Wednesday, August 15, 2007

Sukan sakan

Peminat-peminat sukan pastinya bergembira dengan kepadatan acara-acara sukan yang sedang dan telah berlangsung baru-baru ini khasnya peminat sukan bola sepak (Piala Malaysia, EPL, CYC, Sultan Selangor etc), badminton, skuasy (Wanita Remaja Dunia di Hong Kong) dan lumba motorsikal (FIM Asian GP).

Bayangkan pada hujung minggu lepas, buat pertama kali aku tidak keluar rumah pada waktu malam disebabkan sajian sukan yang enak di depan mata. Ada Liga Inggeris, Piala Sultan Selangor dan Championship Youth Cup (CYC) yang hampir serentak, memang sangat indah rasanya walaupun agak kecewa gagal mengikuti sepenuhnya lakonan Fazura di dalam Gol & Gincu musim kedua.

Minggu ini pula sajian diteruskan dengan aksi-aksi kemuncak CYC di Shah Alam dan Bukit Jalil, Kejohanan Badminton Dunia juga di Bukit Jalil, cubaan mencari gol sempurna oleh Arsenal di EPL juga di Champions League pagi ini dan banyak lagi.

Minggu-minggu yang mendatang juga pasti mempesonakan dengan begitu banyaknya acara sukan terutama bola sepak dan pemotoran (Formula 1 dan Moto GP) menunggu untuk ditonton di kaca tv. Bermulanya musim baru EPL membuatkan cuti hujung minggu lebih bermakna dan memulakan semula sengketa dengan musuh-musuh bola sepak seperti Aran dan ramai lagi.

Piala Malaysia akan berehat bagi memberi peluang kepada kejohanan Pesta Bola Merdeka sebelum bersambung pada 1 September bagi aksi separuh akhir. Agak sedih kerana Selangor telah terkeluar setelah kecundang di tangan Terengganu, good luck pada pasukan yang masih bersaing terutama Kedah yang memburu tiga kejuaraan semusim yang selama ini hanya boleh dilakukan oleh Selangor, hehe.

Namun seperti yang pernah aku perkatakan di dalam tulisan sebelum ini, fokus kepada pasukan negeri jangan sampai terlebih sehingga nasib pasukan kebangsaan yang tercinta dilupakan. Barisan bawah 23 K Rajagopal akan beradu tenaga di Pestabola untuk memulihkan maruah negara yang tercalar hebat di Piala Asia baru-baru ini walaupun aksi pasukan remaja negara di CYC sedikit sebanyak telah menggembirakan para peminat.

Tiada sukan, tiada hidup

Aku sentiasa berfikir bagaimana agaknya kehidupan manusia-manusia yang tidak meminati (sama ada bermain atau sekadar menonton atau mengikuti) sebarang jenis sukan? Persoalan ini pernah aku bincangkan dengan rakan sembang yang juga tidak begitu meminati sukan, Rusnizam di Mamak 14 beberapa ketika yang lalu. Walaupun aku menghormati itu adalah hak-hak individu di dalam sistem demokrasi, namun aku sering tertanya-tanya mengapakah golongan ini boleh menolak budaya popular yang dominan ini dengan mudahnya? Apakah rahsianya?

Sukan sebagai alat patriotisme

Aku akan menulis dengan lebih lanjut tentang perkaitan sukan dan patriotisme sempena bulan kemerdekaan ini minggu hadapan. Sampai di sini dahulu, selamat menonton acara-acara sukan! dan jangan lupa untuk bersukan juga demi kesihatan tubuh badan.

Nota: Setelah hampir dua tahun tidak bermain ping pong, aku akan bermain secara aktif semula setelah kaki ping pong semasa zaman sekolah, Razli aka Koyok mempunyai tempat untuk bermain ping pong tanpa gangguan di tempat kerjanya, percuma pulak tu. Jadi sesiapa yang berminat untuk join, sila hubungi aku...untuk yang hebat dan mempunyai tahap spin yang cemerlang sahaja, hehe.

No comments: