Tuesday, August 28, 2012

Nasionalisme pembodohan di Indonesia


oleh Zulhabri Supian

Nasionalisme adalah perebutan kekuasaan...
Nasionalisme adalah kekayaan pribadi...
Nasionalisme adalah menindas rakyat...
Nasionalisme adalah mencuri aset negara...
Nasionalisme adalah pembodohan massa...

Di atas salah satu rangkap puisi berjudul “Sebuah puisi nasionalisme pembodohan” karya Phandjie Trihatmojo, anak muda dari Depok yang mewakili kekecewaan sebahagian masyarakat Indonesia terhadap negara dan pemerintahnya.

Jika di Malaysia, slogan “Malaysia Boleh” ciptaan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi sesuatu yang dilebih-lebihkan, Indonesia tidak terkecuali mengalami hal yang sama dengan kata “nasionalisme”. Kata yang positif jika terlebih pakai dan terlebih dimaknai akan menjadi hal yang berlawanan. Sungguh beruntung generasi muda Malaysia kerana kata nasionalisme dari awal disedari maknanya sebagai “poyo” sehingga menjadi nasionalis bererti menyokong pemerintah Umno dan Ketuanan Melayu.

Semenjak berkenalan dengan Indonesia, saya melihat ada dua kelompok yang mendominasi wacana di Indonesia; pertama kelompok nasionalis (nasionalisme pembodohan) dan kedua kelompok rasionalis (nasionalisme rasional). Malangnya kelompok pertama lebih mendominasi sementara kelompok kedua yang dominan di Malaysia menjadi pinggiran di sana dan sering dicerca warga senegara kerana dituduh tidak cukup nasionalis.

Kes teman saya, Wening Gemi Nastiti mahasiswi di Limkokwing menjadi contoh klasik. Sewaktu heboh petugas Pejabat Kelautan dan Perikanan Indonesia yang ditangkap Polis Diraja Malaysia pada 2010, Wening menulis artikel di Kompasiana, laman blog pembaca Kompas dengan judul “Salam dari Kami, Pelajar Indonesia yang Menuntut Ilmu di Malaysia”. Artikel ini kemudian mengundang perdebatan hangat pro dan kontra kerana ditafsir kaum nasionalis sebagai pro-Malaysia. Wening dicerca banyak pembacanya dan itu biasa.

Jika di Malaysia warga yang pro kepada negara (selalu bererti pro-Umno) sebaliknya yang dicerca sebagai pencacai dan dituduh tidak kritis. Barangkali ini salah satu sebab Malaysia secara ekonomi relatif maju kerana warganya tidak mudah berpuas hati. Kelentong nasionalisme tidak laku di Malaysia selagi ekonomi masih kalah jauh dengan Singapura dan ketika sebahagian rakyat dianggap kelas kedua.

Indonesia mampu lebih maju jika perlawanan melawan nasionalisme pembodohan berjaya dimenangi. Selama ini warga Indonesia mudah dipancing emosi dan akal sihat oleh pemerintah dari zaman Soekarno hingga ke zaman reformasi dengan mencari musuh bersama yang seringkali adalah Malaysia. Dulu pemerintah Malaysia melakukan hal sama dengan menjadikan Singapura sebagai kambing hitam dan sekarang tidak laku lagi.

Dalam banyak kes, pemerintah Indonesia berjalan seiring dengan media mereka yang mengamalkan kebebasan bereskpresi yang liar dan tidak bertanggungjawab. Apa yang dilapor media dan diungkap pemimpin tentang Malaysia dipercayai bulat-bulat walhal dalam hal ehwal politik dalam negara mereka lebih kritis. Pengamatan saya sifat kritis hanya digunapakai di dalam politik dalam negara tetapi tidak jika berhubungan dengan Malaysia. Ada double standards di sini.

Tambah melucukan jika hubungan kedua negara sedang memanas, kata “Ganyang Malaysia” sering dilaungkan walhal yang melaungkan dengan penuh semangat barangkali adalah pembenci Parti Komunis Indonesia (PKI) yang merupakan tulang belakang kepada gerakan. Gerakan “Ganyang Malaysia” adalah bentuk perlawanan kepada pembentukan Malaysia yang dijuarai Soekarno kerana dianggap sebagai “boneka British”.

Ironis sekali, tetapi tidak menghairankan apabila nasionalisme dikedepankan berbanding fakta sejarah baik versi rasmi mahupun alternatif. Jika mengetahui fakta sekalipun, sering terjadi pengetahuan tentang gerakan kiri dan komunis serta sejarah Nusantara difahami skopnya sebatas acuan negara Indonesia moden. Yang pasti tidak ramai tahu bahawa Malaysia turut merdeka dengan darah serta air mata dan ini nasionalis Malaysia juga tidak tahu.

Jenaka tentang perbezaan kata dalam Bahasa Indonesia dan Malaysia yang disebar di Internet dan dipercayai ramai warganya tanpa menyoal menambahkan lagi daftar nasionalisme pembodohan yang dicipta dengan senyap. Saya sering ditanya warga biasa Indonesia tentang kebenaran kata “Kementerian Tuduh Menuduh”, “Kementerian Tak Berdosa”, “Laskar Hentak-Hentak Bumi”, “Hospital korban lelaki” dan apabila saya menjawab tidak, ramai yang seolah tidak percaya.

Contoh lain kes nasionalisme pembodohan adalah ketika warga mereka melancong ke Malaysia. Mereka yang rasionalis biasanya akan melihat Malaysia dengan objektif tetapi kaum nasionalisme pembodohan akan berkata seperti ini, “Malaysia itu sebenarnya tidak punya apa-apa baik budaya mahupun tempat menariknya, kalau Indonesia diurus dengan baik kita mampu meninggalkan mereka dengan jauh” dan “Malaysia negara kecil cuma 27 juta, Indonesia punya 240 juta dan tidak mudah diurus”. Anehnya mereka tidak berbuat sesuatu yang serius untuk melawan salah urus negara.

Mentaliti seperti ini tidak akan membawa Indonesia ke mana-mana kerana telah dibonsai dengan kata nasionalisme sehingga hilang daya kritis dan dibutakan mata tentang fakta kejayaan China membangun ekonominya dengan jumlah penduduk lebih satu bilion. Itu belum saya beritahu bahawa erti “Melayu” di Malaysia itu termasuk di dalamnya etnik Jawa, Bugis, Banjar dan lain-lain serta kaum Cina dan India membentuk lebih dari 30 peratus warga Malaysia. Kaum nasionalis sentiasa di dalam sindrom penafian yang tanpa disedari dimanfaatkan sebaiknya pemerintah mereka untuk terus merompak harta negara dan membodohkan warganya.

Nasionalisme pembodohan ini sangat mengakar ke seluruh tubuh warga seperti mana budaya rasuah sehingga aspek-aspek kebersamaan yang bersifat lebih sejagat dipinggirkan berbanding sebuah kata nasionalisme yang membodohkan. Melawan nasionalisme pembodohan merupakan hal yang paling mendasar untuk dilakukan warga Indonesia seperti mana warga Malaysia melawan slogan “Malaysia Boleh”, “Keranamu Malaysia” dan kini “Janji Ditepati”. Bagaimana untuk melawan? Untuk permulaan warga Indonesia harus menuntut pemerintah menjadikan ekonomi Indonesia sama baik atau lebih baik dari Malaysia.

Menurut saya kata-kata John F. Kennedy, “Jangan tanyakan apa yang negara ini berikan kepadamu tapi tanyakan apa yang telah kamu berikan kepada negaramu” sangat tidak relevan jika sesebuah negara diperintah kaum penindas dan koruptor. Apa yang diperlukan negara adalah pemerintah adil serta rakyat yang cerdas dan jika terpenuhi, rasa nasionalisme suci yang manusiawi dan inklusif akan muncul. Soal siapa yang memberi tidak timbul kerana masing-masing saling memberi.

Bermula dengan ASEAN yang akan terbuka pada 2015, mari kita warga Indonesia dan Malaysia serta negara ASEAN lain berfikir sebagai satu kesatuan yang mengutamakan nilai-nilai sejagat yang membebaskan kita dari pembodohan kepada pemerkasaan pemikiran dan daya tindak. Sudah tiba masanya warga ASEAN dan dunia bersatu tenaga menolak segala bentuk pembodohan dan penindasan tanpa melihat batas-batas negara. Untuk hal ini, saya merasa syukur kerana mempunyai banyak teman yang berkongsi hasrat yang sama dan tentangannya kini adalah bagaimana untuk menyebarluas.

Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 23 Ogos 2012

1 comment:

Anonymous said...

Artikel yang sangat bagus.