Wednesday, November 17, 2004

Hari ketiga di Jakarta

Jumaat, 29 Oktober 2004

Aku memulakan perjalanan untuk hari ketiga ini tepat jam 10.30 pagi. Destinasi pertama tidak jauh iaitu Kedai Buku Kalam yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat penginapan aku. Kedai ini adalah milik Komunitas Seni Utan Kayu dan di sini adalah antara tempat yang terbaik untuk mencari buku-buku yang bagus. Walaupun dekat, aku tidak berkesempatan untuk mengunjunginya sebelum ini kerana kesuntukan masa atau jika ada masa, ia telah ditutup. Aku menghabiskan sekitar setengah jam di sini dan kesudahannya aku membeli 8 buah buku yang bertajuk Jurnal Kalam 17, Jurnal Kalam 19, Analisis Wacana: Pengantar Analisis Teks Media, Semiotika Komunikasi, Wajah Liberal Islam Indonesia, Dekonstruksi Syariat dan Strukturalime - Post Strukturlisme dengan kos sebanyak 223 000 rupiah (RM94).

Setelah itu, aku bergerak ke pasar buku Kwitang dengan menaiki teksi. Pasar buku Kwitang ini menjadi amat terkenal setelah salah satu babak di dalam filem A2DC dilakonkan di sini. Suasana di sini amat meriah dengan kewujudan banyaknya gerai-gerai yang menjual buku-buku lama serta buku-buku baru yang dicetak rompak. Buku edisi cetak rompak menurut Feysol amat mudah didapati di Senen yang mana ianya berdekatan dengan Kwitang ini dan harganya lebih murah iaitu kira-kira 50 peratus.


Pasar Buku Kwitang

Untuk membeli buku di Kwitang ini adalah lebih baik untuk mengetahui tajuknya dahulu atau menempahnya terlebih dahulu jika tajuk yang diminta itu tiada seperti mana Rangga perbuat di A2DC. Di sini, aku hanya membeli sebuah buku yang berjudul AKU karangan Sjumandjaya yang berharga 12 000. Buku ini amat popular di Indonesia setelah filem A2DC meletup dan ianya amat mudah didapati sekarang.


Aku

Kemudian aku berjalan-jalan di sekitar Jalan Kwitang sebelum berhenti di sebuah bank untuk menukar wang. Selepas itu, aku singgah sebentar di Toko Gunung Agung untuk mencari-cari apa yang boleh dibeli dan akhirnya aku membeli CD OST filem Biarkan Bintang Menari, VCD Di Sini Ada Setan dan Daun di atas Bantal.

Destinasi seterusnya adalah sebuah kawasan yang mempunyai ramai penduduk Cina di Jakarta iaitu Glodok di Jakarta Utara. Kawasan Glodok ini telah menjadi sasaran kemarahan penduduk bukan Cina Jakarta semasa era Reformasi 1998 di mana banyak bangunan dan premis perniagaan dibakar dan dirompak. Selain itu, kejadian merogol dan membunuh kaum perempuan Cina juga terjadi secara besar-besaran dan kes-kes tersebut difahamkan masih belum diselesaikan sehingga kini. Aku diberitahu bahawa kejadian perogolan itu dijalankan secara sistematik oleh militer untuk memberi amaran inilah harga yang perlu dibayar untuk perubahan (militer memainkan peranan penting semasa era Suharto)

Aku memiliki sebuah VCD bertajuk Rusuhan di Indonesia yang memaparkan visual-visual keganasan yang terjadi di Jakarta yang aku beli beberapa tahun lepas di S&M Arcade. Menurut Feysol, terdapat dua sisi semasa era Reformasi iaitu yang satu tidak terkawal dan diterajui oleh golongan-golongan yang tiada tujuan dan hanya mengambil kesempatan semata-mata untuk meneruskan hidup dan satu lagi sisi yang diterajui mahasiswa yang memang memperjuangkan sesuatu seperti demokrasi, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar dsb dan sisi inilah yang telah berjaya menjatuhkan Orde Baru Suharto. Perjuangan sisi ini boleh ditonton menerusi sebuah filem yang bertajuk Tragedi Jakarta yang telah memenangi anugerah filem terbaik semasa Festival Filem Asia Pasifik ke 47 pada tahun 2002 di Seoul, Korea Selatan.

Apa yang mendukacitakan adalah media-media dan pemimpin-pemimpin kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional sering kali menggunakan dan mengeksploit sisi negatif Reformasi di Indonesia untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia agar terus menyokong dan mengundi Barisan Nasional. Bukanlah salah untuk berbuat demikian tetapi yang membuatkan ia salah adalah bias yang dilakukan amat ketara seperti mana yang terjadi semasa pilihan raya Presiden Amerika baru-baru ini yang mempotretkan Bush seburuk-buruknya. Jarang sekali sisi positif Indonesia seperti kebebasan media, pendemokrasian dsb yang ada hari ini diberikan analisa yang jujur dan pendedahan di media kita. Apa yang ada adalah cerita berkenaan seks, hiburan dsb terutama menerusi kolum Zulkifli Bakar di Mingguan Malaysia. Entah apa yang dibuat oleh wartawan Utusan tersebut di Indonesia sehingga tidak boleh keluar berfikir dari kepompong sempit Utusan Malaysia. Buat habis tenaga jer duduk kat Jakarta tuh.

Sepanjang perjalanan menuju ke Glodok aku telah melalui Monas dan stesen keretapi utama di Jakarta iaitu Gambir. Tiba di Glodok, aku dapat melihat wajah-wajah yang banyak terdapat di Malaysia terutamanya di Lembah Klang iaitu wajah cerah orang Cina. Apa yang menarik dan pasti telah diketahui ramai adalah masyarakat Cina di sini telah terasimilisasi dengan budaya Indonesia dan jangan terkejut jika amoi-amoinya bertutur di dalam Bahasa Indonesia dengan fasih. Hanya setelah kejatuhan Suharto, masyarakat Cina di sini dibenarkan untuk menyambut Tahun Baru Cina secara terbuka dan mengamalkan segala budaya mereka yang dilarang sebelum ini. Tidak menghairankan jika kebanyakan masyarakat Cina di sini juga tidak mahir bertutur, membaca dan menulis di dalam bahasa ibunda mereka.

Di dalam aspek ini, Malaysia dilihat lebih baik sekurang-kurangnya pada permukaan di mana orang Cina dan India terutamanya dibenarkan untuk mengamalkan dan mempelajari bahasa ibunda mereka walaupun gejolak di bawah sentiasa bergelora dan panas. Aku melihat situasi di Indonesia dan Malaysia tidak boleh disamakan kerana peratusan masyarakat Cina difahamkan di sana amat sedikit iaitu sekitar 10% (22 juta yang mana ia lebih ramai dari Cina Malaysia) dan di Malaysia jumlah mereka amat signifikan (26%, kira-kira 6 juta) dan dengan memaksakan asimilisasi kepada mereka seperti pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dsb hanya akan memanjangkan prejudis dan kemarahan senyap yang boleh meletus menjadi bom besar pada bila-bila masa.

Jadi aku melihat situasi di Malaysia adalah lebih baik berbanding dengan Indonesia walaupun mereka dikatakan satu bangsa Indonesia namun arus di bawah tidak memperlihatkan wajah yang sama. Jadi apa yang perlu dipertingkatakan lagi di negara kita adalah tahap hormat yang masih tidak memuaskan serta mengekalkan dan mempertingkatkan tahap toleransi yang sudah baik. Langkah seterusnya adalah dengan menyahkan secara berperingkat segala dasar-dasar dan pelaksanaan tindakan yang bersifat tidak Malaysia. Apa yang perlu kita bina adalah suatu bangsa Malaysia yang mempunyai kepelbagaian diversiti yang mampu bertutur lebih dari satu bahasa dan bersifat terbuka, rasional, memuliakan manusia dan pluralis.


Plaza Glodok

Aku ke Plaza Glodok yang mana kebanyakan penyewanya adalah kedai-kedai yang berasaskan komputer dan aku boleh kata ia adalah mirip Plaza Low Yat atau Plaza Imbi di KL walaupun dari segi jumlah pelanggan dan dekorasi ia amat jauh berbeza. Kemudian aku ke gerai-gerai yang menjual CD, VCD dan DVD cetak rompak yang terdapat dengan banyak sekali di luar kawasan Plaza Glodok. Aku tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa keping untuk dijadikan koleksi.


Lorong busway

Setelah itu aku menuju ke Stesen Busway Glodok yang terletak berhampiran untuk ke Sarinah. Transjakarta Busway merupakan sistem pengangkutan awam yang diperkenalkan oleh pentadbir kota Jakarta untuk mengurangkan kesesakan di kawasan yang paling sibuk di Jakarta iaitu di sepanjang Jalan Thamrin dan Jalan Sudirman selain untuk menawarkan alternatif yang lebih baik kepada pengguna perkhidmatan awam. Di sepanjang Jalan Thamrin dan Jalan Sudirman inilah terletaknya banyak bangunan-bangunan pejabat di Jakarta ini. Perkhidmatan Busway bermula di Kota (stesen kedua adalah Glodok) dan berakhir di Blok M. Ia beroperasi di satu lorong seperti mana lorong bas di KL kecuali ia berada di lorong kanan dan terdapat penghadang bagi mengelak dimasuki kenderaan lain.

Aku turun di stesen Sarinah dan terus menuju ke Hard Rock Cafe dengan hajat untuk membeli t-shirt yang dipesan oleh kawan aku. Malangnya ia ditutup, tidak pasti sama ada bersempena dengan bulan Ramadhan atau memang tidak dibuka pada waktu aku tiba iaitu 3 petang. Kemudian aku memasuki Sarinah Department Store untuk mencari cenderahati-cenderahati yang boleh dibeli untuk diberi kepada rakan-rakan. Setelah membeli beberapa cenderahati di tingkat 5 yang mengkhususkan untuk kraftangan Indonesia, aku melayari internet sebentar di sebuah cybercafe di tingkat 6.


Jalan Thamrin


Hard Rock Cafe di Sarinah

Seterusnya, aku berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut sebelum menaiki Bajaj untuk meninjau-ninjau kawasan backpackers Jakarta iaitu di Jalan Jaksa. Menghabiskan masa selama 15 minit di sini sebelum aku berpisah dengan Feysol kerana beliau mempunyai rancangan lain. Aku menaiki teksi untuk ke Kedutaan Malaysia yang terletak di Kuningan. Sepanjang perjalanan, aku melalui Jalan Rasuna Said yang menempatkan banyak bangunan kedutaan asing dan salah satunya adalah Kedutaan Australia yang telah dbom baru-baru ini. Aku masih dapat melihat dengan jelas kesan bangunan yang dibom dan ia amat mengerikan dan aku berdoa agar kejadian seumpama ini tidak berlaku di bumi Malaysia.

Tiba di Kedutaan Malaysia pada pukul 4.30 petang, aku menunggu di ruang tamu di pondok jaga sebelum dibenarkan masuk ke Kedutaan pada pukul 5 petang. Di sini aku berjumpa dengan Encik Misri yang menjemput aku dan berkenal-kenal dengan beberapa orang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Gajah Mada. Apa yang menarik adalah antara individu yang aku kenali adalah Timbalan Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha(orang kuat Annuar Musa) Kelab UMNO Yogyakarta. Seperti biasa aku terpaksa melakonkan watak UMNO aku di sini, hehe. Hmm, bukan berlakon sebaliknya pragmatik seperti Tun Dr. Mahathir.


Solat maghrib

Aku diberitahu oleh Encik Misri bahawa terdapat satu bangunan asrama yang sering kali dihuni oleh pelajar Malaysia di Indonesia sekiranya berada di Jakarta. Bangunan yang berada di belakang Sarinah di Jalan Thamrin itu juga membuka pintunya kepada pelancong dari Malaysia dengan syarat tidak tinggal melebihi seminggu. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 5000 rupiah untuk sehari (RM2.15) yang mana ianya sangat murah. Mungkin aku akan tidur di sini sekiranya ingin ke Jakarta di masa depan.

Selepas makan dan solat, aku mengundur diri untuk meneruskan perjalanan ke Mall Pondok Indah. Pondok Indah merupakan satu kawasan elit Jakarta dan kebanyakan selebriti seperti Ladya Cheryll, Shandy Aulia tinggal di sini. Melalui kawasan Pondok Indah bagaikan berada di Damansara Heights atau Bandar Utama di mana rumah-rumah mewah kelihatan di mana-mana. Jika anda pernah menonton filem Arisan, Eiffel I'm In Love dan lain-lain filem yang menggambarkan kisah hidup masyarakat elit Indonesia, kebanyakan lokasi di ambil di Pondok Indah.


Mall Pondok Indah

Tiba di Mall Pondok Indah, aku menghabiskan masa dengan membaca buku di kedai buku Gramedia dan memerhatikan gelagat pengunjung di sini selain meninjau-ninjau kedai-kedai di sini. Aku juga membeli 2 buah VCD filem Indonesia iaitu Untukmu dan Cinta dan Segala Kemungkinannya di Disc Tarra. Apa yang aku dapat dilihat adalah pengunjung di sini sangat trendy, kemas dan amat berbeza dengan masyarakat Jakarta yang aku lihat di kawasan lain. Cewek-ceweknya juga amat cun!


Toko Gunung Agung Mall Pondok Indah

Tepat jam 9.30 malam, aku menaiki teksi untuk pulang ke Utan Kayu.

No comments: