Hari keempat dan terakhir di Jakarta
Sabtu, 30 Oktober 204
Hari ini tiada apa yang menarik melainkan aku akan pulang semula dengan hati yang bercampur. Walaupun percutian aku amat singkat, aku dapat merasakan kepuasan terutamanya kerana aku membeli banyak buku dan VCD filem-filem Indonesia yang pasti akan aku khatamkan setibanya di rumah aku di Klang. Apa yang menyedihkan adalah aku dapat merasakan suasana keintelektualan dan kemeriahan buku yang ada di Jakarta pasti sukar untuk ditandingi di KL.
Di sini hampir saban masa akan terdapat dialog-dialog dan diskusi-diskusi berkenaan pelbagai isu baik isu domestik, global, agama dan sebagainya yang dianjurkan NGO-NGO di sini.
Aku merindui buku-buku yang terdapat di Gramedia, Gunung Agung, Kwitang, QB dan Kalam. Aku hanya dapat megimpikan buat masa ini untuk melihat kedai buku berskala besar seperti MPH yang menjual buku di dalam Bahasa Malaysia. Apa yang ada di Malaysia adalah kedai buku yang memfokuskan jualan buku berbahasa English seperti MPH. Ianya tidak salah tetapi telah mengakibatkan orang Melayu malas untuk membaca (terpaksa guna alasan ini).
Aku amat berharap agar usaha penterjemahan buku-buku baru perlu diperbanyakkan agar dapat memberi peluang kepada pembaca yang lebih menggemari membaca di dalam BM. Jangan kita terpedaya dengan persepsi bahawa membaca buku di dalam Bahasa English itu hebat. Kita perlu ingat bahawa apa yang penting adalah ilmu itu sendiri bukan perantaranya (jgn gunakan alasan ini untuk tidak mempelajari BI). Apa yang aku ingin tekankan adalah supaya kita tidak dogmatik di dalam isu bahasa sebaliknya harus memanfaatkan ilmu yang boleh diperolehi baik di dalam bahasa apa pun dan jangan kita mengagungkan walau satu bahasa pun terutama Bahasa English dan Bahasa Arab dalam konteks kita di Malaysia.
Aku bertolak ke lapangan terbang awal iaitu pada pukul 10.30 pagi. Walaupun penerbangan aku hanya akan berlepas pada pukul 2.50 petang, aku memilih untuk berada di sana lebih awal supaya tidak tergesa-gesa seperti mana sewaktu aku ingin berlepas dari KLIA.
Aku menaiki teksi Blue Bird yang sentiasa aku percayai dan di sepanjang perjalanan, banyak yang kami bicara. Salah satu yang amat menarik adalah tentang kemungkinan Acheh untuk merdeka. Pemandu teksi tersebut tergelak besar apabila aku memberitahu jika Acheh merdeka, negara Acheh akan melawan Indonesia di dalam pertandingan sukan di Sukan SEA. Kami juga berbicara tentang masalah Indonesia yang mana menurutnya hanya ekonomi sahaja yang merupakan masalah utama yang belum selesai. Menurutnya Indonesia telah maju ke hadapan di dalam pelaksanaan demokrasi jika dibanding dengan Malaysia namun mundur ke belakang di dalam bidang ekonomi yang mana ia disebabkan oleh ketidakupayaan pemerintah dan amalan korupsi yang berleluasa. Beliau telah menyarankan agar para intelektual yang ramai di Indonesia untuk terlibat aktif di dalam politik supaya mereka dapat menjadi satu ancaman kepada politikus yang korup. Namun beliau amat berharap agar kabinet SBY kali ini akan membuat perubahan yang lebih bermakna dan merakyat.
Aku tiba di Soekarno Hatta setelah setengah jam perjalanan dan tambang mengikut meter adalah sebanyak 72 000 dan seperti amalan biasa di sini, aku membayar sebanyak 100 000 rupiah. Menantikan masa check-in, aku menghabiskan masa membaca akhbar hari ini.
Aku selamat tiba di KLIA pada pukul 6 petang dan terus menaiki teksi menuju ke Seksyen 13 Shah Alam untuk berbuka bersama-sama rakan sekolah aku sebelum bermain futsal di Subang pada malamnya. Aku hanya selamat tiba di rumah tepat jam 3 pagi. Syukur kepada Allah kerana telah mengurniakan kesihatan yang baik dan keselamatan sepanjang perjalanan aku ini. Alhamdulillah!
Catatan hari pertama
Catatan hari kedua
Catatan hari ketiga
No comments:
Post a Comment