Memerangi rempitisme, Golongan Muda Anti Rempit!
Ideologi rempit? apakah ia dan siapakah golongan yang menganut fahaman ini? Aku cukup pasti seluruh rakyat Malaysia terutama anak-anak muda pasti pernah mendengar terminologi ini.
Secara mudah ia bermaksud mat-mat rempit yang suka berlumba haram dan selalu menggelabah tidak tentu pasal kononnya mereka yang non-rempit di luar sana akan tunduk hormat kepadanya. Aku jugamempunyai rakan-rakan lama(sekolah rendah) yang menganut faham ini.
Golongan ini sangat mudah untuk dikenali dan apa yang perlu adalah dengan melihat tingkah laku mereka seperti berlumba haram pada malam minggu di lokasi-lokasi tertentu seperti di Jalan Raja Laut serta aktiviti melepak sambil membuat gangguan seksual terhadap golongan wanita di lokasi-lokasi seperti di Dataran Merdeka. Selain itu tingkah laku mereka yang lain adalah sering kelihatan jakun semasa di lampu isyarat dengan memandang motorsikal penunggang lain sambil membuat bising dengan preng! preng! atau pit! pit! motorsikal mereka dengan hasrat yang mereka sahaja yang tahu. Apa yang pasti aku memang sangat menyampah dan sedih apabila mengenangkan kebanyakan mereka adalah dari bangsa dan agama aku. Tetapi jangan menyangka hanya mereka yang menunggang motorsikal sahaja yang berideologi rempit sebaliknya mereka yang memandu kereta dan tetap menggelabah juga tergolong sama (kebanyakannya berasal dari mat-mat rempit yang menunggang motor dan menganggap kononnya telah meningkat taraf hidup dengan memiliki kereta walaupun dari segi minda tetap tidak berubah). Namun istilah mat rempit jarang diberikan kepada pemandu kereta kerana mereka hanya berideologikan rempit.
Aku cuba untuk membangkitkan hal ini kerana rasa menyampah yang amat sangat terhadap golongan ini sudah tidak terbendung lagi. Walaupun aku mungkin salah kerana cuba generalise golongan ini dan membuat penilaian berdasarkan kulitnya (baju, kasut, stail rambut dsb). Namun setakat waktu ini aku tetap berpegang kepada hipotesis rambang aku bahawa secara langsung dan tidak langsung, mat-mat rempit yang berideologi rempit ini memberi impak sosial yang kebanyakan negatif kepada bangsa, agama dan negara.
Ideolgi rempit
Apakah aspek negatifnya? Salah satu yang sering aku hujahkan adalah mat-mat rempit waktu ini lazimnya tidak berpelajaran tinggi dan mempunyai sikap rendah diri. Boleh dikatakan bahawa mereka ini golongan yang dimarginalisasikan oleh masyarakat kecuali puak-puak UMNO dan BN. Banyak faktor yang menyebabkan mereka menjadi seperti itu seperti kemiskinan, masalah keluarga dsb. Apa yang aku cukup faham selama ini adalah golongan ini mempunyai satu pegangan bahawa untuk dihormati adalah dengan menunujuk-nunjukkan kekuatan terutama yang berbentuk fizikal seperti berlumba haram, pergaduhan, geng-geng motor, mengenal otai-otai dsb.
Lebih membuatkan ia parah, ramai yang percaya kepada pegangan atau ideologi rempit seperti ini. Aku berpendapat pegangan ini ada benarnya jika ia adalah 10-20 tahun lepas di mana ketika itu tidak banyak pemuda Melayu yang melanjutkan pelajaran selepas sekolah menengah. Di waktu itu, apa yang wajib dimiliki adalah sebuah motorsikal yang dimodifikasi dengan ilmu songsang (istilah korek blok sering digunakan untuk menunujukkan kononnya tahu), menyertai geng-geng motor dan akan merasa bangga seolah-olah sudah berjaya di dalam hidup jika dikenali oleh mat-mat rempit dari kampung atau tempat yang lain.
Aku cukup sedih apabila banyak mendengar khabar berita dari rakan-rakan bahawa senario seperti ini masih banyak terdapat di kampung-kampung. Aku merasa amat sedih kerana golongan-golongan ini sepatutnya dapat memikirkan sesuatu yang lebih baik untuk kemajuan diri, keluarga, bangsa, agama dan negara mereka.
Kepada siapa kita hendak menuding jari terhadap permasalahan ini? Aku secara peribadi merasakan semua pihak seperti keluarga, mat rempit, kerajaan, komuniti dsb mempunyai silap mereka sendiri. Aku cukup kagum terhadap mat-mat rempit yang sudah melalui proses reformasi diri dengan menjadi mat-mat motor yang berguna seperti menjadi mekanik yang sanggup melanjutkan pelajaran untuk meluaskan ilmu, berkicampung di dalam arena Cub Prix dsb. Inilah yang dikatakan peminat motorsikal yang sejati yang mempunyai matlamat dan fokus.
Aku amat berharap agar pihak kerajaan berbuat sesuatu untuk memerangi budaya rempit yang meliar dan merosakkan anak muda Melayu secara besar-besaran ini seperti mana mereka beriya-iya memerangi budaya heavy metal suatu masa dahulu walaupun aku tidak pasti apa matlamat sebenar operasi tersebut. Mungkin kerajaan tidak ada keazaman untuk memerangi mat-mat rempit ii kerana majoriti dari mereka adalah balaci-balaci yang diperlukan UMNO dan BN ketika musim pilihan raya. Jika memerangi mereka samalah seperti menyusahkan diri sendiri. Usah mengharapkan anak-anak muda yang menganut fahaman heavy metal yang kononnya dikatakan sesat itu kerana kebanyakan mereka adalah anti-establishment.
Aku harap pandangan aku salah dan aku mencadangkan agar suatu kajian ilmiah tentang impak sosial mat-mat rempit terhadap kelangsungan bangsa, agama dan negara dapat dijalankan oleh mereka-mereka yang pakar. Aku amat bersedia dan sudi untuk terlibat sama.
No comments:
Post a Comment