Oleh Zulhabri Supian
“The world is the best education you could ever have!” — Jade Ferriere
Jade Ferrierre adalah “voluntourist” yang telah menghabiskan masa selama 7 tahun berkeliling dunia dengan bekerja dan menawarkan kerja sukarela dengan ganti upah makanan dan penginapan. Beliau berkata, “voluntourism is the best way to have a cultural experience while on holiday, and is also the most cost-effective way to travel as well and for me, it’s not just a holiday … it’s an experience. I get to experience the culture of a country and truly see how the people live. It may sometimes mean that I have to give up things that I’m used to having to make myself comfortable, but it’s worth it.”
Barangkali majoriti daripada kita tidak akan mampu melakukan hal yang sama di atas pelbagai sebab baik kewangan, masa, komitmen kerja, komitmen perkahwinan dan sebagainya. Meskipun begitu tren menjadi “voluntourist” semakin meningkat seandainya apa yang terjadi di dalam lingkungan saya diambil sebagai kajian kes. Beberapa sebab dijadikan alasan mereka memilih, antaranya persis seperti alasan Ferriere, juga untuk berehat sementara dari kesibukan pekerjaan yang tidak pernah menyeronokkan.
Tambah menyenangkan untuk kita di Malaysia, sebuah NGO bernama Ecoteer giat mempopularkan “voluntourism” menerusi laman web mereka, “Ecoteer works by providing a site where volunteers can find volunteer work and volunteer job opportunities abroad and grass roots organisation can find volunteers.”
Meskipun begitu, bagi mereka yang tidak berpeluang menempuh jalan yang diharungi Ferrierre, anda tidak perlu bersedih kerana tanpa perlu menjadi “voluntourist” sekalipun, kita boleh memperolehi banyak ilmu tentang negara yang kita kunjungi walaupun dalam waktu yang singkat. Berikut beberapa tip yang sering secara peribadi praktikkan setiap kali ke luar negara.
1- Membaca surat khabar, majalah dan menonton televisyen terutama siaran berita
Melakukan hal yang di atas akan memberikan serba sedikit gambaran tentang apa yang sedang berlaku di negara tersebut. Begitu juga untuk majalah, jika kita sering membeli majalah FHM, Time Out atau Cosmopolitan versi Malaysia, dengan membeli versi dari negara yang kita kunjungi membolehkan kita membuat perbandingan dari segi luaran dan dalaman.
Meskipun begitu pemahaman kita tetap jauh dari sempurna kerana faktor kurang memahami kronologi dan kebergantungan kepada media Bahasa Inggeris yang sering kali isu dan konteksnya sedikit berbeza dengan media berbahasa tempatan. Sebagai contoh jika di Indonesia, anda yang membaca akhbar The Jakarta Post tidak akan sama memahami isu dalam konteks majoriti rakyat mereka yang lebih banyak membaca akhbar berbahasa Indonesia seperti Kompas dan Republika sebagai contoh.
Walaubagaimanapun saya tetap meletakkan perkara ini hal yang baik untuk dipraktikkan kerana ia murah dan mudah. Syarat utama adalah mengurangkan masa untuk mengambil foto sendiri dan tidur di dalam perjalanan.
2- Berbicara dengan masyarakat lokal
Nah ini dia, dengan sedikit pengetahuan yang kita peroleh berkat membaca di akhbar dan majalah serta tontonan di televisyen, kita akan mempunyai lebih banyak bahan untuk dibicarakan dengan masyarakat lokal yang kita temui selain dari hal-hal yang bersifat universal seperti cuaca, trafik lalu lintas dan sebagainya. Interaksi seperti ini baik bersama pemandu teksi, pemandu pelancong, penjual, tukang urut, pekerja seks komersial, imam, pekerja hotel dan sebagainya akan menambah sudut pandang dan menjernihkan kita tentang letak duduk hal yang sebenar.
Kebanyakan dari mereka akan merasa teruja sekiranya kita mengetahui serba sedikit tentang perkara-perkara yang dekat dengan mereka dengan maksud hal-hal yang sering dan sedang dibicarakan mereka, sebagai contoh isu Luna Maya dan Ariel dahulu. Bertolak dari situ perbualan akan semakin intim dan terbuka yang seterusnya akan membentuk suatu interaksi yang bermakna.
Interaksi yang berlaku dalam kebanyakan waktu akan memecahkan banyak tembok penghalang di antara kita sebagai pelancong dan mereka sebagai masyarakat tempatan. Sebagai contoh jika kita seorang Muslim yang sedang berkelana ke Vietnam di bulan Ramadhan, pada ketika inilah masyarakat bukan Islam di sana berpeluang memperoleh secara langsung fakta tentang Ramadhan dan Islam dari penganut agama itu sendiri yang barangkali seumur hidup mereka itulah kesempatan pertama. Apa yang penting, pada akhirnya kita dan mereka akan menjadi manusia yang mampu untuk saling menghargai di antara satu sama lain.
3- Membeli bahan bacaan tambahan & mengaji setelah pulang
Bagi mereka yang terbuka pintu hatinya untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang hal yang menarik perhatian mereka, fasa berikutnya adalah dengan mengunjungi kedai buku berhampiran dan menyediakan wang secukupnya untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan. Nantinya setelah pulang pengajian boleh dilakukan sama ada secara bersendirian, berkelompok dan jika sangat serius, sila lanjutkan pengajian secara formal baik dalam peringkat sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah.
4- Membuat jaringan, membuat penelitian & menjadi ‘manusia’
Andaikata peringkat ketiga berjaya dihadami dengan serius, kita teruskan dengan membuat jaringan di antara komuniti baik secara rasmi atau tidak rasmi dan melakukan kajian untuk penilaian akademik atau non-akademik. Kedua-dua hal ini pada akhirnya secara teori akan menjadikan kita sebagai manusia yang lebih sempurna sifatnya, hanya satu yang boleh menghalang dari ia berlaku jika kita sudah ke peringkat ini iaitu rasa ego dan takbur.
Di peringkat ini barangkali anda akan berfikir untuk menjadi “voluntourist” dengan berbakti kepada manusia yang kurang bernasib baik.
Tip-tip di atas sebaiknya diikuti tanpa mengabaikan perkara-perkara asas yang sering dilakukan pelancong dalam kunjungan singkat iaitu membeli belah, makan, mencari cinta dan sebagainya. Kuncinya di sini adalah bagaimana untuk menyeimbangkan di antara menjadi pelancong dan pengembara tanpa perlu terperangkap dengan debat “pelancong lawan pengembara” yang tidak menjernihkan.
Sama ada anda memilih untuk menjadi pelancong atau pengembara atau kedua-duanya sekali, hal yang paling penting adalah menjadi diri anda sendiri dan sebagai nilai tambah, belajar tentang dunia tatkala sedang menjadi diri anda.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 19 Februari 2012
No comments:
Post a Comment