Pulau Gili (kecil) Trawangan |
Masjid kuno suku Sasak |
Sembalun Lawang |
Baru-baru ini Taman Tema Legoland telah dibuka di Nusajaya, satu-satunya di Asia. Jika ke bahagian Miniland, kita dihidangkan dengan model-model bangunan seperti Menara Petronas, Masjid Putra dan sebagainya yang dibina dari permainan Lego. Namun jika ingin melihat percuma miniland versi dunia nyata , sila berkunjung ke Putrajaya dengan puluhan bangunan, ke Bali dengan ribuan pura (kuil) dan Lombok dengan ribuan masjid,
Minggu baru lalu saya berkesempatan melawat Lombok yang terkenal di saentero Malaysia gara-gara kes-kes percintaan lelaki Lombok dengan gadis tempatan yang berhujung “dilarikan”. Lokasi Lombok sangat strategis untuk menarik kedatangan pelancong kerana berjarak dekat dengan Bali yang telah puluhan tahun menjadi destinasi pelancongan popular dunia. Lombok menurut banyak orang adalah Bali 10-20 tahun yang lalu, masih terjaga dari serangan pelabur dan pelancongan massa yang merosakkan lingkungan seperti dialami Bali.
Kunjungan singkat ini telah membenarkan pandangan itu. Tidak terlihat ramai pelancong dan rombongan bas seperti sering dilihat di Bali, dan di beberapa kawasan seperti Sekotong, Sembalun Lawang dan Senggigi sangat jauh dari keramaian meski pemandangan alam yang terhidang sangat indah. Namun hal itu akan berubah seiring pembukaan jalur penerbangan Kuala Lumpur-Lombok oleh AirAsia baru-baru ini selain daripada kejenuhan pelancong yang ingin melarikan diri dari hiruk pikuk Bali.
Sememangnya Lombok sangat sesuai mengambil peranan sebagai kawasan pelancongan berwatak pembantu seperti mana Wilayah Iskandar di Johor dan Singapura serta Shenzhen dan Hong Kong. Namun apa yang terlihat di Lombok tidak demikian, Lombok jelas sekali ingin meniru Bali dalam pembinaan imej. Jika Bali terkenal dengan pura, maka Lombok yang majoriti Islam membina masjid-masjid yang anehnya jarak di antara satu sama lain sangat berdekatan.
Primata, salah seorang blogger Indonesia yang aktif menulis di blog Kompasiana mencatat, “Jika anda baru pertama menginjakkan kaki di Lombok, bahkan lewat angkasa pun anda akan melihat di bawah, terhampar banyak pemandangan kubah masjid. Terlebih jika anda sudah jalan-jalan ke sekeliling kota Mataram ataupun bagian lain dari pulau Lombok.
Masjid seakan bertebaran dimana-mana, hampir mirip dengan Bali yang dikelilingi oleh seribu pura. Tapi sayang, mereka hanya membangun fisiknya saja. Bayangkan, di kota Mataram ada dua buah masjid besar saling berhadapan, cuma bersebrangan jalan saja. Bahkan fisik masjid tersebut belum sepenuhnya selesai. Pembangunan fisik masjid, oleh masyarakat Lombok, yang didahulukan malah kubah/menaranya, sementara bagian dalamnya dibiarkan apa adanya dulu”.
Memasuki Lombok sepertinya melawat pameran masjid yang menurut beberapa penduduk tempatan yang saya temui, tidak lebih dari upaya pemerintah Lombok untuk bersaing dengan Bali dalam erti menggunakan agama dan budaya untuk menarik kedatangan pelancong. Sayangnya tidak seperti Bali yang memanfaatkan pura untuk tujuan ibadat dan pelancongan, masjid-masjid di Lombok bukan sahaja sepi pelancong kerana kepura-puraan bahkan manfaatnya kepada penduduk setempat dipertanyakan terutama warga miskinnya.
Meski demikian pujian harus diberikan kepada pemerintah Lombok yang akhirnya serius untuk mempromosikan Lombok kepada dunia luar walaupun masih banyak aspek yang perlu diperkerjakan terutama pengangkutan umum yang baik dan akses ke tempat pelancongan. Hanya saja pemerintah harus lebih jelas dalam merangka konsep Lombok seperti apa yang harus dijual. Ada yang melontarkan idea Lombok harus memilih pelancongan Islam sebagai daya jual terutama kepada pelancong dari dunia Islam dan ada yang cenderung menyeimbangkan antara Islam dan ala-Bali.
Jika memilih menjual Lombok sebagai pulau bernuansa Islam seperti diciptakan Belanda terhadap Bali sebagai pulau bernuansa Hindu menurut saya tidak akan berjaya melihatkan imej Islam yang tidak begitu positif dan masyarakat Lombok secara umumnya bukanlah seperti rakan seagama mereka di Acheh. Lombok lebih terbuka dan pragmatik dalam menyikapi persoalan agama dan dunia. Contohnya di Pulau Gili Trawangan, masjid utama terletak di pusat keramaian dan berjarak beberapa meter, pelancong lelaki dan wanita dengan bebas berjemur mengenakan pakaian yang terdedah.
Semoga Lombok akan menemukan konsep terbaik agar generasi mendatang Lombok mendapat manfaatnya. Jangan semberono meniru Bali terutama dalam hal pelancongan kerana 80 peratus pelaburan dalam bidang pelancongannya dikuasai asing dan agama Hindu di Bali hanyalah komoditi yang dipergunakan asing untuk meraih keuntungan semaksimal mungkin.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 3 Disember 2012.