Thursday, September 15, 2005

Ulama dalam ruang awam

Oleh Fathi Aris Omar

Kepemimpin ulama, jika bertujuan menjaga kesucian agama dan sebagai ‘pewaris Nabi’, tidak seharusnya bersama cabang eksekutif tetapi harus wujud dalam ruang masyarakat (public sphere). Jika ulama bergelut dan bertarung untuk bersaing dalam kancah kekuasaan, masyarakat akan menjadi korbannya.

Sewaktu konsep ‘kepemimpin ulama’ berkumandang, saya fikir ada tanggapan yang salah. Tanggapan yang salah dan dangkal itu berdasarkan analisa terhadap realiti berpolitik dalam era moden, model negara bangsa (nation state) yang dicorakkan oleh model demokrasi Barat.

Dengan model ini di dalam fikiran pengemuka idea ‘kepemimpin ulama’, ada pihak menduga ulama itu harus menguasai cabang-cabang eksekutif (juga, birokrasi) dan legislatif (penggubal undang-undang atau wakil rakyat), selain tentunya badan kehakiman.

Saya yakin bukan begini kaedah atau gambaran ‘kepemimpin ulama’ yang sewajarnya. Sebab sifat politik dan persaingan kuasa (sama ada dalam model parti seperti negara kita) akan menyebabkan golongan ulama boleh berlaku tidak adil dan tidak jujur dalam wacana agamanya.

Seharusnya, seperti yang pernah wujud dalam sejarah kebudayaan dan ketamadunan Islam, ulama itu berada dalam ruang awam (public sphere). Idea ini asalnya dirumuskan oleh pemikir Jerman, Jurgen Habermas dalam bukunya The Structural Transformation of the Public Sphere (1962, 1989) dan juga pandangannya yang lebih baru dalam buku Habermas and the Public Sphere (1992, editor Craig Calhoun)

Habermas merumuskan teorinya ini, yang sedang popular dalam tempoh 15 tahun mukakhir, berdasarkan pengalaman Eropah pada Zaman Pencerahan (abad ke-17 dan 18) yang menyaksikan perubahan-perubahan mendasar dengan beberapa aliran seperti sekularisme, kapitalisme, liberalisme, sains dan industri.

Hari ini, idea Habermas dikembangkan dalam wacana politik dengan ungkapan ‘discursive democracy’ atau ‘deliberative democracy’ (demokrasi berwacana). Untuk lebih jelas tentang teori demokrasi ini, sila rujuk Theories of Democracy: A Critical Introduction karangan Frank Cunningham (2001, bab 9).

Ruang awam, menurut konsep Habermas dan pengikutnya, bermakna ruang kebebasan di kalangan orang ramai (rakyat biasa) untuk membincangkan isu-isu berkepentingan ramai dengan rasional-kritikal dengan sukarela (tanpa paksaan) bagi mempengaruhi dasar-dasar kerajaan.

Idea ini sedang rancak berkembang kini bersama perbahasan tentang ‘masyarakat sivil’ (civil society) selepas kejatuhan era komunisme pada akhirnya 1980-an, khususnya kejayaan gerakan popular orang ramai di Eropah Timur.

Namun, beberapa sarjana bukan Islam menilai tafsiran dan rumus Habermas ini tidak sepenuhnya berjaya untuk memahami masyarakat Islam pra-moden. Maksud ‘pra-moden’ di sini, sejarah dan ketamadunan Islam sebelum Eropah mencapai kemodenannya pada Zaman Pencerahan.

Sebuah buku menarik, The Public Sphere in Muslim Societies (2002, editor: S. N. Eisenstadt, Nehemia Levtzion dan Miriam Hoexter), menyedari adanya cara pandang yang berbeza untuk menganalisa masyarakat tersebut walau masih lagi dengan teori umum (dasar) ruang awam. Sebuah lagi buku yang cuba menjelaskan ruang awam di zaman Nabi, dalam konteks peranan wanita, dikarang oleh Fatima Mernissi, Women and Islam.

Buku The Public Sphere in Muslim Societies, mengejutkan sekali, berjaya menunjukkan bahawa ruang awam telah lama wujud dalam ketamadunan Islam, termasuk sewaktu muncul polemik antara golongan ulama Muktazilah dengan golongan sunnah (hadis). Zaman yang digelar ‘mehnah’ (atau fitnah) ini bermula dengan perdebatan “apakah al-Qur’an itu ciptaan?”dan kemudiannya menjadi proses soal siasat pemerintah Islam (yang pro-Muktazilah) ke atas golongan ulama yang tidak selari dengan mazhab mereka.

Selalunya, sarjana menafsirkan polemik ini sebagai perseteruan golongan ulama dengan pemerintah Islam. Tetapi penelitian terkini melihat peristiwa penting tersebut sebagai kebebasan yang dikecapi oleh dua aliran ulama Islam, bukan pertarungan kuasa antara ulama dan kerajaan.

Zaman ini, selama 15 tahun (bermula 833 Masihi), sebetulnya menunjukkan pemerintah Islam zaman itu sedar bahawa mereka harus memberi ruang kebebasan kepada ulama. Usaha untuk memihak kepada satu mazhab sahaja akan menemui kegagalan.

Ruang kebebasan kepada ulama dan cerdik pandai Islam ini memang sudah lama bermula beberapa ratus tahun sebelum tragedi ini. Ulama-lah yang mendebatkan pelbagai jenis isu dan mengumpulkan (mengasaskan) beberapa bidang kajian, misalnya hadis, sebelum itu.

Ruang kebebasan dalam tamadun Islam ini yang berjaya mengekalkan empayar Islam Turki Othmaniah selama beratus-ratus tahun tanpa protes atau krisis politik, kata buku The Public Sphere in Muslim Societies. Ruang ini dibantu, misalnya, oleh institusi wakaf yang menjadikan pembangunan dan pengurusan dana diselia sendiri oleh masyarakat tanpa kawalan berlebihan negara.

Oleh kerana rakyat mempunyai ruang fizikal, kemandirian dana dan kebebasan, mereka mudah menjarakkan diri daripada kerajaan pusat di Istanbul. Ada beberapa tokoh besar ulama yang mengeluarkan fatwa tersendiri dan bertentangan dengan kerajaan, misalnya di Palestin, pemerintah pusat tidak pula mengambil apa-apa tindakan kepada ulama ini!

Sekiranya ada salah guna wang dalam pengurusan dana wakaf ini, masyarakat sendiri (dengan bantuan ulama dan kadi setempat) akan mengendalikannya dengan adil, termasuk proses mahkamah. Jadi, kes-kes rasuah dan penyelewengan dana jarang sekali berlaku.

Malah, pentadbiran Turki Othmaniah pernah merekodkan aduan-aduan orang ramai terhadap salah guna kuasa pegawai dan kakitangannya – yang menunjukkan masyarakat berani mengkritik dan menegur sistem pemerintahan.

Saya terpegun selepas membaca The Public Sphere in Muslim Societies walau asalnya buku ini kumpulan makalah ahli-ahli akademik di Israel (diterbitkan oleh State University of New York).

Sebelum membacanya, bagaimanapun, saya pernah berhujah akan perlunya ulama bergerak dalam ruang awam (public sphere) di ruangan forum AstoraJabat.com (19 Mei 2005) di bawah tajuk ‘Demokrasi, agama dan kebijaksanaan’ sebagai menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh anggota-anggota forum (tentang sejauh mana Islam itu relevan dengan model demokrasi).

Berikut ini saya terbitkankan kembali pandangan saya di laman web tersebut:

Isu pertama, dari manakah diambil legitimasi (legitimacy) negara dan kepala negara? Apakah daripada Tuhan, al-Quran atau ummah? Mandat kepemimpinan ini diambil dari kitab suci atau aspirasi masyarakat?

Negara tidak boleh berdiri sendiri -- sesiapa sahaja boleh mendakwa memimpin sesebuah wilayah. Tidak mungkin begitu. Negara berdiri, dalam faham politik hari ini, atas kehendak masyarakat.

Dalam sunnah Nabi (atau sirah), kita tahu bahawa kenabian Muhammad itu legitimasi dan mandatnya daripada Tuhan (dan wahyu). Tetapi dalam proses politik, legitimasi diambil daripada penduduk Madinah dalam beberapa peringkat kepemimpinan politik baginda.

(a) dua perjanjian taat setia untuk melindungi Nabi sebelum baginda ke Madinah. Perjanjian kesetiaan ini disebut 'bai'atul 'aqabah', kira-kira semacam 'kontrak’ untuk menjaga jasad Rasulullah dan setia pada perjuangan agamanya.

(b) Nabi meraih proses legitimasi politiknya atas penduduk Madinah, termasuk golongan bukan Islam, melalui piagam Madinah, sejenis kontrak sosial.

Jadi, jelas sekali, walau Nabi itu dipimpin langsung fikiran, hati dan jasadnya oleh wahyu (Kalam Tuhan), namun dari segi politik, Nabi tidak memandai-mandai. Rasulullah tetap elakukan proses-proses politik lazim dan manusiawi orientasinya.

Misalnya, apa perlu perjanjian taat setia (diadakan di Mekah) sebelum baginda berhijrah? Bukankah sudah memadai Allah itu Pelindung baginda, utusan terakhir-Nya dan kekasih-Nya?

Pendeknya, negara Islam berdiri daripada mandat masyarakat, daripada aspirasi orang ramai, daripada ummah (istilah Islam).

Isu kedua, jadi apakah ini bermakna aspirasi ummah itu lebih tinggi mandatnya dan legitimasinya daripada wahyu (al-Qur'an) yang ada pada ulil amri (ketua negara atau wakil rakyat)? Jawabannya: 'ya' dan 'tidak'.

‘Tidak’ kerana norma, nilai dan moral negara Islam dikawal oleh sistem nilai dan hukum syariah. Ia menjadi nilai pemersatu (unifying value) atau dasar bersama dalam ummah. Oleh itu, tidak ada pihak yang seharusnya lebih tinggi daripada syariah, termasuk elit berkuasa atau ulama itu sendiri.

Saya sebut begini kerana ada beberapa hubungan dan sektor dalam masyarakat Islam (yang demokratik) yang perlu diperhitungkan untuk:

(1) mengawal kuasa berlebihan di pihak negara (pemusatan kuasa),
(2) mengawal akal (dan wahyu) daripada tunduk kepada manipulasi kuasa (politik, modal atau elit dominan).

'Ya', ummah itu lebih tinggi legitimasi dan mandatnya daripada kuasa negara walaupun negara itu mahu melaksanakan peraturan-peraturan agama (wahyu) sekali pun kerana:

(i) tidak harus wujud monopoli tafsir agama (wahyu) pada tangan penguasa; sebaliknya kuasa tafsir ini harus ada dan dipegang pada ummah. Maksudnya, ada risiko besar dalam pemusatan kuasa (dan salah guna atau penyelewengan kuasa) apabila agama dibirokrasikan tanpa proses 'semak dan imbang' (check and balance) daripada ummah (atau, wakil-wakilnya, bukan sahaja di parlimen tetapi juga dalam ‘ruang awam’).

(ii) Ada risiko pemusatan kuasa (dan tanpa 'semak dan imbang') apabila ulama berkonspirasi dengan kuasa negara atau politik berparti (partisan politics). Kita lihat sendiri kesan buruknya apabila ulama itu bertarung dalam proses politik berparti saat ini di negara kita.

Mereka cenderung tidak bebas bersuara, hujah mereka sepihak sahaja dan ada waktu-waktunya sewenang-wenang memakai nilai-nilai agama untuk memajukan kepentingan politik dirinya, kelompoknya dan parti politiknya. "Tuhan juga mencarut," katanya (sekadar contoh).

(iii) Ulama harus independen (mandiri) daripada kuasa negara dan kesetiaan ulama haruslah pada akal, wahyu dan ummah. Dengan model ini, wahyu dan kesucian norma-norma agama tidak akan jatuh atau tunduk di bawah permainan kuasa politik, percaturan orang politik dan pemimpin negara. Agama tidak akan diperbudakkan oleh kuasa-kuasa negara dan modal (pasar atau faktor ekonomi).

(iv) Tiga unsur ini (negara, modal dan agama) terlalu kuat dan besar dampaknya kepada ummah jika ketiga-tiganya berpakat dengan atau jatuh di tangan elit dominan. Ulama jika mereka mewakili ketinggian agama tidak wajar bersekongkol dengan elit-elit yang menguasai kuasa dan modal ini, sebaliknya harus bersama ummah.

Oleh itu, modal dan kuasa harus dipecahkan dan dibahagi-bahagikan melalui penghayatan ‘ruang awam’. Sekiranya ada sektor independen kuasa modal (kegiatan ekonomi, misalnya telah disebut di atas, zakat, sedekah dan wakaf), maka harus ada sektor independen kuasa dan pusat nilai agama.

Pusat tafsir dan nilai agama itu haruslah kembali kepada ummah, bukan di tangan orang politik. Kuasa dibahagikan antara negara dan masyarakat; begitu juga sektor kekuatan ekonomi yang harus dibahagikan antara pasar (kegiatan tulen ekonomi) dengan ummah (di dalamnya ulama berperanan utama).

Kaedah berfikir ini mengandaikan ulama yang independen daripada kuasa politik atau proses persaingan politik berparti (atau kuasa negara) akan cenderung lebih jernih fikiran agamanya dan lebih jernih kepentingannya dalam membela ummah (orang ramai).

Begitu juga jika ulama tidak bergantung sumber ekonominya pada ahli perniagaan dan syarikat, sebaliknya daripada pembiayaan sosial (oleh masyarakat dalam sistem yang dikendalikan sendiri), maka akan kuatlah sektor ‘ruang awam’.

(iv) Struktur memandirikan (mengindependenkan) ulama ini memerlukan suatu penghayatan institusi ‘ruang awam’ yang, antara lain, terletak pada pusat-pusat pengajian (universiti atau pondok), pusat ibadat (masjid atau surau), media massa dan hak-hak kebebasan asas (sedikit sebanyak seperti model dasar demokrasi yang kita faham hari ini -- misalnya kebebasan-kebebasan berpersatuan, bergerak, berkumpul dan bersuara).

Jadi, apakah ulama tidak boleh menyertai kerajaan, birokrasi, parti politik dan kegiatan ekonomi? Ya, pasti boleh tetapi mereka hendaklah dianggap cerdik pandai politik dan ahli perniagaan, bukan lagi ‘ulama independen’ yang mewakili suara, agenda dan kepentingan ummah (public interest).

Dengan budaya politik kita saat ini, saya tidak nampak bagaimana mungkin ulama dalam birokrasi negara atau dalam parti politik itu boleh jujur dan telus untuk mewakili kepentingan ramai. Mereka yang bersama birokrasi pasti menjaga kepentingan jawatan, gaji dan jabatannya.

Begitu pula ulama dalam parti politik -- mereka pasti bermati-matian menjaga agenda, kepemimpinan dan kepentingan parti masing-masing. Kalau tidak suka, mereka mendiamkan diri. Jadi, ulama dalam birokrasi atau parti politik akhirnya tidak teguh berpegang pada idealisme agama.

Jika kita mahu wahyu, akal dan ilmu itu (suara kebenaran, kejujuran dan suara berkepentingan ramai) lebih tinggi daripada proses pertarungan politik sempit, maka sektor yang harus diperbesarkan, diperkuatkan dan dilindungi pastilah sektor ummah.

Dalam istilah politik semasa, ia disebut masyarakat sivil (civil society) dan hubungannya dengan ruang awam (public sphere), ruang wacana untuk menyiasat kekuasaan yang dilakukan secara sukarela di peringkat akar umbi dan wakil-wakil ummah.

Sekiranya ummah ini dilemahkan atau tertunduk di bawah kaki kuasa negara atau elit pemerintahan, maka berlaku proses ‘de-legitimasi’ kuasa politik Islam. Negara asalnya berdiri atas kepentingan dan mandat ramai tetapi kemudiannya ia menjadi seperti "harapkan pagar, pagar makan padi."

Saya syak model ‘kepemimpinan ulama’ yang ada saat ini sama ada tidak difikirkan dengan mendalam atau memakai model tradisi hubungan ulama dengan kekuasaan. Boleh jadi, model ini ditumpangkan pada kitab-kitab lama siasah syar'iah.

Semua rumusan, konsepsi dan hubungan yang ada ini tidak dikaji akan maslahatnya untuk ummah. Yang mereka fikir, kami gerakan Islam, maka kami ini 'lebih saleh' dan 'lebih layak' untuk menguasai negara dan sektor-sektor lain dalam masyarakat.

Penyertaan, kritik dan pandangan orang lain (bukan ulama) mahu ditewaskan melalui tangan-tangan kekuasaan, bukan mekanisme hujah dan dakwah.

Model ‘kepemimpinan ulama’ saat ini berdiri pada lantai berhujah (premise) bahawa pemimpin politik Islam itu 'orang-orang suci' yang terpilih, amanah, bertaqwa, sehingga mampu mendisiplinkan diri sendiri walau salah guna kuasa sudah pernah terjadi di bawah parti yang kononnya menghayati ‘kepemimpinan ulama’ itu.

Di mana sistem ‘semak dan imbang’ jika tidak memakai model ‘ruang awam’ seperti dijelaskan tadi dan disokong dengan fakta-fakta sejarah dalam buku The Public Sphere in Muslim Societies?

Fathi Aris Omar, pernah menjalan kajian bertajuk ‘Ruang awam Indonesia pasca-Soeharto: Satu kajian kes di Komunitas Utan Kayu’ di Jakarta (sehingga September 2005) bersama program zamalah Cendekiawan Awam Asia (API), Nippon Foundation, Tokyo

Tulisan ini asalnya diterbit di dalam Ummah Online (7 September 2005). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

Sila klik di sini untuk membaca artikel Fathi Aris Omar di laman web Ummah Online

No comments: