Ayuh ke Shah Alam!
Peminat meraikan kemenangan
FRU yang menggelabah
Kejayaan Malaysia menumpaskan Singapura 3-1 untuk melangkah ke perlawanan akhir bertemu Myanmar esok sememangnya mengembirakan. Bukan sahaja kemenangan yang dipinta berjaya diberi pemain, malah aksi mantap dan komitmen bersungguh yang ditagih peminat berjaya ditunai para pemain, sekalung tahniah diucapkan!
Walaupun kita jangan cepat terpesona dengan kejayaan ini, pujian harus diberi jika ianya wajar tanpa perlu pesimis sepanjang masa. Aku sebagai peminat setia Malaysia yang optimis amat mengharapkan pasukan Sukan Sea Korat ini dapat menjuarai kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1993. Aku masih ingat detik hebat Malaysia menang ke atas pasukan kedua Korea Selatan selepas masa tambahan 3-1 di Stadium Merdeka di mana penyerang terbilang waktu itu, Azman Adnan muncul hero negara. Aku masih memiliki keratan akhbar detik itu yang masih terlekat kemas di dalam buku skrap yang merupakan hobi aku ketika zaman kanak-kanak. Sering aku tatap dan baca bila mana aku rindukan saat gemilang pasukan bola sepak Malaysia.
Myanmar bukanlah pasukan calang-calang berdasarkan aksi permainan pantas yang dipamerkan ketika bertemu Zimbabwe. Perlawanan yang dilangsungkan awal ini sangat menarik dan tidak rugi rasanya menyaksikan perlawanan ini sambil melihat telatah ribuan penyokong Myanmar yang begitu bising dan sangat patriotik. Amat menarik apabila dua negara yang diperintah diktator bertemu sesama sendiri di dalam perlawanan bola sepak.
Kepada Zaquan, Khyril Muhymen, Shukor, Safee Sali dan rakan-rakan, ayuh buktikan bahawa pasukan bola sepak negara masih mempunyai maruah. Hargailah sokongan hampir 10,000 penonton yang hadir malam tadi di Stadium MBPJ dan jadikan ia sebagai satu azimat untuk bermain habis-habisan esok malam di Shah Alam. Kenangkan betapa bersemangat dan patriotiknya para penyokong apabila lagu Negaraku berkumandang sebelum perlawanan. Penyokong-penyokong ini yang tidak pernah putus harap, bukannya para pemaki pasukan negara yang langsung tidak tahu apa-apa.
Politik dan kebodohan polis
Ada dua insiden menarik di stadium apabila sekumpulan penyokong menggantung bendera Malaysia beserta bendera UMNO dan BN. Seperti dijangka, tindakan itu mengundang rasa jelik sebahagian besar penyokong diiringi dengan teriakan boo, sesuatu yang normal di stadium apabila bendera dua 'benda' itu dipamerkan. Aku masih ingat jikalau di Stadium Shah Alam, rakan-rakan kepada member aku, Aran dan juga Jibam yang selalu membawa bendera UMNO beserta juga bendera PKR dan PAS. Tujuannya mungkin untuk memberi mesej perpaduan di kalangan peminat bola sepak.
Melihat hanya bendera UMNO dan BN yang digantung, ada beberapa peminat berhampiran yang menegur dan dengan pantasnya bendera PKR dan PAS diletak sebelah menyebelah dan diiringi tepukan gemuruh dari penyokong. Bolehlah dianggap pembangkang sudah menang sorak, jangan menang sorak sahaja parti tergadai sudahlah.
Satu lagi insiden berlaku setelah tamat perlawanan. Mungkin kerana terlalu gembira dengan nikmat kemenangan yang boleh diibaratkan seperti apabila parti pembangkang menang pilihanraya. Sekumpulan penyokong memasuki padang untuk merayakan kemenangan bersama pemain dan di dalam masa yang sama FRU bertindak menggelabah menahan penyokong-penyokong itu. Lagak aksi lari FRU tidak ubah seperti ingin menangkap para demonstran di mana-mana demonstrasi. Apa lagi pihak polis diboo sekuat-kuatnya dan dimaki hamun oleh para penyokong yang tidak berpuas hati.
Apa salahnya penyokong meraikan kemenangan, bukannya ada keganasan dan kekacauan. Jikalau ingin menjaga keselamatan pun, tidak perlulah bertindak ganas dan menahan para peminat, apa salahnya jika hanya mengarahkan mereka masuk semula ke tempat duduk stadium. Ke mana hilangnya sifat munasabah dan kemanusian pasukan polis? Aku tak tahu apa yang terjadi kepada mereka yang ditahan, akankah mereka didakwa atau diambil rekodnya sahaja? Apa yang pasti insiden ini sekali lagi mencalar imej polis yang telah sedia tercalar, kata-kata seperti 'polis babi', 'anjing', 'polis rasuah' dsb keluar dari mulut peminat-peminat bola yang aku yakin majoritinya tidak begitu politikal. Aku yakin pegawai-pegawai polis yang berada di situ dapat merasakan betapa tidak popularnya mereka walaupun bukan di kalangan penyokong parti pembangkang. Masa untuk berubah wahai PDRM.
Ayuh lupakan sementara politik dan polis, mari beramai-ramai memenuhkan Stadium Shah Alam rabu ini. Harga yang aku bayar adalah terpaksa tidak menghadirkan diri pada forum penting 'Independence During Emergency' anjuran Parti Sosialis Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina. Apapun kedua-duanya demi Malaysia yang lebih baik!
Malaysiaku Gemilang!
No comments:
Post a Comment