Selamat Menyambut Mauludul Rasul Nabi Isa
oleh Hishamuddin Rais
Sekali lagi Maulud Rasul Nabi Isa sampai pada 25 Disember ini. Untuk yang berpesta mereka akan terus berpesta untuk merayakan hari kelahiran Nabi Isa. Para penganut yang warak akan ke gereja bersembahyang untuk memperbaharui tekad agar dapat berbuat baik pada tahun hadapan. Kalender Gregorian tahun 2006 akan tamat, kita akan memasuki tahun 2007.
Bila saya menulis ini harga bahan bakar minyak ialah 62 dolar satu tong. Harga satu balang gas untuk memasak yang saya beli dari kedai runcit dua hari dahulu telah menjadi 26 ringgit. Tahun hadapan harga sara hidup pasti akan naik lagi. Harga minyak, harga tol, harga air, harga api, harga Friskie untuk kucing saya, harga Alpo untuk anjing saya akan naik dan harga sewa bilik juga akan meningkat.
Bila saya menulis ini 2964 soldadu Amerika telah gugur di Iraq. Seramai 126 soldadu soldadu British telah tewas. Ini ditambah dengan 121 soldadu dari pelbagai negara yang turut sama gugur di Iraq. Puluhan ribu lagi soldadu - yang diserang dan yang menyerang - telah cedera berat dan ringan.
Angka kematian rakyat Iraq secara resmi masih belum di ketahui. Laporan-laporan awal telah menunjukkan angka yang gugur telah melintasi 600,000 orang. Bila perang ini akan tamat masih belum dapat dilihat tanda-tandanya. Malah dari apa yang saya baca besar kemungkinan jumlah soldadu Amerika akan ditambah lagi.
Tiga hari sebelum hari Maulud Rasul Nabi Isa, saya telah dipanggil untuk memberikan pandangan saya terhadap tahun 2006. Yang memanggil saya ialah satu rancangan mingguan tv terbitan kota London yang dipancarkan melalui Al-Jazeera International. Pesauh rancangan ini telah meminta saya memberikan pemilihan saya terahadap:-
1 Siapakah Lelaki Dunia Tahun 2006
2 Siapakah Wanita Dunia Tahun 2006
3 Apakah petikan kata bual untuk tahun 2006
4 Siapa Wanita dan Lelaki untuk tahun hadapan
Lama saya memikirkan siapakah yang seharusnya saya pilih untuk didengari olih hampir 60 juta penonton. Saya diberi kebebasan mutlak untuk menyebut siapa sahaja tanpa badan penapis yang akan menggangu gugat pandangan saya.
Awalnya, saya teringat kepada Isa dari Nazareth. Apakah insan ini yang akan saya namakan sebagai Lelaki Tahun 2006. Lalu saya tergambar bagaimana agaknya jika Isa dari Nazareth ini datang kembali, apakah Dia akan dapat melintasi tembok-tembok tebal yang telah didirikan di Gaza dan di Tebing Barat. Apakah Isa dari Nazareth ini akan dapat kembali ke Bukit Zaiton untuk menemui pengikutnya. Setelah 2000 tahun wafat pasti Isa anak Mariam dari Nazareth ini tidak akan dapat mengenali Baitulmukadis tempat dia pernah berkhutubah 2000 tahun dahulu.
Akhirnya, saya memilih Mahmoud Ahmadinejad Presiden Iran sebagai Lelaki Tahun 2006. Saya bukan bermazhab Shiah, walau pun saya menganuti sebahagian analisa Ali Shariati. Saya menamakan Ahmadinejad kerana insan ini seorang revisionis holocaust. Insan ini dalam kefanatikan menyokong perjuangan adil rakyat Palestin telah tersasul dan mempertikaikan kedurjanaan Nazi terhadap orang-orang Yahudi dalam perang dunia ke dua.
Revisionis adalah pengelencongan fakta sejarah. Holocust atau pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi olih Nazi adalah fakta yang terbukti wujud. Sama ada 3 juta atau 6 juta Yahudi yang dikorbankan olih Nazi bukan persoalan. Sejarah telah membuktikan bahawa fahaman Nazi ialah fahaman perkauman/rasis yang perlu dilawan.
Si reviosinis Ahmadinejad ini telah cuba membuka panggung untuk membincangkan tentang agenda Palestine. Disinilah kesilapan besar Ahmadinejad - presiden Iran ini gagal untuk memisah dan mengenali siapa Yahudi dan siapa Zionis. Justeru kerana ini saya juga menganggap sekali gus presiden Iran ini juga serbagai Orang Jahat Tahun 2006.
Pada hari baik bulan baik ini saya ingin mengingatkan kepada pembaca bahawa Isa anak Mariam dari Nazareth ialah seorang Rasul. Dia juga seorang Yahudi. Rasul Yahudi ini bukan seorang Zionis. Harus di sedari dari 25 Rasul dan Nabi-nabi yang wajib di ketahui olih penganut Islam hanya seorang berbangsa Arab, Muhamad. Yang lainnya adalah dari bangsa Yahudi.
Untuk Wanita Tahun 2006 saya memilih Cindy Sheehan dan Semua Ibu-Ibu Dari Iraq. Cindy ialah emak kepada soldadu Casey Sheehan yang telah mati di Baghdad pada 4 April 2004 yang lalu. Satelah Casey gugur, Cindy telah bangun seorang diri untuk melancarkan gerakan anti-perang. Bayangkan seorang ibu dari Carlifornia yang pada awalnya telah diketawakan tetapi akhirnya telah berjaya menimbulkan kesedaran anti perang yang meluas dikalangan rakyat Amerika.
Ibu-Ibu dari Iraq juga saya cadangan sebagai Wanita Tahun 2006. Saya tidak tahu dan tidak mengenali secara individu sesiapa pun dari Iraq. Tetapi saya mengetahui hati sanubari Ibu. Saya selalu melihat wajah-wajah Ibu dari Iraq yang meratap menangisi anak, suami atau keluarga mereka yang gugur kerana perang. Mereka meraung apabila rumah mereka runtuh. Mererka menangis apabila rumah mereka terbakar kerana serangan soldadu. Panasnya lilihan air mata ibu itu dapat saya rasakan seperti lilihan air mata emak saya sendiri.
Untuk petikan Kata Bual Tahun 2006 saya menganggap ucapan dari Presiden Bush cukup lunak dan penuh ironi; “Kita tidak menang, kita tidak kalah” (”We’re are not winning, we’re not losing”). Inilah adalah kata-kata akhir yang terhambur dari mulut bekas seorang pemadat kokain. Enam minggu sebelum kenyataan ini Bush pernah berkata “Kita akan menang” (”We’re winning”). Dan apakah kita terlupa ucapan “Tugas selesai” (”Mission accomplished”); yang terhambur dari mulut Bush sesudah Saddam Hussein di jatuhkan?
Si Pesauh dalam rancangan ini kemudian telah bertanya kepada kepada empat tamu; dari Washington DC, dari London, dari Doha dan saya dari Kuala Lumpur; siapakan yang akan kami undi untuk menjadi Lelaki Tahun 2006. Saya menjawab bukan Lelaki Tahun 2006 tetapi Penjahat Tahun 2006. Untuk anugerah ini saya dengan bagitu senang hati menobatkan Don Rumsfled bekas Setiausaha Pertahanan Amerika. Untuk saya susuk ini, sama seperti Presiden Iran sedang membawa bala petaka yang maha besar bukan hanya kepada ibu-ibu soldadu yang gugur di Iraq, malah mala petaka besar terhadap warga dunia.
Apabila rakaman program tv ini selesai saya pulang ke rumah dan membuka laman-laman web berita dunia. Betul, suasana menyambut Mauludul Rasul Nabi Isa sedang berjalan rancak. Saya terbaca berita tentang ribuan penganut agama Masehi di Iraq telah lama meninggalkan Iraq untuk mencari tempat yang lebih selamat. Saya juga terbaca berita soldadu Anglo-Amerika yang beragama Masehi sedang cuba membuat persediaan untuk menyambut hari lahir Isa anak Mariam di kem-kem tentera di Baghdad.
Saya juga terbaca tentang betapa ketatnya kota Baitulmukadis dan kawasan-kawasan suci di Palestine yang sedang dikawal rapi olih soldadu Zionis. Paling mengejutkan ialah apabila saya terbaca berita bagaimana negara jiran kita; Indonesia; juga sedang dalam keadaan berjaga-jaga ketika menyambut hari lahir Isa anak Mariam. Wow! Betapa getirnya suasana perayaan Mauludul Rasul Nabi Isa.
Semua ini adalah gambaran-gambaran berakhirnya kalender Georgian untuk tahun 2006. Saya cukup yakin ketika Isa anak Mariam merayau-rayau di Palestine 2000 tahun dahulu Dia tidak pernah memikirkan bahawa satu ketika nanti tanah tumpah darahnya dan wilayah persekitarannya akan menjadi satu tempat dimana ibu dan anak-anak kecil tidak berhenti-henti menangis. Dia juga tidak terfikir bahawa tembok-tembok tebal lagi tinggi akan didirikan untuk memisahkan anak dengan ibu, memisahkan tetangga dengan jiran dan memisahkan sahabat dengan kawan.
Saya yakin Isa anak Mariam seorang Rasul bukan susuk yang romantis. Dia datang untuk menyampaikan ajaran kepada manusia agar kita mengenal satu sama lain dan menghormati satu sama lain. Pada petang Ahad ini, untuk mengingati Mauludul Rasul Nabi Isa, sehari sebelum Hari Krismas , saya akan berada di pintu Cathderal Katholik di Bukit Nenas. Saya ingin menjadi pemerhati kerana disinilah disetiap petang Ahad telah hampir tujuh tahun satu kumpulan anak-anak muda akan memberi makanan percuma kepada orang-orang yang tidak berumah, orang yang kesaorangan tidak berkeluarga atau susuk-susuk yang terperangkap olih dadah.
Saya sering memerhatikan kerja-kerja baik anak-anak muda ini. Tetapi tidak pernah sekali pun dalam ingatan, saya bertanya apakah agama anak-anak muda ini. Atau apakah mereka memiliki kepercayaan agama. Tetapi saya yakin mereka ini bukan dari mazhab Rumsfled atau pun Ahmadinejad. Untuk saya apa yang dilakukan olih anak-anak muda ini tidak menyalahi ajaran nabi-nabi dan rasul-rasul termasuk ajaran Isa anak Mariam dari Nazareth.
No comments:
Post a Comment