Anak Muda dan Perkauman
oleh Hishamuddin Rais
Saya telah terbaca di akhbar bahawa kerajaan kita telah menyiapkan satu draf Modul Hubungan Etnik (MHE) untuk anak-anak muda di sekolah dan para pelajar di kolej dan universiti. Saya hanya mendengar nama MHE tetapi belum dapat membaca isi kandungannya. Saya juga difahamkam sebelum ini tiga draf awal telah di tolak olih kabinet. Draf MHE yang terbaru ini mungkin draft yang telah dibetulkan.
Sebelum kita membaca isi kandungan MHE ini biarlah saya nyatakan bahawa saya rasa perkataan ETNIK itu adalah tidak betul dan tidak tepat. Saya bukan etnik Melayu. Saya berbangsa Melayu keturunan Orang asli dari suku Biduanda. Konsep etnik untuk saya ada memiliki prasangka. Konsep ini lahir dari pandangan kaca mata Orang Putih dalam kajian sosioloji mereka. Untuk saya ada pandangan serong dalam penilaian dan pengunaan perkataan etnik.
Kalau kita di kota London dan pergi ke gedung-gedung busana untuk membeli pakaian biasanya akan ada satu ruangan kecil yang memperagakan “Ethnik Fashion”. Biasanya dalam ruang kecil ini akan ditemui kain baju yang bermotifkan batik, baju dan seluar potongan dari Pakistan, India atau Arab. Atau pun kipas dari China atau sutera dari Siam atau Jepun. Inilah konsep”etnik” dari kaca mata orang putih.
Etnik ini dimunculkan untuk melarikan diri dari pengunaan perkataan “natives” yang membawa erti tuan dan “natives” dalam era penjajahn. Justeru, baru-baru ini saya merasa terperanjat apabila anugerah musik tanah air telah memberikan satu hadiah terhadap “genre musik etnik”. Yang dianggap musik etnik disini ialah musik Dayak, Iban dan Bidayuh ? Maka siapa pula “tuannya”? Siapa pula yang akan menjadi Mat Salleh baru? Sebenarnya di Malaysia ini tidak seharusnya diwujudkan konsep etnik.
Apa yang wujud di Malaysia ialah bangsa-bangsa atau nasion yang memiliki keutuhan identiti budaya masing-masing. Mungkin boleh diterima pakai konsep etnik Jawa, etnik Bugis, etnik Madura yang semuanya terjatuh ke dalam nasion Indonesia. Dan di Malaysia pula mereka semua akan menjadi bangsa Melayu. Justeru untuk saya pengunaan etnik dalam MHE ini juga telah songsang. Bangsa-bangsa membawa makna lebih besar dari etnik. Kenapa kita takut untuk menggunakan istilah bangsa-bangsa atau nasion? Kenapa tahap bangsa-bangsa ini diturunkan untuk menjadi etnik yang membawa konotasi “natives” dan “tuan”.
Biar saya bersurah untuk menceritakan pengalaman dalam hubungan bangsa-bangsa ketika saya muda dan menjadi pelajar di universiti. Saya masuk ke Universiti Malaya ( UM) bukan kerana Dasar Ekonomi Baru. Saya masuk ke universiti pada tahun 1971 kerana pencapaian akademik bukan kerana saya di katogerikan sebagai “bumiputera”. Kertas peperiksaan saya dinilai olih guru-guru yang tidak tahu dan tidak akan ambil peduli sama ada saya ini Cina, Melayu atau Orang Asli.
Harus diakui ketika saya masuk ke UM pada tahun 1971, Mei 13 hanya baru berlalu dua tahun. Hubungan anak-anak muda kaum pelajar ketika itu masih sehat, segar dan tidaklah seburuk yang sedang berlaku pada hari ini. Hakikatnya, pada tahun 1971 hubungan bangsa-bangsa dalam kampus masih bolih diperbaiki untuk dirayakan. Walau pun mitos dan cerita-cerita dongeng tentang pembantaian bangsa-bangsa pada 13 Mei masih jelas kedengaran.
Di UM, anak muda kaum pelajar masih lagi merayakan kemudaan mereka. Memang ada percubaan untuk mengapi-apikan perbalahan antara bangsa-bangsa tetapi perrcubaan ini telah ditepis dan ditenggelamkan. Memang ada juga percubaan untuk”mengtuakan” anak-anak muda ini tetapi ajenda orang muda hendak dituakan ini juga gagal.
Budaya kampus ketika itu segar dan rancak. Dekan fakulti menjadi dekan kerana pencapain tahap akademik dan kecekapan pentabiran. Dekan dilantik bukan kerana dia kenal dengan menteri pelajaran. Ketua jabatan menjadi ketua jabatan bukan kerana beliau ahli United Malay National Organisation cawangan Kampung Kerinchi tetapi kerana fikrah dan tulisan ilmiahnya bolih dipertanggung jawabkan. Pengetua Kolej ketika itu dilantik bukan kerana beliau Bumiputera tetapi kerana beliau memiliki keupayaan akademik dan layak menjadi pemimpin sebuah kolej kediaman.
Persatuan pelajar kami pula bebas dan bergerak sendiri melalui dana yuran ahli. Kami tidak meminta “sponsor” dari Datuk atau Tan Sri. Atau meminta-minta dana dari si polan dan si polan untuk membuat program kami. Tidak terlintas dalam fikiran kami untuk membodek para YB jauh sekali untuk mengampu para menteri.
Persatuan kami bergerak diatas dasar yang telah kami sama-sama persetujui. Dasar kami ada yang silap dan ada yang betul adan ada yang bolih di ketawakan. Tetapi itu adalah tanda kemudaan kami, tanda setia kami kepada keyakinan diri yang sedang kami bina. Persatuan kami tidak pernah menilai pelajar dari sudut agama bangsanya jika pelajar itu ingin meminjam duit dari dana persatuan kerana ingin membayar yuran kampus. Atau bertanya kepada persatuan gabungan yang meminta dana untuk membuat aktiviti sama ada mereka menyokong atau menentang kerajaan.
Hari ini merayakan budaya ilmu dan budaya kampus telah lama lupus. Ianya hanya tinggal dalam ingatan jenerasi saya - jenerasi 1974. Atau jenerasi mahasiswa dan pelajar sebelum wujudnya pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 ( AUKU). Universiti dan institusi pengajian tinggi yang wujud pada hari ini hanya tinggal nama; tidak lagi memiliki roh dan budaya kemudaan kaum pelajar.
Kita perlu waspada dan jangan menganggap bahawa AUKU lah yang bertanggung jawab menjadikan budaya ilmuan dan budaya pelajar mati. AUKU hanya sebahagian dari punca. Apa yang sedang terjadi didalam kampus ialah manifestasi dari apa yang sedang berlaku dalam negara kita. Untuk saya punca yang lebih besar ialah hegemoni budaya yang dirancang untuk memisah-misahkan dan menafikan lahirnya setiakawan diantara bangsa-bangsa.
Kita mendengar atau terbaca bagaimana pelajar dan mahasiswa duduk bersantai di cafeteria sesama bangsa mereka sendiri tanpa ingin mengenal bangsa-bangsa lain. Malah hari ini ramai anak-anak muda di kampus dari anak semua bangsa yang tidak memiliki kawan baik dari bangsa yang lain. Prasangka terhadap bangsa lain ini telah ditanam lebih awal. Ianya bukan muncul secara tiba-tiba di kampus-kampus. Hegemoni budaya pisah dan perintah telah menyebarkan rancun untuk memadamkan semangat setiakawan ketika pelajar-pelajar ini masih di bangku sekolah rendah.
Apa sahaja usaha atau modul untuk merapatkan hubungan bangsa-bangsa di kalangan anak-anak muda ini akan gagal. Kegagalan ini bukan kerana anak muda hari ini bebal tetapi kerana hegemoni pisah dan perintah ini adalah budaya arus perdana. Budaya ini adalah sebahagian dari ajenda parti politk yang berkuasa. Malah kuasa yang dimiliki olih parti politik ini hanya bolih bertahan jika agenda pisah dan perintah ini diteruskan.
Apakah kita lupa pidato berapi-api tentang ketuanan Melayu dan keris panjang yang terhunus. Budaya berbentuk inilah yang sedang menjadi budaya arus perdana. Dalam masa yang sama budaya ini juga telah membentuk pelbagai lembaga daulah yang tidak berdasarkan kesamaan derajat bangsa-bangsa tetapi dengan jelas bertujuan untuk memisah bangsa-bangsa.
Semua partai-partai politik sama ada partai kerajaan dan partai politik alternatif sama-sama bertanggung jawab kerana merayakan hegemoni budaya yang sama. Ada yang memakai topi keMelayuan, ada yang memakai topi keCinaan, keIndiaan dan ada pula yang menyamar di sebalik ke Islamaan. Semua partai politik ini memainkan peranan (disedari atau tidak) untuk memperkukuhkan hegemoni budaya pisah dan perintah.
Parti-partti politik yang berasaskan bangsa-bangsa ini bergerak maju dalam suasana tegang yang penuh prasangka. Mereka bernafas dan mengumpul ahli diatas dasar memusuhi bangsa yang lain. Ketegangan bangsa-bangsa ini ada yang dirancang khusus sebagai agenda politik tersuruk dan ada yang di ucapkan secara terbuka. Hasilnya adalah sama; ianya terus melahirkan jurang pemisah dan menumpaskan kelahiran setia kawan bangsa-bangsa.
MHE yang dikatakan memiliki 200 halaman ini untuk saya hanyalah satu percubaan untuk mengolah persetujuan orang ramai yang selama ini telah bosan dan muak dengan dasar adu domba bangsa-bangsa dan semangat perkauman. Tangan yang mencetak dan menyebar tek MHE ini adalah tangan yang sama yang telah dan sedang memperkasakan dan melembagakan pelbagai undang-undang, akta dan peraturan hegemoni budaya pecah dan perintah.
Jika modul 200 halaman ini akan menjadikan anak muda Melayu, Cina, Keling, Bajau, Kadazan duduk semeja di warong untuk berlabon sepanjang malam tentang masa depan negara ini, maka saya anggap modul ini satu mujizat. Tetapi jika satu dekad dari hari ini anak-anak muda perlajar kita masih lagi ditanya dia berbangsa dan beragama apa maka MHE ini hanya menjadi pemusnah pokok-pokok yang dijadikan kertas untuk ianya dicetak.
No comments:
Post a Comment