Tuesday, October 05, 2004

Panel Penasihat Perpaduan Negara dan Bumiputera

Saya mengalu-alukan penyusunan semula dan pengaktifan kembali Panel Penasihat Perpaduan Negara. Sememangnya isu perpaduan kaum adalah isu yang sukar untuk ditangani dan sangat kompleks.

Namun saya percaya jika pihak kerajaan sanggup bersikap jujur dan mempunyai keazaman politik yang tinggi, kebimbangan dengan beberapa persoalan baru mengenai isu perpaduan kaum pasti boleh ditangani.

Saya amat berharap para pegawai kerajaan, ahli politik berpengalaman, cendekiawan dan wakil pertubuhan pelajar serta badan bukan kerajaan yang dilantik menjadi anggota dapat memperhalusi dan merumus strategi baru dengan mengambil kira realiti masyarakat Malaysia masa kini.

Saya mengakui bahawa tahap perpaduan yang wujud di negara ini amat memuaskan. Namun ia bukan bermakna kita harus berpuas hati dan sebaliknya perlu dipertingkatkan. Masih banyak kepincangan tentang situasi perpaduan yang wujud di negara ini. Sebagai contoh, kita hanya perlu melihat reaksi rakyat Malaysia jika berlakunya kemalangan.

Saya beranggapan perpaduan yang terhasil sehingga kini adalah berdasarkan sikap toleransi yang diamalkan oleh rakyat Malaysia. Namun saya sentiasa berpandangan bahawa sikap toleransi sahaja adalah tidak cukup kerana melaluinya kita membenarkan ejekan-ejekan dan ungkapan seperti 'Cina makan babi!', 'keling paria!', 'Melayu pemalas!', 'Sabah monyet!' dan sebagainya.

Kita wajib mempunyai sikap hormat terhadap kepercayaan dan amalan rakan bukan sebangsa dan seagama. Untuk mencapai tahap ini, kita harus rajin untuk mendalami dan duduk berbincang, berdialaog dan sebagainya.

Ruang diskusi dan perbincangan secara terbuka yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat perlu diwujudkan. Kata-kata seperti 'Malaysia adalah negara bermasyarakat majmuk' dan 'hormati perasaan kaum dan agama di Malaysia' jangan dijadikan alasan untuk menidakkan pengwujudan ruang ini.

Saya tidak melihat isu sensitif sebagai sensitif sekiranya rakyat sanggup terlibat di dalam proses pendidikan dan jujur untuk melihat perbezaan sebagai kekuatan. Apa yang menjadikan ia sensitif adalah sikap segolongan pihak yang tamak kuasa dan mempunyai agenda tersendiri yang tidak dinyatakan.

Saya memuji langkah RTM yang berani mengadakan Debat Perdana Perpaduan walaupun ia sepatutnya sudah lama dilakukan. Walaupun perkataan debat yang digunakan itu tidak sesuai berbanding perkataan dialog, diskusi dan sebagainya. Itu tidaklah begitu penting selagi mana hasratnya adalah ke arah matlamat perpaduan. Namun saya berharap supaya moderator, Dato' Johan Jaafar bersikap adil dan tidak kelihatan bias terhadap panelis dari pihak pembangkang.

Selain itu, dialog antara agama adalah antara jalan yang terbaik untuk kita cuba memahami dan menghormati setiap di antara kita. Mengapa manusia di zaman ketamadunan yang moden ini masih tidak dapat berfikir di luar kerangka kaum, agama dan negara.

Walaupun nanti akan ada segolongan manusia yang berfikiran bahawa dialog antara agama adalah sesuatu yang bahaya. Kita harus menolak pemikiran ini jika umat Islam(saya mewakili Islam) ingin melihat agamanya dipandang mulia. Sikap tertutup, ekstrem dan buruk sangka terhadap umat agama yang lain akan hanya memberi persepsi negatif kepada agama Islam lantas akan membuatkan seluruh manusia jauh daripadanya.

Memetik kata seorang imam di Amerika, Imam El-Amin;


"Tolerance is not enough," says Imam El-Amin "the bottom line is that you have got to have respect for others as they are. You have got to be educated." Interfaith community meetings in Atlanta are held every other month. They talk about and act on the homeless (big issue in Atlanta), feeding the hungry, politics and about their religions.

Namun begitu, sikap toleran, hormat dan terbuka sahaja belum tentu akan menghakis pandangan buruk jikalau umatnya mengamalkan amalan yang terkutuk seperti politik wang atau maksud sebenarnya rasuah. Pengamalan rasuah yang terlampau seperti yang diheboh-hebohkan oleh pelbagai pihak di dalam UMNO semasa berlansungnya pemilihan UMNO menyebabkan ada pembaca blog secara ekstrem dan tidak langsung mempersendakan agama Islam. Sama ada pembaca tersebut berniat untuk menghina, hanya beliau sahaja yang tahu.

Punca dan penyelesaian

Saya melihat antara faktor yang menyebabkan tahap perpaduan yang wujud di sini boleh dipertingkatkan adalah dengan masih adanya pengkelasan Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Saya berpandangan bahawa selagi mana isu ini tidak selesai dan dilihat tidak mahu diselesaikan dan diperbincangkan. Situasi yang ada sekarang tidak akan banyak berubah.

Walaupun pengkelasan ini dilaksanakan untuk membantu kaum Bumiputera yang majoritinya miskin dan tidak mampu. Ia secara tidak langsung telah menindas kaum Bukan Bumiputera yang turut miskin dan tidak berkemampuan. Realiti juga memperlihatkan bahawa terdapat penyalahgunaan di mana kaum Bumiputera yang kaya dan mampu juga turut dibantu. Seluruh rakyat Malaysia harus digelar rakyat Malaysia sahaja atau semua sekali adalah Bumiputera.

Saya mengesyorkan agar klasifikasi ini dimansuhkan baik secara drastik atau beransur-ansur. Tetapi saya amat berharap agar idea pemansuhan ini datang dari kaum Bumiputera sendiri dan disokong oleh majoriti. Jikalau ianya datang dari kaum Bukan Bumiputera, saya takuti ia akan dieksploitasi oleh golongan pelampau Melayu/Bumiputera untuk mengeruhkan keadaan.

Saya amat berharap agar orang Melayu/Bumiputera yang sudah berupaya dan mampu tetapi masih mengharapkan tongkat agar dapat berfikir demi masa depan bangsa, agama dan negara mereka. Jika generasi yang ada pada hari ini tidak dapat keluar dari kepompong tongkat ini, saya merasa pesimis terhadap keupayaan orang Melayu terutamanya.

Mengapa kaum lain boleh berjaya tetapi kita tidak boleh? Apa masalah dan puncanya? Inilah yang perlu difikirkan dan dibahas secara serius di dalam mana-mana persidangan atau apa saja. Bukan hak istimewa untuk yang diperbahaskan dan memonopoli keadaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa ianya telah membantu ramai kaum Bumiputera melalui pelaksanaan DEB dan saya secara peribadi berpendapat dalam beberapa keadaan, ia sangat sesuai di waktu itu.

Namun persoalannya adalah adakah ianya sesuai dengan konteks masyarakat Malaysia sekarang dan di dalam arus dunia globalisasi. Kaum Bumiputera harus bangkit dan berusaha keras untuk berjaya dan jika merasakan diskrimiasi telah diamalkan di dalam sektor swasta yang mana kaum Cina memonopoli., jangan putus asa.

Berkaitan isu diskrimiasi di dalam syarikat swasta, saya amat berharap agar pemilik berbangsa Cina juga dapat bersikap adil dan tidak meminggirkan kaum Bumiputera. Janganlah digunakan alasan-alasan yang remeh untuk menidakkan kelayakan yang ada pada kaum Bumiputera.

Segolongan kaum Cina terutamanya harus dapat keluar dari kerangkan perkauman yang sempit dan bersama-sama untuk membina satu masyarakat Malaysia yang adil. Tidak dapat dinafikan bahawa di antara sebab majikan swasta milik kaum Cina berlaku demikian adalah sebagai reaksi balas mereka kepada dasar kerajaan yang menindas kaum mereka.

Namun harapan masih ada jika kita generasi muda berbilang bangsa dapat membina suatu kekuatan bersama untuk menidakkan ketidakadilan yang berlaku di dalam sektor kerajaan dan swasta. Oleh kerana majoriti golongan yang berfikiran perkauman ini pada pendapat saya adalah terdiri dari kaum tua, harapan itu sememangnya masih wujud dan ia amat bergantung kepada tindakan kerajaan dan generasi muda hari ini.

Saya sebagai seorang Melayu Islam menggesa agar orang Melayu/Bumiputera dapat berfikir dan bertindak untuk memajukan diri, keluarga, bangsa, agama dan negara mereka melalui usaha dan kerajinan yang jitu. Sikap suka mencari alasan itu dan ini, bersikap selesa dan mudah berpuas hati dan menyelewengkan maksud besederhana harus diperangi habis-habisan.

1 comment:

Anonymous said...

Konsep negara bangsa sewajarnya dihayati sejujurnya yakni yang berpaksikan negara asal. Malaysia bikan negara imigran, justeru keimigranan sewajarnya bukan menjadi isu.