendidikan Malaysia untuk semua.

Dengan kedudukan universiti-universiti di Malaysia di bawah 200 yang terbaik dunia dan penuntut ramai meninggalkan sistem sekolah nasional, kita perlu lebih serius menyemak kembali dasar-dasar pendidikan kerajaan. KeADILan akan menjamin kebebasan institusi pendidikan untuk menyusun perlaksanaan terbaik bagi meningkatkan mutu pendidikan, membayar para pendidik dengan gaji yang setimpal dengan profesion mereka, dan membenarkan akses yang luas untuk mendapatkan biasiswa dan pendidikan tinggi yang berkualiti untuk semua. Hanya dengan ini kita mampu menjamin masa depan Malaysia yang lebih cerah.

Masa ini adalah untuk kita, rakyat Malaysia, berdiri seiring untuk menggantikan pemimpin yang gagal dan tidak berwibawa dengan kepimpinan yang lebih berintegriti, berkaliber dan berwawasan. Sudah sampai masanya Malaysia berada di tahapnya yang sebenar demi menjamin Harapan Baru Untuk Malaysia.

Tekad Pertama: Negara Madani Untuk Semua
Mempertahankan Perpaduan, Hak Asasi dan Integriti.

Malaysia pada abad ke-21 ini memerlukan kerajaan abad ke-21, bukannya kerajaan abad ke-20. Kita perlu menolak sebarang bentuk belenggu pemisahan kaum yang kolot dan merosakkan; membaiki keutuhan masyarakat yang telah sekian lama semakin rapuh; seterusnya mengembalikan integriti kepada tadbirurus Negara kita.

KeADILan melihat jalan penyelesaian kepada permasalahan ini terletak dalam sebuah Negara Madani, yang mendaulatkan satu masyarakat gagah bersatu, penuh hormat kepada kedaulatan undang-undang yang menjadi tunjang kepada perlembagaan kita.

Perlembagaan menjamin hak semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, darjat mahupun latar belakang. Satu-satunya cara untuk memastikan hak setiap kaum dijamin dan dilindungi adalah melalui kepatuhan sepenuhnya kepada semangat dan kandungannya. Ini seterusnya akan membuka jalan untuk membina satu masyarakat yang bersatu atas dasar hormat antara satu sama lain dan keadilan untuk semua.

Di bawah Perlembagaan, hak-hak bumiputra sentiasa terjamin; begitu juga hak-hak bukan bumiputra. Negara Madani yang kami inginkan akan memansuhkan undang-undang dan dasar yang telah memisahkan rakyat kita, seterusnya menghalang kesefahaman yang begitu penting untuk membentuk perpaduan sebenar. Sebaliknya, Negara Madani ini akan mengasaskan undang-undang dan dasar yang memperjuangkan kesaksamaan politik dan ekonomi, serta menggalakkan dialog yang matang dan bermakna demi mencapai keharmonian sebenar. Corak politik baru KeADILan, yang menolak sama sekali politik berasaskan perkauman, akan menjadi langkah pertama ke arah negara Malaysia yang tidak lagi terperangkap dalam polemik pemisahan dan polarisasi kaum.

Nilai-nilai murni Islam akan terus menjadi tunjang pemerintahan, bersama-sama nilai-nilai murni yang datang dari semua agama lain di Malaysia. Bahasa Malaysia semestinya akan terus diutamakan, sementara hak mendapat pendidikan bahasa ibunda tidak akan terjejas sama sekali. Dasar-dasar ekonomi akan berdasarkan keperluan rakyat, bukannya kaum sejajar dengan Agenda Ekonomi Malaysia.

Sebuah Negara Madani juga mengutamakan integriti dan kebebasan institusi kehakiman. Tragedi yang menimpa sistem keadilan kita, yang sudah terjebak dalam korupsi dan kepincangan, sama sekali tidak akan kami ulangi. Kami akan mengasaskan sebuah suruhanjaya bebas untuk melantik dan mengendalikan hakim-hakim kita, demi memerangi penyelewangan dalam pemilihan hakim dan seterusnya mengembalikan maruah dan kebebasan kepada institusi kehakiman kita.

Demi memperjuangkan ketelusan, undang-undang yang kini menghalang perkembangan media yang bebas, penyiasatan rasuah dan proses pilihanraya yang bebas dan saksama, perlulah dimansuhkan atau diubah kesemuanya dengan serta-merta.

Sebuah Negara Madani yang berintegriti tidak akan bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata, tetapi akan dijamin oleh institusi-institusi yang akan berkuasa penuh untuk memainkan peranan ‘semak dan imbang' (check and balance) kuasa kerajaan dengan berkesan.

Demi membentuk akauntabiliti yang lebih mantap, pilihanraya tempatan juga akan dilaksanakan semula dengan segerauntuk memulangkan kembali hak perlembagaan rakyat Malaysia yang dirampas parti pemerintah sebelum ini untuk memberi ruang kepada rakyat memilih pemimpin yang paling bertanggungjawab dan terbaik untuk pentadbiran kerajaan tempatan.

Visi KeADILan untuk satu Negara Madani adalah seperti berikut:

1. Mengembalikan perpaduan sebenar dengan mengutamakan Perlembagaan sebagai dokumen asas yang menjamin hak dan keistimewaan setiap rakyat Malaysia, seterusnya menyediakan rangka untuk keharmonian sosial yang sebenar berdasarkan persefahaman antara satu sama lain.
2. Mengasaskan dasar-dasar ekonomi yang menawarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan, bukannya kaum, seperti mana yang diperincikan dalam Agenda Ekonomi Malaysia.
3. Menjamin keutamaan Bahasa Malaysia, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak penuh untuk semua rakyat Malaysia dan Islam sebagai agama rasmi negara. Kami juga akan mengambil nilai-nilai Islam dan nilai-nilai sejagat agama lain untuk membentuk sebuah tadbirurus Negara yang cekap dan bersih.
4. Membenarkan dan menggalakkan dialog yang bebas, matang dan bertanggungjawab, demi memperbetulkan salah faham masyarakat, menyembuhkan luka-luka perkauman dan seterusnya menanam benih keharmonian yang sebenar.
5. Memansuhkan semua undang-undang zalim yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan, mengekang kebebasan rakyat dan menghalang pertumbuhan demokrasi yang hidup. Undang-undang ini termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinans Darurat.
6. Mengawal dan mengimbangi proses pelantikan hakim dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kehakiman dan menaklukkan perlantikan penting dalam kehakiman di bawah Parlimen.
7. Meletakkan Badan Pencegah Rasuah di bawal kawalselia Parlimen, bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
8. Menggalakkan media bebas yang melapor berita tanpa takut atau memihak, dengan meminda undang-undang yang mengawal media massa, termasuklah Akta Percetakan, Mesin Cetak dan Penerbitan, demi menggalakkan media yang bebas dan adil, yang mampu melaporkan sebarang berita tanpa takut ataupun berpihak.
9. Memulihkan semula pilihanraya tempatan dengan segera untuk membentuk akauntabiliti yang jitu di setiap peringkat pentadbiran kerajaan.
10. Melaksanakan dengan serta-merta saranan yang dibuat oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) demi menjamin proses pilihanraya yang bersih untuk semua parti politik yang terlibat.

Tekad Kedua: Ekonomi Maju untuk Semua
Pengagihan Sama Rata Menjana Dayasaing yang Tinggi

Agenda Ekonomi Malaysia

Malaysia telah dianugerahkan nikmat hasilbumi seperti petroleum, hutan belantara yang luas terlentang, dan paling pentin, rakyat yang berbilang latar belakang, yang mampu menyumbang pemikiran dan idea yang bernas dan berbeza demi pembangunan negara. Justeru Malaysia sepatutnya berada di hadapan Negara-negara luar, jika bukan semua, di hadapan kalangan negara-negara jiran.

Akan tetapi, dimanakah letaknya negara tercinta kita hari ini? Korea Selatan yang telah terancam oleh kemungkinan serangan Korea Utara selama lebih 50 tahun yang lepas, hari ini merupakan sebuah negara maju yang berjaya. Jepun yang tiada kekayaan alam sekitar yang ketara juga hari ini berdiri sebagai sebuah negara maju. Singapura pula hanyalah pulau sekecil Melaka semata-mata, dan tidak mempunyai sedikitpun sumber alam yang kita miliki, tetapi tidak boleh dinafikan langsung bahawa rakyat Singapura menikmati kehidupan yang lebih selesa berbanding rakyat Malaysia. Pentadbiran ekonomi yang tidak bijak dan kucar-kacir, terutamanya dalam tempoh empat tahun yang lepas, telah membawa prestasi ekonomi Malaysia berada di tahap yang terendah setakat ini.

Harga barangan keperluan asas semakin hari semakin melonjak. Walaupun kerajaan masih menafikannya, pengalaman rakyat biasa jelas menampakkan inflasi yang sudah tidak terkawal. Daya saing dan pelaburan asing kita kini terus menjunam, sementara pihak berkuasa hanya mampu membohongi rakyat denganmenyalahtafsirkan statistik demi menutup kebenaran.

Pelan-pelan Malaysia, 'koridor-koridor' dan 'rantau pembangunan' tidak lebih sekadar kaedah baru untuk mengagihkan semula kekayaan Malaysia di kalangan golongan elit negara. Mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka yang berkuasa akan mendapat konsesi yang amat bernilai tanpa melalui proses semakan yang telus, sementara kerajaan terus menghalang usahawan-usahawan sebenar Malaysia daripada bersaing dengan mereka untuk menawarkan servis yang lebih baik pada harga yang lebih rendah. Suatu ketika dahulu, kita merupakan pengeluar cip komputer yang terbesar di dunia - tetapi kini, syarikat gergasi seperti Intel dan Texas Instruments telahpun menutup operasi mereka di Malaysia, kerana telah hilang keyakinan dengan prestasi negara.

Tetapi yang paling parah ialah tidak lain dan tidak bukan hakikat bahawa dasar ekonomi yang memecah-belah rakyat telah diseleweng dan diperguna sehinggakan hanya berfungsi untuk mengayakan golongan elit, sementara golongan miskin langsung tidak mendapat sebarang faedah, dan hubungan etnik di Malaysia semakin hari semakin getir.

Sudah jelas kelihatan sekiranya kita terus bergerak atas landasan yang gagal ini, anak-anak kita hanya akan mewarisi ekonomi sekadar kelas-keempat dan negara yang berpecah-belah. Malaysia memerlukan sebuah pelan yang lebih baik untuk merawat kepincangan ekonominya - dan jawapan KeADILan adalah Agenda Ekonomi Malaysia.

Kunci kepada perubahan ialah dasar ekonomi yang bermutu dan bebas daripada sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan. Singapura, Korea Selatan, Ireland, Estonia - negara-negara ini berjaya menjadi kuasa ekonomi dunia, malah tanpa sebarang kekayaan alam yang banyak sekalipun, mereka mampu melakukannya kerana memiliki asas ekonomi yang kuat. Agenda Ekonomi Malaysia akan membekalkan asas yang padu dan utuh sebagaimana yang diperlukan oleh system ekonomi kita untuk menggalakkan keusahawanan dan perusahaan, yang merupakan ‘enjin' pertumbuhan dalam mana-mana sektor ekonomi.

Agenda Ekonomi Malaysia menetapkan sasaran tertentu untuk negara, bersesuaian dengan potensi Malaysia yang begitu cerah. Lima tahun daripada tarikh perlaksanaannya, pendapatan per kapita setiap rakyat Malaysia akan meningkat 3 kali ganda; dalam tempoh 7 tahun akan meningkat 4 kali ganda dan dalam tempoh 10 tahun, akan meningkat 5 kali ganda dari nilai terkini.

Tetapi jika BN masih lagi berkuasa sepuluh tahun daripada sekarang, pasti pendapatan per kapita rakyat Malaysia hanyalah pada kadar satu per-sepuluh daripada pendapatan rakyat Singapura.

Agenda Ekonomi Malaysia mensasarkan pertumbuhan purata sebanyak 8% setiap tahun untuk tempoh sepuluh tahun. Ekonomi China hari ini sedang tumbuh pada kadar 11.2%, Kemboja sebanyak 9.2%, India 8.5%, Vietnam 8.3%, Singapura pula 7.5%. Pertumbuhan ekonomi Malaysia pula hanyalah pada kadar 5.6%. Semasa Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan pada kadar 7% setahun, dan harga petrol tidak berubah.

Dengan semangat membara KeADILan untuk memerangi rasuah, pembaziran dan salah tadbir, kadar pertumbuhan sebanyak 8% adalah sangat realistic untuk kita capai. Demi memastikan bahawa janji ini tercapai, KeADILan akan meletakkan penjana keuntungan terbesar negara seperti Petronas di bawah kawalan jawatankuasa terpilih Parlimen, demi mengelakkan sebarang penyelewangan dana keuntungan minyak dan mendorong tahap ketelusan yang lebih tinggi.

Pada tahun 2006, kejayaan terbesar Malaysia adalah semata-mata berjaya mendapat kedudukan keenam dari segi kadar pelaburan asing, antara negara-negara rantau ASEAN. Bandingkan ini dengan era awal 90-an, di mana Malaysia gah di kedudukan kelima di dunia. Keengganan kerajaan untuk mendedahkan prosedur dan operasi ekonominya sudah tentu membantutkan pelaburan asing. Hatta sumber modal Malaysia sekalipun sekarang sedang memilih untuk melabur di luar negara.

Kunci kepada pertumbuhan di bawah Agenda Ekonomi Malaysia ialah membuka pasaran demi menjana perkembangan ekonomi. Pasaran yang dikelola dengan baik, dengan kerajaan yang mampu menguatkuasa perjanjian dan berurusan adil dengan rakyat, merupakan kunci kepada kejayaan ekonomi negara. Pasaran yang dikawal terlalu ketat pula, ditambah dengan operasi kerajaan yang bersifat tertutup, akan melemahkan ekonomi dan membantutkan pelaburan, seterusnya menghalang pertumbuhan selanjutnya. Indeks Kebebasan Ekonomi hanya meletakkan Malaysia pada tahap 40%, berbanding dengan Taiwan dan Korea Selatan pada 70%, dan Singapura pada 90%.

Agenda Ekonomi Malaysia akan merombak semula struktur pelaburan untuk meningkatkan kebebasan ekonomi di bawah indeks tersebut kepada tahap sekurang-kurangnya 70%. Kerajaan pimpinan KeADILan akan memansuhkan sekatan ke atas peralihan modal asing keluar masuk negara, dan merombak perlindungan kerajaan yang diberikan kepada monopoli-monopoli dalam sektor seperti sektor telekomunikasi dan kewangan.

Pasukan pelaburan KeADILan berazam membawa masuk pelaburan asing berjumlah RM100 billion dalam tempoh lima tahun pertama perlaksanaannya. Jika pasaran kita kuat dan bebas daripada sekatan, dan dengan adanya undang-undang yang telus dan dikuatkuasa oleh hakim-hakim yang tidak berpihak, kita tidak memerlukan sebarang koridor atau rantau pembangunan yang khusus untuk menarik masuk pelaburan. Suasana yang bersih dan stabil, seterusnya sesuai untuk keperluan perniagaan dan perusahaan, sudah pasti jauh lebih penting daripada potongan cukai dan kuota yang diagihkan oleh kerajaan yang korup dan tidak telus.

Persaingan juga merupakan satu isu yang ditangani oleh Agenda Ekonomi Malaysia tajaan KeADILan. Monopoli dan kawalan harga telah banyak membebankan pengguna Malaysia. Di Filipina, persaingan terbuka membolehkan pengguna menghantar SMS dengan harga 0.1 sen semata-mata, sementara rakyat Malaysia terpaksa menggunakan servis yang buruk dengan harga yang tidak berpatutan, kerana monopoli syarikat telekomunikasi yang membunuh persaingan.

Kini, kita tidak boleh membeli lebih daripada satu paket gula di pasaraya, ataupun membeli kereta pada harga yang dibayar pengguna di negara-negara lain. Semua ini merupakan perit jerih hasil daripada dasar-dasar yang lebih bersifat melindungi kepentingan elit, bukannya kepentingan rakyat biasa. Dalam banyak keadaan, kerajaan akan sentiasa melaksanakan dasar anti-pasaran yang direka untuk mengkayakan dirinya sendiri dan kroni-kroni mereka, sementara rakyat biasa akan terus yang menanggung beban. Persaingan terbuka pula akan memastikan negara bebas dan berdaya saing, seterusnya menolong rakyat marhaen.

Dalam tempoh lima tahun, Agenda Ekonomi Malaysia KeADILan berjanji akan mengurangkan tarif dan sekatan import yang lain. Kawalan harga dan kuota akan dimansuhkan - rakyat Malaysia mestilah bebas membeli dan menjual pada harga yang mereka kehendaki. Semua pasaran akan dibuka kepada persaingan, kecuali monopoli fitrah seperti sektor bekalan tenaga lektrik, di mana amalan niaga dan skim harga yang dilaksanakan oleh pemegang konsesi akan sentiasa disemak semula untuk kepentingan rakyat. Satu-satunya cara untuk membina ekonomi yang mampu berdaya saing adalah dengan bersaing untuk mendapatkan idea yang terbaik, peniaga yang paling bijak dan kemahiran yang terunggul. Kita tidak boleh takut untuk bersaing, kerana persaingan dalam negara kita sendiri merupakan langkah pertama ke arah bersaing di pentas dunia.

Ekonomi Malaysia juga mestilah dibangunkan bersesuaian dengan kelebihan fitrah kita sendiri. Kepelbagaian budaya dan cara pemikiran rakyat Malaysia, serta kedudukan kita di persimpangan sejarah dan peradaban dunia, semestinya membolehkan Malaysia memainkan peranan unggul sebagai penjana idea dan rangkaian buat rantau Asia Tenggara. Keindahan alam Malaysia juga seharusnya menjana industri pelancongan yang maju lagi mesra alam.

Pada masa yang sama, kita haruslah memastikan bahawa tenaga kerja kita tidak ketinggalan begitu sahaja sedang kita bergerak ke arah membina satu ekonomi maju. Gaji minima sebanyak RM1,500 diperlukan untuk menjamin kehidupan bermaruah buat pekerja-pekerja mulia kita. Untuk membolehkan pekerja kita sentiasa berdaya saing tinggi pula, setiap rakyat Malaysia yang ingin menambahkan kemahiran mereka akan diberi peluang menjalani program latihan dan latihan semula, demi memastikan mereka sentiasa mampu menjejaki keperluan global mutakhir ini. Potongan cukai dan baucar pendidikan akan dibekalkan kepada mereka yang ingin melatih dan meningkatkan kemahiran mereka. Baucar-baucar ini akan membiayai pelajaran di mana-mana kolej atau sekolah teknikal, seterusnya meningkatkan produktiviti dan mengelakkan pembaziran tenaga kerja.

KeADILan juga percaya bahawa Dasar Ekonomi Baru haruslah digantikan dengan agenda ekonomi yang berhasrat membantu dan mengembalikan maruah semua rakyat yang miskin, tidak kira kaum atau latar belakang mereka. Dengan ini, golongan elit yang kaya-raya tidak lagi akan boleh memperguna dasar yang sedia ada untuk lebih mengkayakan diri mereka lagi - sebaliknya, orang Melayu yang sememangnya merupakan majoriti golongan miskin Malaysia akan mendapat bantuan sepenuhnya, bersama-sama saudara mereka dari kaum India, Kadazan, Cina, Iban, Orang Asli dan lain-lain.

Dengan pelbagai dasar yang meyakinkan, jurang yang disebabkan oleh ketidakseimbangan pembangunan akhirnya akan diperbetulkan. Dengan kesaksamaan sebagai asas terpenting, bumiputra miskin akhirnya akan mendapat akses kepada bantuan ekonomi yang seringkali dinafikan kerana pelbagai kerenah birokrasi politik yang mengekang.

Pembahagian asas di Malaysia adalah di antara mereka yang bebas dan sebaliknya. Kelompok elit bebas melakukan apa saja yang dihajati mereka - mereka tidak pelu bimbang untuk memulakan perniagaan, di mana kuota yang menetapkan sebanyak mana kampit-kampit gula yang boleh mereka beli sewaktu musim perayaan, ataupun mendapatkan tawaran terbaik untuk pinjaman bank.

Selagi kita bersikap tegar dalam perkara-perkara di mana hanya perniagaan tertentu, individu tertentu perlu dibebaskan, dan selagi mana kita gusar dengan persaingan untuk melihat siapa yang mempunyai idea dan keupayaan yang lebih baik, kita sama sekali tidak akan dapat mencapai potensi sepenuhnya yang diharapkan oleh Negara kita ini.

Dasar afirmatif yang berasaskan sepenuhnya kepada ras dan bangsa, seperti yang diterjemahkan melalui Dasar Ekonomi Baru, telah terbukti kelemahannya yang ketara dengan penindasan yang dialami oleh sekalian rakyat Malaysia. Masih ada Melayu yang kaya dan Melayu yang miskin; Cina yang kaya dan Cina yang miskin, India yang kaya dan India yang miskin' demikianlah seterusnya.

KeADILan yakin dan percaya bahawa adalah tidak bermakna sama sekali untuk setiap kelompok ras dan bangsa mempunyai penyelesaian ekonomi tersendiri dan bersifat berasingan. Ekonomi kita bukanlah kuih yang hendak dibahagi-bahagi. Ianya berbentuk 'sepohon pokok' untuk disuburkan, 'sepohon pokok' yang menjadi milik kita bersama, dan juga 'sepohon pokok' yang, jika dibajai subur, akan membuahkan hasil yang sangat lumayan buat kita semua. Polisi-polisi ekonomi kita perlu dibentuk dalam acuan yang sama, bukan sahaja bermanfaat untuk kaum Melayu, tetapi juga untuk kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain.

Prinsip asas polisi-polisi ekonomi yang perlu dibentuk ialah peluang yang saksama perlu disediakan untuk setiap rakyat Malaysia, peluang untuk belajar, peluang untuk memperoleh hidup yang senang, dan peluang untuk mencapai impian kita. Inilah janji Agenda Ekonomi Malaysia tajaan KeADILan kepada semua rakyat yang mengecap nikmat kebebasan di bawah naungan Malaysia.

Agenda Ekonomi Malaysia akan:

1. Memacu kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada paras 8% dan pendapatan per kapita rakyat setara dengan pendapatan rakyat di Negara-negara maju Asia melalui dasar-dasar ekonomi yang kompetitif dan telus.
2. Membanteras seluruh rangkaian korupsi dan monopoli yang merugikan pengguna di dalam industry-industri seperti telekomunikasi dan perbankan, dan juga dasar-dasar perlindungan yang menguntungkan pihak-pihak berkepentingan.
3. Memperkasakan pelaburan langsung asing (FDI) dengan menghapuskan sebarang bentuk kekangan seperti sistem kehakiman korup yang tidak boleh menjamin kontrak-kontrak secara efektif, ketiadaan kebebasan media dan undang-undang yang menjamin ketelusan di dalam tadbirurus perniagaan, sebagaimana juga peruntukan ekuiti yang menjamin sebarang sewabeli. Sasaran sebanyak RM100 billion di dalam pelaburan langsung asing dianggarkan dalam tempoh 5 tahun.
4. Pengeluaran barangan yang stabil pada harga yang berpatutan akan dipastikan dengan mengekalkan dasar pasaran terbuka yang bebas daripada sebarang bentuk manipulasi politik berkepentingan yang sempit. Melalui cara ini, harga akan sentiasa terkawal dan kekurangan dapat dielakkan.
5. Pertumbuhan domestik akan digembleng dengan menganjurkan program keusahawanan, mengurangkan penguasahaan untuk memulakan perniagaan dan memastikan padang yang sama rata untuk semua.
6. Meningkatkan persaingan global dengan melabur di dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), memastikan pindahan teknologi antarabangsa dan menyahkan sebarang bentuk halangan yang menghalang pembangunan ekonomi bersifat pengetahuan (k-ekonomi). Penekanan serius turut ditumpukan kepada industri-industri yang mengesani kelebihan semulajadi Malaysia, seperti perlancongan dan industri perkhidmatan.
7. Menjamin maruah semua rakyat Malaysia dengan melaksanakan gaji minimum pada kadar RM1500 sejajar dengan kenaikan kos sara hidup. Aliran latihan yang sempurna untuk mengekalkan kebolehsaingan global di kalangan pekerja-pekerja tempatan turut akan disediakan.
8. Menggantikan Dasar Ekonomi Baru dengan sebuah dasar afirmatif yang berasaskan keperluan berbanding bangsa dan etnik untuk menjamin semua rakyat Malaysia yang susah dibantu untuk memperkemaskan kehidupan mereka dan memecahkan jurang kemiskinan.
9. Menganjurkan budaya keterbukaan dan telus sepenuhnya di dalam menganugerahkan kontrak-kontrak kerajaan dan tender, dan membenarkan ganjaran bukan berasaskan hubungan dalaman, tetapi berasaskan kebolehsaingan dan sejarah perkhidmatan.
10. Meletakkan GLC - GLC utama seperti Petronas di bawah seliaan Parlimen untuk membenarkan pemantauan dana dilakukan dan mengelakkan sebarang bentuk salahguna dan penyelewengan dana. Ini demi memastikan kekayaan Negara dikembalikan kepada rakyat, bukan terhad kepada kepentingan tertentu.

Tekad Ketiga: Malaysia Yang Selamat Untuk Semua
Pasukan Polis Yang Bersih Untuk Perlindungan Rakyat

Pembangunan dan kemakmuran tidak bermakna sekiranya rakyat Malaysia tidak berasa selamat untuk bergerak di dalam kawasan kejiranan mereka sendiri.

KeADILan berjanji untuk menumpukan seluruh instumen dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memerangi jenayah habis-habisan. Setiap rintangan dan halangan yang mengekang pihak polis untuk melaksanakan tugas mereka akan diselesaikan, dan tidak akan nada sebarang kos akan dibelanjakan demi memastikan Malaysia terus dilengkapkan dengan sumber, latihan dan peralatan terbaik untuk menentang jenayah.

Sejumlah besar anggota polis yang ditugaskan untuk berkhidmat pada ketika ini boleh dikatakan tidak memberi tumpuan kepada perlindungan rakyat biasa dan kawasan-kawasan kejiranan. Masa, wang dan tenaga dihabiskan secara berleluasa untuk melakukan siasatan senyap, mengekang hak asasi, dan terlibat dengan korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

KeADILan memberi jaminan sekurang-kurang 80% gerak kerja pasukan polis akan difokuskan sepenuhnya dalam kawalan keselamatan dan penyiasatan jenayah. Pengalaman pelbagai negara luar menunjukkan bahawa teknik paling asas di dalam pencegahan jenayah, seperti kawalan bersifat langsung dan kerap, adalah teknik paling berkesan untuk membasmi jenayah. Rakyat Malaysia tidak seharusnya membayar kos yang lebih demi memastikan perkhidmatan kawalan keselamatan swasta, dalam keadaan mereka telahpun membayar pelbagai jenis cukai kepada kerajaan untuk memastikan keselamatan mereka.

Sebagai lelaki dan wanita yang sanggup mengorbankan nyawa untuk mengawal keselamatan rakyat Malaysia, perkhidmatan yang lebih baik perlu disediakan kepada pihak polis. Peruntukan yang lebih harus diberi untuk penaiktarafan peralatan yang mampu melindungi keselamatan rakyat. Pelbagai usaha akan digarap untuk meningkatkan keselamatan rumah rakyat dan kawasan kejiranan mereka. Pelbagai pendekatan akan diambil, daripada yang paling ringan sehinggalah strategi yang paling efektif. Seperti pemasangan lampu-lampu jalan, program kerjasama polis dan masyarakat sehinggalah penggunaan pengawasan berasaskan teknologi canggih demi memastikan setiap nyawa akan dipertahankan.

Peningkatan gaji, elaun dan peruntukan perumahan juga adalah penting untuk menjamin taraf kehidupan yang setara di kalangan mereka yang mengorban demi keselamatan rakyat.

Dalam masa yang sama, pihak polis juga perlu dipertingkatkan kualiti perkhidmatan mereka. KeADILan akan melaksanakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dengan segera, sebagaimana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya DiRaja Pembaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada tahun 2004 untuk menjamin pembasmian sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa di kalangan polis termasuklah jenayah rasuah dan keganasan.

Pihak pendakwaraya juga perlu lebih berwibawa untuk menjamin kepercayaan rakyat. Setiap tindakan undang-undang ke atas penjenayah mestilah diambil dengan tegas setara dengan undang-undang untuk memastikan penjenayah ini tidak akan dibebaskan hanya kerana pendakwaan yang lemah.

Visi KeADILan untuk Malaysia yang lebih selamat akan:

1. Memastikan sekurang-kurangnya 80% pihak polis ditugaskan sepenuhnya dengan tanggungjawab mencegah jenayah yang mempunyai kesan langsung dan pantas ke atas keselamatan rakyat dan setiap kawasan kejiranan.
2. Menggandakan bilangan anggota peronda polis yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan di kawasan-kawasan kediaman.
3. Melengkapkan pihak polis dengan peralatan yang lebih berkesan untuk memerangi jenayah. Peruntukan akan disediakan tanpa sebarang pengecualian ke atas peralatan dan teknologi yang mampu menjamin keselamatan rakyat di semua peringkat.
4. Menempatkan lebih banyak balai polis, pondok polis dan juga 'checkpoint' polis di kawasan-kawasan perumahan, membenarkan kawalan bersifat langsung dengan kehadiran polis untuk mengurangkan sebarang bentuk potensi jenayah di kawasan-kawasan tersebut.
5. Meningkatkan fasiliti yang boleh menambah keselamatan seperti lampu jalan dan kamera CCTV untuk mengurangkan kadar jenayah.
6. Menaikkan gaji, elaun dan peruntukan perumahan pihak polis sebanyak sekurang-kurang 15%, bersesuaian dengan tanggungjawab mereka yang sanggup menggadai nyawa demi memastikan keselamatan rakyat terjamin.
7. Menambahkan program latihan yang dilakukan pada kadar yang kerap dan memastikan pasukan polis sentiasa diperkemaskan dengan teknik pencegahan jenayah terkini.
8. Melaksanakan IPCMC dengan serta merta untuk memastikan taraf profesional serta menjamin integriti tertinggi dalam pasukan polis.
9. Menyaisat dengan adil dan teags sebarang bentuk tuduhan salahlaku dan korupsi di dalam pasukan polis. BPR hendaklah diperkemaskan dan diberi kuasa untuk mengelakkan sebarang bentuk penyelewengan di dalam pasukan tersebut.
10. Memantau perkhidmatan dan kadar kebolehan pendakwaraya untuk menjamin usaha maksimum diambil bagi capai hukuman yang telus dan adil.

Tekad Keempat: Harga Rendah Untuk Semua

Kawalan Harga Petrol dan Barangan

Beban yang amat berat lagi tidak adil kini terpaksa dipikul oleh rakyat jelata sejak beberapa tahun yang lepas. Akan tetapi, bebanan ini bukanlah berpunca daripada tekanan dunia ataupun inflasi biasa semata-mata, tetapi datangnya daripada kepincangan pentadbiran negara dan korupsi yang berleluasa.

KeADILan percaya bahawa bebanan baru yang disebabkan kenaikan harga mutakhir ini pasti boleh diringankan, malah dihapuskan sama sekali, dengan cara hanya membasmi rasuah dan pembaziran. Apabila tiada lagi skandal seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), komisyen pembelian senjata bernilai puluhan juta ringgit, dan konsesi tol dan tarif yang sama sekali tidak berpatutan, kita akan dapat menjimatkan berbillion ringgit - wang yang akan digunakan KeADILan serta-merta untuk menurunkan harga petrol dan menstabilkan harga barangan asas, tarif dan tol.

KeADILan juga akan mengambil pendekatan holistik untuk menurunkan kos sara hidup dan meningkatkan kuasa membeli pekerja-pekerja Malaysia.

Kami akan bermula dengan memperkenalkan skim pinjaman perumahan yang lebih lama tempoh bayarannya, demi membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri. Kami percaya bahawa setiap rakyat Malaysia berhak memiliki rumah sendiri.

Setiap rakyat Malaysia juga mestilah mampu mendapatkan rawatan kesihatan, termasuk rawatan percuma untuk rakyat miskin dan dibebankan. Tiada maknanya jika kita membina bangunan yang semakin tinggi dan bandar yang semakin besar sekiranya kita tidak mampu menjamin kesihatan rakyat kita sendiri.

Konsesi tol dan tarif yang berpihak kepada kepentingan korporat, lantas membebankan rakyat jelata, mestilah dirunding semula dengan serta-merta. KeADILan akan memecahkan monopoli-monopoli dan persetujuan sulit yang telah lama membenarkan segelintir pihak korporat berkomplot dengan ahli-ahli politik yang mengaut keuntungan besar dan tidak berpatutan, sedangkan rakyat Malaysia terus merempat.

Kekayaan negara kita juga mestilah diagihkan sama rata. Oleh yang demikian, KeADILan akan member penekanan kepada lebih banyak program untuk membenarkan lebih ramai rakyat Malaysia, tidak kira latar belakang mereka, untuk memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat milik kerajaan.

KeADILan turut percaya bahawa maruah pekerja-pekerja Malaysia mestilah terus diperjuangkan. Justeru, kami akan berusaha memperkenalkan satu dasar gaji minima demi menjamin taraf hidup yang baik untuk semua tenaga kerja negara.

Untuk menjamin masa depan cerah untuk semua, kita perlu mewujudkan tenaga kerja yang penuh terlatih. KeADILan akan mempertingkatkan program-program latihan semula dan tambah mahir, demi memastikan bahawa tenaga kerja negara penuh bersedia menghadapi cabaran ekonomi dunia pada abad-ke-21 ini.

Untuk menggalakkan pelaburan asing dan penambahan peluang pekerjaan, kerajaan pimpinan KeADILan akan terus proaktif dalam menawarkan insentif kepada syarikat-syarikat yang ingin memulakan operasi di Malaysia dan juga mampu menyediakan pekerjaan untuk rakyat.

Walaupun semua inisiatif ini sudah tentu akan melibatkan perbelanjaan yang lebih tinggi daripada sekarang, tetapi KeADILan penuh yakin bahawa dengan terhapusnya rasuah dan pembaziran, penjimatan berbilion ringgit yang terhasil dek kerakusan pemerintah sebelum ini akan cukup untuk membiayai dasar-dasar mesra rakyat ini, justeru membolehkan semua rakyat Malaysia mampu menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Visi KeADILan untuk keadaan lebih murah dan mudah akan:

1. Menurunkan harga minyak petrol denganserta-merta, memandangkan keuntungan Petronas semakin meningkat saban tahun.
2. Menyusun semula system pasaran untuk menggalakkan penurunan harga dan seterusnya menambah bekalan yang cukup, berterusan dan bermutu.
3. Menyemak semula semua bentuk konsesi dan monopoli. Sebarang perjanjian yang berat sebelah dan memberi keuntungan tidak berpatutan kepada syarikan mestilah drunding semula.
4. Menyediakan langkah-langkah yang beruas supaya lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki rumah mereka sendiri, misalnya melalui dasar pinjaman perumahan dengan tempoh bayaran 60 tahun.
5. Mengawal kos rawatan kesihatan dan memberikan khidmat serta ubatan percuma kepada rakyat miskin, dan rawatan berkualiti tinggi untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana melalui program seperti baucar-baucar kesihatan.
6. Memperkenalkan skim-skim untuk menyenangkan rakyat membeli saham dalam syarikat milik kerajaan yang berkeuntungan tinggi, dan seterusnya membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki saham-saham ini dan berkongsi bersama dalam kekayaan yang terjana.
7. Melaksanakan dasar gaji minima sebanyak RM1500 sebulan, demi memastikan bahawa semua rakyat Malaysia yang gigih bekerja akan dapat menikmati taraf hidup yang sepatutnya.
8. Menambah dan mempertingkatkan program-program kemahiran dan latihan semula, dengan tujuan memperlengkap semua rakyat Malaysia dengan kemahiran teknikal terbaik, bersesuaian dengan cabaran perkembangan ekonomi dunia.
9. Menawarkan potongan cukai dan insentif-insentif lain kepada syarikat asing yang membuka operasi di Malaysia serta berjaya menyediakan sekurang-kurangnya 1000 peluang pekerjaan baru.
10. Membiayai semua inisiatif di atas dengan mengamalkan tahap ketelusan yang terbaik demi membasmi rasuah dan pembaziran, lantas menjimatkan berbilion ringgit setiap tahun.

Tekad Kelima: Pendidikan Terbaik Untuk Semua
Kualiti Pendidikan Tertinggi Yang Percuma

Pendidikan merupakan titik-tolak masa hadapan yang lebih cerah untuk Malaysia. Mutakhir ini, sistem pendidikan negara telah merudum ke satu tahap di mana golongan berada kesemuanya memilih pendidikan swasta, sedangkan mereka yang miskin terpaksa pula berkelompok di sekolah-sekolah yang tidak berkualiti.

KeADILan percaya bahawa sistem persekolahan kebangsaan mestilah distruktur semula dan diberikan nafas baru. Langkah pertama dalam usaha ini adalah untuk memastikan persekolahan percuma dapat dinikmati sejagat - daripada peringkat rendah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi sekalipun. Sebarang halangan yang menghindar keluarga-keluarga berpendapatan rendah daripada memperoleh pendidikan mestilah dihapuskan sama sekali, kerana pendidikan tentunya di antara langkah yang paling penting untuk memecahkan belenggu kemiskinan.

Biasiswa untuk pengajian luar negara mestilah ditambah dan dijamin untuk pelajar-pelajar yang berjaya melepasi tahap kecemerlangan tertentu dalam peperiksaan mereka. Ini akan membolehkan pelajar-pelajar terbaik Malaysia mencapai potensi tertinggi mereka, seterusnya membuka jalan untuk mereka membawa balik kemahiran dan pengalaman yang berharga ke pangkuan negara.

Pendidikan berkualiti juga bermula dengan guru-guru yang berkualiti di tahap terbaik. Gaji yang lebih tinggi dan peluang pekerjaan yang sama rata untuk semua guru merupakan langkah pertama untuk meningkatkan kualiti sekolah-sekolah kita. Kita mestilah memberi pengiktirafan yang sepatutnya kepada jurusan paling mulia ini, demi memastikan golongan cerdik pandai hari ini terus tampil ke hadapan untuk mendidik generasi pemimpin masa hadapan. Guru-guru juga haruslah didedahkan dengan latihan berterusan dan perkembangan profesional, seterusnya menjana kematangan mereka sebagai pendidik.

Peruntukan untuk sekolah-sekolah kebangsaan juga haruslah dipertingkatkan. KeADILan percaya bahawa kanak-kanak tidak mungkin mampu belajar di dalam bangunan-bangunan lapuk, yang mana pembaikpulihan seringkali gagal kerana kontraknya sentiasa diberi kepada kontraktor yang tidak bertanggungjawab, pada kadar yang langsung tidak munasabah tingginya. Masalah ini amatlah parah terutamanya di Sabah dan Sarawak, di mana sesetengah sekolah masih tidak mempunyai bekalan eletrik mahupun air bersih. Kita sama sekali tidak boleh membenarkan keadaan yang memalukan ini berterusan. Jika kita benar-benar mahukan pelajar-pelajar Malaysia berjaya dan cemerlang, kita mestilah menyediakan suasana pembelajaran yang sesuai untuk mereka.

Tetapi memperbaiki infrastruktur sahaja tidak akan mencukupi, selagi kandungan pembelajaran itu sendiri tidak diolah semula. Hafalan semata-mata dan pendekatan berteraskan peperiksaan semata-mata haruslah ditolak dan digantikan dengan pendekatan pendidikan yang lebih menyeluruh, lantas menekankan kemahiran menganalisa dan menyelesaikan masalah, di samping penguasaan matapelajaran teras. Inilah satu-satunya cara untuk anak-anak kita membina kemahiran dan kebolehan mental yang perlu untuk berjaya dalam ekonomi sedunia.

Kemerosotan institut pengajian tinggi kita juga perlulah diselesaikan serta merta. Prestasi universiti-universiti kita, yang tampaknya sudah menjunam bawah kedudukan ke-200 dalam kedudukan dunia, hanya memalukan rakyat Malaysia, dan lebih membimbangkan lagi, merupakan petanda masalah-masalah untuk masa depan negara.

KeADILan percaya bahawa kita perlulah melantik calon yang paling cerdik dan berwibawa untuk memimpin dan mentadbir universiti-universiti dan kolej-kolej kita. Hanya individu yang dipilih atas kebolehan, bukannya percaturan politik, sahajalah yang mampu memimpin institusi pengajian tinggi kita ke arah kecemerlangan, seterusnya membawa kita kembali ke zaman kegemilangan kita, di mana institusi pengajian tinggi kita menjadi gelanggang cendekiawan yang dikagumi seluruh rantau.

Kita juga haruslah menghapuskan segala kongkongan yang menghalang cendekiawan-cendekiawan kita daripada berfikir dan bertindak bebas. Kita perlu kembali kepada kebebasan ilmiah yang sebenar, di mana ilmu dan kebenaran terjamin dapat dicari dengan bebas dan objektif. Hanya dengan cara sedemikian sahaj siswazah kita akan benar-benar dapat membezakan fakta daripada rekaan, dan seterusnya menilai dunia mereka dengan kritikal, lantas mencari jalan mengatasi kebobrokan.

Visi KeADILan untuk sistem pendidikan akan:

1. Menyediakan akses ke semua peringkat pendidikan, dari tadika hingga universiti, yang berkualiti dan percuma sepenuhnya untuk setiap rakyat Malaysia.
2. Menjamin biasiswa kerajaan untuk semua pelajar yang berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 4A dalam peperiksaan STPM, serta berjaya diterima masuk ke dalam universiti-universiti ternama dunia. Tumpuan khas akan diberi kepada keluarga-keluarga miskin serta pelajar luar bandar.
3. Menaikkan gaji, elaun dan faedah para guru sebanyak sekurang-kurangnya 15%, demi mengiktiraf pengorbanan dan kemuliaan profesi perguruan.
4. Memperkenalkan program perkembangan profesional untuk guru-guru, justeru memastikan bahawa mereka terus meningkatkan kemahiran mereka dan sentiasa peka terhadap perkembangan terbaru di peringkat dunia.
5. Menambah peruntukan perbelanjaan bagi pembaikpulihan sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar, untuk memastikan semua pelajar dapat menuntut ilmu dalam bangunan yang cukup selesa.
6. Menaiktarafkan kelengkapan dan prasarana sekolah-sekolah luar bandar, terutamanya di Sabah dan Sarawak, demi menjamin bahawa setiap sekolah kebangsaan sekurang-kurangnya mempunyai bekalan lektrik dan air.
7. Mengolah semula kurikulum persekolahan bersesuaian dengan penyelidikan terbaru tentang pendidikan. Proses pengajaran dan pembelajaran yang baru akan menekankan pemikiran kritis, keupayaan mental, dan kebolehan menyelesaikan masalah, di samping terus mementingkan penguasaan matapelajaran teras.
8. Pemilihan Naib Canselor dan jawatan-jawatan kanan lain di institusi pengajian tinggi tidak lagi dilakukan atas dasar politik mahupun peribadi, tetapi akan hanya berdasarkan kebolehan akademik dan profesional mereka, serta mengambil kira kemajmukan masyarakat Malaysia.
9. Memansuhkan dengan serta merta undang-undang seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti dan Akujanji yang mengongkong hak sivil dan politik para pelajar.
10. Memastikan penyelidikan akademik tidak lagi akan ditapis atau dihalang dengan apa cara sekalipun; golongan cendekiawan harus bebas sepenuhnya untuk menimba ilmu dan melakukan penyelidikan atas ikhlas mencari kebenaran semata-mata.

No comments: