Hari pertama di Jakarta
Rabu, 27 Oktober 2004
Bertolak dari rumah pada pukul 7.40 pagi menuju ke Stesen KTM Komuter Bukit Badak dan berlepas ke KL Sentral pada pukul 7.53 pagi. Ketika ini, masalah pertama sudah muncul kerana aku sepatutnya bertolak lebih awal supaya tidak lewat check-in. Waktu terakhir untuk aku check-in adalah 9.45 pagi dan aku menghadapi kemungkinan lewat jika menggunakan pelan asal untuk menaiki ERL di KL Sentral.
Lama berdiri di dalam komuter, aku mengambil keputusan untuk turun di stesen Subang Jaya untuk menaiki teksi ke KLIA. Naik teksi di Lembah Klang apakah persepsi kita? sudah tentu tidak menggunakan meter. Aku dikenakan caj sebanyak RM60 dan aku menaggapnya sebagai bebaloi dan boleh diterima di dalam konteks waktu tersebut.
Alhamdulillah, aku sampai di KLIA jam 9.15 pagi dan terus mendaftar. Selepas itu, semuanya berjalan lancar sehinggalah aku tiba di Jakarta. Semasa di dalam perjalanan, aku mengenali tiga rakan Indonesia yang bekerja di sini dan sedang pulang ke kampung bercuti lebaran iaitu Febian, Tini dan Siti. Banyak yang kami ngobrolkan (borak) dan ketika mereka diberitahu bahawa aku akan berjalan sorang diri di Jakarta, kesemua mereka memberi nasihat agar berhati-hati kerana Jakarta menurut mereka sangat merbahaya terutama kepada mereka yang tidak biasa. Nasihat yang aku sudah jangka, diterima dengan perasaan yang bercampur, takut pun ada, apa yang pasti aku akan tetap play safe ketika di sana.
Setelah dua jam perjalanan, kami tiba di Soekarno-Hatta Airport tepat jam 11.20 pagi Jakarta (lewat satu jam berbanding waktu Malaysia). Selesai urusan Imigrisen dan pengambilan bagasi, pengalaman menyeramkan tiba iaitu berhadapan dengan ulat teksi yang kasar. Lebih malang adalah aku adalah antara penumpang terakhir yang keluar dari balai ketibaan dan sudah pastilah semua akan menyerang aku. Seperti yang telah diberitahu, aku tidak mengendahkannya dan terus ke Terminal Bas Dhamri untuk ke Rawamangun yang berdekatan dengan tempat aku menginap, Komuitas Utan Kayu.
Namun aku membatalkan hasrat tersebut setelah merasakan keadaan yang kurang selamat bagi first timer seperti aku, lagi-lagi seorang diri. Sebaliknya aku menaiki teksi Blue Bird yang diberitahu agak selamat dan boleh dipercayai. Selamat atau boleh dipercayai, apa yang pasti adalah sebagai seorang pelancong dan rakyat Malaysia, aku dikenakan caj yang mahal iaitu sebanyak 150,000 rupiah (RM62)dan itupun setelah berunding. Tambang yang aku tetap anggap berbaloi di dalam konteks ini seperti mana kes di Subang sebelum ini.
Di dalam perjalanan, banyak yang kami berborak, dari politik, ekonomi, senario di Jakarta, membanding cewek Jakarta dan Bandung, orang Madura dan banyak lagi. Pemandu teksi ini juga amat meminati Siti Nurhaliza.
Sepanjang perjalanan, gambaran awal yang terlihat di depan mata adalah Jakarta adalah sebuah kota metropolitan yang tunggang langgang. Jikalau kita menganggap disiplin pemandu di Malaysia adalah terburuk, ada lagi yang buruk. Namun satu hal yang menarik adalah membunyikan hon adalah suatu perkara biasa dan respon kemarahan tidak akan ada, tidak seperti mana di Malaysia. Para penjual koran (surat khabar), rokok, air, poster kabinet SBY dan bermacam-macam lagi akan berjaja semasa lampu merah di persimpangan jalan. Mereka diibaratkan sebagai 7 Eleven kerana di sini tiada 7 Eleven.
Pintu utama Komunitas Utan Kayu
Setibanya di Utan Kayu, aku terus ke receptionist dan menunggu ketibaan Agus Dibyo soerang freelance, rakan baik Fathi di Jakarta untuk menguruskan hal penginapan. Aku akan bermalam di asrama Teater Utan Kayu (TUK), asrama ini lazimnya akan dihuni oleh tetamu luar Jakarta yang datang di TUK untuk pelbagai tujuan. Tiada caj dikenakan untuk golongan ini, tetapi bagi individu lain akan dikenakan caj sebanyak 50,000 untuk satu malam dan ia bergantung kepada availability.
Bangunan Radio 68H yang dikendalikan oleh Komunitas Utan Kayu
Aku diberitahu oleh Agus bahawa tambang yang dikenakan kepada aku adalah mahal kerana caj normalnya adalah dalam 70 000 ke 100 000 rupiah. Di sini sudah menjadi amalan bahawa bayaran untuk perkhidmatan teksi di sini akan di genapkan, sebagai contoh jika 13 000, bayarannya adalah 15 000 dan jika 70 000, bayarannya adalah sebanyak 80 000 hingga ke 100 000 bergantung kepada ayat dan psiko yang akan digunakan oleh pemandu teksi tersebut.
Guesthouse TUK
Di sini, Agus seperti Febian, Siti dan Tini sekali lagi menasihatkan akan bahaya berjalan seorang diri dan tidak menggalakkannya. Agus sebaliknya mencadangkan temannya, Feysol untuk menemani aku dan tanpa ragu-ragu aku menerima idea tersebut.
Pelan awal aku untuk terus membeli belah buku dan cd di Plaza Senayan terpaksa ditangguhkan kerana Feysol hanya boleh menemani aku mulai esoknya. Namun aku bernasib baik kerana Agus mengajak aku untuk menghadiri pelancaran Komunitas Indonesia untuk Demokrasi di Hotel Four Seasons.
Pelancaran Komunitas Indonesia untuk Demokrasi
Komunitas Indonesia untuk Demokrasi atau KiD adalah sebuah NGO yang batu ditubuhkan dengan tujuan mendorong kehidupan demokrasi melalui pendidikan dan latihan secara melembaga, berlanjutan dan penyertaan. Ia diterajui oleh Dr. Ignas Kleden, Ketua Komite Pengarah Nasional KID . Beliau telah menulis beberapa buah buku yang bertajuk Indonesia Sebagai Utopia, Masyarakat dan Negara:Sebuah Persolan dan Sastra Indonesia dalam Enam Pertanyaan.
Aku berbuka puasa di sini di mana waktu berbukanya awal iaitu pada jam 5.45 petang. Di sini aku terjumpa dan terkenal dengan Misri , menteri penasehat di Kedutaan besar Malaysia di Indonesia. Beliau berasal dari Kuala Selangor dan sebelumnya bertugas di Turki dan Kalimantan. Beiau juga menjemput aku untuk menghadiri majlis berbuka puasa Duta Malaysia bersama rakyat Malaysia di Indonesia pada hari Jumaat.
Selesai acara, aku dan Agus terus pulang ke Utan Kayu. Sampai di sana, aku berborak sebentar dengan rakan-rakan Agus dan Feysol dan jelas terlihat bahawa hampir setiap orang Indonesia yang aku temui pasti akan bertanya tentang Cik Siti kita dan akan mengaitkan Malaysia dengan penyanyi Siti Nurhaliza dan hampir semua menggilainya. Tahniah Siti!
No comments:
Post a Comment