Politik dan persepsi
Oleh Hishamuddin Rais
Ceritanya begini, dari awal lagi saya ‘kureng’ tertarik dengan lenggok politik kepartian. Paling membosankan diri saya ialah membaca minit mesyuarat yang lalu dan ‘meeting’ yang berjela-jela. Saya telah melintasi 50 tahun dan tidak memiliki banyak masa untuk ‘bermeeting’. Ada ‘benda-benda baru’ yang lebih menarik dan lagi mencabar untuk saya lakukan. Saya tidak sanggup duduk dalam bilik mesyurat berlabon tanpa sempadan. Ini ditambah pula oleh dasar TIDAK boleh menghisap kretek bila ‘bermeeting.’ Saya tutup kes.
Beberapa minggu kebelakangan ini ‘kureng’ saya ini telah dibuktikan apabila saya terbaca dari akhbar dan laman-laman web tentang Ezam dan Azmin.
Saya juga ada menerima teks sms yang bertayakan apakah yang sedang berlaku. Sebenarnya, ada orang yang keliru yang menganggap saya ini ahli PKR. Tidak. Saya tidak pernah menjadi ahli parti politik sama ada yang di atas tanah maupun yang di bawah tanah. Tetapi politik ialah persepsi. Umum terus menganggap saya ini ahli setia PKR.
Politik ialah bacaan orang ramai yang tidak berlandaskan kenyataan. Persepsi ialah anggapan umum terhadap sesuatu pekara. Contonya – Najib Razak dikatakan pernah ditangkap berkhalwat dengan Ziana Zain Port Dickson. Atau Najib Razak dikatakan ada memiliki hubungan sulit dengan arwah Aminah binti Abdullah a.k.a Altantuya. Ini hanya persepsi orang ramai.
Begitu juga dalam kes Ezam dan Azmin. Telah wujud persepsi. Untuk mengetahui apa persepsi orang ramai biar saya bersurah untuk melihat kembali bagaimana persepsi itu timbul. Awal dahulu apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dari Sungai Buloh, ramai ‘orang-orang kuat’ PKR yang ingin meletakkan diri mereka sedekat yang boleh dengan Anwar Ibrahim. Justeru, berduyun-duyun si Mamat-Mamat ini terbang ke Munich. Mereka ingin dikenali rapat oleh si Anwar Ibrahim.
Malah ada juga si Mamat yang ingin membelikan saya tiket untuk pergi ke sana. Saya menolak dan menerangkan bahawa saya hanya ke Munich pada bulan Oktober untuk merayakan Oktober Fest. Hasil dari Munich - kita terlihat gambar-gambar pelbagai bentuk ‘orang-orang kuat’ PKR tercegat senyum menghadapi kamera di sebelah katil Anwar Ibrahim. Persepsi politik ketika itu ialah sesiapa yang telah sampai ke Munich akan dianggap sebagai ‘orang dalam’ yang dapat tiket untuk ‘parking’ kereta mereka sehampir mungkin dengan kereta sorong Anwar Ibrahim.
Hari ini ramai ‘orang-orang kuat’ PKR yang telah pergi ke Munich itu telah pencen. Bukan kerana mereka salah ‘parking’ tetapi mereka salah baca politik. Dalam perhitungan mereka, apabila Anwar Ibrahim bebas dari Sungai Buloh, maka si Anwar Ibrahim ini akan menjadi Perdana Menteri. Biar saya nyatakan di sini ketika Anwar dalam penjara dahulu ada orang-orang kuat ini yang menyatakan kepada saya bahawa Anwar Ibrahim ini ada ‘magic politik’. Justeru apabila Anwar bebas, maka politik akan berubah. Ini bukan persepsi politik tapi sebuah cerita dongeng.
Kesah ini diteruskan lagi. Bab kedua disambung apabila PKR telah bergabung dan mula mengenap untuk mantap. Ketika ini timbul pula agenda untuk menjadi ‘pemimpin’. Bila saya melihat ini saya ketawa terbahak-bahak kerana ramai ’orang-orang kuat’ ini, entah dari pelusuk mana datangnya tup tup ingin hendak menjadi pemimpin. Dengan ‘parking’ di sebelah kereta sorong Anwar, pada persepsi mereka, mereka adalah pemimpin dan perlu menjadi YB. Ha ha ha ha.
Kali ini timbul pula satu lagi kes ‘parking’. Ceritanya bagini: Selalu kita dengar bahawa Anwar Ibrahim ini akan masuk kembali ke dalam United Malay National Organisations. Atau hanya dengan ‘rujuk’ kepada parti ini maka barulah peluang si Anwar untuk menjadi PM akan termakbul. Ini juga persepsi.
Untuk meledakkan persepsi ini dan membuktikan kepada umum bahawa Anwar tidak gila talak maka Anwar wajib memimpin PKR dan bukan hanya menjadi penasihat. Bila ini hendak dilakukan maka banyak ‘kereta-kereta’ Mercedes, Jaguar, Volvo, Bently, Wira mula beralih-alih untuk ‘reparking’ sekali lagi. Kereta Kancil, Proton Saga, Kelisa perlu diketepikan sedikit. Cap chai, basikal dan pejalan kaki yang dahulunya barisan depan ketika berdemo wajib memberi laluan. Maka dari sini timbullah kasus (istilah Mat Indon) Ezam dan Azmin. Kesnya ialah untuk mencari tempat parking kereta-kereta siapa yang lebih hampir dengan kereta sorong Anwar Ibrahim.
Saya kenal baik dengan Ezam dan Azmin. Kalau tidak ada gerakan Reformasi tidak mungkin saya mengenali mereka berdua secara peribadi. Malah pertama kali saya mengenali Azmin ialah di rumah pasong Jalan Stadium. Kami ditangkap. Esoknya saya diberitahu ada gambar saya dan Azmin yang sedang bergari di muka hadapan Utusan Malaysia. Kami masuk lokap selama satu minggu atas tuduhan berkumpul di Masjid Negara apabila Anwar di racun. Semenjak itu saya kenal baik dengan Azmin.
Ketika saya di Kamunting Azmin ialah seorang YB, maka dia telah banyak membantu perjuangan dalam sel dan di luar sel. Dia meneruskan tradisi jalan raya yang pada ketika itu tidak dapat diteruskan oleh Ezam kerana Ezam juga sedang ditahan.
Ketika perbicaraan kes Anwar diracun dijalankan, saya selalu bersembang dengan Azmin. Anak muda lulusan Ilmu Hisab dari Amerika ini cukup teratur gerak kerjanya. Dia memiliki gerak kerja yang rapi mungkin hasil latihan dalam disiplin ilmu matematik yang memerlukan pemikiran yang teratur. Pernah satu ketika dia mengambil alamat rumah saya dan beberapa bulan kemudian saya menerima kad selamat hari raya. Episod ini meyakinkan saya bahawa Azmin memiliki pendekatan kerja yang tersusun. Pengurusan Azmin rapi, untuk saya pengurusan rapi ini adalah satu jalur kekuatan berorganisasi.
Ezam pula saya kenali kali pertama di Jelebu, di daerah kampung saya. Ketika itu dia berceramah di pekan Simpang Durian. Ini zaman awalan sebelum ombak Reformasi menggunung. Ketika itu Ezam baru pulang dari Indonesia. Saya hanya menebeng mendengar sebagai orang Jelebu tetapi selesai ceramah saya dijemput minum teh bersama rombongan Ezam.
Di Kamunting, saya mengenali lebih rapat manusia yang bernama Ezam Mat Nor. Jiwanya keras dan berani. Pidatonya lunak dan membakar semangat. Anak-anak muda para demonstran akan terpesona dengan pidato Ezam. Malah ketika disoal siasat di bawah ISA, cara pidato Ezam ini ditimbulkan kerana pidatonya dianggap ‘terlalu membakar’. Susuk anak muda Ezam dilihat sebagai pengkristelan gerakan rakyat di jalan raya yang saya amat senang sekali.
Ezam dan Azmin ini memiliki kekuatan dan ketrampilan yang berbeza-beza. Bayangkan jika kedua-dua susuk ini berganding dan saling isi mengisi pasti PKR akan menjadi lebih unggul. Maka di sinilah saya lihat mereka berdua ini kurang arif dalam bacaan politik. Untuk saya, mereka ini seperti gajah yang memiliki kekuataan tetapi kerana telinga terlalu besar maka si gajah gagal melihat badannya yang berkudrat. Lalu gajah-gajah ini bertandak ke hulu ke hilir sehinggakan rosak tanaman-tanaman subur yang baru membesar.
Saya berharap Ezam dan Azmin tidak memiliki persepsi bahawa esok atau lusa Anwar Ibrahim akan menjadi PM. Jika ini persepsi politik mereka atau persepsi sesiapa sahaja yang ingin ‘parking’ dekat kereta sorong Anwar Ibrahim, maka saya begitu yakin mereka akan mendapat rentapan elektrik yang mengejutkan.
Pada ketika ini, dalam suasana struktur politik yang sedia wujud hari ini, dalam gelanggang pilihan raya yang wujud pada hari ini, adalah MUSTAHIL untuk sesiapa pun dapat mengalahkan Barisan Nasional. Ini bukan persepsi. Ini hakikat politik. Magic politik yang dimilki oleh Anwar Ibrahim tidak akan mujarab jika PKR tidak tersusun seperti rapinya Azmin Ali menyusun dairi hariannya. Gerakan rakyat juga akan terbantut jika suara dan tenaga Ezam tidak di jalan raya tetapi sibuk menangkis tuduhan itu dan ini.
Malah ada kemungkin jika gelagat ‘ parking dan reparking’ ini berterusan maka kerusi PKR yang satu di Permatang Pauh itu pun akan lenyap. Ini adalah persepsi orang ramai. Persepsi politik orang ramai ini penting kerana merekalah yang akan memangkah undi.
Siapa betul siapa salah tidak timbul dalam persepsi politik. Dalam kes Ezam dan Azmin ini, saya hanya berharap kebosanan rakyat untuk berparti tidak sampai ke tahap diri saya. ‘Kureng’ saya pada ketika ini telah sampai ke tangga bosan dan meluat dengan orang yang bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat tetapi TIDAK pernah menyusun rakyat.
No comments:
Post a Comment