Fikrah Akhbar & Melayu
oleh Hishamuddin Rais
Ketika saya di sekolah rendah dahulu keluarga saya telah melanggan sebuah akhbar harian Melayu dalam tulisan jawi. Pada masa itu penjajah British baru tiga tahun meninggalkan pentadbiran Tanah Melayu. Dunia ilmu pengetahun saya hanya berasaskan akhbar jawi ini. Saya menganggap akhbar inilah yang menjadi pembuka fikrah saya terhadap dunia luar.
Pernah satu ketika saya terbaca dari akhbar ini satu berita tentang buah kelapa yang mengeluarkan suara. Kelapa bersuara ini berlaku di Mantin. Setiap hari akhbar jawi ini melaporkan berita “pelik” buah kelapa boleh bersuara. Saya yang pada ketika itu baru berumur 8 tahun telah mengikuti setiap hari laporan ini dengan khusyuk. Lebih dari satu bulan berita kelapa bersuara ini digembar-gemburkan oleh akhbar ini. Sebagai anak kecil saya begitu yakin terhadap kejadian ini.
Malah cerita kelapa ada suara ini telah menyebar ke seluruh negara. Ianya menjadi bahan borak di kedai-kedai kopi atau ketika keramaian kenduri kahwin. Bila orang ramai bercerita ada sahaja tokok tambahnya. Ini kerana pada ketika itu akhbar jawi ini memiliki monopoli untuk para pembaca yang belum terdidik dalam tulisan rumi atau bahasa Inggeris.
Pada satu hari saya terbaca bahawa kelapa ini telah terhempas dan pecah berderai maka tamatlah cerita buah kelapa ini. Saya juga merasa agak kecewa kerana tidak berpeluang untuk sampai ke Mantin untuk mendengar sendiri “suara” buah kelapa ini.
Entah berapa lama kemudian timbul pula cerita baru dari akhbar harian yang sama. Kali ini ada seorang gembala lembu yang telah bertemu mata air ajaib di tepi landasan keretapi. Saya tidak ingat di landasan daerah mana kerana pada ketika itu saya hanya baru beberapa kali sahaja melihat keretapi. Berita dari akhbar ini telah membawa gempar ke seluruh tanah air. Orang ramai menjadi heboh.
Mengikut laporan akhbar ini si gembala telah bermimpi tentang mata air ini. Melalui mimpi ini si gembala telah ditunjukkan dimana akan ditemui mata air ajaib ini. Ketika itu, walaupun saya belum membaca Socrates, Plato atau Ibnu Rushd, saya telah mula merasa was-was tentang mata air ajaib ini. Tetapi umum terus mempercayai berita ini. Malah saya pernah melihat gambar di akhbar ini yang menunjukkan orang ramai berbaris membawa botol dan baldi untuk mengambil air yang dikatakan boleh mengubati pelbagai jenis penyakit.
Akhbar harian jawi ini setiap hari membawa laporan tentang mata air ajaib ini dari beberapa sudut kewartawanan. Orang ramai ditemu bual. Ada laporan susulan. Ada berita orang yang telah sembuh penyakit hasil dari meminum air ini. Rasa saya hampir satu bulan lebih berita ini bermain di akhbar ini. Tetiba pada satu petang saya terbaca bahawa pihak Kereta Api Tanah Melayu telah melarang orang ramai dari datang ke tepi landasan ini. Keretapi yang lalu di kawasan itu telah terganggu oleh orang ramai malah ada kemungkinan akan berlaku kemalangan di landasan kereta api. Berita mata air keramat ini dengan serta merta padam.
Kemudian saya terbaca pula, dari akhbar yang sama tentang bagaimana seorang lelaki dari Kota Tinggi melalui mimpi telah berubah menjadi perempuan. Berita ini bermain di akhbar jawi ini untuk beberapa minggu. Gambar purtan (perempuan jantan) ini ada disiarkan di muka hadapan akhbar ini. Saya melihat si purtan agak menarik, malah saya terbaca bagaimana pengarah Jamil Sulung telah tertarik hati untuk melamar si purtan ini untuk menjadi pelakon di Shaw Brothers.
Kali ini seorang doktor telah menawarkan diri untuk menemui si purtan. Apabila diselidiki maka didapati bahawa si purtan memiliki punai sama seperrti jantan-jatan yang lain. Malah punai si purtan ini tidak pula bercabang untuk menjadi satu berita yang pelik. Bila suara doktor dilaporkan berita purtan hilang dari laporan akhbar.
Apa yang saya tuliskan ini telah berlaku lebih dari 40 tahun dahulu. Inilah dunia Melayu pada awal 50-an dan 60-an dahulu yang dirakamkan oleh media arus perdana Melayu yang memiliki “tagline” sebagai penjana fikiran Melayu. Semua ini berita sahih yang masih boleh diselidiki di Arkib Negara jika kurang yakin dengan apa yang saya tulis.
Hari ini saya ingin bertanya - apakah dunia media Melayu ini telah berubah pada tahun 2007 ini? Jawapan saya ianya telah berubah jauh. Waspada, bukan berubah untuk menjadi lebih rasional, berilmu dan saintifik tetapi telah berubah untuk merosot. Kalau pada tahun 1959, saya terbaca buah kelapa boleh bercakap pada tahun 2007 ini saya terbaca pula berita anak gadis di Melaka boleh mengeluarkan kaca permata dari ibu jari kakinya. Tidak cukup dengan kaca dari kaki, saya juga terbaca berita susulan bagaimana seorang gadis di Alor Star dapat pula meneran keluar dari lubung juburnya emas dan permata.
Bila saya terbaca ini, saya terus memasuki laman web pasaran logam dunia untuk memerhatikan sama ada nilai intan berlian telah jatuh menjunam hasil dari teranan berak gadis dari Alor Star ini. Saya juga mencari berita dari laman-laman web dunia untuk meneliti sama ada ada syarikat botol antarabangsa telah datang untuk melamar gadis dari Melaka ini. Bayangkan betapa lumayannya perniagaan botol jika kaca hanya dihasilkan dari celah kaki.
Dalam masa yang sama , saya juga menjadi gerun malah bersimpati terhadap gadis dari Alor Star yang boleh mengeluarkan intan dan berlian dari dalam perutnya. Saya takut jika gadis ini selalu meneran juburnya pasti berkilo-kilo intan akan keluar dan ini akan menganggu pasaran intan dunia. Jika ini berlaku apakah mungkin De Beers pemilik perniagaan intan yang terbesar dalam dunia akan menghantar ejennya untuk memusnahkan lubang jubur yang menjadi punca pengeluran intan di Alor Star ini.
Laporan berita-berita ini adalah kenyataan tentang bagaimana telah merosotnya fikrah Melayu. Kemerosotan fikrah ini sedang dijana pula oleh para wartawan Melayu yang tidak memiliki ilmu pengetahuan asas tentang etika kewartawanan. Apakah laporan yang mereka tulis itu ilmiah dan dapat dibuktikan di bilik makmal. Apakah kaca dari kaki gadis ini hanya nanah yang telah berketul seperti punat bisul. Jika betul ianya kaca apa pula kombinasi kimia kaca ini. Semua ini boleh dikaji selidik, malah fakulti sains Universiti Sintok pun berkeupayaan untuk membuat kajian.
Memang ada percubaan doktor untuk menyiasat tetapi gagal. Si gadis telah ditempatkan di hospital, tetapi gadis ini melarikan diri dari hospital. Tidak ada pula susulan laporan berita kenapa gadis ini lari dari hospital. Tidak juga ada laporan pandangan pihak berwajib hospital tentang pesakitnya yang telah lari. Semua ini adalah asas etika kewartawanan yang semakin pupus dalam dunia media Melayu.
Sila ambil perhatian, berita-berita tahyul yang tidak berlandaskan di bumi yang nyata ini bukan laporan akhbar mingguan tabloid yang selalu menyiarkan berita – Artis Wanita Berkahwin Dengan Ular atau Pak Haji Nampak UFO. Semua laporan yang saya baca ini dari akhbar nasional Melayu dalam tulisan rumi. Akhbar-akhbar ini semuanya memiliki “tagline” yang gah lagi mengerunkan - Ilmu dan Maklumat atau Meneruskan Perjuangan Membawa Harapan.
Pada hemat saya kemerosotan fikrah Melayu ini sebahagiannya memang dirancang. Sebahagian lagi timbul akibat suasana budaya keilmuan yang semakin merosot. Perancangan ini dilakukan secara berencana untuk memasung fikrah Melayu agar terus bengap. Otak dan fikrah yang bengap pasti tidak akan berupaya untuk menilai dan membuat perhitungan tetatang apa yang sedang berlaku disekeliling mereka. Si pemilik otak yang bengap amat senang untuk di cucuk dan ditarik hidung mereka.
Perancangan untuk memalapkan fikrah Melayu ini dapat dibuktikan jika kita dengan teliti mengikuti berita-berita dari akhbar Melayu dan Cina. Saya selalu berangan-angan untuk melakukan satu kajian dimana kita ambil dua pelajar sekolah menengah - Melayu dan Cina - kemudian mereka dikurung selama tiga bulan. Si Melayu hanya diberi akhbar Melayu dan si Cina hanya akhbar Mandarin. Sesudah tiga bulan saya yakin si Cina ini akan memiliki lebih ilmu pengetahuan hasil dari membaca akhbar Mandarin berbanding dengan si Melayu yang membaca akhbar Melayu.
Asas eksperimen saya ini adalah pengalaman saya ketika di Kamunting. Dalam tahanan untuk memalapkan fikrah saya hanya diberi Utusan Malaysia manakala Tian Chua mendapat akhbar Mandarin. Saban hari saya membuat perbandingan antara akbar Melayu dan Cina melalui tajuk berita dan rencana-rencana yang ditulis. Jelas kelihatan akhbar Mandarin lebih luas ruang laporannya berbanding dengan akhbar Melayu.
Kegelapan fikrah Melayu yang bonsai ini saya rasa akan berterusan. Saya masih belum nampak akan munculnya pencerahan yang akan menggilap fikrah Melayu. Malah saya bertambah pesimis kerana di zaman kanak-kanak dahulu saya terbaca kelapa boleh bersuara, kini setelah beralih alaf saya masih lagi terbaca kaca permata keluar dari ibu jari kaki dan emas intan berlian keluar dari lubang jubur.
Kini saya hanya menunggu satu laporan akhbar yang akan membawa berita bahawa di antara dua telinga para wartawan Melayu, yang wujud hanya satu ruang luas yang boleh digunakan sebagai jalan rentas ke syurga. Jika berita ini sampai maka saya akan membunuh diri.
No comments:
Post a Comment