Ini adalah kunjungan kali kedua aku ke ibu kota Indonesia ini selepas kali pertama menjejakkan kaki semasa di bulan Ramadhan tahun lepas. Aku ingin menjadikan kunjungan ke kota Jakarta ini sebagai ritual tahunan dan destinasi wajib untuk dilawat. Apa yang istimewanya tentang Jakarta? Jawapannya terpulang kepada selera dan kehendak seseorang dan bagi aku sehingga kini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk berbelanja sakan membeli buku (termasuk majalah dll), cd lagu Indonesia dan vcd/dvd filem Indonesia. Harganya amat murah mengikut standard rakyat Malaysia.
Selain daripada itu, aku juga berminat untuk melihat masyarakatnya secara lebih dekat dan cuba untuk memahami psikologi rakyat Indonesia melalui perbualan dan keberadaan aku di tempat-tempat dan acara-acara popular seperti di 'Mal' yang berselerak di sekitar Jakarta dan 'Kenduri Motosikal Nasional (KEMON)'. Walaupun ianya tidak akan membuatkan aku faham sepenuhnya akan masyarakat Indonesia terutamanya yang tinggal di Jakarta, tetapi sekurang-kurangnya aku mendapat gambaran yang lebih dekat, jelas dan 'real' berbanding jika hanya membaca melalui akhbar dan media-media lain.
Di sini aku akan menceritakan perjalanan aku di kota Jakarta mulai hari pertama aku berangkat iaitu pada tanggal 8 September sehingga kepulangan aku ke Malaysia pada 12 September. Pemergian aku kali ini tidak keseorangan seperti dahulu kerana aku ditemani abang aku dan seperti biasa Air Asia menjadi penerbangan pilihan kerana tambangnya yang murah. Kali ini aku hanya membayar RM200.58 untuk tambang pergi dan balik tidak termasuk cukai lapangan terbang di Soekarno-Hatta yang berjumlah 100,000 rupiah (RM38). Bagaimana untuk mendapat tambang semurah itu? Apa yang perlu dilakukan adalah kepekaan dengan sentiasa menyemak tawaran harga yang disiarkan di surat khabar disusuli dengan menyemak harga di internet untuk menentukan waktu bila tambang yang murah masih boleh didapati. Seterusnya dan yang paling penting adalah rancang percutian dengan lebih awal sebaik-baiknya tiga bulan lebih awal.
Hari pertama, 8 September, Khamis
1000 rupiah=0.38 sen (nilai semasa aku membuat pertukaran)
Klik di sini untuk gambar-gambar di Jakarta
Adik perempuan aku menghantar kami(aku dan abang) ke KLIA pada pukul 10.15am dan tiba pada pukul 11.00am. Kami sengaja hendak tiba awal kerana inilah cara yang terbaik untuk tidak tergopoh-gapah (penerbangan kami pada pukul 1.15pm). Selepas check-in, kami bersarapan dahulu di sebuah restoran masakan Melayu dan kemudian terus ke tempat menunggu. Penerbangan berlepas ke Jakarta tepat pada waktunya dan kami tiba di Bandara pada pukul 2.15pm (Jakarta tolak 1 jam). Setelah selesai urusan imigrisen, kami mendapatkan teksi(bukan teksi pun, van sapu) melalui ulat dan dikenakan caj sebanyak 100,000 rupiah dan 20,000 rupiah sebagai tip kerana pemandu van tersebut amat ramah dan kami banyak berkongsi cerita dengannya.
Kami tiba di tempat penginapan kami iaitu di Hotel Ibis Kemayoran (Jakarta Timur) setelah hampir 45 minit perjalanan. Kami menempah hotel yang dirasakan paling murah (tempahan melalui internet) di Jakarta ini kira-kira seminggu sebelum berlepas. Hotel di sini boleh dikatakan agak mahal jika dibandingkan dengan KL atau Bangkok kecuali hotel tidak berbintang yang seboleh-bolehnya dielakkan kerana menurut katanya tidak boleh dipercayai.
Hotel Ibis Kemayoran
Pemandangan kota Jakarta
Setelah selesai urusan check-in, kami terus ke kamar hotel di tingkat 6 dan impresi awal terhadap 'rumah kami' selama 5 hari 4 malam di Jakarta ini amat bagus sekali. Tanpa melengahkan masa, kami segera mandi dan mengemas barang-barang seterusnya memulakan perjalanan kami ke Mal Kelapa Gading di Jakarta Timur dengan menaiki teksi Blue Bird. Di Jakarta teksi merupakan pilihan pengangkutan yang terbaik kerana boleh dipercayai terutamanya teksi Blue Bird yang berwarna biru dan sentiasa menggunakn meter dan jarang memilih lokasi, tarif mula adalah 4,000 rupiah dan masih ada beberapa syarikat yang menggunakan tarif lama iaitu 3,000 rupiah. Untuk perjalanan yang memakan masa 20 minit ini, kami dikenakan caj sebanyak 20,000 rupiah.
Mal(merupakan panggilan popular untuk pusat membeli belah di Jakarta) ini merupakan mal yang dikhususkan untuk masyarakat kelas atasan dan pertengahan yang semakin meningkat di Jakarta jika dilihat daripada penyewa-penyewanya. Sepanjang perjalanan ke mal ini, jalan yang kami lalui amat 'macet' (jam) sekali kerana merupakan waktu pekerja-pekerja pulang ke rumah.
Penyewa utama (anchor tenant) untuk Mal Kelapa Gading adalah Sogo yang mana cawangan lainnya terdapat di Pondok Indah Mall, Plaza Indonesia dan Plaza Senayan. Kami terus mencari kedai yang menjual cd dan juga buku kerana inilah tujuan utama kami ke sini dan kami menjumpai Disc Tarra. Setelah puas membelek-belek, kami memutuskan untuk membeli beberapa buah cd, vcd dan dvd iaitu;
VCD Banyu Biru = 25000
VCD Brownies = 25000
VCD Ku Tunggu di Sudut Semanggi = 25000
VCD Janji Joni = 45000
VCD Tentang Dia = 25000
DVD Mengejar Matahari = 39000
DVD 17th Seventten = 39000
DVD Virgin = 32000
DVD Eiffel I'm In Love = 79000
DVD Brownies = 32000
DVD Banyu Biru = 39000
DVD Janji Joni = 87000
Kemudian kami ke kedai Duta Suara Musik dan antara yang dibeli ialah;
Majalah Rolling Stone Indonesia = 30000
Majalah MTV Trax = 25000
Koran Slank = 4900
CD Erwin Gutawa, Salute to Koes Plus = 50000
CD Padi, Menanti Sebuah Jawaban = 80000
Gie OST = 45000
2 CD Janji Joni OST = 45000 * 2 = 90000
CD Dewa Pandawa Lima = 49000
CD Dewa 19 = 49000
Kaset Ebiet G Ade, Best of the Best = 17000
Setelah berpusing-pusing dan window shopping, kami menuju ke sebuah lagi mal berdekatan yang masih baru iaitu Mal Artha Gading. Sepanjang perjalanan menaiki teksi ke mal ini, jelas kawasan Kelapa Gading ini banyak dihuni oleh masyarakat pertengahan dan atasan Jakarta. Perjalanan ini hanya menelan kos sebanyak 10,ooo rupiah (lazimnya digenapkan walaupun nilai yang tetera di meter adalah 8850 rupiah dsb). Seperti diduga, konsep mal ini juga tidak jauh bezanya dengan Mal Kelapa Gading dan kedai pertama yang kami kunjungi adalah kedai buku Gramedia. Di sini aku membeli 3 buah buku iaitu;
The Prophet karya Kahlil Gibran = 17000
Pendidikan Pluralisme di Indonesia = 25000
Jurnal Wacana = 20000
Kedai muzik Disc Tarra @ Mal Kelapa Gading
Kedai Duta Suara Musik @ Mal Kelapa Gading
Seterusnya kami ke kedai muzik Tarra dan aku membeli cd album Dewa lama berjudul 'Format Masa Depan' bernilai 50,000 rupiah. Jam sudah menunjukkan pukul 7.30pm (di sini malam awal iaitu sekitar 6pm) dan kami menjamu selera dahulu di food court di tingkat 2. Menu kami adalah nasi goreng ayam dan teh ais yang berharga 8,500 rupiah untuk satu hidangan. Selesai makan kami memutuskan untuk ke sebuah mal lagi iaitu Plaza Atrium di Senen yang mana di sinilah terletaknya pasar buku Kwitang yang menjadi popular selepas filem 'Ada Apa Dengan Cinta'. Berlainan dengan dua mal sebelumnya, mal ini biasa-biasa sahaja dan kami boleh melihat 'wajah-wajah Indonesia' yang lazim kelihatan di Malaysia di sini. Selesai ronda-ronda dan memerhati orang-orang di sini, kami memutuskan untuk pulang ke hotel yang mana tidaklah membosankan kerana berpeluang untuk menonton rancangan-rancangan menarik di stesen tv Indonesia. Aku terlelap kira-kira jam 11 malam setelah menonton berita di saluran Trans Tv yang memfokuskan tentang 'Tragedi Mandala Airlines' di Medan.
No comments:
Post a Comment