Oleh Zulhabri Supian
901 adalah singkatan yang dipopularkan pengikut Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menarik penyokong, simpatisan dan rakyat seluruhnya turun ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta pada tanggal 9 Januari 2012.
Sebagai mengikut perkembangan zaman yang mengkedepankan ‘cool’, singkatan 901 sangat kena dengan semangat anak-anak muda dan tidak muda juga ketika ini. Tidak lupa, 9 Januari adalah tanggal penting dalam episod tahun ke 14 perlawanan Anwar Ibrahim dan pemerintah UMNO Barisan Nasional sejak 1998.
Sama ada Anwar Ibrahim didapati bersalah atau tidak, sosok yang disayangi dan dibenci ramai rakyat Malaysia ini akan sekali lagi mencorakkan bentuk sebuah negara bernama Malaysia untuk tempoh 10 ke 20 tahun yang mendatang.
Reformasi 1998
Ketika episod tahun pertama ‘Anwar Ibrahim lawan Umno BN’ yang ditandai dengan nama ‘reformasi’, saya berusia 17 tahun dan sekadar menjadi pemerhati, tetapi sekarang saya dan hampir semua rakan setingkatan dan junior-junior di sekolah yang sama berada di dalam posisi untuk menentukan siapa pemenang yang sesungguhnya di dalam perlawanan akhir ‘Piala Malaysia’ politik iaitu pilihanraya umum (PRU) ke 13 . Tidak seperti Piala Malaysia versi sukan bola sepak yang ditentukan jadual jauh-jauh hari, versi politik pula tarikhnya hanya diketahui sang Perdana Menteri kita.
Jika pada episod tahun-tahun awal memunculkan ramai anak muda yang sekarang berada di posisi penting pemerintahan dan kelompok masyarakat sivil dan seni budaya seperti ADUN Seri Setia, Nik Nazmi, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, peguam hak asasi terkemuka Edmund Bon, kelompok seniman seperti Hasmi Hashim dan Rahmat Harun dan ramai lagi. Kita pastinya teruja menantikan siapa pula yang bakal muncul mewakili anak muda pada zaman ini seterusnya beberapa tahun yang mendatang. Semoga berkat media sosial yang pelbagai macam ini akan melahirkan lebih ramai manusia Malaysia yang berkualiti dari apa yang telah dilahirkan sebelum ini.
Pasca-901 : Asalkan Bukan Umno (ABU)
Apakah yang akan terjadi selepas 901 masih menjadi tanda tanya di kalangan rakyat Malaysia. Masing-masing berdebar kerana kerja untuk meneka penghakiman yang bakal dikeluarkan Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah tidaklah mudah walau kelihatan dan dipersepsikan sepertinya mudah dan sudah diketahui dari awal lagi.
Bagi saya, 901 wajib digunakan sepenuhnya untuk menggerakkan momentum gerakan zaman yang dipanggil ‘Asalkan Bukan Umno’ atau kata singkatnya ABU. ABU yang mula dipopularkan menjelang pilihanraya umum 2008 dan kini diangkat dalam bentuk gerakan longgar pelbagai entiti terdiri daripada aktivis, NGO , masyarakat sivil dan parti politik bermatlamat menumbangkan Umno daripada pentadbiran negara pada PRU ke-13. ABU secara rasminya telah dilancarkan pada 15 Disember 2011 di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar di Gombak, Selangor.
Membuang Umno BN dari tampuk pemerintahan negara pada PRU ke 13 adalah kerja yang wajib dilakukan oleh rakyat yang mencintai negara ini. Namun harus dipertegaskan bahawa membuang Umno BN tidak bermakna jihad seraya menganggap entiti bernama Pakatan Rakyat sebagai suci lagi mulia, apatah lagi apabila melihatkan tulang belakang Pakatan Rakyat ini terutama PAS dan DAP sangat rapuh dari segi ideologi dan jelas masing-masing kemaruk untuk berkuasa. Namun begitu, kemaruk untuk berkuasa mereka wajib disokong rakyat jelata kerana wajib saya tekankan di sini bahawa tugas membuang Umno BN tidak boleh ditunggu sehingga PRU ke 14 dengan alasan Pakatan Rakyat masih belum bersedia dan pelbagai alasan lainnya.
Kenapa wajib membuang Umno BN walaupun untuk seketika yakni minima sepenggal? Jawapan saya pelbagai dan nombor satunya terkandung di dalam perkara nombor satu ‘Program 100 hari Pakatan Rakyat’ sekiranya diberi mandat mentadbir negara ini iaitu “1. Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan” yang secara idealnya akan mewujudkan sistem demokrasi dua parti berserta parti-parti kecil dan masyarakat sivil sebagai kuasa ketiga bersandarkan prinsip padang yang sama rata.
Mudah kata kesemua 10 perkara yang terkandung di dalam janji manis 100 hari Pakatan Rakyat tersebut saya meyakini sesungguhnya sebagai alasan untuk asalkan bukan Umno. Sebut saja: memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat dan banyak lagi. Siapa yang tidak teruja langsung terinzal kan?
Meskipun begitu, ada 2 hal pokok yang saya bimbangi seandainya Umno BN dibiarkan mentadbir negara tercinta ini untuk sepenggal lagi.
1. Pembodohan ke atas umat tepilih ‘Melayu Islam’ Malaysia
Andaikata Umno BN gagal ditumbangkan dan Pakatan Rakyat tetap dipilih sebagai pembangkang di peringkat pusat, nescaya hegemoni kepalsuan identiti Melayu Islam Malaysia akan terus bermaharajalela dan dipaksarelakan ke atas semua anak-anak umat tepilih segenap lapisan. Projek pembodohan pemikiran Melayu Islam Malaysia barangkali akan turut dibantu sebuah parti bernuansa Islam yang kini berada di dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS sekiranya berlaku perubahan kepimpinan di dalam organisasi mereka yang cenderung keMelayuan Islam Malaysianya. Barang harus diingat idea kerajaan perpaduan berteraskan semangat Melayu Islam sudah mula dipelopori sejurus sahaja selesai keputusan PRU ke 12 yang lalu diumumkan dan tidak mustahil kegagalan untuk berkuasa pada PRU ke 13 akan mendorong perubahan strategi politik PAS yang akan didemikan kerana nama agama, bangsa dan negara nantinya. Maka harapan untuk melihat kosmopolitanisme Melayu Islam yang sanggup merangkul Melayu Kristian di Filipina, Melayu Hindu di Bali dan Melayu-Melayu lainnya akan hilang begitu sahaja. Tambah parah, Melayu akan terus dilayukan ekonomi dan harga dirinya oleh elit penguasa yang jaguh di dalam memasarkan produk bernama Melayu dan Islam serta nama Allah demi mengisi tembolok perut mereka.
2. Kematian harapan ‘Malaysia Baru’
Tolak ke tepi kegagalan meraih politik kekuasaan yang mengkedepankan pembahagian kek ekonomi sesama pemenang kerana menurut saya ada satu hal lain yang lebih menakutkan iaitu potensi PAS berganding bahu bersama-sama Umno BN mentadbir negara ini pasca-PRU ke 13. Menurut saya seandainya ini berlaku merupakan kiamat besar kepada seluruh rakyat yang mendambakan Malaysia yang liberal, progresif, terbuka dan plural. Melihatkan tren kelahiran di kalangan bukan Melayu Islam yang semakin menurun dan peningkatan peratusan penduduk Melayu Islam dari tahun ke tahun, adalah mustahil untuk mengembalikan momentum ke arah kelahiran sebuah negara ‘Malaysia Baru’ seandainya Umno BN dibiarkan kembali berkuasa. Barang harus diingat, penundaan tumbangnya Umno BN berkemungkinan akan mencetuskan gelombang penghijrahan beramai-ramai kelompok ‘Malaysia Baru’ yang terdiri dari pelbagai bangsa ke luar negara.
Kesinambungan gerakan reformasi
Saya melihat agenda pembuangan Umno BN dari kancah pemerintahan negara yang dibawa oleh ABU lebih dari sekadar politik kekuasaan bagi merebut peluang ekonomi. ABU seperti reformasi yang berlaku ekoran tragedi pemecatan Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri pada 1998 adalah sebuah jentera yang hadirnya tepat pada masa dan ketika. Kegagalan reformasi 98 pada awalnya tidak lain tidak bukan dipicu oleh ketamakan untuk meraih politik kekuasaan dengan masing-masing sudah memasang niat menjadi itu dan ini dan kesudahannya ramai yang longlai di tengah perjalanan.
Tidak dapat dinafikan bahawa politik kekuasaan tidak sepenuhnya hitam putih tentang pembolotan sumber-sumber ekonomi oleh para pemenang kerana politik kekuasaan juga memungkinkan pengawasan yang lebih baik dan pengenalan dasar-dasar yang bersandarkan politik nilai yang diidam-idamkan setiap rakyat dan dicita-citakan setiap bakal pemenang.
Kita seluruh rakyat Malaysia yang mengimpikan Malaysia yang jauh lebih baik wajib bersama-sama mengemudi ABU sehingga tertumbangnya UMNO BN dan wajib untuk kita teguhkan di dalam hati bahawa perjuangan kita bukan sekadar tentang politik kekuasaan dan seorang sosok bernama Anwar Ibrahim. ABU sebagai penerusan kepada semangat reformasi dan 901 wajib disandarkan kepada politik nilai iaitu — nilai-nilai atau sistem nilai yang sifatnya universal seperti keadilan sosial, kebebasan, kemanusiaan, demokrasi dan solidariti kepada rakyat yang tertindas.
Ayuh kita turun ke jalan atau turun ke jalan masing-masing bagi menyahut seruan ‘Asalkan Bukan Umno’ 9 Januari ini. Anwar Ibrahim dan 901 adalah lonjakan yang kita perlukan dan kemudiannya kita kemudi bersama-sama.
Selamat untuk Malaysia yang lebih baik!

No comments:
Post a Comment