901 telah seminggu berlalu dan keputusan penghakiman yang membebaskan Anwar Ibrahim dari pertuduhan liwat disambut baik seluruh warga Malaysia baik secara terbuka di lapangan parkir Kompleks Mahkamah Jalan Duta mahupun secara tetutup di lokasi-lokasi lain. Tambah menarik, Anwar Ibrahim sempat menjadi trending di laman kicau twitter di Australia, United Kingdom, Hong Kong, Indonesia dan pastinya Malaysia. Namun ada juga puak yang tidak bergembira iaitu pembenci Anwar Ibrahim yang mana profil mereka merentas parti politik, bangsa, agama, usia dan lokaliti, dan mereka punya alasan-alasan tersendiri.
Analisa atas keputusan penghakiman ini dan impak jangka masa singkat dan panjang telah banyak diulas di media arus perdana dan alternatif dan saya tidak berniat untuk mengulas tentang hal yang sama. Cumanya di sini saya ingin berkongsi pemerhatian saya tentang hal yang tidak bersangkut langsung dengan 901, tetapi punya pertalian tidak langsung tentang karakter bersama yang dimiliki rakyat Malaysia iaitu suatu keberanian yang dimiliki segenap sektor dan lapisan yang menurut saya bersifat negatif dan berlawanan dengan semangat dan hasrat murni agenda rakyat. Keberanian yang saya maksudkan adalah keberanian untuk merasa takut dan terus ditakut-takutkan.
Sebelumnya, saya ingin menjelaskan bahawa agenda rakyat yang dimaksudkan dan wajar diangkat seluruh rakyat Malaysia adalah seperti berikut:
● pengukuhan demokrasi ke arah yang lebih telus dan tulen
● mewujudkan demokrasi langsung di tingkat local
● kebebasan berekspresi
● menjunjung tinggi Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang
● mengukuhkan pelaksanaan doktrin pemisahan kuasa
● mewujudkan sistem pilihanraya yang bersih, bebas dan adil
● mewujudkan keadilan sosial bersama-sama ekonomi yang mapan dan adil
● menghormati keragaman pandangan.
Agenda rakyat ini menurut saya wajib dibenahi dan difahami dengan serius supaya ia tidak sekadar agenda yang lunak pada perkataan tetapi tidak pada isinya. Siapapun yang membawa agenda ini wajib kita berikan dukungan dan kita kemudi sebaik-baiknya supaya semangatnya merentasi parti politik untuk ia tetap relevan selama-lamanya kerana hakikatnya parti politik akan datang dan pergi. Meskipun begitu menidakkan peranan mereka membabi buta juga tidak menguntungkan negara di dalam jangka masa dekat dan panjang, maka itu pragmatisme dalam mencapai matlamat harus digunapakai.
Anehnya agenda rakyat seperti ini cukup ditakuti, dibimbangi dan dibenci segelintir rakyat Malaysia yang diterjemahkan melalui rasa takut mereka di laman media sosial dan borak-borak di kedai mamak. Tambah aneh agenda ini dipercayai oleh mereka didalangi sebuah pakatan parti-parti politik yang menamakan diri mereka Pakatan Rakyat yang saban hari dibalun di media arus perdana mesra kerajaan sebagai pengkhianat dan pembawa kehancuran di Malaysia.
Fakta yang menyatakan bahawa agenda ini turut dibawa masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan tidak pernah diperhalusi dan difikirkan akal murni mereka. Jelas ketakutan dalam semua hal sudah meresap kuat baik ketakutan berfikir, ketakutan bertanya, ketakutan membaca, apatah lagi ketakutan beraksi dan bertindak.
Menakjubkan lagi adalah agenda rakyat seperti ini ditakuti akan mengancam ketuanan Melayu Islam Malaysia yang sejak azali katanya adalah hak mutlak yang tidak boleh dicabar oleh sesiapa. Jelas ketakutan puak-puak ini sangat merbahaya kepada kelanjutan Malaysia yang lebih baik dan progresif.
Keruntuhan Umno-BN
Menurut pandangan para sarjana, perkembangan kerajaan dan faktor-faktor jatuh bangun sesebuah kerajaan terbahagi kepada beberapa teori. Teori-teori yang sering diketengahkan adalah teori irama (rhythmic theory), teori kitaran (cyclical theory), teori linear (linear theory), teori pertembungan/pertentangan peradaban (the clash of civilizations) dan teori pendekatan psikologi/ketuhanan.
Pada pandangan saya, teori kitaran lebih mirip untuk terjadi di Malaysia kerana menurut pengemuka-pengemuka teori ini, sesebuah kerajaan akan bergerak seperti kitaran atau putaran yang melalui beberapa peringkat perkembangannya. Ruang lingkup perkembangan peradaban itu dimulakan dengan peringkat pengasasan, kemajuan dan kegemilangan, dan akhirnya kepada peringkat kemerosotan serta keruntuhan. Kekosongan itu akan diambilalih oleh sebuah kerajaan yang lain. Kerajaan baru itu akan mengikut pola yang serupa seperti kerajaan sebelumnya. Dua sarjana yang melihat perkembangan peradaban melalui cara sebegini ialah Ibn Khaldun dan Malik Bennabi.
Namun begitu, persoalan paling besar adalah seberapa siap ejen-ejen perubah di Malaysia untuk menghilangkan rasa takut mereka untuk menjadikan teori kitaran ini suatu realiti di peringkat kerajaan persekutuan?
Berani takut
Jika kejatuhan rejim yang berlaku di Timur Tengah baru-baru ini digerakkan sebahagian besarnya oleh ejen-ejen perubah iaitu kelompok pelajar, mahasiswa, pekerja dan anak muda. Majoriti kelompok yang sama di Malaysia sebaliknya pula gagah berani merasa takut untuk membuat perubahan baik perubahan rejim mahupun yang lebih halus perubahan pemikiran.
Mari kita lihat satu persatu kondisi ejen-ejen perubah kerajaan/pemikiran yang longlai ketakutan selama ini.
Pelajar sekolah — Pelajar di Malaysia terutama yang masih bersekolah menengah dikawal ketat pemikiran mereka dengan dasar pendidikan yang mengongkong para pelajar untuk berfikir luas yakni di luar konteks peperiksaan semata-mata. Pengalaman saya semasa di sekolah menengah membenarkan pandangan ini di mana minat untuk mengetahui isu-isu semasa melalui bahan bacaan tambahan tidak berkaitan subjek yang diajar seperti surat khabar, majalah dan buku tidak dipupuk dan digalakkan atas alasan tidak masuk di dalam soalan peperiksaan.
Jika di Indonesia subjek tentang hak asasi manusia, demokrasi dan korupsi diajar di sekolah sehingga menghasilkan suasana persekitaran sekolah yang demokratis, tetapi di negara ini didikan awal subjek seperti ini sepertinya termasuk di dalam kategori ancaman keselamatan yang berat untuk penguasa sekolah dan juga negara.
Mahasiswa — Seperti pelajar sekolah, mahasiswa kita selama ini ditakut-takutkan oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan malangnya majoriti dari mereka menerima ketakutan yang ditanam ini sebagai berasas demi kononnya untuk mencari kestabilan hidup tanpa menyedari bahawa dunia kerjaya di luar sana menghargai manusia yang berfikir daripada mereka yang bermental robot.
Jika di Indonesia, kuasa mahasiswa berjaya meruntuhkan rejim Soeharto yang zalim, di Malaysia banyak di kalangan mahasiswa menganggap kezaliman atas nama Melayu Islam itu wajib dipertahan. Lebih malang agenda yang diperjuang Adam Adli ditolak tepi sebaliknya personaliti pembawa agenda yang diangkat tinggi kepentingannya.
Pekerja — Ketakutan untuk dibuang kerja seandainya diketahui terlibat dengan aktiviti yang mencerahkan tetapi dianggap subversif di Malaysia melebihi segala-galanya. Individualisme meresap di segenap lapisan sektor kerjaya dan kolektivisme dibungkam secara tidak sedar oleh majikan oleh yang bersekongkol bersama-sama penguasa memberi layanan “ala hamba” zaman moden. Kaum pekerja yang sangat berkuasa di negara-negara maju hanya mampu berperanan sebagai pemerhati sambil menunggu ejen-ejen perubah lain memulakan aksi.
Demi sesuap nasi menyara keluarga dan ketakutan atas rezeki yang ditentukan Umno BN, agenda-agenda rakyat yang murni bagi sebahagian besar pekerja hanya akan diambil berat sekiranya keadaan sudah semakin terdesak. Suatu hal yang tidak disedari adalah kreativiti dan kemandirian itulah yang akan membawa seseorang itu keluar dari lubang kemiskinan.
Anak muda — Ketiga-tiga ejen perubah di atas juga mewakili anak muda yang kental ketakutannya.
Seniman — Ejen perubah yang tidak kurang penting dan berperanan besar ke atas kejatuhan Soeharto di Indonesia tetapi sekadar berperanan sebagai ejen pengampu di Malaysia adalah seniman. Alasan tipikal seniman di Malaysia adalah kami tidak mahu masuk campur urusan politik dan tidak minat politik walhal sebenarnya mereka itu takut untuk berfikir dan berpandangan secara bebas. Jangan nanti hairan sekiranya ada perubahan rejim, kelompok seniman penakut ini akan secara tiba-tiba mendakwa mereka menyokong rejim yang baru. Atas alasan apa? sudah tentu takut kehilangan periuk nasi dan jauh sekali kerana menjunjung agenda-agenda rakyat.
“Revolusi” peti undi?
Semoga apa yang saya perkatakan ini dapat dibuktikan salah menjelang pilihanraya umum yang bakal menjelang dan yang lebih penting adalah keberanian untuk membawa agenda-agenda rakyat ini melangkaui proses pilihanraya dan melepasi agenda politik kepartian sempit. Ejen perubah wajib memainkan peranan mereka sebagai pencetus kepada sebuah kebangkitan dan selebihnya biar rakyat seluruhnya dan masa yang menentukan.
Mungkinkah Malaysia memilih untuk perubahan melalui peti undi seperti yang ditunjukkan semasa pilihanraya umum 2008, kita tunggu dan lihat. Namun ingin saya pertegaskan di sini bahawa walau apapun yang terjadi, hal yang paling penting selain perubahan rejim adalah melawan ketakutan dan memberanikan diri untuk memiliki mental yang mampu berfikir. ayuh bersama-sama menolak ketakutan!

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 16 Januari 2012
No comments:
Post a Comment