Tulisan sempena Merdeka
UMNO & MCA yang menjengkelkan
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Saban hari aku berasa muak membaca berita-berita daripada akhbar perdana yang memainkan isu-isu yang tak pernah dan tidak akan kelihatan cerah di dalam masa terdekat iaitu isu perkauman. Selagi dua parti perkauman terbesar di negara ini yang hanya mementingkan periuk nasi mereka tidak beransur-ansur hancur, selamanya Malaysia akan begini.
Aku mengimpikan di kala umur aku menjangkau 60an (jika diizinkan), aku akan dapat membeli dan seterusnya membaca buku-buku tentang sejarah dua parti ini yang dibubarkan dek kerana tidak mendapat sokongan rakyat. Malah di waktu itu Malaysia begitu maju dan agihan kekayaan diberi seadilnya dan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama saling hormat menghormati dan bekerjasama secara jujur.
Bayangkan tiada lagi kedengaran propaganda keji penceramah BTN, tiada lagi blame game serta parti politik semua ahlinya berbilang kaum dan menumpukan kepada agenda yang lebih besar. Walaupun ianya kelihatan utopia dan angan-angan yang tak berpijak di bumi yang nyata, aku percaya ianya boleh terjadi sama ada melalui revolusi atau evolusi selagi mana kita berusaha ke arah itu. Siapa menjangka bumi Melaka boleh dijajah, siapa sangka selepas beratus-ratus tahun dijajah kita boleh merdeka, siapa juga sangka Sultan dan Raja yang maha berkuasa boleh dikurangkan mahanya, siapa sangka Sabah dan Sarawak ingin menyertai Malaya ketika itu, siapa sangka Singapura ingin turut serta sebelum kemudiannya dihalau keluar.
Terlalu banyak senarai perkara-perkara yang tidak dijangka telah dan akan berlaku di negara ini khususnya dan dunia global secara amnya. Apa yang perlu kita rakyat Malaysia terutama generasi pewaris iaitu kita orang muda harus mula bekerja dan menyelinap di segala lapangan untuk menyebarkan idea negara unggul kita, soal berjaya atau tidak serahkan kepada rakyat untuk menentukan.
Pemuda Melayu harus bijak berhadapan dengan rakan bukan sebangsa dan jangan sekali-kali menjauhkan diri dengan alasan-alasan remeh seperti tidak ngam dan tidak mahir berbahasa English, buang prasangka dan prejudis yang telah tertanam dek asuhan masyarakat sekeliling, guru-guru dan juga ibu bapa. Begitu juga kepada Pemuda Cina, India dan lain-lain, tidak salah meminta keadilan dan kesamaan tetapi di dalam masa yang sama haruslah bijak menggunakan saluran dan jangan di dalamnya ada rasa benci kepada Melayu Islam yang pastinya tidak bersalah. Jangan biarkan tindakan anda digunakan oleh ekstremis Melayu sebagai justifikasi kepada amaran mereka.
Beritahu juga kepada ekstremis serta usahawan tipikal dari kaum anda supaya membuang sifat tamak haloba dan rasa pesimis kepada Melayu Islam dan janganlah memberi alasan-alasan bodoh. Juga kepada Melayu yang tidak fasih berbahasa English, Mandarin atau Tamil, cuba-cubalah pelajari untuk memudahkan perhubungan. Begitu juga yang tidak fasih Bahasa Malaysia harus memperbaiki kebodohan diri kerana inilah bahasa rasmi negara kita dan juga bahasa rakyat biasa.
Jangan sampai tidak mahir membaca dan memahami isi berita di akhbar-akhbar propaganda UMNO seperti Utusan dan Berita. Akhir sekali apa yang penting pelajari dari sejarah dan sentiasalah belajar tentang negara kita dan isinya sepanjang masa. Jika boleh jangan hanya pelajari sejarah sebaliknya mencipta dan merubah sejarah negara yang hitam kepada yang lebih cerah. Walau apapun hanya satu yang pasti, rakyat yang buta sejarah boleh diumpamakan seperti bangkai yang bernyawa. Selamat Hari Merdeka!
Satu lagi pesanan tambahan, cubalah bersikap professional jika Menteri marah rakyat tidak mengibarkan bendera. Apa kaitan Menteri dengan mengibar bendera, dia marah atau tidak buat tidak tahu sudah. Kibar saja apa masalahnya?, tidak perlulah diungkit bermacam-macam perkara dan alasan. Kononnya patriotisme bukan dinilai daripada kibaran bendera, ya aku setuju tetapi sukar sangat ke untuk mengibar bendera? susah ke? Aku tak rasa susah dan aku berasa agak sedih dan terkilan kerana di kawasan kondominium aku, amat sukar melihat kibaran Jalur Gemilang. Akhir kata sekali lagi, kibarlah Jalur Gemilang kerana itulah kebanggaan kita....usah memperlihatkan kebodohan diri. Selamat Hari Merdeka sekali lagi!
No comments:
Post a Comment