oleh Zulhabri Supian
Beberapa tahun lepas, lebih tepat pada 2007 saya diperkenalkan dengan kata “hartal” menerusi sebuah filem dokumentari berjudul “Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka” yang disutradai aktivis dan pekerja seni, Fahmi Reza.
Kata hartal dimaknai di India (kata hartal berasal dari sini) sebagai satu cara perlawanan besar-besaran rakyat India menuntut kemerdekaan dari penjajah British dengan menutup tempat kerja, pejabat, kedai, mahkamah dan sekolah. Dalam erti kata lain, masyarakat tidak bekerja dan melakukan urusan seharian lainnya.
Mengutip dari Amin Iskandar, “Hartal adalah salah satu bentuk ‘civil disobedient’ yang dilakukan untuk menuntut sesuatu perkara ataupun membantah sesuatu perkara. Ia adalah satu tindakan untuk menuntut kerajaan, pemerintah ataupun penjajah untuk menukar sesuatu keputusan yang tidak popular ataupun menindas rakyat.”
Dalam konteks Malaya pada waktu itu (hartal terjadi pada 20 Oktober 1947), hartal di seluruh negara dianjurkan oleh PUTERA-AMCJA sebagai membantah pindaan cadangan Perlembagaan Federation yang dibawa oleh penjajah British dan menerusi aksi ini PUTERA-AMCJA telah berjaya mempopularkan Perlembagaan Rakyat yang dibawa mereka sebagai alternatif. Aksi hartal ini dimaknai juga sebagai perjuangan rakyat menuntut demokrasi dan kemerdekaan dari penjajah kolonial.
Dalam aksi ini, tempat-tempat berikut telah ditutup dari jam 6 pagi hingga ke tengah malamnya; pasar, pejabat, wayang, taman-taman hiburan, kedai, mahkamah, sekolah dan banyak lagi, manakala aktiviti kerja bagi pekerja ladang, pelombong dan nelayan turut dihentikan. Apa yang terjadi kemudiannya menjadi sejarah yang harus kita luruskan.Menuju babak akhir filem ini, saya terkesan dengan visual kota-kota dan pekan-pekan yang lengang dan tiada aktiviti, sepi sekali.
Hari Raya Nyepi
Pada jumaat lalu, 23 Mac saya berkesempatan meraikan perayaan Hari Raya Nyepi (Nyepi) yang disambut masyarakat Hindu di Bali dan sekali imbas perayaan ini mengingatkan saya tentang visual sepi saat hartal yang saya sebut tadi. Bayangkan Pulau Bali yang sentiasa hiruk pikuk terutama di Denpasar dan Kuta bagaikan sebuah kota/pulau mati di mana jalanan sepi, pelabuhan, terminal dan lapangan terbang ditutup dan siaran radio serta televisyen dihentikan selama 24 jam mulai jam 6 pagi.
Menurut buku “Yadnya dan Bhakti” oleh Ketut Wiana, terbitan Pustaka Manikgeni, “Umat Hindu Bali merayakan Nyepi sebagai pergantian tahun baru Saka dengan melakukan ‘catur brata penyepian’ dengan tidak menyalakan api termasuk memasak, berpuasa, tidak bekerja terutama bagi umat kebanyakan, tidak berpergian dan tidak mencari hiburan. Sedangkan bagi mereka yang sudah tinggi rohaninya, melakukan yoga tapa dansamadhi. Tujuan utama ‘catur brata penyepian’ adalah untuk menguasai diri, menuju kesucian hidup agar dapat melaksanakan dharma sebaik-baiknya menuju keseimbangan dharma, artha, kamadan moksha.”
Ketua Forum Kerukunan Umat Beragama Bali, Ida Bagus Gede Wiyana menambah, “Nyepi pertama kali diadakan pada tahun 78 Masehi, pada waktu itu Nyepi untuk menyatukan beberapa sekte agama yang rawan konflik. Makanya momen Nyepi sangat relevan dengan kondisi saat ini.”
Jika diperhatikan falsafah Nyepi mengandungi erti dan makna yang relevan dengan tuntutan masa kini, World Silent Day yang digagas dunia menyatakan bahawa di saat Nyepi 20,000 ton karbon dioksida tidak berada di langit Bali kerana motorsikal, kereta dan kilang dilarang beroperasi.
Momentum pelaksanaan Nyepi merupakan momen berguna untuk semakin memupuk rasa cinta kasih sesama umat manusia dan kepada semua makhluk Tuhan baik tumbuh-tumbuhan, haiwan mahupun para serangga kecil
Cinta dan kasih sangat dirasai pada Nyepi tahun ini di mana semangat toleransi antara umat Hindu dan Islam di Bali terwujud di dalam melaksanakan Nyepi dan solat Jumaat secara harmoni. Akhbar Kompas 24 Mac melaporkan kenyataan Imam Masjid An-Nur, Hoesin Muhtar bahawa toleransi umat beragama di Bali mengalami kemajuan di mana pemerintah membenarkan umat Islam yang tinggal berjauhan dari masjid dan tidak boleh berjalan kaki kerana jauh dapat menggunakan bale banjar desa setempat (seperti pusat Rukun Tetangga dan JKKK di Malaysia) untuk solat.
Dalam laporan yang sama, Ariyanto mengaku lebih khusyuk mengikuti solat Jumaat pada hari Nyepi kerana suasananya tenang, tidak seperti hari biasa ketika di luar masjid sangat bising dengan suara kenderaan bermotor.Selain hari Nyepi itu sendiri, malam sebelumnya juga tidak kalah menarik di mana tradisi berarak dengan membawa pawai ogoh-ogoh atau replika raksasa di saat Hari Pengerupukan yang melibatkan hampir seluruh penduduk setiap desa sentiasa ditunggu-tunggu warga mahupun pelancong. Setelah diarak berkeliling desa, ogoh-ogoh itu dibakar dan dimusnahkan sebagai simbol perlawanan terhadap butakala atau makhluk jahat. Fenomena pembuatan ogoh-ogoh tambah menarik kebelakangan ini apabila ogoh-ogoh wajah para koruptor turut dibuat sebagai penzahiran rasa marah dan benci rakyat terhadap sang koruptor yang disimbolkan sebagai makhluk jahat. Wajah paling popular tahun ini adalah tersangka koruptor, M. Nazarudin.
Nyepi menurut saya istimewa kerana hanya di belahan dunia bernama Bali ini sahaja ia dapat dilakukan warga dengan dukungan negara sementara World Silent Day yang diadakan setiap tanggal 21 Mac masih bersifat sukarela.
Melawan haloba
Hartal dan Nyepi menurut saya memiliki kebersamaan dari sifatnya yang melawan — satunya melawan penjajah yang rakus dan zalim kepada rakyat yang dijajah sementara satunya lagi melawan kapitalis yang juga rakus dan zalim kepada bumi Bali dengan merampas tanah, membina hotel dan pusat membeli belah dan kemudian mencemarinya. Kedua-duanya jenis manusia tamak haloba.
Saya sentiasa tertanya-tanya apakah yang dilakukan dan difikirkan warga Malaya di saat berlangsungnya hartal dan warga Bali di saat Nyepi. Saya sendiri waktu Nyepi dihabisi dengan membaca buku dan “mencintai” sesama teman-teman yang kebetulan selain Hindu juga ada Muslim dan Kristian. Menurut saya, saat kesepian juga momen terbaik untuk meneguhkan iltizam kita untuk terus melawan ketidakadilan yang berlaku dan para manusia tamak haloba.
tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 27 Mac 2012
No comments:
Post a Comment