Hari kedua di Jakarta
Khamis, 28 Oktober
Aku memulakan gerak hari ini tepat jam 10.15 pagi setelah Feysol datang ke kamarku. Aku tidak bersahur sebelumnya kerana tiada teman dan tidak tahu hendak makan di mana walaupun hakikat adalah tempat-tempat makan banyak di sekitarnya. Aku dinasihatkan oleh Encik Misri Barham, orang kedutaan yang aku temui semalam untuk berhati-hati dan memilih jika ingin makan di gerai-gerai di tepi jalan kerana tahap kebersihannya amat diragui.
Menaiki bas ke menuju ke kedai buku Gramedia di Matraman, Jakarta Barat yang merupakan cawangan terbesarnya. Perjalanan mengambil masa 10 minit dengan kos tambang sebanyak 1000. Berada di kedai buku ini membuatkan aku menjadi rambang mata apabila melihatkan banyaknya judul buku-buku yang aku anggap menarik. Sememangnya inilah tujuan utama aku ke ibukota negara Indonesia ini, untuk membeli buku.
Gramedia Matraman
Setelah memilih-milih yang mana prosesnya agak panjang dan memeningkan kerana aku menetapkan untuk membeli tidak lebih daripada 20 buah buku sedangkan yang terbentang di depan mata untuk dipilih melebihi 4 kali ganda angka tersebut.
Akhirnya aku membeli 13 buah buku yang bertajuk Jakarta Metropolis Tunggang Langgang, Novel Saman, The Diary of Anne Frank, Elemen-elemen Jurnalisme, Kodrat Perempuan: Takdir atau Mitos, , Menggugat Tradisi: Pergulatan Pemikiran Anak Muda NU, Kekerasan Agama Tanpa Agama, Crisis of Muslim History, Islam Menggugat Poligami, Mengapa Rasulullah Berpoligami Sebaiknya Kita Tidak, Cakrawala Baru Peradaban Global, Krisis dan Masa Depan Pengetahuan dan Kewargaan Multikultural serta 6 buah majalah seperti Djakarta, FHM Indonesia, Pop City, MTV Trax, Koran Jakarta Post, Kompas dan Media Kota dan peta Jakarta yang mana kos keseluruhan berjumlah 511,200 (RM217). Destinasi seterusnya yang saya tuju adalah Plaza Senayan, sebuah kompleks membeli belah untuk golongan berduit besar di Jakarta. Di sini hampir semua peruncit terdiri daripada butik-butik mewah dan nama-nama besar seperti Sogo, Kinokuniya dan banyak lagi.
Buku yang dibeli
Tujuan aku ke sini adalah untuk membeli CD,VCD dan DVD penyanyi dan filem Indonesia di samping melihat trend pusat membeli belah yang dianggap sama tarafnya dengan Suria KLCC. Selain itu aku juga berniat untuk menonton filem Indonesia atau PGL yang diwar-warkan akan ditayangkan di Indonesia pada bulan ini di bioskop(wayang) di sini. Namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana tiada filem Indonesia dan juga PGL yang akan ditayangkan melainkan filem-filem Hollywood terkini. Untuk pengetahuan, kos untuk menonton wayang di bioskop di Plaza Senayan ini adalah sebanyak 50 000 (RM 21), suatu nilai yang agak tinggi bagi rakyat Indonesia dan juga kita.
Di hadapan Plaza Senayan
Di sini kelihatan ramai cewek-cewek ganteng yang fashionable dan daring. Aku membeli CD The Best of Rif, Kaset 20 Best Swami dan Kantata Iwan Fals, CD Ahmad Band: Ideologi, Sikap dan Otak, DVD Diarkan Bintang Menari lakonan Ladya Cheryll, VCD filem Indonesia Novel Tanpa Huruf R, Pelangi di atas Prahara dan Wo Ai Ni Indonesia di kedai Duta Suara Musik dengan jumlah sebanyak 215 000 (RM91). Manakala itu aku membeli DVD Arisan, VCD Biarkan Bintang Menari, Kwaliteit 2, Biola Tak berdawai dan Tjoet Nja Dhien di Bulletin Music yang mana kosnya sebanyak 196 000 (RM83).
Pemandu Bajaj
Selesai membeli, aku dan Feysol duduk berehat sebentar untuk membaca Koran (surat khabar) hari ini. Kemudiannya kira-kira jam 2 petang, aku menaiki Bajaj (disebut bajai) untuk ke Plaza Blok M dengan tambang sebanyak 5000 (RM2). Di sini aku ingin melihat dan merasai suasana membeli belah di kawasan rakyat biasa Jakarta tidak seperti di Plaza Senayan sebentar tadi. Apa yang jelas suasana di sini lebih meriah dan sesak dengan manusia temasuklah pelajar-pelajar sekolah.
Kawasan Blok M
Suasana Ramadhan di sini amat berbeza dengan di Malaysia di mana kedai-kedai makan dibuka seperti biasa dan pemandangan rakyat Jakarta makan secara terbuka adalah suatu perkara normal. Ini kerana tidak seperti di Malaysia di mana jikalau mukanya Melayu sudah pasti Islam dan di sini kita akan biasa terjumpa Jawa Kristian, Sunda Kristian dan sebagainya. Kelihatannya kebebasan beragama di sini lebih baik berbanding di Malaysia di mana kita tidak bisa berjumpa dengan orang Melayu Kristian kecuali yang murtad secara senyap-senyap. Aku secara peribadi melihat perlunya orang Melayu diberi kebebasan untuk memilih agamanya sendiri tanpa perlu terikat dengan definasi longgar Melayu pada Perlembagaan Persekutuan. Walaupun begitu aku diberitahu oleh seorang pemandu teksi di sini bahawa yang selalu makan secara terbuka adalah umat Islam sendiri manakala mereka yang bukan Islam lebih menghormati.
Di Plaza Blok M, aku membeli beberapa buah majalah seperti Popular, Hai, Basis, Islamia, Asian Superstars dan Motor Race di Toko Buku Gunung Agung. Aku berbuka di restoran Popeye dengan yang mana agak banyak cawangannya di kota Jakarta ini dengan hidangan nasi putih, ayam goreng , es dan air teh lemon dengan bayaran sebnayak 13 000. Sebelum itu, aku terlebih dahulu sempat mengikuti persembahan nyanyian dari Gulalilustik beserta ngajian agama yang diadakan serentak. Audien yang duduk di kerusi yang disediakan dipenuhi oleh orang ramai terutama anak muda. Apa yang menarik adalah pengajian agama dapat disampaikan bersama-sama dengan unsur hiburan (tanpa perlu terdesak untuk memilih hiburan Islam seperti di sini) dan audien dilihat dapat menghayati apa yang ingin disampaikan. Sesuatu yang golongan agama pasti sukar untuk melakukan di sini kerana agamawan di sini dilihat lebih suka untuk melabel halal dan haram dan sewenang-wenang menuduh itu tidak Islamik, boleh terkeluar akidah, kafir dan berbagai-bagai label yang menakutkan dan menyedihkan umat Islam. Mungkin golongan ini mahir di dalam ilmu pelabelan dan amat sesuai untuk berkecimpung di dalam bidang pemasaran.
Selepas itu, berjalan-jalan sebentar sebelum aku menaiki teksi untuk pulang semula ke Utan Kayu. Maka tamatlah hari kedua perjalanan di Jakarta dan sekarang tibalah waktu untuk membaca.
Lagi gambar di Jakarta, klik di sini
No comments:
Post a Comment