Rakyat telah memilih ABUHishamuddin RaisMereka tidak mahu diri mereka dilihat - ini Melayu, ini Cina, ini India atau ini Bumiputera. Mereka mahu dilihat dan ditakrif bahawa mereka adalah warga Malaysia yang setaraf. Rakyat Malaysia dalam pilihan raya ke 12 telah memilih ABU – Asalkan Bukan Umno/Anyone But Umno. Ada masalah ke? Apa masalahnya?
Apa masalah DAP menubuhkan pentadbiran baru di Pulau Pinang? Apa hal jadi kalut apabila PKR akan menubuhkan kerajaan baru di Selangor? Apa halnya bila DAP mendapat undi terbanyak di Perak dan menubuhkan pentadbiran baru? Kedah dan Kelantan di bawah PAS ada problem? Apa problemnya?
Ada masalah ke apabila PKR akan mentadbirkan Wilayah Persekutuan/Kuala Lumpur?
Soalan-soalan saya ini timbul kerana saya terus membaca di akhbar-akbar lekeh arus perdana yang memaparkan berita yang cuba menimbulkan agenda perkauman Melayu. Saya juga menerima tek pesanan ringkas yang cuba mengapi-apikan sentimen Melayu untuk menimbulkan perasaan anti-bukan Melayu kerana rakyat telah memilih ABU.
Mari kita lihat bagaimana sebuah akhbar Melayu arus perdana yang lekeh lagi melekehkan. Lihat bagaimana akhbar ini menguruskan sentimen anti-bukan Melayu. Apabila rakyat memilih Abu kelihatan akhbar ini di laman rencana dan di ruangan surat pembaca telah cuba menerangkan kepada pemilih ABU bahawa kini ‘ ketuaan Melayu telah hilang!” Ha ha ha … surat khabar corot ini masih lagi memainkan keset lama tentang ketuanan Melayu. Saya telah jelak , mual dan hendak muntah membaca dan mendengar agenda ketuanan Melayu. United Malay National Organistions ini cuba disamakan sebagai Melayu. Tolong sikit beeb… bukan semua Melayu berpayung di bawah agenda ketuanan Melayu. United Malay National Organisations mengakui ada hampir 2 juta ahli. Woit! Dalam negara ini ada berapa juta lagi orang Melayu?
Tidak semua Melayu di Malaysia ini bersetuju dengan konsep ketuanan Melayu. Tidak semua Melayu akan menyahut seruan ketuanan Melayu. Tidak semua Cina mahu bertuankan ketuanan Cina. Dan tidak semua India mahu bertuankan ketuanan India. Dan tidak semua Punjabi mahu bertuankan ketuanan Benggali.
Mereka yang telah memilih ABU kerana mereka mahu bertuankan keadilan, ketelusan, kebenaran dan kesaksamaan derajat. Mereka telah muak dengan agenda pecah dan perintah. Mereka tidak mahu diri mereka dilihat - ini Melayu, ini Cina, ini India atau ini Bumiputera. Mereka mahu dilihat dan ditakrif bahawa mereka adalah warga Malaysia yang setaraf. ( Kenapa berat dan ngok sangat kepala untuk memahami bahawa agenda ketuanan Melayu ini telah lama bungkus dan telah di humbankan ke dalam tong sampah sejarah.)
Apa salahnya anak muda itu di terima masuk ke fakulti perubatan walhal kelulusan anak muda ini cukup cemerlang. Anak muda ini di tolak hanya kerana dia Cina dan tidak termasuk dalam agenda ketuanan Melayu. Ini perbuatan gila. Orang sakit di Malaysia ini kalau dia sakit dia tidak mengira bangsa apa, agama apa atau dari parti apa doktor yang mengubati.
Kenapa kontrak buat bangunan sekolah itu di berikan kepada si Polan ini? Dalam masa enam bulan sesudah siap sekolah ini runtuh rahai? Jawabnya si Polan ini di beri kontrak kerana dia Melayu dan ini agenda ketuanan Melayu. Ini kerja gila. Pengundi ABU mahukan yang terbaik bukan yang TERMELAYU.
Kenapa Naib Canselor di universiti-universiti semuanya Melayu walhal kebanyakan dari mereka benak, tidak berilmu, bebal dan tidak ada mengeluarkan tulisan-tulisan ilmiah. Jawabnya Naib-naib Canselor ini dilantik hanya kerana mereka Melayu dan ini agenda ketuanan Melayu. Ini kerja gila, kerja orang bodoh. Dunia akademia bukan mahukan Melayu. Dunia akademia mahukan mereka yang bijak , berilmu dan bukan berMelayu. Ilmu datang bukan kerana dia Melayu tetapi kerana insan profesor itu berilmu dan ada keupayaan untuk berfikir, menulis dan berhujah secara ilmiah. Kaki bodek tidak termasuk dalam Cv dan biodata untuk menjadi profesor di universiti.
Dalam ruangan pembaca di media yang sama saya juga terbaca tentang ‘ survival Melayu’. Mula-mula saya ingatkan ini program TV yang bernama “ survival’ rupa-rupanya bukan. Survival yang di perkatakan oleh akhbar lekeh ini ialah survival Melayu.
Haha haha.. lawak betul akhbar ini. United National Malay Organisations bukan oksigen beeb. Tolong lah beeb... Manusia Melayu telah wujud ribuan tahun tanpa United Malay National Organisations. Pertubuhan ini pula baru muncul pada tahun 1946, ini pun kerana perancangan British yang sedang nazak dipukul oleh perjuangan rakyat Malaya yang mengangkat senjata.
Saya tidak tahu bagaimana dan apa pertalian United Malay National Organisations dengan kunun apa yang di panggil ‘survival’ Melayu. Tapi saya tahu apa yang tidak akan ‘survive’ dan pupus nanti. Yang akan pupus ialah ‘contract junkies’. Yang akan pupus nanti ialah Mat Subcon. Yang akan pupus nanti ialah mereka yang tidak berkelayakan untuk masuk universiti pasti tidak akan dapat masuk universiti. Tolong lah beeb...jangan samakan makhluk-makhluk ini dengan 300 juta susuk-susuk yang dipanggil Melayu di Nusantara.
Selepas – ‘survival Melayu ‘ muncul pula apa yang kunun dipanggil agenda perpaduan Melayu. Satu lagi lawak tengit. Apa barang yang di panggil perpaduan Melayu ini? Benda ini ada di jual di Maidin ke? Ada di jual di Chow Kit ke? Berapa harga sekilo?
Perpaduan Melayu untuk apa?
Susuk Melayu tidak pernah bersatu, tidak akan bersatu dan sampai dunia kiamat pun TIDAK akan bersatu. Susuk Cina tidak pernah bersatu, tidak akan bersatu dan sampai kiamat pun tidak akan bersatu. Susuk Arab tidak pernah bersatu, tidak akan bersatu dan sampai kiamat pun Tok-tok Arab ini tidak akan bersatu.
Jangan mimpi dan jangan berkhayal tentang perpaduan Melayu. Benda ini tidak pernah wujud. Dalam sejarah perjalanan tamadun manusia, dari semenjak manusia keluar dari gua-gua batu di Kenya Afrika susuk yang di panggil manusia ini telah terpencar-pencar dan tidak pernah bersatu.
Menggunakan satu bahasa ibunda juga tidak akan menjanjikan perpaduan. Buktinya negara Arab yang semuanya bercakap Arab. Mereka tidak pernah bersatu. Satu warna kulit tidak juga menjanjikan perpaduan. Buktinya benua Afrika – mereka semuanya berkulit hitam. Satu asal usul budaya dan bahasa yang sama juga tidak menjanjikan perpaduan. Buktinya Cina dan Taiwan. Satu agama dan satu konsep tuhan pun tidak akan menjamin perpaduan. Buktinya Pakistan Timur dan Pakistan Barat. Pakistan Timur kini menjadi Bangladesh.
Manusia bukan batu bata yang boleh disusun mengikut rasa. Manusia mempunyai akliah.
Mengapi-apikan rasa benci antara kaum dan bangsa ini adalah jenis politik bankrap. Ini jenis politik orang kalah. Jenis politik inilah yang telah di tolak oleh ABU. Mengajukan kebencian terhadap sesama manusia bukan sifat insan yang berilmu, berfikiran dan bertamadun.
Menakut-nakutkan orang Melayu bahawa mereka akan hilang Dasar Ekonomi Baru adalah cerita hantu lama. Cerita hantu ini telah menjadi tidak seram lagi. Menakut-nakutkan orang Melayu bahawa mereka akan hilang hak keistimewaan samalah seperti George Bush sedang cuba menakut-nakutkan rakyat dunia tentang ‘keganasan Islam’. Orang Melayu tidak akan ambil pot. Rakyat dunia tidak akan ambil pot.
Untuk sementara waktu ada susuk Melayu akan termakan racun bergula dari akhbar-akhbar lekeh lagi melekehkan. Ini samalah seperti ada sebahagian rakyat dunia yang termakan propaganda Bush tentang cerita seram ‘ kejahatan Islam’.
Sebenarnya di belakang agenda menakut-nakutkan Melayu ini ialah para cukong, para contract junkies, para Ali dan Baba, para Mat Subcon, para lanun dan penyamun, para perasuah dan pengguna C4, para komisen agen, para broker projek – mereka inilah yang sedang dalam ketakutan kerana rakyat telah memilih ABU – Asalkan Bukan Umno/Anyone But Umno