Wednesday, July 18, 2007

Selamatkan bola sepak Malaysia!

“ Saya bukan pengecut. Saya tidak akan tunduk kepada desakan ramai.”

Tiada lagi alasan! Kesemua pimpinan FAM termasuk presiden wajib meletak jawatan daripada badan induk bola sepak negara dan memberi peluang kepada muka baru daripada kalangan professional, bekas pemain yang mampu mengurus dan ramai lagi. Jikalau mereka beralasan perletakan jawatan dan pertukaran pucuk pimpinan belum tentu akan membuahkan hasil, sekurang-kurangnya kita mencuba daripada sentiasa memberi peluang kepada pucuk pimpinan yang ada sejak dari dulu lagi.

Presiden FAM telah memegang jawatan sejak tahun 1984 dan aku mula meminati dan mengikuti sukan bola sepak Malaysia sejak dari tahun 1989, tahun pertama liga Semi-Pro diperkenalkan yang mana ianya adalah hasil usaha Presiden FAM sekarang. Sejak 1989 hingga sekarang, hanya dua memori indah yang terpahat di dalam kenangan tatkala berbicara soal pasukan kebangsaan bila mana Malaysia menjuarai Sukan Sea 1989 dan Pestabola Merdeka 1993. Ini bermakna aku telah membodohkan diri dengan memberi harapan palsu kepada skuad bola Malaysia hampir 18 tahun, hanya kurang 5 tahun daripada presiden.

Harus diingat, di dalam masa yang sama juga aku meminati dan mengikuti perkembangan sukan-sukan lain secara berperingkat seperti hoki, tenis, squash, renang, angkat berat, terjun, renang, lumba basikal trek dan lebuh raya, polo air, gimnastik, bowling, golf, memanah, ekuestrien dan banyak lagi. Apa yang jelas adalah kebanyakan sukan-sukan ini tahapnya sentiasa meningkat setiap tahun dan jikalau tidak pun masih statik dan tidak merudum teruk seperti bola sepak. Lihat Nicol David, Low Wee Wern, Marbawi Sulaiman, Josiah Ng, Ng Shu Wai, pasukan hoki, Lim Keng Liat dan ramai lagi.

Di sini kita dapat melihat kegagalan FAM di dalam melahirkan pasukan kebangsaan dan pemain bola sepak yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Di manakah silapnya? Tidak dapat dinafikan pengenalan liga bola sepak professional domestik di dalam negara telah merancakkan arena bola sepak negara dan daripada mata kasar, pengurusan FAM kelihatan diurus dengan baik dan professional di samping berjaya membawa masuk penajaan dari sektor korporat dsb.

Tetapi jika ditanya kepada peminat bola sepak di Malaysia, majoriti daripada mereka hanya ingin melihat pasukan kebangsaan yang berjaya. Persetankan segala hal-hal lain yang tidak bersangkutan. Setakat Kedah menjuarai Piala FA dan bergembira sakan dengannya tidak memberi makna apa-apa. Aku sebagai peminat pasukan Selangor pun dah letih dengan kejayaan di dalam liga domestik, apa yang diidamkan adalah melihat Malaysia menjuarai Sukan Sea, Kejohanan Bola Sepak ASEAN, Piala Asia, Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

Persoalannya sekarang bagaimana? Terserah kepada pucuk pimpinan FAM yang ada sekarang. Ada dua pilihan sama ada meletak jawatan (pilihan aku) dan membuat pembersihan (macam takkan bersih-bersih je) dalaman. Jikalau pucuk pimpinan dah kering idea sebab terlalu sibuk dengan urusan lain seperti politik dsb, sila dapatkan pandangan daripada peminat dan aku salah seorang yang sudi memberikan beberapa buah fikiran.

Ketika aku tengah menulis, ada terbaca berita Shahidan Kassim berminat untuk menggantikan tempat Tengku Abdullah. Sejauh mana benarnya aku tidak pasti tetapi aku berpendirian adalah lebih baik persatuan-persatuan sukan terutama FAM tidak dipimpin oleh ahli-ahli politik (kecuali yang betul2 minat sukan itu dan sanggup menerima kritikan) terutama yang memegang jawatan tinggi di dalam kerajaan pusat mahupun negeri dan juga kerabat-kerabat diraja. Harus diingat majoriti peminat sukan terdiri daripada rakyat biasa yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat, kaum, agama dan latar belakang politik. Jadi adalah lebih baik orang yang tidak mempunyai kepentingan politik atau lain-lain dan yang sanggup dikritik tanpa melatah dan mengugut yang memimpin.

Jangan sampai peminat bola sepak Malaysia bertindak tidak waras disebabkan kediktatoran FAM.

Nota
Idea-idea tentang bagaimana bola sepak Malaysia boleh dipertingkatkan dialu-alukan daripada pembaca.

No comments: