Wednesday, October 05, 2005

Buku, muzik dan filem di Jakarta

Hari ketiga, 10 September, Sabtu

Catatan hari pertama
Catatan hari kedua

Klik di sini, di sini, dan di sini untuk foto-foto di Jakarta

Hari ini bangkit agak lewat kerana terlalu asyik membaca surat khabar sehingga aku terlewat melelapkan mata malam tadi. Namun begitu ia memang disengajakan kerana badan masih terasa penat dan kami juga telah merancang untuk memulakan perjalanan agak lewat iaitu hanya selepas menonton dokumentari yang mengisahkan tentang pelumba muda Indonesia, Doni Tata yang akan membuat kemunculan di Moto GP di Sepang. (beliau sekadar menduduki tangga terakhir, namun begitu tahniah kerana menamatkan perlumbaan..apa yang boleh dilakukan kerana motor yang digunakan adalah model lama)

Pencapaian Doni yang baru berumur 15 tahun ini amat membanggakan dan aku masih mengingati betapa mudahnya beliau mengalahkan 'pembalap' (istilah untuk pelumba di sini) lain di dalam kategori underbone 115cc siri kejuaraan ARRC di Sepang tempoh hari. Diharap Malaysia dapat mencari pengganti Shahrul Yuzy yang sebenarnya masih boleh pergi jauh lagi itu secepat mungkin, jangan sia-siakan bakat tempatan yang ada seperti Suhadi, Norizman Ismail dan ramai lagi.



Pemandangan Kota Jakarta dari kamar hotel



Jalan Sudirman, antara jalan yang sibuk


Selepas menonton dokumentari tersebut yang disiarkan pada pukul 1.30pm dan menikmati makanan hotel, kami memulakan perjalanan dengan menuju ke kawasan Blok M. Blok M merupakan syurga bagi mereka yang gemarkan hiburan malam di mana di sini terdapat banyak disko-disko dan bar yang terletak di Jalan Pelatehan. Blok M juga terkenal sebagai destinasi membeli belah dengan adanya Pasaraya Grande yang agak 'upmarket', Blok M Plaza yang juga destinasi wajib bagiku jika ke Jakarta kerana kebanyakan kedai di sini tidak terlalu 'upmarket' dan Plaza Melawai yang menawarkan pelbagai pilihan pakaian pada harga yang murah dan barang-barang aksesori lain. Malangnya bangunan kedai ini baru sahaja terbakar atau lebih tepat lagi semalam, 9 September dan kerja-kerja membina kedai sementara baru saja dimulakan di kawasan berdekatan. Jadi jika ke Jakarta jangan lupa ke kawasan Blok M, tapi awas sila berhati-hati kerana kawasan ini dikatakan banyak 'preman' iaitu samseng.

"Blok M is a downtown shopping area in Jakarta, Indonesia. The prices are very low and it is a very crowded place. In Blok M you can find a lot of fake designer clothes as well as food stands with delicious pastries"- Wikipedia

"Blok M is a business and shopping quarter at the top end of south Jakarta. It's one of the older complexes in Jakarta, not so glass-and-concrete as the more modern developments up towards Kota (central Jakarta), and consequently has a lot of run-down streets and buildings. This also means that it's got a character all of its own, and a thriving night-life as properties are relatively cheap and it's easily accessible from most parts of Jakarta"- Jakarta Blok M

Perjalanan dari hotel ke Blok M memakan masa hanya 20 minit kerana jalan tidak terlalu 'macet' dan tambang sebanyak 26,000 rupiah. Kami turun di hadapan Plaza Grande dan memutuskan untuk 'window shopping' sebentar sebelum ke Plaza Blok M. Sepanjang jalan dari Plaza Grande ke Plaza Blok M dirasakan seperti berjalan dari Stesen Bas Bandar Klang (sebelum terbakar dan diruntuhkan) ke pusat membeli-belah Shaw Centrepoint kerana kelihatan wajah-wajahnya hampir serupa. Sesiapa yang tinggal di Klang dan banyak menghabiskan masa remajanya di Klang pasti memahami apa yang aku maksudkan.



Blok M



Gerai-gerai di Blok M



Plaza Blok M


Di Plaza Blok M, aku hanya membeli buku skrip filem Gie (30,000) dan sebuah majalah Islam, Al Yasar (7,000) di Toko Gunung Agung dan juga,

VCD Pasir Berbisik = 27,500
VCD Virgin = 25,000
VCD Banyu Biru = 25,000
VCD Catatan Akhir Sekolah = 25,000
DVD Janji Joni = 49,000

Hanya di sini aku menjumpai DVD Janji Joni yang mungkin baru sahaja tiba atau baru dipamerkan dan tip berguna untuk membeli cd, vcd atau dvd dan juga buku di sini adalah dengan mengunjungi sebanyak mungkin kedai-kedai yang ada kerana tidak semua mempunyai stok yang sama.

Jam di tangan sudah menunjukkan jam 5 dan kami memutuskan untuk ke kawasan Mangga Dua di Jakarta Utara. Perjalanan memakan masa yang agak lama iaitu hampir 45 minit kerana kemacetan yang amat teruk di kawasan berhampiran Mangga Dua. Oleh kerana itu jugalah ongkos teksi juga agak tinggi iaitu 50,000 rupiah.

Mangga Dua merupakan syurga membeli belah bagi kawasan Jakarta Utara dengan terdapatnya beberapa mal yang terletak berdekatan antara satu sama lain seperti ITC Mangga Dua, WTC Mangga Dua, Mangga Dua Square dan Carrefour. Kami ke ITC Mangga Dua yang merupakan sebuah mal lama serta pusat penjualan dvd bajakan atau pirate yang dijual pada harga 6,000 rupiah.



Mal Mangga Dua



Gerai makan di tepi jalan



Keretapi melintas di Mangga Dua






Malam minggu di hadapan WTC Mangga Dua





Hajat untuk 'window shopping' dan makan di WTC Mangga Dua yang terletak berdekatan tidak kesampaian kerana telah banyak kedai yang telah ditutup dan ia amat menghairankan kerana jam baru saja menunjukkan pukul 7.15pm (di sini keadannya seperi pukul 8.15pm). Malah kelihatan ramai pengunjung mal seperti berpusu-pusu keluar dan tidak ramai yang memasukinya. Aku mengagak mungkin kerana malam minggu maka kedai ditutup awal bagi membolehkan penduduk Jakarta menikmati malam minggu yang pastinya bukan di mal. Aku harap jika ada pembaca dari Indonesia atau lebih spesifik Jakarta terbaca akan hal ini, silalah e-mel kepada saya untuk memperjelaskannya.

Kami melepakkan diri sebentar di hadapan mal sambil memerhati gelagat anak muda Jakarta yang begitu rencam sama seperti di anak muda KL. Perbezaan yang ketara adalah tidak banyak kelibat gadis-gadis Cina dan juga perempuan bertudung. Setelah itu kami memutuskan untuk pulang saja ke hotel yang tidaklah begitu jauh dan kos tambang teksi adalah 20,000 rupiah.

Melihatkan malam yang masih muda, kami memutuskan untuk membeli makanan-makanan ringan di mal berdekatan iaitu Plaza Golden. Mal ini tidaklah terlalu besar dan konsepnya amat aneh di mana department store Hero yang juga penyewa utama menguasai sebahagian besar ruang dan bakinya terdapat beberapa kedai-kedai kecil dan juga restoran dan food court (ala ala Hypermarket di Malaysia kecuali lot kedai lebih tersusun di M'sia). Susun atur usah cakap memang beterabur. Apapun mal ini amat berguna untuk kami yang tinggal berdekatan, jaraknya hanya kira-kira 800 meter. Kami membeli air 'tea' kotak buatan Indonesia yang sangat popular yang aku lupa jenamanya dan juga mi segera yang sangat terkenal di sini 'Indomie' yang memang sedap.



Hotel Ibis Kemayoran di waktu malam



Kawasan sekitar hotel



Macet teruk, malam minggu


Balik ke hotel aku membaca akhbar Jakarta Post terlebih dahulu di lobi hotel kerana aku gagal membelinya. Hampir semua kedai-kedai buku dan gerai di tepi-tepi jalan yang aku singgah sudah kehabisan atau memang tidak menjualnya. Setelah itu langsung ke kamar dan melantak sambil tidak melepaskan peluang menonton rancangan-rancangan hiburan di tv Indonesia dan juga final Akademi Fantasia Indonesia 2005. Selesai semuanya, aku mengambil posisi untuk membaca buku sebelum terlelap entah pukul berapa.

No comments: